Pagi tadi selepas bersarapan, saya terbaca satu rencana dalam Mingguan Wasilah keluaran beberapa minggu yang lalu. Tulisan untuk menjadi renungan cukup menarik sekali antaranya saya petik kembali:
Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan hawa nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita membuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita melakukan kebajikan. Jika turutkan kehendak syaitan sudah tentu kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.
Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana kita dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan.
Nah, di depan kita ada dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada tanyakan iman.
Dalam satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang yang beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan perlu banyak berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak sahaja berjaya sampai ke mercu.
No comments:
Post a Comment