Monday, November 24, 2008

Hujung minggu yang padat dan mencabar kesihatan

Petang Jumaat saya berlepas ke Kuala Lumpur ditemani isteri. Badan mulai terasa panas, tekak semakin perit dan batuk semakin menjadi-jadi. Singgah di farmasi Bandar Tasik Puteri Rawang membeli ubat yang berkaitan. Makan ubat, tidur. Harap-harap esok kesihatan lebih baik.

Pagi Sabtu badan terasa agak segar, semacam demam sudah hendak kebah. 6.45 pagi terus sahaja bertolak ke Shah Alam melalui lebuhraya Gurtrie. Masya Allah, melalui empat tol, 0.80 sen, 1.40 sen, 1.40 sen dan 1.40 sen, untuk perjalanan dalam tempoh lebih kurang 20 minit sahaja.

Pukul 8.00 pagi masuk dewan kuliah untuk mengikuti Kursus Asas Anotomi, Fisiologi dan CPR yang dikendalikan oleh para pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Sungguh seronok menimba ilmu dalam kursus ini. Walaupun badan semakin demam kerana air-cond terlaku sejuk tetapi ianya tidak menghilangkan fokus kepada ilmu yang disampaikan. Kejap-kejap isteri disebelah meletakkan tangan dileher saya, " panaslah bang !" katanya. Saya hanya mendiamkan diri menahan kesejukan tetapi isteri saya rasa suhu badan saya semakin panas. Kcami boleh terlupa membawa blazer atau apa-apa baju menahan sejuk. Jadual hari itu tamat pukul 5.30 petang untuk bersambung semula pagi esoknya, Ahad.

Demam dan selsema saya masih tidak berubah. Saya menggagahkan diri untuk menghabiskan kursus pada hari Ahad. Pada pukul 1.00 petang kursus tamat dengan makan tengahari. Terus ke masjid negeri solat, berehat dan tidur sekejap di situ. Pukul 3.00 petang kami segera bertolak balik. Oleh kerana kami masih ada urusan di Rawang kami terpaksa balik melalui Lebuh Raya Pantai Timur.

Sesampai di tol Karak saya sudah rasa tidak tahan lagi memandu dan minta isteri saya mengambil alih. Sebenarnya dia sudah lama menawar diri untuk memandu, tapi saya rasa macam tak percaya pula dia memandu, dalam keadaan kenderaan yang cukup sibuk sebelum ini. Dari tol Karak dia memandu sampai ke tol Temerloh. Sebelum masuk tol Temerloh saya bertanya isteri saya "kita hendak lalu ikut mana, Gambang atau Bera ?"

"Dengan abang, ikut manapun boleh", ringkas isteri saya menjawab tetapi satu jawapan yang begitu memotivasikan saya.

Saya mengambil keputusan melalui Bera untuk lebih cepat sampai walaupun waktu itu sudah pukul 06.00 petang. Semakin menghampiri bandar Bera cuaca semakin gelap, gelap hendak malam bersekali dengan gelap hendak hujan. Awan hitam di atas dengan sekali sekala kelihatan dari jauh panahan petir di mana-mana.

Sebaik masuk jalanraya melalui Felda Sebertak menuju ke Bera Selatan dan simpang ke Keratong, hujan yang sangat lebat telah mulai turun mencurah-curah. Azan manghrib dari Pahang fm sudah mula dikumandangkan. Saya membuat keputusan dan niat untuk solat Jamak Takhir maghrib di R & R Muadzam. Pemanduan yang cukup mencabar. Saya tidak mampu memandu lebih dcari 40 kilometer sejam, kadang 30 dan ada ketikanya 20 km sahaja. Terlalu perlahan! Tak nampak apa satu kat depan.

Pada satu selekoh, saya memandu dengan pemanduan 40 km sejam, saya membrekkan kereta saya dengan agak kuat kerana terasa kereta saya meluncur laju, kami cemas terhumban ke dalam longkang jalan. Jantung saya mula berdegup kencang. Waktu inilah saya mula rasa kesilapan, membuat keputusan melalui jalan ini. Tapi kami semakin jauh ke dalam. Bayangkan saya memandu di dalam hujan yang terlalu lebat sepanjang jalan yang garisan putihnya kelabu dan ada tempat yang tiada garisan putih langsung, dari Felda Sebertak hingga lebih kurang ke simpang ke Keratong pada waktu malam di jalanraya yang sempit, gelap dan sunyi . Ya Allah penat sungguh rasanya! Saya terpaksa memberi fokus lebih dari 100% kepada pemanduan.

Sudah 26 tahun saya menjadi pemandu berlesen saya tidak pernah merasai pengalaman mamandu seperti ini. Biasanya kalau keadaan yang seperti ini saya akan mengelak dan tidak akan memulakan perjalanan. Isteri saya hanya mendiamkan diri, sekali sekala mengingatkan saya agar tidak memandu laju dan tanya saya okay atau tidak. Ikutkan daya mahu sahaja saya memberhentikan kereta saya di tepi jalan, tunggu hujan reda. Tetapi waktu-waktu begini jugalah saya teringat cerita filem "Jangan Pandang Belakang". Pernah terfikir di fikiran panik saya mahu pusing balik ke Bandar Bera.

Jalanraya penuh dengan air di kiri kanan. Ada sebuah kereta dari laluan bertentangan kelihatan berhenti ke bahagian tepi jalan. Saya tidak pasti sama ada kereta itu rosak, lekat atau sahaja berhenti kerana tidak mampu memandu. Saya juga tidak pasti sama ada orang itu bersendirian, bersama kawan atau berkeluarga. Saya bayangkan jika orang itu berkeluarga dengan anak kecil dalam kereta! Kalau dia sahaja-sahaja berhenti, saya kagum dengan orang itu kerana berhenti betul-betul tepi hutan dalam keadaan hujan terlalu lebat, ribut petir dan di malam gelap pekat! Kalau saya, minta ampun, saya tidak berhenti kat situ. Jangan Pandang Belakang !!

Jadi pada malam itu, kaedah pemanduan saya ialah tidak perlu cepat, yang penting kereta yang saya pandu selamat, tidak pancit, tidak rosak, tidak terjun lubang dan sentiasa bergerak ke hadapan. Sampai di lebuhraya Segamat-Kuantan keadaan cuaca boleh dikatakan kering kontang. Tidak hujan langsung. Dan isteri saya bersuara " Hee....macam lalu dalam gua !". Saya faham kenapa isteri saya kata begitu.
Kesimpulan yang saya buat, berhati-hatilah kita kerana hujan kini sedang melanda di kawasan-kawasan pedalaman yang akan memenuhkan air sungai di kawasan-kawasan hulu. Dan air sungai yang terlampau banyak ini, tidak mustahil akan melimpah ke kawasan pantai. Banjir akan berlaku bila-bila masa. Jadi bersiap sedia dan berhati-hatilah.

Pemanduan yang dijangka akan lebih cepat sampai telah menjadi lambat hampir 2 jam. Sesampai di rumah, badan terasa panas kembali. Sekali lagi telan ubat dan tidur. 5.45 pagi tadi bangun solat subuh untuk kemudiannya sambung tidur kembali. Waktu ini baru terasa mampu buat posting baru untuk blog. Kepada yang masih sudi menjengah blog saya, terima kasih banyak-banyak !

7 comments:

yusofsipan said...

Alhamdulillah, semua telah selamat sampai... boleh ler buat kenduri selamat ke, dan jemput saya... sediakan lauk udang galah...hehehe. Masih banyak ke udang galah di sg pontian tu?

Anonymous said...

Terima kasih cikguyusof,

Tentang kenduri tu, insya Allah sampainya nanti kita buta kenduri. Tapi kerana perjalanan itulah tapi mungkin kerana lain kot...
Udang galah ? Kat sungai pontian ni udang dah kurang cikgu tapi galah banyak. Kat sungai rompin masih banyak.Banyak-banyak pun tak sebanyak dulu. Mana nak banyak cikgu hari-hari orang cari dia, lama-lama habis juga ! Harga lebih kurang antara rm30- rm38 sekilo tengok gred lah.

Anonymous said...

Ayat kat atas tu pun dah salah. Yang betul...."buat kenduri" dah jadi buta kenduri pula.

Ayat yang betul "Tapi tak lah kerana perjalanan itu, mungkin kerana lainlah kot..,"

Beginilah orang masih ting tong !

Anonymous said...

Saya pernah melalui detik pemanduan yang begitu mencabar seperti itu di tahun 2006. Ketika itu di musim tengkujuh hujung November saya dlm perjalanan pulang dari rumah Bonda Sg Choh Rawang ke Kuantan. Sepanjang laluan saya di penurunan jalan Genting sebanyak 6 buah kereta tertonggeng dalam longkang di tepi jalan, antaranya Kancil dan Perodua Kembara. Saya memandu dalam keadaan cemas, berdebar dan tumpuan 100%. Sepanjang jalan hujan dan selama 3 jam juga wiper tidak berhenti.Memang memenatkan.

Anonymous said...

Serisuryati,

Benar, memandu dalam keadaan yang macam itu sangat memenatkan.
Malam itu bukan kali pertama saya melalui laluan itu tetapi kali pertama melalui laluan itu dalam keadaan hujan yang terlalu lebat sepanjang jalan dengan ribu dan petir sekali. Itulah yang sangat merisaukan saya dengan fikiran yang bukan silih berganti datang sewaktu sedang memandu. Maklumkah jalan yang sunyi dan tiada kenderaan lain yang lalu. Tapi bila difikirkan kembali ianya bagus sebagai menambah pengalaman memandu.

Anonymous said...

Cikgu...

Benar sekali pengalaman memandu dalam hujan lebat memang menakutkan. Sy teringat peristiwa hantar org rumah ke Durian Daun...hujan selebatnya di Lebuhraya KL-Seremban.

Terpaksa pasang lampu kecemasan dan memandu dengan harapan org belakang nampak. Lepas 10 minit memandu cuaca kering. Maknanya hujan setempat sahaja tapi menakutkan tak nampak apa.

Kemudian masa balik hujan lebat lagi dah la bawak anak kecil merengek minta pangku. Sy terpaksa pangku sambil memandu. Bila diingat kembali sy tahu itu tindakan yg paling bahaya.

Kena pula sekarang dah bermastautin di negara yg sgt ketat undang undang jalanraya, mesti ada talipinggang atau tempat duduk utk budak dan kereta tak boleh lebih muatan baru la terasa bagusnya undang undang pencegahan kemalangan ini.

Apapun sy pernah hitchhike sepanjang highway muazam ke kuantan dan ada kereta dan lori berenti bagi tumpang dari Selancar. Agak menakutkan juga kalau jalan dah jauh takder org berhenti.

Zen

Anonymous said...

Betul zen memandu dalam hujan yang lebat sangat menakutkan. Kita memang bimbang kereta belakang tak nampak kita. Kita bimbang juga jika terpaksa brek kecemasan, kereta belakang terpaksa brek sama. Kalau dia mencengkam okay, kalau tidak, alamatnya belakang kereta kita disapunya.Kereta kecik kat belakang tak fobia sangat, bayangkan kalau lori atau bas, masya Allah, ngeri ! Pada hari itu saya membuat keputusan yang silap kerana hendak cepat sampai, ambil keputusan melalui jalan yang lebih dekat kononya tapi cukup sunyi, penuh dengan sawit dan hutan tebal kiri kanan jalan.Sudahnya bkan makin cepat tapi makin lambat sampai.
Pengajaran yang baik yang saya dapat ialah jika musim cuaca yang tidak menentu lebih baik memilih jalan yang selamat dan ada kemudahan minta bantuan atau berhenti, maksudnya jika kita mahu berhentipun kita akan rasa selamat.
Terima kasih zen kerana bertandang ke blog saya.