Saturday, December 18, 2010

Pasukan bolasepak Malaysia Piala Suzuki banyak kelemahan

Seperti orang lain, aku menunggu untuk menyaksikan perlawanan bolasepak peringkat separuh akhir kedua Piala Suzuki antara Malaysia dan Vietnam tadi. Malaysia menang dengan aggreget 2-0 walaupun perlawanan tadi berkesudahan seri tanpa jaringan.

Memang mudah memberi pandangan, teguran dan kritikan dari bermain tetapi perlu diingat bahawa sesuatu kejayaan yang konsisten dan cemerlang sentiasa didorong oleh kritikan, pandangan dan teguran.

Tak terkecuali diri aku, aku mempunyai pandangan dan kritikan tersendiri terhadap pasukan bolasepak negara Piala Suzuki kali ini. Sebelum mengkritik, aku juga ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan ini kerana telah berjaya memasuki pertandingan akhir. Pasukan muda ini perlu terus diasuh untuk lebih mantap dan berkualiti sehingga mencapai tahap kualiti pasukan dunia.

Setakat yang aku mampu nilai pasukan ini belum lagi mencapai tahap Asia apatah lagi tahap dunia. Tahap Asia Tenggara mungkin, itupun tidak konsisten, sentiasa turun naik! Jadi kesimpulannya pasukan bolasepak Malaysia Piala Suzuki ini adalah berada hanya di tahap Asia Tenggara. Itu sahaja!

Namun demikian, apa yang aku perhatikan pasukan ini boleh dibentuk untuk mencapai tahap yang lebih tinggi jika terus diasuh dengan kemahiran dan stamina yang lebih baik dan penuh disiplin. Potensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi memang ada cuma para pemain perlu bersikap lebih profesional dalam soal sikap, latihan dan sewaktu bermain.

Pada pemerhatian aku pasukan ini mempunyai penjaga gol (Fahmi) yang baik, cekap dan penuh disiplin. Begitu juga para pemain pertahanan yang kukuh bertahan. Mereka semua rajin dan kelihatan bertenaga.

Namun demikian bermain cara bertahan semata-mata cukup membimbangkan dan hantaran bola yang entah ke mana-mana dan kelam-kabut. Dalam dua pelawanan menentang Vietnam banyak bola clearance pemain-pemian pertahanan singgah ke kaki pemain lawan. Nasib baik pemain-pemain Vietnam bukan penyerang hebat seperti mana pemain Indonesia. Jika bermain bertahan seperti itu menentang pasukan kuat, pasukan Malaysia ini akan tertekan dan 'hanyut'.

Dalam usaha menyelamatkan pintu gol, kaki pemain-pemain Malaysia aku anggap tidak bermata. Bola yang ditendang kembali dari pintu golnya, bukan ke tempat selamat malah sering bola yang konon cuba dikeluarkan dari kawasan bahaya itu, mendatangkan bahaya yang seterusnya pula. Bahaya yang bertubi-tubi! Apalah bermain seperti ini! Kalau beginilah cara mengeluarkan bola dari kawasan bahaya di hadapan pintu gol sendiri ketika menetang pasukan yang mempunyai penyerang yang hebat, pasukan Malaysia ini pasti akan balik awal. Ingat pasukan ini kalah dengan Indonesia 4-1 di perlawanan pertama !!

Kelemahan kedua pasukan ini yang perlu diatasi segera sebelum bersaing di pertandingan akhir nanti ialah kelemahan pemain-pemain midfield. Pemain-pemain tengah Malaysia tidak berpengaruh, tidak dominan dan gagal menguasai permainan. Sering tenggelam dan hilang entah ke mana berbanding pemain-pemain tengah Vietnam yang sibuk menguasai dan merancang serangan. Kerana kelemahan ini, bola sentiasa tidak sampai kepada penyerang. Shafee Sali adalah pemain penyerang yang baik dan mempunyai skil yang boleh dipuji tetapi penyerang mana mampu menjaringkan gol kalau dia sendiri turun ambil bola di bawah dan dia sendiri juga terpaksa bawa bola ke atas untuk menyerang? 'Mati' kalau macam tu !!! Kerana hilang dominasi pemain-pemain tengah, aku cukup kesian kepada penyerang berbakat itu tadi.

Kelemahan ketiga pemain-pemain Malaysia, mereka cukup lemah dalam membuat hantaran. Sama ada tidak tepat kepada rakan-rakan atau hantaran yang meleleh yang menggagalkan peluang mendapat jaringan.

Kesimpulannya tugas Rajagopal masih banyak dan panjang. Pasukan ini mempunyai banyak kelemahan dalam kemahiran mengawal bola terutama bola tinggi dan bola melantun. Pasukan ini juga lemah dari segi mental sewaktu berebut bola, membuat hantaran sesama sendiri, sering membuat tendangan gopoh, membazir dan tersasar. Dan paling utama pemain-pemain midfield pasukan ini tidakberkemahiran tinggi dalam mengawal, menguasai dan membuat hantaran bola yang tepat dan segera.

Tidak keterlaluan jika aku menjangkakan jika permainan seperti menentang Vietnam tadi diteruskan dalam pertandingan akhir nanti, Malaysia akan tewas! Apalah erti bermain dalam pertandingan akhir, jika bermain untuk tewas?



No comments: