Sunday, December 26, 2010

Piala Suzuki AFF akhir pertama: Malaysia menang 3-0 ke atas Indonesia


Sebentar tadi pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia telah mengalahkan Indonesia 3-0 dalam perlawanan pertama peringkat akhir Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil. Gol Malaysia dijaringkan oleh Safee Sali dalam minit ke 60 dan 72, manakala Ashari Shamsudin menjaringkan gol dalam minit ke 67. Kemenangan selesa ini adalah bekalan yang kukuh untuk menghadapi Indonesia baki kedua di Indonesia pada 29 Disember ini.

Namun demikian pemain-pemain Malaysia belum lagi boleh untuk merasa selesa kerana apa-apa kemungkinan boleh berlaku di tempat lawan.

Dalam ulasan aku dalam entry sebelum ini, aku menzahirkan pandangan aku bahawa jika pasukan Malaysia ini berlawan dengan Indonesia tadi, bermain seperti mana mereka bermain menentang Vietnam tempoh hari, pasukan Malaysia akan kalah. Nampaknya Rajagopal sebagai Ketua Jurulatih membuktikan dirinya seorang jurulatih yang cekap kerana telah dapat melihat kelemahan pemain-pemain Malaysia dan telah mengatasinya dengan baik.

Kalau ketika menentang Vietnam pemain-pemain midfield Malaysia tenggelam dalam gerakan pemain tengah pasukan lawan tetapi kali ini pemain-pemain midfield Malaysia benar-benar dominan berbanding midfield Indonesia dan menguasai perancangan serangan terutama di separuh masa kedua. Dan kawalan serta hantaran bola para pemain Malaysia pada malam ini cukup baik walaupun masih ada yang perlu dibaiki seperti tenaga hantaran bola yang ada kalanya masih lemah.

Beberapa kelemahan yang kelihatan pada malam ini ialah pemain Malaysia tidak prihatin dengan pemain lawan yang datang dari belakang. Terlalu lama menyimpan bola, lambat membuat hantaran bola dirampas dari belakang. Beberapa kali berlaku dalam perlawanan sebentar tadi.

Aku ingin menyatakan, jika inilah cara (seperti permainan seperti malam in) pemain Malaysia bermain kita pasti akan dapat melihat sebuah pasukan bolasepak negara yang lebih mantap bagi mengembali zaman kegemilangan bolasepak seperti di zaman Wan Zawawi, zaman Mokhtar Dahari dan zaman Zainal Abidin Hassan.

Pemain-pemain pasukan ini rata-rata masih muda, berstamina, rajin, aku melihat ada disiplin bermain dan sudah nampak ada unsur ketenangan. Masalahnya sekarang apakah pemain-pemain pasukan ini konsisten permainannya? Aku bimbang pasukan ini akan kembali mempunyai permainan yang tidak konsisten dan lemah mental apabila berada dalam pertandingan yang lebih berprestij.

Tahniah pasukan Malaysia Piala Suzuki AFF, namun perlu diingat perjalanan anda untuk membawa balik Piala Suzuki ke tanah air masih berliku kerana anda akan bermain di Indonesia !

Saturday, December 25, 2010

Cuti akhir tahun sudah di penghujung, 27 hb Disember mesyuarat pertama warga Seri Rompin bagi Sesi 2011.

Cuti hujung tahun sudah hampir ke penghujungnya. Seperti guru-guru lain aku juga menunggu-nunggu hari bermulanya mesyuarat awal tahun pada minggu hadapan. Di situ nanti banyak tugas-tugas bagi sesi persekolahan 2011 diterima untuk dilaksanakan.

Bagi SMK Seri Rompin pada 27 hb Disember ini (hari Isnin) akan bermula Mesyuarat Awal Tahun dan Mesyuarat Kurikulum pertama untuk sesi 2011. Pada 28 hb Disember pula (hari Selasa) akan berlangsung Mesyuarat pertama HEM dan Kokurikulum. Sudah pasti rakan-rakan sejawat yang masih berada di kampung yang jauh dari Kuala Rompin, sudah pun berjujuk pulang atau mungkin esok akan memulakan perjalan masing-masing. Nasihat aku kepada sahabat-sahabat yang berarak pulang ke Seri Rompin, berhati-hati memandu!

Hari esok aku juga akan berarak pulang ke Romp. dari Kuala Lumpur. Aku sedang berada di Kuala Lumpur kerana menghantar anak dan menantu yang akan pulang ke Sabah. Walaupun hari ini hari natal, tadi jalan menuju ke Kuala Lumpur tidaklah sesibuk mana.

Dalam perjalanan tadi aku bersama keluarga sempat singgah di Hentian Sungai Buluh. Pantang tengok buku yang terjual aku pasti akan membeli satu buku terbaru. Tadi aku membeli buku bertajuk "Kursus Kesempurnaan Ibadat Hari dan Umrah" tulisan Dato Hj Md Daud bin Che Ngah mantan Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji. Buku tersebut cetakan tahun 2010. Hah..baru kelmarin aku singgah kedai buku di Kuantan, membeli 2 buah buku tentang laman Web dan Blog dan tentang kisah Presiden Iran TYT Dr Mahmud Ahmadinejad. Nampaknya aku agak terkejar-kejar untuk menghabiskan bacaan ketiga-tiga buku tersebut sebelum sekolah dibuka.

Bagi warga Seri Rompin termasuk aku sudah pasti minggu hadapan merupakan minggu yang sibuk untuk membuat persiapan bagi pendaftaran para pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di samping menerima para pelajar yang sedia ada untuk masuk ke asrama pada sebelah petang nya pada 2hb Januari 2011 (Ahad) itu.

Semoga tahun baru sesi 2011 akan terus menguatkan semangat kita untuk lebih gigih dan bertambah cemerlang dalam setiap tugas kita dalam mendidik para pelajar kita di Seri Rompin. Selamat kembali bertugas.

Saturday, December 18, 2010

Pasukan bolasepak Malaysia Piala Suzuki banyak kelemahan

Seperti orang lain, aku menunggu untuk menyaksikan perlawanan bolasepak peringkat separuh akhir kedua Piala Suzuki antara Malaysia dan Vietnam tadi. Malaysia menang dengan aggreget 2-0 walaupun perlawanan tadi berkesudahan seri tanpa jaringan.

Memang mudah memberi pandangan, teguran dan kritikan dari bermain tetapi perlu diingat bahawa sesuatu kejayaan yang konsisten dan cemerlang sentiasa didorong oleh kritikan, pandangan dan teguran.

Tak terkecuali diri aku, aku mempunyai pandangan dan kritikan tersendiri terhadap pasukan bolasepak negara Piala Suzuki kali ini. Sebelum mengkritik, aku juga ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan ini kerana telah berjaya memasuki pertandingan akhir. Pasukan muda ini perlu terus diasuh untuk lebih mantap dan berkualiti sehingga mencapai tahap kualiti pasukan dunia.

Setakat yang aku mampu nilai pasukan ini belum lagi mencapai tahap Asia apatah lagi tahap dunia. Tahap Asia Tenggara mungkin, itupun tidak konsisten, sentiasa turun naik! Jadi kesimpulannya pasukan bolasepak Malaysia Piala Suzuki ini adalah berada hanya di tahap Asia Tenggara. Itu sahaja!

Namun demikian, apa yang aku perhatikan pasukan ini boleh dibentuk untuk mencapai tahap yang lebih tinggi jika terus diasuh dengan kemahiran dan stamina yang lebih baik dan penuh disiplin. Potensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi memang ada cuma para pemain perlu bersikap lebih profesional dalam soal sikap, latihan dan sewaktu bermain.

Pada pemerhatian aku pasukan ini mempunyai penjaga gol (Fahmi) yang baik, cekap dan penuh disiplin. Begitu juga para pemain pertahanan yang kukuh bertahan. Mereka semua rajin dan kelihatan bertenaga.

Namun demikian bermain cara bertahan semata-mata cukup membimbangkan dan hantaran bola yang entah ke mana-mana dan kelam-kabut. Dalam dua pelawanan menentang Vietnam banyak bola clearance pemain-pemian pertahanan singgah ke kaki pemain lawan. Nasib baik pemain-pemain Vietnam bukan penyerang hebat seperti mana pemain Indonesia. Jika bermain bertahan seperti itu menentang pasukan kuat, pasukan Malaysia ini akan tertekan dan 'hanyut'.

Dalam usaha menyelamatkan pintu gol, kaki pemain-pemain Malaysia aku anggap tidak bermata. Bola yang ditendang kembali dari pintu golnya, bukan ke tempat selamat malah sering bola yang konon cuba dikeluarkan dari kawasan bahaya itu, mendatangkan bahaya yang seterusnya pula. Bahaya yang bertubi-tubi! Apalah bermain seperti ini! Kalau beginilah cara mengeluarkan bola dari kawasan bahaya di hadapan pintu gol sendiri ketika menetang pasukan yang mempunyai penyerang yang hebat, pasukan Malaysia ini pasti akan balik awal. Ingat pasukan ini kalah dengan Indonesia 4-1 di perlawanan pertama !!

Kelemahan kedua pasukan ini yang perlu diatasi segera sebelum bersaing di pertandingan akhir nanti ialah kelemahan pemain-pemain midfield. Pemain-pemain tengah Malaysia tidak berpengaruh, tidak dominan dan gagal menguasai permainan. Sering tenggelam dan hilang entah ke mana berbanding pemain-pemain tengah Vietnam yang sibuk menguasai dan merancang serangan. Kerana kelemahan ini, bola sentiasa tidak sampai kepada penyerang. Shafee Sali adalah pemain penyerang yang baik dan mempunyai skil yang boleh dipuji tetapi penyerang mana mampu menjaringkan gol kalau dia sendiri turun ambil bola di bawah dan dia sendiri juga terpaksa bawa bola ke atas untuk menyerang? 'Mati' kalau macam tu !!! Kerana hilang dominasi pemain-pemain tengah, aku cukup kesian kepada penyerang berbakat itu tadi.

Kelemahan ketiga pemain-pemain Malaysia, mereka cukup lemah dalam membuat hantaran. Sama ada tidak tepat kepada rakan-rakan atau hantaran yang meleleh yang menggagalkan peluang mendapat jaringan.

Kesimpulannya tugas Rajagopal masih banyak dan panjang. Pasukan ini mempunyai banyak kelemahan dalam kemahiran mengawal bola terutama bola tinggi dan bola melantun. Pasukan ini juga lemah dari segi mental sewaktu berebut bola, membuat hantaran sesama sendiri, sering membuat tendangan gopoh, membazir dan tersasar. Dan paling utama pemain-pemain midfield pasukan ini tidakberkemahiran tinggi dalam mengawal, menguasai dan membuat hantaran bola yang tepat dan segera.

Tidak keterlaluan jika aku menjangkakan jika permainan seperti menentang Vietnam tadi diteruskan dalam pertandingan akhir nanti, Malaysia akan tewas! Apalah erti bermain dalam pertandingan akhir, jika bermain untuk tewas?



Thursday, December 16, 2010

Bencana Akhir Zaman: Petikan dari Armagedon 2012 oleh Muhamad Alexander .


Pelbagai contoh ramalan kiamat ...... jelas membuktikan manusia tidak mampu mengetahui tarikh hari kiamat secara tepat. Hanya Allah sahaja yang mengetahui saat kiamat datang melanda. Bahkan Nabi Muhammad selaku Utusan Tuhan terakhir sendiri tidak mengetahuinya. Baginda hanya diberitahu tentang tanda-tanda kiamat sahaja.....

........Dinosaur pernah pupus akibat dihentam meteor 65 juta tahun yang lampau. Adalah tidak mustahil komet mahupun asteroid dapat mendatangkan malapetaka kepada bumi. Malah Ensiklopedia Indonesia mancatatkan pada 65 juta tahun yang lampau, sebuah komet raksaksa (asteroid) menghentam bumi, lalu menerbangkan begitu banyak debu, lantas mengakibatkan langit menjadi gelap selama berbulan-bulan. Suhu kemudiannya menjunam lalu menyebabkan kehancuran pelbagai makhluk termasuk dinosaur. Itu teori seorang pakar fizik yang bernama Luis Alvarez.

........Dari segi peredaran masa, kali terakhir bumi dilanda kemusnahan besar-besaran adalah lebih daripada 30 juta tahun yang lalu. Ini bermakna bumi kini berada di bahagian yang paling padat dengan bongkahan asteroid. Jadi, kemusnahan besar-besaran yang seterusnya mungkin membabitkan kita. Berdasarkan kajian ini, tidak mustahil kemusnahan pada skala besar akan berlaku dalam masa yang terdekat.

.......NASA mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan kononnya planet Nibiru atau Planet X sedang menuju ke Bumi hanya suatu pembohongan di alam siber. Menurut mereka lagi, jika ancaman hentaman planet itu wujud, para ahli astronomi pasti tahu mengenainya sekurang-kurangnya 10 tahun yang lepas. Berkaitan dengan isu hentaman meteor pada tahun 2012, NASA menjawab bumi sentiasa menghadapi ancaman hentaman komet dan asteroid, namun dalam saziz yang kecil. NASA meneruskan lagi dengan menyatakan memang pernah ada hentaman meteor besar, yang mana ia terjadi 65 juta tahun yang lampau. Hentaman ini antara faktor kepupusan dinosaur.

.......Berdasarkan senarai asteroid yang dihasilkan dalam program NEO (Near Earth Obejct), NASA juga menegaskan tidak ada ancaman asteroid pada tahun 2012.

Namun bencana akhir zaman tetap akan berlaku:

"Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap yang nyata yang meliputi seluruh manusia. Inilah azab yang pedih ( Surah ad-Dukhan, ayat 10-11)

Saturday, December 11, 2010

Sekali sekali ber-INFO.....

Kepantasan 64 km/j:

Dengan larian melebihi 43 km/j, ternyata Usain Bolt merupakan manusia terpantas di muka bumi ini. Namun demikian Usain bukanlah merupakan yang paling laju bebanding dengan sesetengah haiwan. Misalnya Kanggaru berupaya berlari sepantas 56 km/j. Kajian mendakwa adalah mustahil manusia boleh berlari sehingga 64 km/j kerana yang mungkin menghalang bukan daya tolakan ke tanah untuk melonjak ke depan tetapi masalah bagaimana serat otot boleh berkontraksi antara larian.

Tindak balas 25o milisaat:

Adakah kita tahu berapa laju otak wanita memproses jawapan 'tidak' yang diberikan oleh suami apabila permintaan atau ajakannya ditolak? Sekelip mata atau 250 milisaat, itulah tahap kelajuannya. Wanita beruapaya memikirkan pelbagai perkara sebelum mengetahui bagaimana respin emosi mereka mengenai perkara terbabit. Dipercayai itulah sebabnya wanita lebih sensitif dan memberikan respon emosi lebih kuat terhadap perkara peribadi berbanding lelaki.

30 minit sehari untuk jantung:

Hari ini banyak berlaku kejadian mati mengejut kerana antaranya komplikasi jantung. Menurut pakar kesihatan, bersenam selama 30 minit setiap hari boleh menyelamatkan nyawa anda dari serangan penyakit jantung. Berlari atau berjalan laju selama tempoh 30 minit baik untuk jantung.

Wednesday, December 08, 2010

Detik-detik masa...

Walaupun dalam masa cuti sekolah yang panjang ini, nampaknya semakin menghampiri ke penghujung tahun 2010, semakin terasa banyak yang perlu dilakukan.

Sebaik bermula cuti aku begitu sibuk dengan persediaan urusan perkahwinan anak sulong. Hingga ke hari langsung kerja begitu banyak sehingga meletihkan seluruh anggota badan. Selepas kenduri pun banyak juga kerja yang perlu disiapkan seperti kerja-kerja memulangkan barang-barang yang dipinjam dan mengemas segalanya.

Kini semua urusan kenduri telah beres tetapi kau tetap sibuk berusaha menyiapkan tugasan pembelajaran ku yang perlu aku hantar seminggu lagi dan satu lagi menjelang akhir tahun ini. Jari -jemari tanganku ini kadang-kadang terasa bagaikan nak kejang kerana setiap hari aku kena mengetuk key board laptop ini. Aku mengejar masa nampaknya. Terlalu banyak date line dihadapan aku.

Dalam kesibukan menyiapkan tugasan belajar aku masih dijemput oleh Pejabat Agama Islam daerah untuk menyampaikan ceramah dalam Kursus Peningkatan Profesional Guru-guru KAFA daerah ini pada 14hb dan 16hb Disember minggu depan. Dua slot telah diamanahkan untuk disampaikan. Satu berkenaan Padagogi dan satu lagi berkenaan Pengurusan Disiplin.

Pada 25 hb akan ke KLIA sekali lagi menghantar anak aku dan isterinya yang akan berangkat pulang ke Sabah untuk meneruskan perkhidmatan di sana dalam suasana baru setelah menjadi ketua keluarga.

Di samping itu aku perlu membuat persediaan untuk urusan kemasukkan pelajar baru sesi 2011. Jadi setiap hari aku juga perlu hadir ke sekolah untuk membuat persiapan yang berkaitan.

Dalam kesibukan itu aku kini sedang membaca buku baru aku, yang berjodol "ARMEGEDON 2012" tulisan Muhamad Alexander. Aku membaca buku itu untuk mengetahui apa pula yang di tulis oleh penulis berkenaan. Tidak keterlaluan aku katakan aku terasa kagum dengan keupayaan penulis ini dalam menzahirkan kajian-kajian ilmiahnya. Kita perlu mempunyai ramai penulis-penulis yang seperti ini bagi menggambarkan kehebatan pemikiran dan kajian anak bangsa kita. Soalnya, adakah kita ?

Sunday, December 05, 2010

Renungan: Macam mana nak selesaikan masalah ini?



Jumlah anak luar nikah bagi tempoh 1999-2003 ialah 70,430 bayi, setahun lebih daripada 14,000 anak luar nikah dilahirkan.

Manakala bagi tempoh yang sama bagi tahun 2005-2009 kelahiran anak luar nikah meningkat secara mendadak iaitu 214,033 bayi, ini bererti dalam tempoh setahun anak luar nikah ialah lebih daripada 40,000. Bayangkan bertapa berteruknya gejala ini jika tidak dibendung dan dicegah pulih.

Puncanya adalah hasil pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan khususnya para remaja dan orang muda, pakaian yang mendedahkan aurat, hiburan yang menggila, sukan yang tidak ada batasan akhlak dan lain-lain.

Macam mana nak selesaikan masalah ini?

Wednesday, December 01, 2010

Cadangan agar remaja kahwin awal ! Amacam?

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menggesa remaja kahwin seawal usia 16 tahun manakala lelaki pula pada usia 20 tahun.

Menurut Ahmadinejad, gejala kahwin lambat di mana kebanyakan lelaki pada hari ini berkahwin pada usia purata 26 tahun manakala wanita pada usia 24 tahun, tidak harus berlaku.

Manakala Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasharuddin Tantawi pernah mencadangkan nikah gantung.

Semua pandangan tersebut ada alasan munasabah masing-masing dalam menghadapi kerenah kebejatan sosial yang mengganas di zaman moden ini.

Sudah pasti pandangan-pandangan tersebut mengundang kontraversi kepada yang tidak bersetuju dan juga pasti bertembung dengan kepekatan amalan budaya masyarakat setempat terutama dari sudut 'wang hantaran' yang begitu tinggi yang diletakkan oleh ibubapa anak-anak gadis pada hari ini. Namun terpulang kepada masing-masing !!

Amacam remaja, setuju tak ? Mak ayah? Setuju? Heh....macam tak setuju je !

Tuesday, November 23, 2010

Kepada Cikgu Wahab dan Cikgu Faris Johan jemput pada 28 November 2010 ke C 18 Kuala Pontian.

Mahu menguruskan majlis sambut menantu anak sulong, aku sangka mudah. Rupanya tidak.... penatnya boleh tahan! Banyak perkara yang perlu aku lakukan bersama isteri ,adik beradik dan anak-anak. Begitulah berada di kampung tradisional yang masih melakukan kenduri-kendara secara gotong royong, perlu diurus dengan baik dan cermat.

Bangsal memasak perlu dibina. Tungku dapur perlu disiapkan. Kayu apipun terpaksa dicari. Pinggan mangkuk dah mula terpaksa diangkut disusun. Mujur juga saudara mara sepupu sepapat banyak membantu dalam kerja-kerja di peringkat awal ini.

Peringkat menjemput untuk bergotong-royong lagilah sensitif. Perlu jemput awal kalau tidak ada yang berkecil hati atau kita akan dilasernya kita! Tapi dia datang juga! Nak menjemput bapa dan mak saudara pun kena awal, kalau tidak ada yang merajuk tak nak datang ! Jemputan pula tak boleh guna kad tapi mesti datang sendiri ke rumah. Barang-barang untuk dimasak perlu dibeli. Kerbau perlu ditangkap! Tukang-tulang lapah perlu dipanggil! Tukang masak mesti ditempah awal!

Ada saudara mara aku yang terlambat buat jemputan, telah mula merajuk dan mula mengadu kepada mak-mak dan bapa-bapa saudara. Tahan telinga sahajalah!! Pagi tadi aku telefon seorang mak saudara sepupu. Dengan suara kuat " Amboi.. ngko pakai telefon je ye ! Tapi tak pe kerana ngko ingat aku datang. Datang makan je ?" Huh soalan dia ! "Datanglah awal sehari boleh tolong-tolong! Tak ada mak der banyak yang tak jadi", kata aku bagai memujuk!

"Ha...aku ingat nak jemput makan je. Aku datang makan je !" warning dia kepada aku! Susah bercending dengan mak-mak saudara ni. Bapak-bapak saudara pun boleh tahan jugak!!

Kawan-kawan okay, pakai sms pun dah cukup, "janji ngko jemput aku," kata mereka. Kalau tak jemput akan kena belasah juga nanti aku, kalau terjumpa di mana-mana!

Kepada blogger sifu aku cikgu wahab, aku masih belum menjemputnya. Nombor telefon dia dah hilang sebab sim kad rosak. Ini pun nak boleh sakit juga, apa pula nanti kata cikgu wahab, " sazili tak jemput pun aku ". Cikgu Wahab, ini jemputan istimewa, kalau terbaca entry ini, kira jemputan ini sah. Cikgu Wahab sekeluarga jemputlah datang pada 28 November 2010. Begitu juga dengan Cikgu Faris Johan kalau terbaca blog ini jemput pada tarikh tersebut. Jamuan 12.00-04.30 petang. Kepada bloggers yang ada dalam blog aku ini juga semuanya aku jemput kalau kebetulan ada di Rompin atau memang purposely nak datang... jemputlah.

Begitulah aku, dalam kelelahan sekarang, ada yang sempat hantar kad, ada yang pakai sms sahaja. Di samping banyak lagi kerja-kerja persiapan yang perlu dilakukan!

Tuesday, November 16, 2010

Selamat Hari Raya Korban

Mengikut takwim hijriah esok 10 Zulhijah. Tarikh itu adalah tarikh dirayakan Aidil Adha sebagai tanda memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail sebagai bukti mentaati apa sahaja perintah Allah SWT.

Sambutan Aidil Adha bagi umat Islam sudah pasti mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Antaranya ia merupakan simbol perpaduan umat Islam kerana pada setiap tahun seluruh umat Islam dari seluruh pelosok dunia akan berhimpun di Mekah untuk menunaikan ibadat haji.

Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.

Sesungguhnya perayaan bagi umat Islam bukan semata-mata untuk berhibur dan berseronok namun ia juga merupa satu bentuk ibadat yang dituntut secara syarie dalam amalan beragama.

Jika semasa merayakan Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, semasa sambutan Aidiladha kita dilarang berpuasa selama empat hari.

Di Aidilfitri bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi di Aidil Adha dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya.

Diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu.
Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Haj, ayat 37)

Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi mereka yang kaya.

Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha. Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah.

Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa."
(Surah Al-Maidah, ayat 27)

Friday, November 12, 2010

Tahniah 48327 pelajar tapi...

Tahniah! 48327 orang calon UPSR telah mendapat 5A dalam semua mata pelajaran. Satu jumlah yang ramai. Satu peningkatan! Satu kebanggaan! Satu kepuasan! Namun apakah itu membuktikan tahap penguasaan pelajaran pelajar-pelajar tersebut terhadap ilmu dan kemahirannya pada peringkat itu telah mencapai kecemerlangan yang sebenar ?

Persoalan di atas bukan mahu menafikan kebolehan rakan guru kita melaksanakan tugas mereka dalam sistem pendidikan yang ada. Namun ia lebih berlegar kepada masalah sistem pendidikan dan penilaian kita. Contohnya apabila pelajar UPSR mendapat A dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, pelajar tersebut sepatutnya mampu berbahasa Inggeris separuh fasih atau fasih? Jika tidak, kenapa dengan mendapat A pun mereka tidak mampu? Jadi untuk apa A itu ?

Kalau begitu tidak perlulah dapat A!

Tidak, tidaklah dimaksudkan begitu! A itu perlu, tetapi biarlah A itu benar-benar memberi illustrasi yang sebenar. Bukankah lebih baik pelajar yang mendapat A itu adalah pelajar yang benar-benar dibentuk dan terbukti menjadi pelajar yang fasih berbahasa Inggeris! Begitu juga dengan subjek-subjek lain.

48327 mendapat 5A dalam semua mata pelajaran. Bagaimana pula dengan 434007 orang pelajar yang bukan di tahap 5A? Pelajar-pelajar ini juga perlu diraikan perjalanan masa depan mereka di alam persekolahan.

Jika tidak, dari kelompok inilah akan lahir perokok tegar, berpeleseran, membuat maksiat, pelajar berambut fancy, pelajar yang akan bergelandangan di pelbagai pusat membeli belah, mat rempit yang KPM dulu pernah gelar sebagai pelesit rempit dan macam-macam.

Apakah perancangan yang sedang dibuat untuk menyelamatkan 434007 ini dari terjerumus ke kancah permasalahan sosial apabila mereka mula menjengah alam remaja yang penuh pancaroba di tahun hadapan? Atau biarkanlah mereka kerana perubahan remaja memang begitu ! Atau politik kita memang memerlukan manusia yang mudah dicucuk hidung. Entah !

Thursday, November 11, 2010

Manusia memang macam-macam

Perangai manusia memang aneh.

Ada yang suka memberi sokongan , ada yang suka menghentam orang, ada yang suka melagakan , ada yang suka berego-egoan, ada yang suka menyindir-nyindir, ada yang suka kata mengatakan, ada yang suka umpat-mengumpat, ada yang suka tunjuk kepandaian.

Ada juga yang suka menegur orang tapi baling batu sembunyi tangan, ada yang suka menjadi batu api menghasut orang, ada yang suka menipu seharian, ada yang suka hentam belakang-belakang ( bukan liwat) ,ada yang bercakap banyak tapi kerja tak buat, ada yang suka tidak suka orang lain senang. Ada juga yang senang tengok orang lain tak senang!

Manusia memang macam-macam!

Monday, November 08, 2010

Penuh sindiran yang menarik


Dulu aku pernah bersembang dengan gurubesar aku sewaktu aku mengajar di sekolah rendah. Dalam perbualan kami banyak hal yang kami borakkan, antaranya tentang ragam hidup manusia. Perkara dan kerenah manusia berpolitik antara yang menjadi fokus utama perbualan kami. Betapa katanya manusia hari ini semakin hilang integriti dan nilai dalam berpolitik sehingga politik itu sendiri terfitnah, " politik itu kotor!" Begitulah ungkapan perlahan bekas gurubesar aku itu.

Kini gurubesar aku itu telah bersara dari perkhidmatan, banyaklah dia ke kebun dan berehat bersama duduk bangun tatih cucu-cucunya.

Sedang aku mengingati dia, aku teringat pesannya kepada aku iaitu agar aku membaca sebuah buku lama yang sukar diperolehi sekarang ini. Katanya buku itu sangat sesuai untuk dibaca dan dihadamkan oleh aku. Dia beritahu agar aku mencari buku ini yang berjodol "Animal Farm".

Banyak jugalah kedai buku yang aku singgah selama ini untuk mencari buku itu tapi tetapi tidak aku temui. Suatu hari sewaktu aku merayau dalam internet aku menaip Animal Farm. Tak aku sangka keluar isi kandungan buku tersebut. Apa lagi akupun cetak untuk bacaan segera aku.

Memang buku lama karya George Orwell itu menarik ceritanya. Walaupun watak-watak utama dalam cerita itu adalah binatang namun ia memberi sindirian dan pengajaran kepada yang mahu memikirkan akan betapa hodhnya perangai manusia jika mengamalkan politik mecheavelli iaitu "matlamat menghalalkan cara".

Seronok membaca buku itu sambil memikirkan apa yang sedang berlaku hari ini memang tergambar jelas dalam buku yang diterbitkan pada tahun 1945 itu. Nak tahu carilah buku itu dan bacalah sendiri...kepada mereka yang suka membacalah !

Wednesday, October 27, 2010

Pergerakan seminggu dua ini...

Sekali lagi penulisan di blog ini terganggu agak lama. Banyak masalah yang berlaku khususnya berkaitan dengan liputan internet di kawasan ini yang sangat daif dan miskin walaupun negara di katakan semakin maju.

Semalam saya baru balik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor kerana menghantar saudara yang akan berangkat menunai haji ke Mekah. Ramai orang di lapangan terbang itu. Ada yang muda, ada yang bertongkat sambil berjalan terkejar-ketar dipimpin waris dan ada yang disorong di atas "wheel chair" mahu menunai haji ke Mekah. Alhamdulillah semoga semua dapat menunaikan haji dengan tenang dan sabar.

Minggu lepas saya dijemput ke SK Melati untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar Tahun Enam sebagai persediaan mengharungi alam sekolah menengah pada tahun hadapan. Saya juga diminta mewakil Encik Azmee Muhamad Ketua Unit HEM PPD Rompin, ke program Kem Bersepadu Kokurikum di SK Pontian.

Sebelum itu saya dijemput ke SMT Sultan Haji Ahmad Shah tetapi terpaksa menolak kerana ada program lain di Kuantan. Saya juga terpaksa menolak jemputan khairiah surau Taman Wawasan kerana ada program lain yang lebih dahulu menjemput saya.

Pada minggu ini saya akan berada di SK Keratong 8 untuk program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi guru-guru dan kakitangan sekolah untuk bercakap tajuk, " Peranan Guru-guru dan Kakitangan Sekolah Mengikut Perspektif Islam". Selepas itu saya dijemput ke SMK Rompin untuk program terakhir calon-calon SPM dan STPM di dewan besar sekolah berkenaan.

Hujung minggu ini saya akan berada di Impiana Resort Cerating Kuantan dan akan pulang ke pada 31 Oktober 2010.

Monday, October 18, 2010

Kos pemeriksaan kesihatan menyeluruh.

Setelah beberapa kali menerima panggilan telefon dari pihak Kumpulan Specialist Johor (KSJ) dari Hospital Pakar Kuantan Alor Akar mempelawa aku untuk hadir ke satu program yang mereka anjurkan, maka hadirlah aku bersama isteri.

Kami sampai di Hotel Seri Malaysia Tanjung Gemuk lebih kurang pukul 9.45 pagi. Kami terus ke dewan Mentara. Sebaik sampai kami dapati kami antara yang terawal. Tidak berapa lama selepas itu mulai kelihatan seorang demi seorang para jemputan dengan pasangan masing-masing yang hadir. Rata-rata cikgu dan ada juga dari kalangan ahli perniagaan.

Terfikir aku, banyakkah penyakit para cikgu ini atau para cikgu sudah mula memiliki pemikiran mengikut paradigma baru ia itu "mencegah lebih baik dari merawat". Kalau begitu alhamdulillah!

Dalam program itu kami diberi tahu untuk pemeriksaan kesihatan secara menyuluruh iaitu 110 penyakit seseorang itu perlu mempunyai wang sebanyak lebih kurang RM 64000 tidak termasuk bayaran kepakaran dan seumpamanya. RM 64000 ? Bayangkan kalau 4 kali dalam hidup buat pemeriksaan kesihatan seumpama itu. Termenung jugak aku mendengarnya !

Katanya pihak hospital kerajaan tidak menyediakan pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh seperti itu kerana kos yang begitu tinggi itu. Aku tidak tahu hal itu kerana setakat hidup ini baru sekali aku buat pemeriksaan kesihatan itupun bukan kengkap di klinik Desa Rompin. Dah lama iaitu beberapa tahun yang lalu....

Untuk pemeriksaan kesihatan yang lengkap seperti itu mampukah kakitangan kerajaan atau rakyat umum jika kosnya bernilai sekitar RM64000 ? Entahlah..mungkin ada namun mungkin tidaklah ramai.

Dalam program itu pihak KSJ telah menawarkan satu pakej pemeriksaan kesihatan yang agak menarik untuk 110 penyakit namun keputusan untuk menyertainya tetap keputusan kita semua. Aku hanya hendak ceritakan kos pemeriksaan kesihatan untuk 110 penyakit adalah sekitar RM64000 belum masuk kos kepakaran dan seumpamanya. Itu sahaja ! Maka tidak mampulah aku membuat pemeriksaan kesihatan mengikut harga pasaran !!!

Wednesday, October 13, 2010

Kini aku tengok bas Ekpress pun aku dah takut...kecut perut !

Memang ajal maut di tangan Tuhan tetapi Tuhan tidak suruh menempah maut percuma!

Sudah berlaku kemalangan hingga mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan lebih 40 orang barulah sedar kononnya struktur bas tidak ikut Peraturan 66 (R66) PBB-Suruhanjaya Ekonomi Eropah-lah. Selagi tidak ada yang mati maka semuanya ikut peraturan? Bila dah ramai mati, baru tersedar ada yang tidak kena.

Apakah ini budaya pengurusan di Malaysia, negara kita yang tercinta ini? Sudah terhantuk baru tengadah ?

Itu, pergilah check semua bas ekpress yang ada! Mana yang tidak ikut semua peraturan tak kiralah peraturan 66 ke, 72 ke, 178, 2061 ke, tarik segera lesen operasi mereka. Bertindak segera! Jangan tunggu ada yang mati lagi baru berbunyi lagi ada yang tidak kena !

Aku yang tiada saudara mara terlibat ini pun dah rasa sakit hati, bagaimana pula dengan mereka yang saudara mereka menjadi mangsa? Tak cukup dengan datang jumpa bawa duit rm 1000 atau rm 2000 dengan mulut manis, "bersabarlah encik ya dengan musibah ini". Bas Ekspress terus menjadi kenderaan yang berbahaya ! Taik kucing betul !

Aku sangat yakin banyak bas ekspress yang sedang beroperasi di jalan raya hari ini memang banyak tidak mengikut standard antarabangsa atau peraturan dan undang-undang. Nak dibiarkan sampai bila lagi ? Tunggu ada yang mati lagi ?

Bagi aku kemalangan yang berlaku ini tetap salah syarikat bas ekpress itu, juga badan penguat kuasa kenderaan dan jalanraya. Syarikat gagal membudayakan perkhidmatan mereka dengan budaya " Bas Ekspres Selamat" sebaliknya yang diwujud "Bas Ekspress Maut". Ngeri tahu tak. Aku tengok bas ekspres pun aku kecut perut terutama apabila bas ekspress ikut belakang kereta aku...dekaatttt sangat! Kalau aku terbrek nak elak kera ke, kambing ke ...rasanya logik akal memang akan dibulldozed oleh bas ekpress yang kat belakang tu! Selalu macam tu.

Kalau bas ekpress 'memotong', bucu hadapan bas itu dekat sangat dengan belakang kereta yang 'di potong'. Buatlah terkena...tak ke terpelatun kenderaan kecil? Dah lah kalau kat lebuhraya bergegar kereta 'dipotong' bas ekpress. Ngeri !! Memanglah bas ekspress di Malaysia ni kebanyakannnya , Bas Ekspress Maut !. Tak percaya tengoklah dua tiga bulan lagi..kalau tak di pantau, dibudaya dan dikuatkuasakan peraturan dan hilang integriti pihak yang berkaitan , rasanya akan ada lagi yang mati 'percuma' dek kerana bas ekspress !


Tuesday, October 12, 2010

Tip buat suami ketika isteri hamil



Apabila ditanya kepada golongan lelaki tentang peranan mereka bila mendapati isteri yang disayangi hamil, rata-rata mengakui tahu tentang peranan yang harus dipikul.

Namun hakikatnya, tidak ramai lelaki yang benar-benar faham akan peranan mereka. Ini kerana emosi atau 'mood' wanita hamil selalunya lebih sensitif dan mereka sangat memerlukan perhatian daripada suami.

Di sini diperturunkan beberapa tip buat lelaki muda yang akan atau bakal berdepan dengan situasi di mana isteri berbadan dua. Diharapkan dengan panduan ini, golongan lelaki lebih tahu tentang peranan serta cara menghadapi karenah isteri yang pastinya pelbagai hingga mampu mencabar kesabaran mereka sebagai seorang suami.

1. Kongsi maklumat kehamilan

Kehamilan membawa perubahan kepada isteri, baik secara fizikal ataupun emosi. Isteri yang dahulunya lincah dan segar, akan mula mudah penat, pening dan muntah-muntah.

Sikapnya juga semakin sensitif, mudah menangis dan marah walaupun untuk perkara yang anda rasakan tidak perlu. Kepada lelaki, anda jangan sekali-kali bingung dengan perubahan ini. Ini kerana ia merupakan sesuatu yang normal dan kebanyakan wanita hamil akan melaluinya.

Walaupun berlaku perubahan pada isteri anda, itu tidak bermakna anda tidak boleh banyak membantu. Sebagai seorang suami yang memahami, carilah sebanyak mungkin info tentang perubahan fizikal dan emosi yang dialami oleh isteri.

Selepas itu, cuba kongsi pengetahuan anda dengannya. Dia pasti teruja dengan apa yang anda ketahui. Perhatikan juga perkembangan kehamilan isteri anda, misalnya mendengar denyut nadi dan merasai pergerakan-pergerakan yang dilakukan oleh bayi.

Sekiranya anda mampu melakukannya, tidak mustahil sikap anda yang pada mulanya kurang sabar dengan karenah isteri akan berubah menjadi lebih memahami dan empati. Sikap anda yang prihatin, pastinya akan menambahkan rasa cinta isteri terhadap anda.

2. Jaga pemakanan isteri

Ramai suami yang mengabaikan aspek ini apabila isteri hamil dengan alasan si isteri tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Tanggapan ini salah kerana seiring dengan perubahan tubuhnya, wanita hamil juga memerlukan beberapa zat tertentu mengikut peringkat kehamilannya.

Sebagai suami yang prihatin, pastikan isteri anda menjaga pemakanannya dengan kesihatan janin dan dirinya. Jika mempunyai masa, apa salahnya luangkan masa untuk menemani isteri menjamu selera atau makan bersama-sama dengannya.

Anda juga jangan kedekut untuk berbelanja lebih untuk membelikan makanan berkhasiat untuk isteri. Tidak hanya soal pemakanan, isteri juga memerlukan masa rehat yang mencukupi agar pembesaran janin tidak terganggu.

Ketika inilah suami perlu lebih ringan tulang membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Sikap anda yang sebegini, pasti membuatkan isteri terharu dan bertambah menghormati anda sebagai seorang suami.

3. Hindari stres

Sewaktu hamil, jangan sekali-kali memberikan tekanan kepada isteri. Anda sebagai suami perlu mengelakkan isteri daripada berdepan dengan sebarang masalah.

Jika boleh, anda cuba selesaikan masalah yang dihadapi tanpa memberitahu isteri. Jika terpaksa, beritahu isteri dengan cara yang paling santai agar isteri tidak terkejut mendengarnya.

Selain itu, jangan sekali-kali membenci perubahan bentuk tubuh isteri. Sebaliknya kagumi bentuk tubuhnya dan katakan isteri anda kelihatan lebih seksi ketika hamil.

Kata-kata anda mampu menenangkan hatinya dan mengelakkannya tertekan memikirkan anda mungkin mencari wanita lain yang lebih seksi di luar sana.

4. Temani berjumpa doktor

Kesudian anda menemani isteri untuk bertemu dengan doktor bagi mendapatkan rawatan memberikan makna yang cukup besar kepada isteri. Isteri akan berasa diri mereka disayangi dan dihargai.

Ia juga menandakan seseorang suami itu prihatin dan menyanyangi isteri serta anak yang dikandungnya itu.
Namun ada juga suami yang mengambil mudah tentang perkara ini.

Mereka sanggup membiarkan isteri yang sarat hamil memandu sendiri atau menaiki bas untuk mendapatkan rawatan di klinik.
Emosi isteri pastinya akan terganggu apabila melihat wanita lain ditemani suami masing-masing ketika mendapatkan rawatan.

Situasi ini sangat tidak sesuai buat isteri dan sebagai suami yang yang bertanggungjawab, anda perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku. Berikan isteri anda semangat dan sentiasa menemaninya sewaktu susah mahupun senang.

Monday, October 11, 2010

Menyampaikan ceramah di SK Pianggu.

Malam tadi aku dijemput untuk menyampaikan ceramah di majlis sukan dan jamuan raya SK Pianggu. Bersama isteri aku bertolak ke SK Pianggu pukul 8.40 malam sebaik selesai solat Isyak. Tak aku sangka ramainya orang kampung Pianggu di perkarangan laman sekolah itu.

Sebaik sampai aku dan isteri disambut oleh Pemangku Guru Besar sekolah bersama Tok Empat Azli dan Pengerusi YDP sekolah. Walaupun memberitahu perut sudah kenyang aku tetap dipaksa untuk menjamah jamuan besar-besaran yang diadakan. Katanya tumbang seekor lembu kepunyaan Pak Awi seorang orang kuat kampung itu. Walaupun pada awalnya tak mahu makan namun apabila makan bertemankan Pak Ali, Razali GPK HEM dan AJK-AJK rasa berselera pulak. Hah apa lagi ! Bukan jamah lagi dah....

Isteri aku makan dengan 'geng-geng' perempuan bersama pemangku Guru Besar sekolah Puan Hajah Rohani.

Makan punya hal, program ceramah aku hanya bermula pada pukul 9.25 malam. Sayang tak ambil gambar kerana terlupa bawa kamera. Ini kelemahan aku ! Sewaktu berceramah aku berpesan kepada Pengerusi majlis agar 'menekan bazer' untuk memberhentikan ceramah aku. Tunggu punya tunggu bazer tetap tidak berbunyi. Sedar tak sedar aku hanya berhenti berceramah pada pukul 11 malam.

Malam itu aku memberi ceramah bertajuk "Kepimpinan Institusi Keluarga". YB ADUN Tioman, Kapten (B) Datuk Johari Hussin turut hadir mendengar ceramah yang aku sampai.

Aku hanya boleh keluar dari laman sekolah yang sesak itu pada pukul 11.45 malam. Meriah sungguh orang-orang Pianggu malam itu.

Thursday, October 07, 2010

Rencah hidup seminggu dua ini

Fuh...lama juga tidak menulis. Sibuk dengan tugas-tugas di Perkhemahan Akademik Tingkatan 6 pada hujung minggu. Kemudian di celah-celah itu terpaksa membawa isteri ke sekolah barunya SK Keratong 1. Berkenalan dengan sekolah...'round-round' kawasan sekolah ! Fikir-fikir tentang rumah untuk dihuni di tempat baru tanpa meninggal terus rumah sendiri. Bermacam-macam berlegar di kepala.

Mencari rumah sewa di bandar Muadzam Shah nampaknya terlalu sukar. Rupanya, katanya selagi Politeknik Muadzam Shah tidak disiap, selagi itulah rumah sewa susah diperolehi di Muadzam Shah. Menelefon kawan-kawan di Muadzam Shah semua menjawab , susah dapat dan tidak ada!

Jadinya terpaksa kami menghuni di Keratong. Ingatkan kalau menghuni di bandar Muadzam Shah, boleh aku berulang ke Seri Rompin lebih kurang 80 km lebih dan isteriku berulang ke SK Keratong 1 sejauh 30km. Dengan cara ini rumah sendiri tidak akan ditinggalkan terus. Tapi apa boleh buat, akan berhijrah ke Keratonglah kami!

Hujung minggu lepas aku dan isteri sekali lagi ke Keratong untuk melihat apartmen hinggap kami di KIP Bandar Tun Razak Keratong bukan kat Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Tingkat Tiga, kira okeylah bolehlah kami eksesais sedikit sewaktu naik tangga. Tapi satu tandas di rumah itu masya Allah, bocor ! Yang tingkat atas-atas sana meleleh ke tingkat-tingkat bawah. Orang yang membuat apartmen guru ni dulu rasanya banyak makan duit haram...buatan yang tiada kualiti langsung! Nasib baik tandas yang satu lagi tu masih okay walaupun sudah kelihatan macam nak bocor. Tak apalah cikgu....duduklah dulu sementara mendapat rumah lain! Kata Tok Penghulu apartmen itu, itulah rumah terbaik yang masih kosong.

Dalam pada sibuk itu aku pula demam dan batuk-batuk. Malam susah nak tidur. Pergi ke klinik, doktor bertanya, "Muka U nampak letih, U ada kerja apa hujung minggu?".

Aku memberitahu tugasan perkhemahan dan pergerakan ke hulu ke hilir. " Saya bagi U cuti 2 hari, U rehat jangan buat apa-apa tahu!" arah doktor itu.

Heh...pucuk dicita ulam mendatang, memang aku nak rehat!

Minggu depan kena berulang dari Keratong ke Seri Rompin sejauh 120km.....mak tuan jauh ho!! Tapi aku perlu menemani isteri buat permulaan ini barang seminggu dua sebagai sokongan moral dalam keadaan dia perlu menyesuaikan diri sebagai Guru Besar di tempat baru dalam masyarakat FELDA yang baru baginya. Nampaknya di tempat baru ini aku perlu menjadi PR isteri seketika dengan persekitaran dan masyarakat di situ. Ini pun tugas kan? Urusan sekolah itu dia punya pasal, memang dia telah dilatih untuk itu...!

Petang ini kami sekali lagi perlu ke bandar Muadzam Shah untuk sambungan elektrik dan air di rumah baru. Kemudian hujung minggu ini penuh dengan jemputan kahwin dalam keadaan aku dan isteri juga bersiap-siap untuk majlis perkahwinan anak kami. Banyak juga kerja rupanya...huhuhu...bukan senang nak dapat menantu !

Perlu juga sekejap ke rumah baru di Keratong untuk kerja-kerja pembersihan. Fikirkan juga pasal boy-boy (gambar) macam mana kalau di tinggal di rumah nanti. Isteri aku cakap, "boy-boy kena bawa ke keratong!".

Nak bawa boy-boy ke Keratong ? Ikutlah...

Setakat ini aku bercerita....nanti kalau ada masa sambung balik.


Tuesday, September 28, 2010

Rahsia Peribadi Melalui Buah Kegemaran

Semua orang mempunyai buah kegemaran masing-masing. Menurut kajian, manusia mempunyai hubungan yang erat dengan alam semulajadi khususnya tumbuh-tumbuhan seperti buah-buahan. Terdapat 7 kategori buah-buahan yang mempengaruhi kehidupan manusia ia itu:

1. Buah-buahan dari jenis limau, contohnya oren, lemon, limau nipis dan limau barli:

Anda cenderung kepada warna-warna cerah dan gemarkan sesuatu yang mencabar. Rakan-rakan anda pula gemar merujuk sesuatu perkara mahupun masalah kepada anda. Ini kerana anda sendiri mempunyai kemampuan dan kebolehan yang unik sehingga rakan-rakan anda yakin dengan nasihat dan pandangan anda itu. Orang luar sukar untuk menilai dan mengenal diri anda yang sebenarnya. Mungkin mereka boleh mengenali anda dengan lebih rapat, namun ia memakan masa yang agak lama. Kadangkala anda hanya peruntukkan masa yang singkat untuk bersendirian. Anda gemar berehat dan bersendirian hanya untuk tempoh yang seketika. Rakan anda akan berasa semangat dan tenang bila meluangkan masa dengan anda. Anda tergolong antara individu yang gemar bergembira dan menggunakan waktu yang terluang dengan sebaik mungkin melakukan pekara-perkara yang menyeronokkan anda.

2. Buah-buahan tropika, contohnya pisang, betik, jambu, kiwi dan nanas.

Anda sukakan pengalaman-pengalaman yang baru. Anda gemar mencuba pelbagai jenis buah-buahan dengan pelbagai perisa sebanyak dan sekerap yang boleh. Orang disekeliling anda selalu menghadapi masalah dengan anda kerana cara hidup anda yang terlalu aktif. Anda tidak suka sesuatu yang melibatkan kesakitan pada emosi anda. Kebiasaannya pasangan anda terdiri daripada individu yang tenang berbanding anda dan semestinya sidia menerima anda seadanya. Anda gemar meluangkan masa dengan individu yang akrab dengan anda. Teman-teman beranggapan diri anda seorang yang mudah didekati dan gemar berseronok. Hakikatnya anda ada pendirian tersendiri. Anda tidak suka menunjukkan kesedihan pada orang sekeliling. Simbol anda itu melambangkan anda seorang yang suka mengambil berat dan gemar berseronok.

3. Buah-buahan dari jenis buah ladang seperti epal dan pear.

Kata kuncinya ialah kekuatan. Anda bukan sahaja kuat pada diri sendiri tetapi juga mampu menjadi tunjang kekuatan kepada indiviu yang berada disekeliling anda. Ini kerana anda bijak membebaskan diri anda dari tekanan hidup dan anda sendiri tidak mudah mengalah. Sikap pentingkan diri sendiri tidak terkandung dalam keperibadian diri anda. Anda cenderung berdiri atas kaki sendiri, tidak bergantung kepada orang lain untuk hidup. Ramai beranggapan anda adalah seorang yang berpengetahuan luas dan itulah hakikatnya. Anda gemar mencari ilmu dan berusaha melakukan sesuatu yang terbaik dalam kehidupan anda berdasarkan pengetahuan yang dimiliki. Kejayaan pasti menyebelahi anda dalam setiap yang anda lakukan.

4. Buah-buahan dari jenis tembikai contohnya tembikai dan tembikai susu.

Seorang yang murah hati dan gemar menghulurkan bantuan kepada yang memerlukannya. Bagi anda, wujudnya kepuasan apabila anda berjaya mambantu orang lain. Anda berhati-hati dalam memilih tumbuhan-tumbuhan yang ingin ditanam di kawasan tempat tinggal anda. Anda memiliki ramai teman rapat, ini kerana anda memiliki keperibadian yang romantik. Anda berusaha gigih bagi mengatasi kegagalan atau kekecewaan dalam hidup. Melambangkan seorang individu yang berhati-hati.

5. Buah-buahan jenis beri. Contohnya blackberi, blueberi, strawberi, rasberi, cranberi, anggur dan tomato.

Anda gemarkan party dan keseronokan. Suka menggembirakan orang lain dan mudah mendapat teman baru kerana anda seorang yang ramah. Anda berusaha melakukan apa sahaja untuk menjadikan sesiapa sahaja sebagai teman. Bercita-rasa unik hinggakan makanan yang menjadi pilihan anda adalah terdiri daripada makanan-makanan yang berperasa lain dari yang lain. Personaliti anda sukar dinilai kerana wujudnya kepelbagaian personaliti dalam diri anda. Walau bagaimanapun, keseluruhan personaliti ini saling berkait rapat dan sekali gus menonjolkan diri anda yang unik dan memiliki keistimewaan tersendiri. Simbol anda melambangkan anda seorang yang berpesonaliti.

6. Jenis kekacang, contohnya walnut, hazel, gajus, dan lain-lain.

Seorang yang moody. Kekadang mood anda berubah-ubah tanpa sebab. Ketegasan adalah lambang keperibadian anda. Sekiranya anda yakin anda dipihak yang benar, anda pasti berdegil dengan pendirian anda itu. Orang yang berada di sekeliling anda akan sentiasa bersikap lebih berhati-hati kerana kedegilan anda itu. Dalam percintaan, anda adalah individu yang setia. Sanggup mengenepikan teman-teman hanya kerana ingin meluangkan masa dengan sidia. Untuk mengenenali anda, seseorang itu perlu memperuntukkan masa yang agak lama bagi memahami dan mengenali anda dengan lebih dekat. Walau bagaimanapun, kesabaran dan kesungguhan individu itu pasti berhasil juga akhirnya. Simbol anda ini membuktikan anda adalah seorang yang berpendirian.

7. Buah-buahan jenis labu seperti labu kundur.

Anda seorang yang berpandangan jauh. Bagi anda wujudnya pelbagai perkara yang berlaku di dunia ini dan segala-galanya melebihi daripada yang mampu manusia lihat. Anda sering berperasan curiga. Individu disekeliling anda seakan terkejut dengan pengetahuan yang anda miliki. Boleh dikatakan setiap persoalan yang anda huraikan akan menjadi satu kejutan terhadap teman. Mereka akan bergantung kepada anda dan sikap ambil berat anda pasti dihargai. Tekanan kerja yang anda alami akan mendukacitakan anda, tetapi lama kelamaan semangat anda akan kembali pulih malah anda lebih bersedia dalam menangani cabaran-cabaran yang mendatang. Cenderung pada warna-warna yang pelbagai. Anda melambangkan diri anda seorang yang bersopan santun dan memiliki hati yang lembut.

Penulis: Walau apapun buah-buahan kegemaran anda, ia tidak semestinya sama dengan apa yang dinyatakan. Yang pasti setiap orang mempunyai keperibadiannya sendiri termasuk anda.

Thursday, September 23, 2010

Check atau biarkan tak apenye !

Semalam lebih kurang pukul 4.30 petang sewaktu aku dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah aku sempat melihat sekumpulan pelajar lelaki mengerumuni laptop e.book 1Malaysia di sebuah pondok menunggu bas di tepi jalan.

Dari riak muka dan gelagat pelajar-pelajar sekolah menengah itu aku dapat melihat betapa menariknya apa yang dapat dilihat dari laptop tersebut. Jikalah mereka itu mengakses internet, terfikir difikiranku alangkah hebatnya negara aku ini kerana pelbagai latar belakang sosio-ekonomi pelajar sekolah dapat mengakses internet di mana-mana. Maklumat dihujung jari benar-benar diaplikasikan!

Maka dengan banyaknya maklumat yang dapat diakses oleh para pelajar secara mudah dan pantas akan agaknya mampu menjayakan konsep 1Malaysia bagi melahirkan remaja yang berakademik cemerlang, remaja yang berakhlaq mulia, warganegara yang bermoral, remaja yang mampu menjahi budaya hedonisme. Maka akan berkualitilah nanti tamaddun bangsa!

Dan sudah pasti agaknya dengan penganugerahan e-book tersebut akan menambah baik mutu akademik para pelajar yang memilikinya. Sudah tentu harapannya begitu! Jika itu bukan harapannya maka e-book itu tidak akan diberikan begitu sahaja tidak kira siapa dan bagaimana?

Itu kalau mereka mengakses maklumat ilmu. Terfikir pula aku, tidak mungkinkah pelajar-pelajar yang mengerumuni e-book tadi sedang menonton bahan-bahan lucah atau sesat yang boleh merosakkan akhlaq, akidah dan jiwa kemanusiaan generasi baru? Atau para pelajar tadi sedang menonton bahan-bahan lucah yang telah didownload dari internet yang mampu melahir lebih ramai golongan perogol, penzina, anak-anak tidak berbapa untuk didaftarkan lebih ramai lagi di Sekolah Harapan Melaka pada masa hadapan?

Masya Allah, kalau betul tekaan aku itu bagaimana ya?

Selaku guru yang menjaga hal-ehwal pelajar di sekolah, aku sering pening dengan penyalahgunaan telefon bimbit di kalangan para pelajar. Dan hari ini, guru-guru seperti aku ini bertambahlah pening dengan kehadiran laptop e-book 1Malaysia.

Tidak mustahil dalam e-book 1Malaysia yang dianugerahkan kepada para pelajar baru-baru ini telah terdapat pelbagai bahan-bahan lucah yang tersimpan dalam hidden file di e-book 1Malaysia para pelajar tersebut. Tak percaya, check !

Nampaknya guru-guru macam aku sekarang ini, bukan tiada kerja cari kerja tetapi dah begitu banyak kerja menambah lagi kerja...kerja yang membuang masa kerana perlu 'bercending' dengan e-book 1Malaysia para pelajar! Atau biarkan...tak apanye !!

Wednesday, September 22, 2010

Rejim Haramjadah Israel terus haramjadah!

Bangsa Israel memang tidak boleh dibawa berunding. Allah sudah memberitahu bahawa bangsa ini tidak boleh dibawa berbincang kerana sangat jahat, licik, penipu, opportunis, kejam, zalim dan berperangai kesyaitanan. Jika sesiapa membaca Protokol bangsa Israel, akan faham mengenai sikap dan modus operandi bangsa jahat ini.

Bayangkanlah apa yang boleh berlaku kepada Israel jika negara umat Islam bersatu. Pasti sudah lama masalah umat Palestin telah selesai. Namun demikian negara umat Islam terus hanyut dengan masalah masing-masing. Perpaduan untuk bersatu antara mereka kelihatannya macam mustahil berlaku. Kuasa peribadi dan perut menghalang segala penyatuan di kalangan umat Islam.

Walaupun umat Islam Palestin disembelih dihadapan mata, pemimpin negara umat Islam hanya bercakap, berforum, bermesyuarat sambil bersantai. Masalah berbangkit jauh dari penyelesaian.

Begitulah nasib umat Islam dan kini Menteri Luar regim haram Israel terang-terang memberi tahu dunia cadangannya untuk menghalau warga Israel berbangsa Arab atas alasan mereka ini tidak menerima kewujudan negera Israel di peta dunia. Yang menghairankan, semuanya nanti akan angguk bersetuju dengan alasan Menteri Luar Rejim Haramjadah Israel itu.

Baca petikan dari akhbar sinar harian di bawah:

Israel usir penduduk bangsa Arab

BAITULMAQDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menggesa supaya semua warga Israel berbangsa Arab diusir keluar daripada tanah air mereka sendiri yang dirampas Israel pada 1948, Ahad lalu.

Cadangan biadap Lieberman itu dikeluarkan semasa proses terbaru rundingan damai Israel dan Palestin sedang berjalan.

Penduduk berbangsa Arab di Israel kebanyakannya adalah warga asal Palestin yang masih tinggal di kawasan yang ditakluki rejim itu sejak 62 tahun lalu dan mempunyai kewarganegaraan Israel.

Menteri itu juga menolak asas rundingan yang diguna pakai selama ini, iaitu 'tanah untuk keamanan' sebaliknya menegaskan prinsip rundingan harus berdasarkan pertukaran tanah dan penduduk.

Menurutnya, Tel Aviv perlu merangka semula sempadan Israel dan mengusir semua warga Arab yang berada di negara itu selain menyatukan penduduk Yahudi di penempatan haram di Tebing Barat.

"Pemindahan keluar semua penduduk Arab Israel adalah perlu kerana pemimpin dari kalangan mereka ini tidak menerima hak Israel untuk wujud di peta dunia," katanya.

Rundingan damai terbaru antara Israel dan Palestin bermula awal September lalu di bawah tekanan Amerika Syarikat, selepas proses itu terhenti selama dua tahun akibat serangan Israel ke atas Genting Gaza pada 2008.

Pembinaan penempatan haram Yahudi di atas bumi Palestin menjadi isu utama dan halangan terbesar bagi mencapai persetujuan dalam proses rundingan itu.

Monday, September 20, 2010

Rumah kembali lengang..


Perjalanan menuju ke Seremban pada hari Ahad 19 September.

Hari ini aku mula bertugas. Sekolah dibuka dengan peperiksaan percubaan bagi pelajar Tingkatan 6 Atas dan Tingkatan 5. Tak tahulah mereka belajar atau tidak, sepanjang cuti raya. Untung sabut timbul untuk batu tenggelam! Mudah-mudahan mereka belajar walaupun sibuk beraya!

Bagi aku dan isteri, rumah mulai lengang sejak semalam. Along dah pulang ke Tamparulli Sabah. Angah dah balik ke UPSI Tanjung Malim, Adibah dah merantau jauh ke IPGM Perlis, Aisyah berkereta api ke Batu Gajah untuk ke Seri Iskandar dan Abdul Hamid kembali semula ke asrama di SMK Seri Rompin.

Semalam aku dan isteri ke Seremban menghantar Aisyah ke sana untuk naik kereta api bersama kawan-kawannya. Saja je dia nak naik kereta api dari Seremban. Sebelum itu kami sekeluarga sempat singgah ke rumah Kak Hasmah di Kuala Pilah, sahabat isteri aku semasa belajar di UPSI dulu. Sedap dan berselera makan tengah hari di rumah kak Hasmah berlaukkan masak lemak kuning serai ayam hutan dan lauk ikan tenggiri. Fuuh! Biasanya aku makan tak bertambah, semalam bertambah..maaf akak, makan banyak...sedap!

Dalam perjalanan ke Seremban mak tuan, jeng greng kata orang Trengganu..dari Pilah dah banyak kenderaan, sampai ke Bukit Putus kenderaan tak putus-putus menghala ke Seremban. Lama kami terinsut-insut sebelum sampai ke simpang Senawang.

Kami bertolak balik dari Seremban pukul 5 petang dan sampai ke rumah pukul 10 malam. Tiada lagi kelihatan dan kedengaran suara anak-anak untuk seketika.

Selepas ini fokus aku dan isteri hanya kepada merancang dan menjayakan majlis kenduri kahwin anak sulongku di hujung tahun ini.

Wednesday, September 15, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Belum terlambat rasanya kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin.

Tuesday, September 14, 2010

Manusia kian menjadi hina tanpa agama...

Pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Susilawati dan 3 orang sahabatnya memang sadis lagi kejam. Apabila kita melihat Animal Planet di mana binatang berbunuhan sesama mereka, kita tidak terasa wujud kekejaman dan sadis seperti itu kerana binatang tidak melakukan pembunuhan sekejam itu.

Namun di zaman ini demi melayani nafsu kesyaitanan, manusia tidak kenal erti peri kemanusiaan dan ajaran agama lagi hingga begitu tergamak dan sanggup bersikap lebih dahsyat dari perbuatan seekor binatang buas.

Jika ini terus-terusan berlaku kita berhak merasa ngeri dan takut akan keselamatan diri dan keluarga masing-masing. Kejadian pembunuhan yang kejam seumpama ini menghakiskan rasa percaya dan rasa yakin dalam sebuah hubungan kemanusian dan persabahatan.

Sampai bila manusia di tanah airnya sendiri harus merasa curiga dan prasangka antara sesama manusia dalam urusan kehidupan harian mereka?

Nampaknya selagi agama sudah hilang dalam kehidupan manusia, manusia akan menjadi lebih hina dari seekor binatang.

Monday, September 13, 2010

Aidil Fitri yang banyak kenangan

Ramadhan kian menjauh. Syawal semakin sedikit. Apakah kita akan bertemu lagi Ramadhan akan datang, hanya Allah Yang Maha Menentu.

Kali ini aku tidak sempat untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri sebelum hari lebaran itu tiba,kerana masalah liputan internet di kawasan ini yang begitu sukar. Di zaman negara mempunyai multimedia super corridor kawasan ini masih tersemput-semput dengan liputan internet yang gagal dan menyedihkan. Apa hendak buat kawasan aku ini masih mundur sebenarnya...

Namun aku ingin mengambil kesempatan di Syawal yang mulia ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir batin kepada semua yang melintas di blog aku yang tidak seberapa ini.

1 dan 2 Syawal sungguh memenatkan bagi aku dan isteri serta anak-anak. Ramai sungguh tetamu yang datang dari kalangan sanak-saudara, sahabat-handai, dan bekas pelajar dan para pelajar. Namun walaupun penat dan letih, hati tetap gembira melayan para tetamu yang hadir.

Ada sahabat yang begitu lama tidak berjumpa tiba-tiba terjongol di halaman rumah. Ada bekas anak-anak murid yang pernah aku ajari di sekolah rendah 20 tahun yang lalu membawa anak-anak dan isteri datang beraya di rumah. Apabila melihat anak-anak muridku itu datang membawa isteri dengan beberapa orang anak-anak tersedar aku, rupanya sudah lama aku menjadi pendidik dan dah tua diri ini rupanya....huhuhu!!!

Hati terlalu gembira melihat bekas anak-anak muridku dan isteri yang berjaya dalam kerjaya masing-masing. Ada pakar forensik, pakar kimia, jurutera TNB, dan Petronas, pensyarah UPM, pakar ICT, ada pegawai kerajaan, ada chef, ada guru dan ada ramai yang masih berada di IPTA dan ada juga mat rempit. Untuk bekas anak-anak murid mat rempit ini sempatlah juga aku menasihati mereka..jadi-jadilah merempit. Jawapan yang diberikan, "okay cikgu...okay cikgu...tak buat dah cikgu!". Entahlah !!

Dua hari itu aku dan isteri tidak sempat keluar beraya untuk berjumpa dengan mak dan bapak saudara kerana tetamu yang tidak putus-putus dari pagi sampai petang. Aku ingat tahun lepas tetamu sudah cukup ramai, rupanya tahun ini yang aku sangka tidak ramai, rupanya lebih ramai dari tahun lepas. Terfikir juga difikiran ini, agaknya semakin tua diri ini akan semakin ramai datang beraya untuk menziarahi seorang guru seperti aku dan isteri..?

Hari raya ketiga, selepas satu kumpulan tetamu pulang, aku dan isteri cepat-cepat keluar untuk menziarahi saudara mara. Dalam masa aku beraya itu tiba-tiba anak aku telefon memberi tahu "anak murid ayah datang!". Aku tidak dapat pulang segera kerana aku berada jauh dan ada lagi rumah mak saudara yang aku tidak ziarah, lantas aku minta anak aku bagi telefon kepada yang dikatakan pelajar aku itu, untuk memohon maaf kerana tidak dapat berjumpa. Dia memberi tahu, dia pelajar aku di Tingkatan 6 lima tahun dahulu. Aku sudah lupa wajah anak murid aku itu. Aku minta anak-anak aku melayan mereka di rumah.

Dalam perjalanan itu jugak aku menerima panggilan telefon dari bekaas pelajar minta aku dan isteri singgah di rumah mereka. Yang seorang itu siap membentak " datang jugak...datang jugak sir..tak kira datang jugak !" Maka singgahlah kami ke rumahnya untuk makan mie sup!

Begitulah sedikit gambaran aidil fitri tahun ini. Syukur kepada Allah kerana di ziarahi oleh ramai para pelajar dan bekas pelajar di samping sanak saudara dan sahabat handai.

Hari ini aku terutama isteri masih terasa kepenatan...kami hanya berehat sahaja di rumah melayani anak-anak yang akan pulang hujung minggu ini ke tempat bertugas dan pengajian masing-masing...ke Kota Kinabalu, ke Kangar, ke Seri Iskandar, ke Tanjung Malim dan ke asrama SMK Seri Rompin. Maka selepas itu tinggal aku berdua dengan isteri di teratak ini!

Sunday, September 05, 2010

Syarikat bas ekpress itu buat 'taik' .

Perjalanan sibuk dan sesak balik raya sudah bermula, sedang bermula akan berterusan sehingga hari raya. Semalam Sabtu 4 September, pukul 10 malam aku bergegas ke Mersing kerana mengambil anak yang pulang dari KL di perhentian bas Mersing. Sampai rumah dekat-dekat pukul 12 malam. Dalam perjalanan balik itu hujan agak lebat.

Ini satu lagi cerita mengarut. Anak aku beli tiket dari KL untuk pulang ke Kuala Rompin, boleh turun di Perhentian bas Mersing!!!? Biasanya laluan ke Kuala Rompin melalui Kuala Pilah - Muadzam Shah tapi kali ini bas ekpress itu menggunakan laluan KL- Kluang dan berhenti di Mersing.

Aparah...tak naya... orang yang hendak berhenti di Kuala Rompin...woi 40 km lebih oi ! Macam mana pulak orang yang hendak turun di Muadzam Shah..woi 130km lebih!

Pengusaha bas ekpress janganlah buat mengarut macam ini. Tidakkah ini menyusahkan mak bapak, untuk malam-malam buta memandu jauh pergi ambil anak-anak di Mersing. Jadi satu kerja pulak!

Anak aku beritahu, pemandu bas itu kata terpaksa lalu laluan ke Mersing melalui Kluang atas arahan orang atas. Orang atas ? Taik kucing punya orang atas!

Sebenarnya bolehkah syarikat bas ekpress buat macam ini? Beli tiket ke destinasi lain, sampai ke destinasi lain ikut laluan lain pulak tu, tanpa alasan kukuh dan munasabah. Lembaga perlesenan perlu melihat hal ini agar tiada syarikat bas ekpress yang buat taik macam ni lagi.

Thursday, September 02, 2010

Madrasah Ramadhan Kareem sedang mendidik kita.


Fuhh...ada harinya lega dan begitu energetic. Tidak terasa lapar dan tidak terasa dahaga walaupun cuaca panas terik. Lupa yang diri berpuasa, macam tidak berpuasa !

Tapi ada harinya terasa begitu teruk... tidak bermaya, mata menjadi sekuyunya. Menghayun kakipun longlai! Panas seluruh dalam badan! Perut sering berkeroncong, memulas sehingga menyenak ulu hati. Adoii...!!

Ya.... Allah mengajar, Allah memberi tahu, begitulah lapar dan dahaganya orang yang tiada makanan dan tidak ada air minuman, malah mungkin lebih teruk dari apa yang aku rasa ini. Setidak-tidaknya 7.15 petang nanti aku mungkin berjumpa kurma, berjumpa buah melaka, berjumpa tepung pelita dan mungkin lempeng pisang.

Orang yang sering lapar ? Masya Allah... makanan mereka hanyalah rasa lapar. Minum mereka juga rasa lapar.

Subhanallah...madrasah Ramadhan Kareem sedang mendidik kita supaya kita perbanyakkan ingat dan ibadah kepada Tuhan kita !


Wednesday, September 01, 2010

Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke 53

Hari Khamis 26 Ogos 2010 pukul 11.50 pagi aku menerima panggilan telefon dari Pejabat Pelajaran Daerah minta disediakan seorang penyajak dalam kalangan pelajar untuk majlis sambutan ulangtahun kemerdekaan peringkat daerah Rompin pada 31 OGOS 2010. Terus aku meminta seorang pelajar memanggil pelajar yang disebut oleh PPD itu untuk ke bilik aku. Entah macam mana mungkin kerana ada kelas penting, pelajar itu tidak datang dan aku terus terlupa.

Petang Khamis itu semua pelajar asrama pulang ke rumah masing-masing kerana esoknya hari Jumaat cuti sekolah sempena Nuzul Al-Quran. Malam itu selepas solat tarawih dalam pukul 10 lebih aku baru teringat apa yang PPD minta aku lakukan. Masya Allah...pelajar semua sudah balik. Hari Isnin rehearsel dan hari Selasa hari persembahan.

Aku terus mencari telefon rumah pelajar yang berkenaan dan berjaya bercakap dengan ibunya. Ibunya memberi tahu besok mereka akan balik ke kampung di Temerloh dan pelajar itu tidak berminat untuk bersajak seperti yang diminta, kata ibunya.

Aku mula terasa payah. Hendak mencari penyajak terbaik dalam waktu singkat bukan mudah. Siapa pula mahu dicari sebagai pengganti? Malam itu juga aku telefon seorang pegawai di PPD memaklumkan hal itu. Dia memahami dan minta aku tolong cari pengganti sama ada pelajar lelaki atau perempuan. Okaylah aku akur.

Pagi Isnin sebaik waktu persekolahan bermula sebelum aku mencari pengganti aku memanggil pelajar yang disebut oleh PPD itu. Dia kata dia mahu! Alhamdulillah...dia mengubah fikiran agaknya! Aku terus memberikan kepadanya sajak yang sempat aku tulis sendiri malam Jumaat yang lalu untuk dia berlatih. Sempat 3 kali aku mendengar dia deklamasikan sajak itu aku berpuashati. Petang Isnin itu pukul 3 aku akan membawa pelajar aku itu ke Dewan Majlis Daerah Rompin untuk rehearsel.

Pukul 3 petang, sebaik sampai di dewan kelihatan orang ramai penuh di atas jalan raya. Rupanya ada kemalangan . Motosikal bertembung dengan kereta betul-betul di hadapan dewan Majlis Daerah Rompin. Sempatlah aku dengan beberapa orang mengintai-intai dari depan pintu dewan. Katanya budak motosikal itu parah. Malamnya aku dengar khabar budak motor itu telah meninggal dunia!

Nampaknya semakin dekat hari lebaran semakin banyak kenderaan termasuk motorsikal di jalanraya. Perjalanan balik raya akan bermula pada minggu hadapan. Kepada semua para pemandu, berhati-hati. Perut lapar berpuasa, badan letih dan penat memandu dalam keadaan cuaca panas dan sekali sekala hujan menjadikan emosi tertekan dan tidak stabil. Rasa tidak sabar ada, rasa tercabar ada, rasa hendak marah ada dan macam-macam perasan berbaur sambil memandu. Sebab itu para pemandu jangan ikutkan sangat perasaan cengil masing-masing. Sabar !

Dua tiga kali sudah aku terserempak dengan anak-anak muda yang menunggang motorsikal secara merbahaya. Di jalanraya yang kereta sibuk, masih sempat mereka ini menunggang sambil mengangkat tayar hadapan. Willi apakah? Ini semua cari penyakit...kalau kemalangan mati sia-sia ! Daripada mereka ini mati sia-sia dijalan raya kadang-kadang terfikir jugak lebih baik kerajaan hantar mereka ini ke Palestin bantu pejuang-pejuang Islam Palestin menentang pengganas Israel. Mati syahid apa ! Syurga ! Ini mati langgar kerbau atau dilanggar kenderaan lain...membazir !!!

Pada hari Selasa 31 OGOS 2010 bermula pukul 8 pagi ramai telah berkumpul di dalam dewan. Beberapa acara sambutan bermula. Sambutan ringkas. Acara itu dirasmikan oleh Datuk Pegawai Daerah Rompin yang mewakili YAB Datuk Seri Menteri Besar Pahang.

Ramai sahabat yang aku temui dalam dewan. Berborak, bersembang dan menyanyilah kami mengikut acara yang di susun. Ada kelihatan beberapa orang tua, mungkin bekas perajurut kot! Dan kelihatan juga perwakilan dari masyarakat Cina yang agak terasing berkumpul dalam lingkungan mereka. 1Malaysia !!

Sedang memerhati dan bersembang, tiba-tiba masuk sekumpulan anak muda memakai seluar jeans, T-shirt hitam bergambar yang aku sendiri tak tahu gambar apa dan berselipar yang berbagai. Semua kami serentak memandang ke arah kumpulan itu.

Seorang pegawai polis yang sedang bersembang dengan kami terus mengomel perlahan, " Kalau ya pun kenallah sikit majlis apa ni? Selekeh, berselipar..ini bukannya majlis main-main...sambut kemerdekaan! Cikgu inilah generasi yang bakal menggantikan kita nanti !".

Aku terdiam. Jauh di sudut hati aku bersetuju dengan pegawai polis itu. Tapi apa boleh buat, bagi aku sistem didikan kita menghasilkan mereka begitu!

Acara berakhir dengan pendeklamasian sajak oleh seorang pelajar sekolah rendah, seorang pelajar sekolah menengah dan seorang guru mewakili orang dewasa. Aku cukup berpuas hati dengan deklamasi oleh pelajar aku itu.

Acara tamat lebih kurang dalam pukul 10.00 pagi dan aku bergegas menghantar semula pelajar itu pulang ke asrama.

Selamat Hari Merdeka ke 53 negara tercinta Malaysia!
1 Malaysia menjana transformasi !

Sunday, August 29, 2010

Alexander The Great adalah Iskandar Zulqarnain ?

Semalam sebelum waktu berbuka, aku bersama isteri dan 2 orang anak, sempat singgah di Kedai Buku Popular Megamall Kuantan. Oleh kerana susah mendapat parking aku turunkan isteri dan anak-anak aku di hadapan kedai buku itu. Untuk mendapat parking aku terpaksa 'tawaf' Megamall sebanyak empat kali. Hendak park di tingkat atas malas, maka terpaksa mengambil masa sedikit.

Kalau dua minggu lepas aku membeli dan menghabiskan bacaan buku berjodol " Agenda Yahudi Menakluk Dunia" tulisan Sabaruddin Hussein, kali ini aku cuba mencari mana-mana buku yang menarik untuk dibaca.Justify Full

Sambil mencari-cari buku pilihan, aku terdengar anak aku, Abdul Hamid mengomel sendirian, "Aik, Alexander adalah Zulqarnain?".

Aku berpaling ke arahnya dan melihat dia merenung buku yang jodolnya dia baca sebentar tadi.

Sambil memandang kepada aku dia berkata, " Ayah, betulkah Alexander adalah Zulqarnain? Bukankah Alexander bukan Zulqarnain?".

Anak aku kelihatan benar-benar keliru dengan isu yang nampaknya dia sangat berminat.

"Mana Hamid tahu Alexander bukan Zulqarnain?" tanya aku.

"Kan dalam Astro Oaisis dulu ada dokumentari tentang Alexander bukan Zulqarnain !".

Dia yang telah memegang dua buah buku untuk dibeli terus membelek-belek buku yang mengelirukannya itu. Aku buat tak kisah kerana aku memang tidak berminat untuk tahu apakah Alexander itu Zulqarnain atau Alexander itu bukan Zulqarnain!

Setelah selesai membayar, kami bersegera ke kereta untuk ke rumah mak saudara aku di Bukit Bayroute untuk berbuka puasa. Dalam kereta nampaknya anak aku itu terus berdebat dan berdiskusi dengan kakaknya tentang Alexander adalah bukan Zulqarnain. Dan dia kata buku tadi cukup mengelirukan. Katanya penulis itu macam yakin sebab dia tidak letak tanda soal pun. Sesekali aku jugak menyampuk dan menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan.

Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, kami mula hendak berangkat pulang ke Rompin. Dalam kereta sekali lagi kisah Alexander adalah Zulqarnain masih belum selesai dan terus menjadi perbincangan hangat. Untuk menghilangkan kekeliruan Abdul Hamid, maka aku membuat keputusan, "okaylah kita beli sahaja buku itu".

Aku terus memandu semula kereta ke Kedai Buku Popular di Megamall itu untuk membeli sahaja buku berkenaan. Aku harap dengan membaca buku itu, anak-anak aku tidak terus keliru dan akan jelas pemahamannya mengenai Zulkarnain yang disebut dalam Surah Al Kahfi itu. Mudah-mudahan!

Nampaknya, oleh kerana anak bungsu aku bersibuk mahu pulang ke asrama, maka dia tidak berkesempatan untuk membaca buku itu. Apa yang berlaku, aku pula yang tertarik untuk membaca dan mengetahui isi kandungan buku yang ditulis oleh Wisnu Sasongko @ Muhammad Alexander berkenaan "Alexander Adalah Zulqarnain" itu.

Lebih menarik untuk aku baca buku itu ialah Penulis buku Bestseller 'Yakjuj & Makjuj' itu mendakwa dalam bukunya itu, bahawa Socrates adalah Lukman al-Hakim yang namanya diabadikan Al-Quran, Surah Luqman! Betulkah?

Pembacaan aku masih belum habis...

Thursday, August 26, 2010

Peringatan daripada musibah

1. Peringatan kepada manusia terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan selama hidupnya dan Allah mahu memberikannya kesempatan sebelum berakhir kesempatan untuk membaikinya.

2. Agar iman hamba-Nya itu bertambah bahawa kesalahan atau apa yang berlaku, bukan bererti menyalahkannya tetapi berlaku atas ukuran takdir-Nya.

3. Untuk mendekatkan hamba kepada Penciptanya, kembali kepada Tuhan yang telah dilupakannya serta jauh dari keadaan terasing daripada Allah.

4. Penegasan terhadap kuasa Allah dan kelemahan terhadap sesuatu ciptaan manusia yang sangat mengharapkan Allah.

5. Anjuran agar segera melakukan amal kebajikan sebelum datangnya azab daripada Allah yang membinasakan segala sesuatu.

6. Menambah kepekaan manusia terhadap kematian dan berusaha untuk memperbaiki diri dalam meneruskan kehidupan di muka bumi ini.

7. Meruntuhkan dominasi keduniaan dengan segala apa yang ada di dalamnya daripada pandangan orang yang ditimpa musibah itu.

8. Agar menjadi peringatan kepada mereka yang bergelumang dengan maksiat bahawa bila-bila masa Allah boleh menurunkan azabnya bagi mereka yang engkar.

Wednesday, August 25, 2010

Setiap Ramadhan pasti ada yang malang kerana mercun: Kenapa orang Melayu susah belajar dari apa yang berlaku saban tahun?

Persoalan yang terus menjadi tanda tanya, apakah dengan berlakunya letupan mercun yang mengorbankan nyawa seorang kanak sehingga mayat anak malang itu tersangkut di atas sebatang pokok, menjadi pengajaran kepada semua?

Apakah selepas kejadian yang malang itu, semua pihak merasa terkejut, sedih, ralat dan menyesal dengan kehilangan nyawa yang sia-sia seumpama itu?

Apakah selepas kejadian yang dahsyat itu, tiada lagi bunyi letupan mercun kerana semuanya takut dan gerun peristiwa malang seumpama itu dari berulang kembali?

Apakah selepas kejadian yang sia-sia itu, para ibubapa semuanya mengambil langkah tegas melarang dan menghalang anak-anak mereka bermain mercun di malam Ramadhan yang mulia ini?

Apakah selepas kejadian seorang kanak-kanak terbunuh kerana mercun masih ada lagi bapak budak yang akan terhegeh-hegeh menghiburkan anak-anak mereka dengan bunyi mercun ?

Dan apakah masih ada lagi dalam negara ini bapak-bapak budak yang tak empuk dan tidak reti bahasa sehingga sanggup mengorbankan nyawa manusia khususnya ahli keluarga sendiri untuk mati 'percuma' seperti yang berlaku di Trengganu itu?

Atau bapak-bapak yang seumpama itu wajar jugak 'diletupkan' dengan mercun sebagaimana meletupnya si anak yang malang itu?

Sesungguhnya, haiwan yang bernama babi pun sering menjaga keselamatan dan sayangkan anak-anak babi, sering menjauhkan anak-anak babi dari bahaya! Kalau tidak percaya tontonlah Animal Planet, macam-macam kisah binatang yang bapak-bapak manusia yang tidak bertangungjawab boleh ambil pengajaran!

Aku tidak kecewa malah bangga kalau adik Khairul Arif Ayub 6 tahun itu mati seperti matinya anak-anak Palestin kerana diletup Yahudi sewaktu dia sedang melontar batu kepada regim syaitan laknat itu!

Tuesday, August 24, 2010

Siapa yang buat kuih raya jangan guna minyak sapi ini.

Aidil Fitri semakin menjelang tiba. Mercun bunga api berletupan dan berpercikan. Tangan dan jari sudah ada yang mula putus dan kudung! Kuih muih sudah mula diuli. Ada yang sudah bertebaran mencari pembeli. Meriah aidil fitri !

Namun meriah ke, rokiah ke atau salmah ke, diri dan keluarga kenalah dijaga. Jaga jangan sampai kudung tangan. Kudung tangan bolehlah lagi menyambut hari lebaran, ni sampai meletup satu rumah...bukan dianya!

Selalu ingatkan anak-anak dan menantu yang bakal memandu pulang di jalan. Dan penting juga, jaga dalam sibuk buat kuih raya jangan sampai makan yang haram. Macam minyak sapi di bawah ini...dah diberitahu dan syak, maka jangan beli lagi. Yang dah ada kat rumah, carilah lubang-lubang untuk dibuang. Iyalah..tak halalkan ! Tolong bagi tahu je!

CAP gesa henti segera jual minyak sapi QBB
KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya menarik balik dengan segera penjualan minyak sapi QBB yang dijual di Malaysia.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ini berikutan penarikan balik status halal minyak sapi yang telah ditarik balik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan bahawa ia mengandungi elemen yang meragukan. Katanya, CAP telah berhubung dengan Jakim berhubung kesahihan status halal minyak sapi sejak Julai tahun ini. “Dalam jawapannya kepada CAP yang bertarikh 20 Ogos 2010, pihak Jakim telah memaklumkan kepada CAP bahawa mereka sedang menarik balik status halal minyak sapi itu sehingga mereka yakin dengan status halal produk itu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, petang ini.

Menurutnya lagi, Jakim dan Jabatan Kimia telah menguji minyak sapi itu dan mendapati ia mengandungi elemen yang meragukan, dan oleh sebab itu tidak boleh dimakan oleh umat Islam dan mereka yang mengamalkan memakan sayuran sahaja.

Sehubungan itu, ujarnya CAP menggesa rakyat
Malaysia supaya menghentikan segera pengambilan minyak sapi sehingga kandungannya disahkan halal oleh Jakim. "

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mestilah dengan segera mengambil tindakan untuk menarik balik sepenuhnya produk itu dari pasaran kerana ia sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera," tegasnya.


Sumber Harakahdaily