Waktu rehat kursus. Berkenalan dengan seseorang yang belum dikenali sebelum ini. Banyak yang diborakkan. Tiba-tiba dia meraba ke tali pinggangnya. "Excuse me, ada call" katanya lalu minta izin ke suatu sudut. Seorang diri dia di sudut itu, saya perhati dia bercakap cukup ceria dengan henfonnya, sambil menggerak-gerakkan tangannya ke atas ke bawah dan ke mana-mana. Tinggallah saya dengan kenalan lain pula.
Senario 2
Ada beberapa perkara mengenai urusan kursus yang saya tidak berapa jelas lalu pergi bertanya dengan seorang pegawai penyelaras kursus. Dalam asyik saya bertanya dan beria-ia dia menerangkan, tiba-tiba henfon di atas mejanya berbunyi. "Maaf encik, sekejap ya", katanya ringkas. Dia bangun dari kerusinya dan bergerak ke belakang dan membelakangkan saya. Dia kelihatan bercakap sendirian.Sekejap katanya tapi lebih kutang 10 minit juga saya menunggu.
Senario 3
Seorang penceramah sedang menyampaikan ceramahnya dengan cara yang cukup santai. Dia menerang pelbagai perkara mengenai topik yang dibentangkan. Tiba-tiba henfon berbunyi dan microphone terganggu. Dia segera menutup henfonnya. Dia teruskan ceramahnya dengan penuh minat, tiba-tiba henfon berbunyi lagi, dia tutup lagi. Ceramahnya mulai seperti terganggu momentumnya. Khalayak sudah semacam hilang fokus, tiba-tiba henfon berbunyi lagi. Akhirnya dia tewas. Penceramah minta izin " maaf, saya jawab sekejap". Pergi dia ke sudut pentas dan bercakap sendirian. Katanya sekejap, khalayak sempat memerhatinya menerangkan sesuatu di henfon dalam lebih kurang 1 minit.
Senario 4
Singgah di hentian lebuhraya untuk menikmati seteguk kopi. Di sebalik pokok bunga terdengar suara orang bercakap. Saya menjenguk di sebalik pokok bunga tersebut ternampak di bawah bangsal rehat seseorang sedang menyandar di tiang bangsal sambil memeluk kedua lututnya. Cakapnya kedengaran agak jelas, kadang-kadang gelak, kadang-kadang beria-ia melahirkan pendapat. Pada ketika-ketika tertentu, kedua-dua tangannya sibuk menggayakan apa yang dicakapkan. Dia bercakap dengan siapa ? Tiada orang di depannya dan mana henfonnya, dia tak pegang apa-apapun ? Saya terus memerhati borak keseorangan orang itu, mencari siapakah pasangan sembangnya. Memang jelas tidak ada, dia seorang diri di situ. Saya menghampiri dan baru saya ternampak henfonnya berada di dalam poket baju dan dari henfonnya berselirat wayar masuk ke telinganya. Macam-macam, kata hati saya.
Senario 5
Terlihat seorang gadis sambil berjalan dan menundukkan kepala . Kedua-dua tangannya memegang henfon yang tidak berat mana pun. Dia seperti menaip sesuatu pada henfonnya. Saya tersenyum dari dalam kereta melihat si gadis itu tersenyum-senyum tersengih-sengih sendirian.
Demikian antara senario yang sempat saya perhatikan sepanjang hujung minggu lepas. Tanpa kita sedari budaya kita dan kehidupan kita telah ditakluki. Kemesraan terputus, fokus terganggu, kelancaran urusan terlengah, bercakap sendirian bukan masalah dan senyum seorang diri tidak anih lagi. Telefon bimbit menakluki kita di mana-mana dan apakah ia benar-benar akan atau telah mengubah budaya hidup kita ?
4 comments:
Pada awal 1990-an, ketika telefon bimbit mula meluas penggunaannya saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya tidak memerlukannya kerana memang tidak perlu!!! Saya samakannya dengan jam tangan yang sudah lebih daripada 20 tahun saya tidak memakainya. Tidak ada masalah pun! Namun pada tahun 1996, saya tewas juga... saya ditempatkan di sekolah baru yg tidak ada telefon! Sehingga kini (dengan kehilangan telefon bimbit lebih drp 3 kali), saya memang terasa telah tertakluk...
Sir,
Saya teringat dulu, pernah baca buku (Tajuknya "Megatrends" (kalau tak silap)).
Ada ditulis : Teknologi baru akan pantas mengupah perlakuan manusia.
Sir,
Itu dah jadi lumrah, cakap sorang-sorang...tapi yang sakit hati bila kita cakap, yang dengar tu buat deeekkkk je.....!!Agaknya tak gheti bahasalah tu..
Betul cikguyusof, saya dulu-dulu macam cikgu juga, tak minta guna telefon bimbit ni tapi sekarang memang saya tewas juga. Tapi saya sentiasa mendisiplinkan diri kalau bagi ceramah saya silentkan, panggillah engakau saya tak makan jawab atau tinggal dalam kereta.
Memang alat itu sekarang merupakan satu keparluan penting namun janganlah sampai ianya menghilangkan kemesraan dan sosialisasi kita denag persekitaran kita. Atau kita perlu uruskan dia bukan dia mengubah budaya dan sosialisasi kita.
Post a Comment