Monday, November 17, 2008

Tolong tafsirkan mimpi saya...!

Sambil-sambil berehat di rumah, tiba-tiba terdengar bunyi sms. Saya mencapai telefon dan membaca kandungan sms yang dihantar. Bunyinya agak menarik, “ Salam. sir nak tanya boleh tak ? Apa maknanya kalau saya bermimpi memelihara sekandang babi ? Tolong tafsirkan mimpi saya”. Terkejut saya membacanya.

Kadang-kadang saya terfikir, pelajar aku ni melihat aku ni siapa agaknya ?. Siapalah saya untuk mentafsir mimpi kerana saya bukan pakar mimpi. Lagipun saya sendiri dari jenis orang yang tidak pernah kisah kepada mimpi. Mimpi apapun yang saya alami, saya terlalu jarang ambil kisah.

Ziana (bukan nama sebenar) telah tamat bersekolah di sini tiga tahun yang lalu. Masa zaman bersekolah di sini memang dia salah seorang pelajar yang agak baik dengan saya. Tetapi selepas meninggalkan sekolah ini dia jarang menghubungi saya kecuali sekali-sekala bertanya khabar saya. Itu sahaja.

Spontan saya membalas sms Ziana dengan gurauan “ Hah, itu maknanya kamu sedang merindui dan mulai jatuh cinta kepada seseorang”.

Selang beberapa minit Ziana membalas kembali dengan nada yang saya rasa tegas dan serius larasnya “ Saya serius sir, tolonglah, jangan main-main sir”. Bila saya mengamati ayat tersebut, saya sedar budak ini benar-benar serius dengan mimpinya dan dia benar-benar bukan main-main. Saya kenal Ziana dia seorang pelajar yang memang boleh bergurau, seorang yang sangat sporting, tapi saya tahu kali ini tidak.

Saya bagi tahu Ziana secara ikhlas bahawa saya sebenarnya tidak tahu apakah tafsiran mimpi yang Ziana alami. Saya nasihati Ziana jangan terlalu susah hati, mimpi hanya mainan tidur . Mimpi tidak mampu menentukan kehidupan dan masa depan manusia melainkan dengan kehendak Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Walaupun saya boleh menyemak tafsiran mimpi Ziana dalam beberapa buah kitab tafsiran mimpi yang terdapat di perpustakaan peribadi saya tapi saya bukanlah seorang yang layak untuk menafsir mimpi. Lagipun sebagai seorang guru, dalam melayani pelajar yang masih mentah dalam hidup, saya tidak mahu mengajarnya menjadi orang yang tersalah menerima ajaran saya. Saya bimbang pelajar saya menjadi orang yang bersikap negatif terlalu terpengaruh dengan mimpi yang dialami, sehingga memberi implikasi terhadap kehidupan dan masa depannya sedangkan semua urusan kehidupan manusia tidak terkeluar dari ketentuan Ilahi berdasar sebab musababnya.

Mengikut pakar, mimpi adalah sumber informasi yang kaya tentang diri seseorang dan merupakan maklumat di bawah sedar yang bernilai. Mimpi selalunya datang waktu seseorang itu cuba memikir semula atau memikirkan mendalam kehidupannya dan semakin seseorang itu meneroka mimpinya, semakin mimpi itu memberi kefahaman tentang siapa dirinya sebenar, kata Jennifer Parker, seorang Psikologist di Persatuan Kajian Mimpi UK.

Mimpi yang jelas gambarannya, berlaku berulang-ulang selalunya terjadi apabila seseorang itu dalam keadaan tekanan atau peralihan, apabila seseorang itu serius memikirkan kehidupannya seperti sedang mengandung, bercerai, bertukar kerja, terpaksa menghadapi kehilangan orang yang bererti dalam hidup dan mimpi mampu menghubung antara trauma yang pernah dialami dengan keadaan semasa.

Manakala dalam pandangan Islam, umumnya mimpi boleh dibahagi kepada 3 jenis. Pertama, mimpi daripada Allah iaitu mimpi yang baik untuk dunia dan akhirat. Kedua, mimpi daripada syaitan iaitu mimpi yang buruk yang tidak menyenangkan. Ketiga, mimpi yang dipengaruhi keadaan diri seseorang contohnya seseorang yang lapar bermimpi makan makanan yang lazat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu bermimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan” (Hadith riwayat Muslim)

Sebenarnya menurut kajian, bukan orang dewasa sahaja yang bermimpi, bayi yang baru lahir juga bermimpi. Malah 50 peratus dari masa tidur bayi dihabiskan dengan bermimpi. Ia berkurangan menjadi lebih kurang 25 peratus apabila mencecah umur 10 tahun sehingga mencapai usia 60 tahun. Selepas itu kadar kekerapan mimpi akan berkurangan. Bagi orang dewasa, mereka boleh bermimpi antara 3 hingga 5 kali dalam tempoh tidur 5 hingga 8 jam. Setiap kali bermimpi boleh mencapai had masa antara 5 hingga 30 minit.

Demikian serba sedikit tentang mimpi adanya dan semoga Ziana tidak kisahkan sangat mimpi yang dialaminya itu. Dalam sms balas saya, sempat saya mengusik Ziana, lain kali kalau nak tidur, basuh kaki dulu !

No comments: