Friday, October 31, 2008

Cara-cara Menambat Hati Isteri - Bahagian 1.

Di sini saya petik petua yang di tulis oleh Azhar Hj Sarun mengenai cara-cara menambat hati isteri. Terima kasih kepada penulis asal kerana usaha yang mulia ini:

1. Sentiasa berdoa agar disayangi.

2. Bila balik rumah, tegur dan sentuh isteri sebelum buat kerja lain.

3. Tunjukkan keperihatinan dengan bertanya secara khusus mengenai kegiatan isteri sepanjang hari.

4. Berlatih untuk mendengar dengan baik.

5. Jangan tergesa-gesa untuk menyelesai masalah isteri. Apa yang lebih penting adalah simpati.

6. Berikan masa sekurang-kurangnya 30 minit perhatian yang “berkualiti” terhadap isteri.

7. Belikan bunga atau seumpamanya sebagai hadiah atau untuk memujuk.

8. Tolong masak atau ajak makan diluar sekali-sekala.

9. Beri pujian mengenai penampilan isteri -- rambut, wajah, pakaian dll.

10. Pujuk bila isteri marah atau kecil hati.

11. Beri bantuan atau kerjasama setakat yang mampu.

12. Luangkan masa yang lebih agar tidak mendesak isteri untuk lebih cepat bergerak atau bertindak.

13. Bila lambat pulang, beritahu lebih awal atau telefon rumah.

14. Bila isteri minta bantuan, nyatakan “boleh” atau “tidak boleh” dengan tidak mengungkit atau banyak komen.

15. Jika perlu menjauhkan diri sekali-sekala, beritahu bila anda akan pulang. Beritahu yang anda perlu bersendirian untuk berfikir.

16. Bila sudah sejuk, beritahu isteri apa yang mengganggu fikiran secara sopan. Jangan menyalahkan isteri.

17. Bila isteri bercakap, beri perhatian sepenuhnya, letakkan surat khabar atau tutup televisyen.

18. Bila keluar, tanya isteri kalau ada sesuatu yang ingin dipesan.

19. Beri tahu bila kita ingin berehat atau tidur.

20. Peluk isteri dengan penuh kasih sayang empat kali sehari.

TRAGEDI


Ia dicampak di tepi jalan

kerana ia tiada fikiran

membuat onar di rumah orang ?


Ia merayau tanpa haluan

menumpang tidur di jalanan

untuk memanaskan badan

dari cengkaman embun malam.


Kerana ia tiada fikiran

tiada tahu maut gerangan

menggelek seluruh badan

menggelepar kesakitan

mengalir darah kemerah-merahan!


Ia pun berlalu 'pulang'

lantaran ia tiada fikiran !?

menumpang hidup di rumah orang

akhirnya dicampak di tepi jalan

oleh manusia yang katanya berperikemanusiaan !!!!


Meninggal segala yang meloyakan

dimakan maut keadaan .


(sajak ini saya tulis sewaktu berusia 17 tahun tatkala pulang dari sekolah kerana melihat seekor kucing yang dilanggar oleh sebuah kenderaan dihadapan mata sendiri)


Petua untuk tidur dengan baik

Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri untuk tidur dengan nyenyak seperti membaca buku, minum minuman panas, berehat depan TV dan sebagainya sebelum tidur. Pakar-pakar telah bersetuju bahawa tidr yang baik dapat dperolehi dengan melakukan perkara-perkara seperti berikut:
1. Tidurlah pada masa yang sama setiap hari.
2. Rehatkan minda sebelum tidur.
3. Jangan tertidur di hadapan TV.
4. Minum susu dan elakkan minuman yang mengandungi kafein dan alkohol
5. Tidur di atas tempat yang selesa, tidak bising, dan jauh daripada gangguan.
6. Gunakan teknik merehatkan diri untuk menenangkan fikiran.
7. Jangan tidur dalam keadaan marah kerana anda akan menggerakkan tubuh anda sepanjang
malam.
8. Jangan gunakan teknik membaca buku untuk membolehkan tidur kerana akan wujud
pelaziman negatif iaitu bila membaca anda akan mudah mengantuk dan rasa hendak tidur.
9. Ambil wudhu dan berzikirkanlah di dalam hati dengan tenang.

Thursday, October 30, 2008

Secebis kisah......2

Waktu rehat. Dari dalam bilik, saya dapat melihat seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 berdiri di karidor, termenung sambil sekali sekala jauh memandang ke arah padang sekolah. Saya memerhati sambil menyiapkan kerja-kerja saya. Saya berpura-pura tidak perasankan tingkah laku dia. Saya juga dapat melihat bahawa ada ketikanya dia memerhati ke arah tingkap di mana saya berada. Saya dapat rasa bahawa pelajar ini seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Setelah membereskan sebahagian kerja-kerja saya, saya bercadang hendak ke bilik guru. Dalam perjalanan saya menegur pelajar berkenaan, " termenung je...apa yang kamu menungkan ?".

"Tak de lah, biasa je!" jawab pelajar tersebut tersipu. Saya tidak kenal nama pelajar ini kerana dia baru masuk ke sekolah ini. Saya mengambil kesempatan bertanyakan keputusan PMRnya yang lalu, bersekolah di mana dulu dan serba sedikit tentang latar belakang keluarganya.

Mengesyakki seperti ada sesuatu yang tidak kena, saya tanya lagi " Ye ke awak tiada masalah, saya tengok awak selalu bersendirian. Jangan begitu, pergilah berkawan. Bukankah kawan-kawan ramai, tak baik menyendiri !.", pujuk saya.

"Tak adalah sir, cuma....saya ada nak cakap kat sir satu perkara, tapi....."
"Tapi apa ?".

"Saya takut sir marah", jawabnya ringkas.

" Kenapa pula saya mesti marah ?" tanya saya.

" Sebab dia orang kata masalah saya ni, kena jumpa sir".

"Oo...sebab tulah awak duduk kat sini, awak nak jumpa saya. Kenapa tak jumpa saya terus? Kan awak nampak saya kat dalam bilik tu?".

"Takut..... lagi pun nampak sir sibuk je".

"Saya bukan sibuk, macam sibuk !" sempat juga saya bergurau dengan budak ini."Ok apa masalah awak ?".
" Sir, saya tak nak jadi Pengawas Sekolah!", tiba-tiba terpacul kata-kata itu dari mulutnya.
"Kamu Pengawas Sekolah ke ?"
"Ustazah pilih saya jadi pengawas sekolah".
"Kenapa kamu tak mahu jadi pengawas? Bukankah itu satu penghurmatan. Sebenarnya bukan senang nak jadi pengawas. Kamu ditemuduga, bukan ?"
" Ya....tapi abah dan mak kata tak payahlah jadi pengawas sekolah."
"Kenapa abah dan mak tak mahu jadi pengawas?, Boleh saya tahu ?". banyak tanya pula saya.
" mak tak kisah tapi...abah ". " Tapi apa ?, tanya saya.
" Tak ada baju pengawaslah sir. Baju ni baru beli, nak beli satu lagi abah kata tak ada peruntukan".
Baru saya faham masalah budak ni sehingga termenung sebegitu rupa. Saya faham menjadi pengawas sudah tentulah mesti berpakaian seperti pengawas sekolah. Tapi terfikir pula saya, budak ini dipilih tentulah dia berbakat dalam kepimpinan. Apakah kerana hanya tiada pakaian pengawas, permohonan tidak mahu menjadi pengawas diterima ? Saya rasa tidak adil kerana tiada baju pengawas bakat kepimpinan pelajar ini dikorbankan.
" Siapa cakap kamu mesti pakai pakaian pengawas ?"
"Kawan-kawan cakap, sir".
"Ok macam ni...kamu tak usah berhenti jadi pengawas. Ustazah telah memberi penghurmatan kepada kamu. Teruskan jadi pengawas."
"Tapi sir saya tak ada baju pengawas."
"Pakai je lah baju yang kamu pakai tu".
Pelajar tersebut kelihatan resah dengan keputusan saya. Dia menceritakan keadaan kewangan ayahnya yang agak kritikal dengan tanggungan yang ramai dan ada masalah hutang bank yang besar. Banyak lagilah yang diceritanya yang agak peribadi untuk ceritakan di sini.
Setelah selesai berbicara dengan pelajar tersebut saya ke bilik guru. Sempat juga sekejap saya berbincang masalah anak-anak pelajar kami di sini, termasuklah pelajar yang saya temui tadi.
Hampir dua minggu saya tidak berjumpa dengan pelajar tersebut sehinggalah dia datang ke bilik saya....
"Sir, saya nak ucapkan terima kasih kat sir" katanya sebaik memberi salam.
Saya terasa agak pelik kerana pelajar ini ucap terima kasih kerana apa, kepada saya ? Apa yang istimewa sangat yang saya lakukan kepadanya, sedangkan saya baru sekali berjumpa dengan dia. "Kenapa kamu ucapkan terima kasih kepada saya," saya bertanya hairan.
Dia juga semacam hairan bila saya tanya soalan itu tapi dia terus menjawab, " Kerana sir bagi duit kepada saya, suruh beli baju pengawas. Mak ucap terima kasih kat sir".
"Abah ?" saya menduga.
"Abah tak tahu, kami tak bagi tahu abah sebab kalau abah tahu dia mesti marah dan mesti dia suruh pulangkan duit yang sir bagi tu. Abah tak suka anak-anaknya menyusahkan orang lain."
Macam-macam manusia ni. Ini seharusnya menambahkan lagi pengalaman kita semua mengenai manusia yang bergelar ayah seperti ini.
Dia menerangkan, bila dia dapat duit tu, berapa jumlah dan bila dia belikan baju tu.
" Sebenarnya bukan saya yang bagi duit tu! Mungkin orang lain." saya memberitahu secara ikhlas.
" Sir tak payahlah tipu saya. Budak yang sampaikan duit tu cakap, sir suruh bagi kat saya untuk beli baju pengawas".
Saya menafikan yang saya bagi duit itu kepada dia berkali-kali. Mungkin cikgu lain tetapi dia tetap tidak percaya. Saya bagi tahu dia, saya ada ceritakan juga masalah dia di bilik guru dan tentu ada guru-guru yang simpati. Dia tetap tidak percaya dan mengatakan duit itu tetap saya bagi.
Ok lah saya tak kisah kalau itu yang dia percaya. Yang penting masalah budak itu selesai. Dan saya kagum dengan sikap guru yang membantu sedekahkan duit kepada pelajar ini. Sampai ke hari ini saya tidak tahu siapa yang sedekah duit itu kepada pelajar bekenaan. Yang pasti dia adalah cikgu sekolah ini tetapi bukan saya. Dan sampai ke hari ini juga pelajar tersebut tetap mengatakan saya yang bagi duit itu walaupun dia telah berada di tahun 2 di salah sebuah IPTA. Pagi tadi dia sempat sms saya bertanya khabar akan kesihatan saya.
Saya doakan semoga masa depan pelajar ini cemerlang dan semoga dia mampu merubah kehidupan dirinya dan keluarganya. Amin !

Menilai Lelaki Melalui Pegerakannya.

Sebenarnya tidak sukar untuk mengenali lelaki, jika tahu menilai tingkahlakunya. Pada lelaki tingkahlakunya lebih bermakna daripada kata-katanya terutama bila dia berbual dengan wanita.

Mengangguk-angguk kepala:

Apabila anda berbual dengan seorang lelaki dan dia menggangguk-anggukkan kepalanya, itu membuktikan yang lelaki itu seorang yang mengambil berat dan sentiasa ingat mengenai diri anda. Dia juga suka membantu apabila diperlukan.

Mendekatkan badan:

Apabila seorang lelaki mendekatkan badannya kepada diri anda apabila anda berbual dengannya, dia adalah seorang lelaki yang menarik dan mampu menarik ramai orang lain tetapi jaga-jaga, kadang lelaki seperti ini bersikap keterlaluan.

Merenung:

Lelaki ini jenis peminta kerana dia mahu mengetahui apa yang anda boleh tawarkan kepadanya sama ada dalam perkerjaan, persahabatan ataupun dalam percintaan.

Menggerakkan tangan dan badan:

Lelaki ini memberansangkan, bertanggungjawab dan mempunyai rasa cinta yang mendalam. Lelaki ini beranggapan kata-kata tidak cukup untuk buktyikan kesuciaan cinta. Oleh itu pergerakan adalah sebagai bukti untuk menunjukkan kesungguhan. Dia juga seorang yang sensitif dan baik hati.

Suka berdiri:

Apabila bercakap, anda duduk dan dia berdiri. Lelaki jenis ini melambangkan jiwanya yang suka menguasai dan mengongkong. Dia suka mempengaruhi orang lain untuk kepentingan dirinya dan dia juga pantang mengalah.

Memandang mata:

Ini dalah lelaki yang yakin dan berterus terang. Dia juga sentiasa memberi perhatian, berusaha menjaga hati semua orang tanpa mengira rapat atau tidak hubugan dia dengan orang itu.

Sensitif pada jarak:

Bila bercakap dengan orang lain, lelaki ini duduk atau berdiri pada jarak tertentu bergantung kepada sejauhmana kemesraannya dengan orang itu. Dia jenis lelaki yang tahu apa yang insan lain tidak suka.

Meniru gerak:
Lelaki ini terpengaruh dengan rasa dan tingkahlaku orang lain yang suka mempengaruhinya. Dia mudah dibawa berbincang dan suka menurut asalkan ia tidak menimbulkan masalah.

Cara-cara mengenal tingkahlaku di atas adalah di antara cara-cara mengenal lelaki. Berguna kepada sesiapa juga yang hendak mengenal seseorang lelaki.

Nota: Artikel ini adalah untuk bacaan semata-mata bagi menambah ilmu pengetahuan dan bukan untuk dipercayai 100%. Artikel ini saya petik dari laman web Anna Abadi yang pernah berada di alam maya satu ketika dahulu dan ia adalah hakmilik penulis asalnya. Oleh itu setinggi-tinggi penghargaan hanya kepada Anna Abadi dan pemilik asal artikel ini, walau siapapun dirinya dan di mana juga dia berada.

Wednesday, October 29, 2008

Secebis Kisah.....1

"Sir, nak jumpa sir kejap, sir sibuk ke ?" tiba-tiba tanya seorang pelajar tingkatan 3 dari luar tingkap bilik saya. " Apa hal ?" tanya saya ringkas.
"sir sibuk tak ? Kalau sibuk tak apalah.." dia mahu kepastian.
"Sibuk memang sibuk, tapi saya nak awak masuk dulu, cakap apa masalah awak," saya memberi arahan.

Pelajar itu memberi salam, masuk dan terus duduk tanpa disuruh-suruh. Mukanya seperti hendak marah bercampur sedih dan geram. Tiba dia menangis, "Saya nak tukar sekolah sir, boleh tak?". Dia minta izin dengan saya macam saya ini ayah dia pulak.

"Kenapa awak nak tukar sekolah, cuba cakap kat saya? PMR tahun ini, kenapa ni ?" tanya saya simpati.
"Saya nak tukar juga....nak tukar juga," beria-ia dia menangis sambil menghentak-hentak kakinya ke lantai. Tercengang saya dibuatnya. Apa kena budak ni?

"Sabar dulu...Fatimah (bukan nama sebenar) ceritakan kat sir apa pasal nak tukar sekolah?"
"Makcik tu, makcik tu suruh tukar !"
"Sapa makcik tu?", saya semakin 'confuse' .
"Sir saya tak nak tukarlah sir, tolonglah sir !". Aik! Tadi kata nak tukar, ini kata tak nak tukar pula! Lagi confuse saya dibuatnya.

Beginilah tugas kita sebagai seorang guru, melayani pelbagai kerenah emosi pelajar-pelajar. Bukan sahaja kita mesti menyelesaikan masalah pelajaran malah masalah emosi, keluarga dan adakalanya masalah kewangan mereka.

Pada saya cikgu tidak boleh sekadar menjadi cikgu. Cikgu mesti menjadi pendidik dan mak ayah kepada para pelajar. Ramai ibubapa kandung tidak percaya, sebenarnya kita lebih banyak tahu dan kenal anak mereka daripada mereka tahu dan kenal anak meraka sendiri. Seperti pelajar yang saya ceritakan di atas betapa confusenya budak itu sehingga pada awalnya saya pun jadi confuse juga.

"Fatimah, boleh sir tahu sapa makcik tu?" tanya saya lagi.
" Dia nak kahwin dengan ayah sayalah sir ", dia menjawab macam bosan dengan soalan saya. Hendak saya tanya kenapa makcik suruh tukar, bimbang pulak dia bosan lagi. Sayapun buat andaian, "Makcik suruh tukar mungkin ada sebablah agaknya. Sekolah kat sini jauh dan belanja lebih sikit. Sebab itu makcik suruh sekolah dekat je."

"Saya bukan guna duit dialah sir, saya tak guna pun duit dia. Yang dia sibuk tu kenapa ?" dengan nada marah dia tanya nya saya. Manalah saya tahu.

"Kamu ni Fatimah, macam tak suka sangat dekat makcik tu kenapa ?".
"Benci !".
" Kamu tahu tak , tak baik benci dia kerana dia akan menjadi mak kamu" nasihat saya.
" Macam mana tak benci sir, dia buangnya gambar arwah mak saya, habis rosak", makin kuat Fatimah menangis. Saya mula terasa tersentuh melihat keadaan Fatimah. Fatimah ni adalah seorang anak yang telah kehilangan kasih sayang ibu tatkala dia berusia 10 tahun. Ibunya telah meninggal dunia kerana barah payu dara.

Si makcik tu satu, kalau dah nak kahwin dengan ayah budak tu janganlah dibuangnya gambar mak budak tu, tak cerdik sungguh makcik tu, rungut hati saya.

"Ok... Fatimah makcik tu belum menjadi mak kamu, apa kamu nak risaukan ?"
"Masalahnya sir, saya bimbang ayah akan dengar cakap makcik sebab ayah pun dah setuju saya tukar sekolah. Tapi saya suka sekolah sini. Saya takut ayah paksa saya tukar."
Kesian Fatimah. Dia pelajar yang cerdik dan saya pernah mengajar dia sewaktu dia di tingkatan satu dulu. Apabila membabitkan soal ayah, maka sukarlah untuk saya campur tangan. Tetapi saya akan mencuba yang terbaik. Saya tanya Fatimah sama ada dia hendak tukar atau tidak. Dengan tegas dia bagi tahu dia tak mahu tukar.
Apabila itulah keputusan yang dia buat, saya bagi tahu dia, " Fatimah, balik hujung minggu ni, sampaikan salam saya pada ayah dan makcik ok. Katakan pada ayah dan makcik, cikgu Sazili tidak membenarkan Fatimah tukar sekolah, cakap macam tu je". Dengan kata-kata saya itu saya lihat Fatimah menjadi tenang, sedangkan saya sendiri tidak pasti apakah kata-kata saya itu berkesan atau tidak kerana saya tiada outoriti terhadap Fatimah.
Sehingga ke hari ini, dah hendak cuti akhir tahun Fatimah masih bersekolah di sini dan dia kelihatan begitu gembira belajar dan beraktiviti di sekolah dan di asrama. Dan dengar khabarnya makcik tidak jadi kahwin dengan ayah Fatimah.
Begitulah secebis kisah anak-anak pelajar di sekolah yang nampak macam remeh tetapi sebenarnya mampu memberi impak yang besar kepada perkembangan sosial, sahsiah dan pembelajaran anak-anak kita.

Awas, minum minuman bergas tidak sihat.


Pada zaman ini ramai anak-anak muda suka minum minuman bergas. Minuman tersebut digambar dengan kehidupan yang ceria dan sihat. Pada hal kajian yang dibuat mendapati minuman bergas ini dalah minuman yang tidak sihat dan boleh merosakkan sel dengan teruk. Ia juga boleh mematikan bahagian penting DNA manusia. Bagi mereka yang sudah agak berusia dan yang terjerumus ke dalam penagihan arak boleh memberi implikasi kerosakan limpa dan mengidap Parkinson.

Terkenang korban Tsunami .

Dari rumah saya melihat ke arah Laut Cina Selatan, cuaca kelihatan mendung. Mungkin akan hujan sebentar lagi agaknya. Sekali sekala terdengar sayup-sayup bunyi guruh. Membayangkan Laut Cina Selatan yang hanya satu kilometer dari rumah saya, saya teringat Tsunami. Masya Allah.


Kita sudah pasti tidak akan lupa peristiwa tsunami yang berlaku pada tanggal 26 Disember 2004. Pada 26 Disember akan datang bermakna peristiwa itu sudah empat tahun berlalu. Gempa bumi dasar laut yang besar itu telah berlaku di Lautan Hindi dan pantai barat Acheh. Gempa bumi ini telah mengakibatkan berlakunya ombak besar tsunami yang melanda kawasan-kawasan pantai selatan Asia. Ia dianggarkan telah mengorban kira-kira 182,000 orang tidak termasuk beribu-ribu yang masih hilang.

Tahukah bahawa gempa bumi yang paling ramai mengorbankan nyawa ialah yang berlaku pada tahun 1976 di Tangshan China. Dalam gempa bumi ini 240,000 telah terkorban. Manakala gempa bumi di Tingshin China pula 200,000 yang terkorban. Di Jepun 140,000 dan di Turkimenistan 110,000 orang.

Sesungguhnya gempa bumi adalah merupakan bencana alam yang sangat dahsyat. Ia bukan sahaja meragut banyak nyawa tetapi turut memusnahkan infrastruktur pembangunan dan rumah-rumah kediaman. Bekalan makanan juga pasti akan terhad dan akan menyebarkan wabak penyakit yang juga boleh mengancam nyawa.

Bolehkah kita bertanya kenapa bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan banjir besar berlaku ? Mengapa ?

Ayah mithali....!

Anak bungsu saya hanya tinggal satu hari sahaja lagi untuk selesaikan puasa enamnya. Kelihatan dia bersusah-payah berlumba-lumba dengan bulan Syawal yang tinggal hanya hari ini sahaja lagi untuk tahun ini. Ibunya tiada kerana berkursus selama empat di Kuantan. So, sekali-sekala ayahlah yang menguruskan apa yang patut. Antara tugas ayah mengejutkan Abdul Hamid untuk bangun sahur. Biasanya, no problem !

Tapi pagi tadi bunyi jam tidak kedengaran. Sama ada jam tidak berbunyi atau tidak sedar jam berbunyi wallahu aklam. Yang terdengar bunyi panggilan dihenfon pada pukul 5.30 pagi. Tak sempat hendak jawab bunyi berhenti. Panggilan dari isteri, sah nak pastikan segala-galanya beres tak, di rumah. Kelam kabut bangun keluar bilik, rupa-rupanya Abdul Hamid sudah awal bangun.

"Sempat ke hamid bersahur ni, ayah tak prepare apa-apapun", tanya saya.

"Tak payah ayah, Hamid dah bersahur" jawab Abdul Hamid.

Ha..dah bersahur ? Hamid makan apa ?"

"Kurma!" jawab Hamid tenang.

"Ok ke ?", saya mahukan kepastian.

"Tak penya" jawab Abdul Hamid selamba, " kalau hamid tak tahan hamid berbuka!" sambungnya lagi. Ini yang tak sedap ni... bermakna puasa enam Abdul Hamid hari ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Semoga niat baiknya itu, Allah restui hingga ke waktu berbuka di maghrib nanti. Amin !
Ibunya hanya mengulas pendek " itulah kalau mak tak de !"
Betullah.... susah kalau dia tak de !

Sains buktikan sembelihan cara Islam kaedah terbaik.


Untuk kepentingan dan pengetahuan bersama, saya petik penulisan mengenai kaedah sembelihan Islam adalah yang terbaik mengikut kajian sains. Semoga Allah memberi rahmahNya kepada penulis asal tulisan ini di atas sumbangan ilmu yang disampaikan.


Petikan: Tunas Islam


Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.Apakah pandangan Barat ini benar?


Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging. Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala.” (Tafsir al-Rahman, Jakim).


Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan.Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman.Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.


Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.


Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.


Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.


Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.


Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat.


Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.


Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. “Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya.


Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan......


Tuesday, October 28, 2008

Petua menjarang anak....!

Turun dari kelas 6 Bawah Sains 2, saya singgah sebentar di Bilik Guru. Di atas meja sofa, kelihatan ada tiga balang makanan; satu balang dodol Trengganu, satu balang jeruk mempelam dan satu balang jeruk kedondong. Kecur air liur melihat jeruk-jeruk yang dibawa oleh Akma Sihar. Sedapnya !
"sir, makang ah", pelawa Akma. Melihat saya mengadap jeruk-jeruk tersebut, Hafiz terus datang sama. Saya melihat Hafiz beria-ia makan jeruk, saya mengusik Hafiz, " Hai beria-ia mu makang jeruk, guane, ada apa-apa ke ?". Sambil melihat ke arah isterinya Kartini, Hafiz ketawa. " Patuk pung!" usik saya. " Makang-makang !".

Sambil makan jeruk di waktu yang masih awal pagi itu, saya ternampak satu kelibat baru tapi sudah 'familiar' cuma lama tidak kelihatan. Cikgu Wan Azizah. " Eh...macam kenal je! ", usik saya pada cikgu Wan yang duduk tidak jauh dari sofa kami. Cikgu Wan Azizah tersengih je ke arah kami. 'Eh... Wan rupanya, dok chang, dulu napok gemuk, le ni kuruh !".

"Ho... bak pe dok tahu, dulu gemuk, leni keruh", usik Hafiz pekat Trengganunya, sambil mengunyah jeruk mempelam masam.

"Ho lah...dulu ada baby, ni tak dok doh...tok kang tok tahu! " jawab Wan Azizah.

"Dia nak baby lagi tu Sazili, mu ajor ke dia sikit petua menjarang anak", sampuk Norhalina yang tidak jauh dari tempat duduk kami. "Tapi Mu jangan tersaloh ajor, jadi macam Ruzaimah pulok karang. Mu bukan boleh kira!!", warning Nurhalina kepada saya.

Bila Norhalina sebut petua menjarang anak, saya teringat satu peristiwa dalam tahun 2002 dulu. Waktu itu ketika kami bersembang di bilik guru jugak, Norhalina bercakap sambil berbisik-bisik dengan Ruzaimah. Saya melihat telatah mereka, lantas menegur apa yang dibisikkan. Norhalina tergelak dengan teguran saya sambil menjawab, "Ruzaimah tanya aku, ada ke petua nak menjarangkan (menjarakkan kelahiran) anak"."Mu tanya sazili ni, orang lama...." arah Norhalina kepada Ruzaimah.

"Ada ke cikgu Sazili petua menjarang anak?", tanya Ruzaimah lurus bendul. Saya, orang lurus bendul ni, modal sayalah sebenarnya. Spontan saya menjawab," Ada!".

"Ada?" Ruzaimah tertarik. "Ada !", jawab saya ringkas. " Macam mana cikgu Sazili ?" beria Ruzaimah bertanya.

" Dia ada ayat, ada amalan tapi amalan ni kena suami yang amal, isteri tak payah", terang saya macam sungguh-sungguh je.

" Saya boleh belajar tak cikgu Sazili", minat sungguh cikgu ni dengan penerangan bersungguh saya.

" Boleh..boleh sangat, tapi jangan main-main Ruzaimah, petua ni kena amal sungguh-sungguh. Tak boleh buat main-main, kalau buat main-main tanggung sendirilah. Ha...sebab tu saya malas bagi ilmu ni ke orang." saya gerpak Ruzaimah. Tercengang Ruzaimah melihat saya. Saya melihat muka Ruzaimah sambil berkata dalam hati "Payah berdosa Ruzaimah ni!". Cikgu-cikgu lain dah mula nak tergelak kerana mereka ni dah kenal sangat dengan perangai saya, yang suka mengusik. Ruzaimah terus dengan curiosity nya.

"Petua tu macam mana cikgu Sazili? Ajorlah ke saya!" pujuk Ruzaimah penuh minat.

"Begini, Ruzaimah kena ajar suami untuk amal petua ni, Ruzaimah tak payah. Mula-mula suruh suami tiup, fuuh!!".

"Tiup ke mana ?" tanya Ruzaimah luruh bendul. Memang luruh bendul sungguh!!!! Saya yang sudah rasa hendak tergelak memberitahu Ruzaimah " Tiuplah ke mana-mana...tak apanya !".

"Tak pe ke ?". "Tak pee !!", jawab saya. " Lepas tiup suruh suami amal jampi ni...." Tak sempat saya hendak bagi tahu jampi, Ruzaimah bertanya " Tak syirik ke jampi tu ?". " Taak!" tergelak kecil saya dibuatnya.

"Nanti kejap cikgu Sazili, saya nak tulis..."
"Tak payah tulis, mudah je ingat". Mail, Safri, Razak, Azmi, Norhalina , Ustazah Jumeah suspen menunggu jampi yang akan saya bacakan, sambil dah boleh agak auta saya . Tapi, manusia Ruzaimah ni, kelihatan bersungguh benar. Memang payah berdosa orangnya, kata hati saya kepada Ruzaimah. Aku pula yang berdosa dengan dia ni karang.

" Begini Ruzaimah, masa tu, suruh suami baca; naik kiri, turun kanan. Naik kanan turun kiri, Jangan berhenti tengah! Ulang. Ulang....ulang....ulang !!", saya bagi tahu sungguh-sungguh sambil mengetap bibir. Serentak dengan itu riuh dengan gelak ketawa. Oleh kerana bising dengan gelak ketawa, Ruzaimah yang terlalu fokus terganggu, dan agaknya terasa pelik dengan jampi tersebut lalu terus bertanya, "macam mana cikgu Sazili, ulang semula"

"Tak boleh ulang, petua ni kena ajar sekali je !" saya terus keluar dari bilik guru. Terkial-kial Ruzaimah bertanya kepada Norhalina. Bersusah payah pulak Norhalina menerangkan kepada Ruzaimah yang lurus bendul tu. Cikgu-cikgu lain yang tergelak mendengar jampi dan melihat 'keberia-aian' Ruzaimah, mengeleng-ngeleng kepala keluar dari bilik guru ke destinasi masing-masing.

Lebih kurang satu jam selepas itu saya masuk kembali ke bilik guru dan Ruzaimah memandang ke arah saya sambil tergelak besar, " Teruk lah cikgu Sazili ni". Geli hati benar nampaknya. Begitulah cikgu Ruzaimah, orang dah tergelak habis, dia baru nak tergelak. Baru faham!. Hak alah....ada juga orang begini !

Sampai ke hari ini, bila Ruzaimah berjumpa saya , dia mesti tergelak. Tambah pula anak dia sudah semakin ramai, 6 orang! "Tersalah amal petua yang cikgu Sazili ajarlah ni !", gelak Ruzaimah. Alhamdulillah..bahagia Ruzaimah !

Cikgu Nurhalina yang masih berada di sekolah ini bersama saya, sering mengingatkan saya, kisah Cikgu Wan Ruzaimah belajar petua menjarang anak dari saya. Cikgu Wan Ruzaimah baik orangnya dan sudah pun bertukar ke sekolah lain.

Monday, October 27, 2008

Entahlah....

Tiga hari berada di Segamat dan pagi ini bercadang hendak ke Temerloh sebelum balik semula ke Kuala Rompin. Esok mula mengajar . Pelajar Tingkatan 6 rendah akan menyambung exam mereka semula.

Tiga hari berada di Segamat rasanya berat badan semakin meningkat. Tak ada kerja lain, buat kenduri mentua nak ke Mekah, makan, membaca, internet dan tidur. Rasanya perlu balik segera ke rumah. Dan balik ke rumah perlu melakukan senaman untuk mengawal berat badan. Segala basikal dan alat-alat gyms yang ada di rumah mesti digunakan semula. Petang kena turun bercangkul di belakang rumah. Senaman....senaman....senaman....senaman ....mesti !

Sudah berpakat dengan isteri, selepas ini bersenam hendaklah dijadikan amalan. Isteri sangatlah bersetuju. Tapi.... hobi isteri ialah memasak. Entahlahh ......!!!

Sunday, October 26, 2008

Dilema Dalam Pembentukan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan

Menyaksikan permainan pasukan bolasepak kebangsaan sepanjang Pestabola 2008 ini, saya membuat rumusan pasukan tersebut belum meningkat tarafnya. Pasukan kebangsaan masih berada dalam zaman kejatuhan yang sangat kritikal. Nampaknya usaha menempat pasukan bola sepak kebangsaan berada di dalam kumpulan pasukan bertaraf dunia masih jauh dari tercapai.

Pertamanya, sekali-sekala apabila saya berpeluang menonton permainan pasukan kebangsaan saya seringkali melihat bahawa pasukan kebangsaan sebenarnya tidak berstamina. Pergerakan pemain kelihatan lembik lutut, tidak kelihatan sasa, mudah jatuh apabila diasak secara fizikal oleh pemain lawan, larian yang tidak kelihatan bertenaga. Kenapa tiada yang mempunyai larian seaggresif dan secantik larian Jamal Nasir , Mokhtar Dahari atau Hamidon Abdullah. Saya pelik pemain-pemain dahulu tidak mudah jatuh, lasak dan sangat aggresif dalam pergerakan walaupun serendah Wan Zawawi. Ini bermakna gaya pergerakan ini sebenarnya adalah aspek stamina yang boleh dibentuk. Pemain yang ada kini masih tidak terbentuk dari segi ini.

Pada pandangan saya untuk bermain di pertandingan bertaraf dunia pemain-pemain Malaysia mesti mampu bermain selama 180 minit secara bertenaga dan aggresif seperti pemain Korea Selatan dan Jepun. Jika tidak mampu mencapai standard tersebut, lebih baik tak usah bermimpi untuk menjadi pasukan bertaraf dunia.

Saya bukan pakar permainan bola sepak, cuma hanya peminat bolasepak sahaja. Pada saya kelemahan kedua ialah faktor kemahiran. Dari apa yang saya lihat beberapa tahun kebelakangan ini pemain-pemain Malaysia sangat lemah dari segi kemahiran permainan bolasepak. Hantaran yang tidak tepat. Kawalan bola yang longgar. Tendangan yang sering tidak menepati sasaran dan paling utama kemahiran berfikir yang cukup lemah. Lemah dalam membuat keputusan dalam permainan akhirnya permainan menjadi hilang fokus. Kelemahan ini seringkali dimanipulasi oleh pasukan lawan. Apa yang saya nampak pemain-pemain kini bermain " asal kejar bola dan asal dapat sentuh bola" maka itulah bermain bolasepak!

Saya pelik kenapa Pengurus dan jurulatih tidak nampak perkara ini ? Atau sudah berkemahirankah pemain yang mereka bimbing itu sebenarnya? Kalau mereka kata pemain mereka sudah berkemahiran, maka percayalah, tahap itulah mereka selama-lamanya, merudum lagi mungkin! Perkara kemahiran pemain ini, peminat-peminat dan pengulas bolasepak sudah nampak 10 - 15 tahun yang lalu dan hari ini keadaan tetap macam itu juga.

Faktor ketiga ialah disiplin. Pemain-pemain Malaysia sebenar tidak mempunyai disiplin permainan yang berkualiti. Mereka lebih mementingkan glamour dari disiplin permainan. Malas mengejar bola, malas merebut bola, malas berfikir dalam permainan, lebih kepada mahu menunjuk lagak dari menunjukkan cara bermain yang berdisiplin. Bersikap ego dan tidak boleh ditegur secara aggresif. Teguran mesti dengan lembut jika tidak pemain akan merajuk. Bayangkan pemain Korea Selatan ditampar oleh jurulatih ! Saya tidak minta pemain Malaysia ditampar tetapi saya hendak tunjukkan satu sikap pemain yang profesional dan berdisiplin. Sanggup baiki mutu permainan walau ditegur dengan apa cara sekali pun. Bagi pemain Korea Selatan dan Jepun, jurulatih dan pengurus pasukan tetap pembimbing dan penunjuk ajar utama yang perlu dihurmati walau dengan apa cara dan keadaan sekali pun.

Faktor keempat pengurusan pasukan iaitu Pengurus pasukan dan jurulatih yang sambil lewa, tidak kreatif dan tidak berintegriti dan pengurusan yang tidak profesional. Sudah berapa kali kita terdengar sukan bolasepak negara terbabit dengan rasuah bolasepak dan pengurusan yang pilih kasih. Standard dan sistem kerujulatihan juga seperti masih ditakuk lama.

Faktor kelima, pengendali FAM itu sendiri mesti berubah. Pengurusan yang seringkali melanggar etika profesionalisma pengurusan bolasepak perlu ditiadakan di FAM.

Jika lima faktor ini tidak diatasi segera, janganlah kita berharap Malaysia akan menjadi antara pasukan terbaik dunia seperti Korea Selatan, Iran, Jepun, Turki dan China. Kita mungkin hanya setaraf pasukan Mali dan Sierrra Leone!

Itukah pasukan bolasepak kita ?

Malam tadi saya meluangkan masa saya menonton pertandingan akhir Pesta Bola Merdeka. Sudah lama saya tidak menonton pasukan kebangsaan bermain bolasepak. Dalam pesta bola inilah saya kenal antara idola-idola bolasepak zaman remaja saya, Namat Abdullah, Saharuddin Abdullah, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, V Arumugam, Wan Zawawi, Syed Ahmad, Abdullah Ali, Khaidir Buyung, Santok Singh, Jamal Nasir, Wong Chong Wah, James Wong, Ali Bakar, Bahwandi Hiralal, Hamzah Husin, Wong Kau Foo, Sebegeth Singh dan ramai lagi yang kesemuanya mempunyai cara dan gaya bermain yang cukup menarik dan artistik.


Malam tadi saya menonton pasukan kebangsaan bermain. Ramai pemain yang saya tidak kenal kecuali Syukur Adan dan Indra Mahyudin. Saya minat bola sepak tapi ramai pemain kebangsaan saya tidak tahu namanya. Saya kekal terbayang gaya pemainan hebat dan penuh semangat serta berstamina lagenda-lagenda bola sepak yang saya sebutkan di atas. Saya sentiasa berdebar-debar melihat mereka bermain. Saya seolah-olah rindu gelecek dan tendang sambil berlari Super Mokh. Saya rindu ketenangan Soh Chin Aun di hadapan pintu gol. Saya rindu overlap ligat Jamal Nasir dengan rambut panjangnya. Saya rindu tandukan terbang Saharuddin Abdullah. Saya rindu banana kick Abdullah Ali, Saya rindu telatah kukuh Arumugam menjaga gol. Saya rindu kekukuhan Santokh Singh mengawal dan membentes lawan. Saya rindu tandukan tajam Syed Ahmad dan saya rindu gaya tersendiri mereka semua.


Malam tadi saya tidak terasa apa-apa sewaktu menonton. Saya seperti berada di tepi padang Majlis Daerah Rompin dalam pertandingan merebut Piala Ahli Parlimen Rompin. Ikhlas saya menilai dan meletak gred C- untuk permainan Malaysia sepanjang Pestabola ini. Ini bukan menghina atau sakit hati kerana kalah, kalau takdirnya Malaysia menangpun tetap saya bagi gred C- juga. Kenapa ? Saya akan bagi alasan saya nanti....

Chikungunya

Satu pagi, pada minggu lepas sebaik sampai di sekolah, dari jauh saya ternampak cikgu Sarah (bukan nama sebenar). Tertanya-tanya saya kenapa cikgu Sarah jadi begitu. Macam robot! Kebetulan bilik saya bersebelahan bilik cikgu Jamal. "Jamal, kenapa sarah tu ?". "Abang li tak tahu ke ?" tanya Jamal kembali. "Chikungunya !" sambung jamal ringkas. "Engkau, biar betul jamal'' saya tak percaya. Jamal ni kadang-kadang ada juga buah jenis hendak mengena saya. "Betul", yakin benar Jamal. Hendak mensahihkan jawapan Jamal saya ke bilik guru bertanya sendiri kepada Cikgu Sarah. Itulah hakikatnya.

Chikungunya. Demam chikungunya ini adalah bawaan nyamuk aedes juga. Tetapi demam ini masih di peringkat tidak membahayakan seperti demam denggi berdarah. Walaupun masih dalam kawalan tetapi pengidap demam chikungunya biasanya akan mengalami demam yang kuat dan sakit-sakit sendi. Sendi-sendi yang menjadi sasaran sakit ialah bahagian tangan, buku lali dan kaki. Apabila di tekan bahagian-bahagian sendi tersebut akan merasa sakit. Pengidap juga akan mengalami kemerah-merahan pada bahagian badan seperti dada, perut dan mata.

Seperti yang telah diketahui umum, demam chikungunya ini disebabkan oleh gigitan nyamuk aedes yang membawa virus chikungunya. Biasanya nyamuk ini akan mengigit pada waktu subuh dan senja. Oleh itu elakkan diri dari gigitan nyamuk pada waktu-waktu tersebut.

Katanya pengidap demam ini akan mengidap demam antara tiga hingga tujuh hari dengan suhu badan yang boleh meningkat sehingga 39 darjah Celsius.

Cara mencegah demam chikungunya ini sebenar tidak sesusah mana. Amalan menjaga kebersihan kawasan rumah atau sekolah (asrama) adalah yang utama. Segala objek yang boleh menjadi tempat air bertakung perlu dimusnahkan atau ditanam. Paling penting pasang ubat nyamuk atau guna kelambu bila hendak tidur.

Saturday, October 25, 2008

Awas, demam denggi semakin menjadi-jadi.

Saya dimaklumkan oleh seorang kawan sesekolah bahawa salah seorang murid kami tidak hadir. Saya bertanya sahabat saya itu kenapa Azan tidak hadir ?"Denggi", jawab cikgu Jamaluddin. "Denggi berdarah ke ?", tanya saya."Tak" jawab Jamal. "Sekarang ramai sangat aku dengar yang kena deman denggi" ulas saya kepada Cikgu Jamal.

Ya memang sering terdengar ramai yang terkena demam denggi. Kes demam denggi nampaknya semakin meningkat. Demam ini adalah berpunca dari nyamuk aedes yang membawa virus denggi. Ia boleh menyebabkan kematian sama ada dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Oleh sebab itu Kemeterian Kesihatan sering membuat pemeriksaan kawasan-kawasan yang menjadi punca pembiakan nyamuk ini.

Lagi bahaya apabila seseorang itu terkena denggi berdarah. Demam yang kuat dengan peningkatan suhu badan yang meningkat akan mendahului tanda-tanda yang lain dan akan berlaku pendarahan dan pembesaran hati. Ada juga pesakit ini akan mengalami sakit bahagian rusuk dan abdomen.
Perlu diketahui bahawa gelaja lain yang mungkin berlaku kepada pengidap denggi ialah pendarahan gusi, hidung, mata, kencing beradarah, najis kelihatan hitam, muntah-muntah serta batuk-batuk. Pesakit denggi boleh juga sengal-sengal pinggang dan sakit sendi.

Oleh kerana denggi ini berpunca dari jentik-jentik yang terdapat di takungan air jernih, maka kawasan atau tempat membiak nyamuk perlu dihapuskan seperti botol kosong, tayar lama, tin-tin kosong, longkang, tempurung, pas bunga, pam tandas dan seumpamanya.

Perjalanan Jumaat 24 Oktober

24 Oktober 2008 hari cuti bagi negeri Pahang sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Pahang. Oleh kerana cuti, seawal pagi saya bersama isteri menuju ke Shah Alam. Dengan pemanduan yang relek dan perlahan, banyaklah lokasi-lokasi singgahan, maklumlah semalam hari Jumaat. Hampir pukul 3 petang saya sampai ke destinasi. Setelah berurusan selama lebih kurang satu jam setengah, kami meneruskan perjalanan balik ke Kuala Rompin.
Sebaik keluar dari tempat kami berurusan, kami telah berdepan dengan kesesakan lalu lintas. Saya memang tidak mahir langsung jalan di Lembah Kelang, yang saya tahu redah sahaja. Nak mengharapkan orang sebelah memang sakit!! Terkial-kiallah seorang diri mencari jalan keluar. Akibatnya kami menghala ke Klang dan sebelum itu kami cemas ke arah Rawang. Terpaksalah saya mencari u-turn dan kembali jalan asal kami masuk tadi. Setelah berasak-asak dalam traffic jam akhirnya saya bertemu jalan keluar ke Seremban. Orang yang biasa dengan laluan di sini pasti mengeleng kepala dan mengatakan, aleh...itu pun sesat !! Ya... itulah hakikatnya semalam.
Sampai di Kuala Pilah pukul 6.45 petang. Isteri pula nak singgah di rumah sahabatnya sekuliah dan serumah semasa di upsi; kak Asmah. Nak cakap tak payah singgah sebab hari semakin gelap, bila pula dia nak berjumpa dengan kak Asmah. Dengan pertimbangan yang rasanya munasabah, dan menjangka rumah yang hendak dituju tak jauh, saya bersetuju. Kami menghala arah ke Tampin untuk ke pekan Senaling dengan berpandukan arahan telefon.
Hari semakin mencecah maghrib, tempat yang dicari masih belum diketemui. Suasana jalan semakin sunyi dan tiada pula kereta yang lalu lalang. Saya bertanya kepada isteri, ke mana menghalanya kita ni....betul ke jalan ni ? Maklumlah tempat yang tidak biasa dengan suasana hampir malam pula.
Akhirnya, isteri saya minta saya memberhentikan kereta di simpang jalan yang agak sunyi. Ada papan tanda bertulis, "Ladang Inas". Risau juga saya berhenti di situ. Tapi dalam dua minit sebuah Produa Kembara menghampiri. Turun pemandunya semacam keseronokan dan gembira yang amat sangat, menuju ke arah isteri saya bersalam-salaman, berpeluk-pelukan dan bercium-ciuman macam lama tak jumpa. Rupanya itulah kak Asmah yang selalu diceritakan isteri saya. Begitulah orang perempuan kalau dah berjumpa sesama mereka.
Saya berhasrat agar mereka berjumpa di situ sahaja cukuplah, kerana perjalanan kami masih jauh dan kami hendak keluar balik semula ke Kuala Pilah yang rasanya dalam 18 kilometer juga. Jauh tu, bila kami hendak sampai ke Kuala Rompin ? Tapi kak Asmah beria-ia mengajak saya singgah. Saya serba salah dengan pelawaan kak Asmah. Macam tak sopan pula kalau saya menolak dan tentu ada yang hendak diceritakan antara mereka berdua nanti. Saya bersetuju.
Kami mengikut Kembara yang di pandu oleh kak Asmah. Makin lama makin jauh ke dalam dan akhirnya membelok ke jalan batu kerikil. Ya Allah...jauh ke kita hendak masuk ni ? Saya teringat jalan batu kerikil yang pernah saya lalui sewaktu menghantar pelajar saya ke rumahnya, 15 kilometer !! Maaf, bukan masalah batu kerikil itu, tapi masalah hari semakin malam, kami perlu balik malam ini juga ke rumah. Alhamdulillah tak jauh rupanya, dalam satu kilometer saja dan jalannya elok, suasana sekitar terang tidak merisaukan untuk perjalanan balik nanti.
Sampai di rumah kak Asmah, kami disambut oleh suaminya En Mohd Yunus. Baik orangnya. Selepas saya solat maghrib, kami makan malam bersama. Rupanya ada makan malam di sediakan untuk kami, cukup menyelerakan. Ayam hutan masak lomak cili api nogoghi sombilan ...fuh, mujurlah kami sampai ke rumah kak Asmah dan abang Yunus.
Selepas makan, berbual sedikit lagi, akhirnya kami minta izin meneruskan perjalanan. Abang Yunus menasihati kami agar balik ikut Bahau, jauh lebih dekat, tak payah balik semula ke Kuala Pilah. Dengan panduan yang diberikan oleh abang Yunus kami akhirnya lebih awal sampai ke Kuala Rompin, 10.30 malam. Terima kasih abang Yunus dan kak Asmah di atas layanan baik dan mesra buat kami. Jika ke Kuala Rompin, jemput datang ke rumah.
Selepas satu jam berehat saya buka blog ini dan terlihat ada 'contact reply' dari sahabat lama sewaktu di SKLC dulu , Ahmad Faris Haji Johan. Terima kasih Faris. Di manakah sahabat-sahabat yang lain agaknya; wahab, yawahir, elias, rusmadi, ashari, izam dan lain-lain. ?

Peringatan Rasulullah SAW

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : (( مِنْ حُسْ نِ
إِسْلاَمِ المَرْءِ تَرْآُهُ مَا لاَ یَعْنِيْهِ)) حدیث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا.

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.

Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.
Pokok Perbincangan Hadis :

1) Antara tanda Sempurna Islam sesaorang :jaga lidah dari perkataan yang sia-sia (Qaaf : 18)
setiap yang baik akan berganda (10x) sehingga 700 gandaan.
2) Langkah bagi meninggalkan perkara yang tidak berkait: tidak mengikut hawa dan runtunan nafsu. Silap faham hadis menyebabkan setengah orang, banyak meninggalkan perkara yang wajib dan juga sunat disangkanya perkara yang tak berkait dengannya.

Pengajaran hadis:

Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

Antara perkara yang tidak berguna ialah bercakap kosong, berhiburan yang melalaikan, duduk-duduk di jalan, bertandang ke rumah orang tanpa niat ziarah atau tanpa ada kepentingan, suka mengambil tahu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya, atau apa yang dikatakan dalam pepatah Melayu, menjaga tepi kain orang.

Anjuran ini menyerlahkan suatu ajaran lslam yang amat baik, yang boleh menyumbang ke arah
pembangunan umat. Sekiranya semua umat lslam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya mereka mampu mencipta kejayaan dan kemajuan serta menghasilkan produktiviti yang berkualiti.

Masalah disiplin pelajar sekolah 2

Apabila kita memperkatakan tentang masalah disiplin para pelajar hari ini, kita sepatutnya tidak boleh elak dari memperkatakan tentang tanggungjawab institusi keluarga. Meletakkan tanggungjawab mendisiplinkan anak-anak kepada institusi keluarga bukan bermakna institusi pendidikan formal perlu lepas tangan begitu sahaja. Tidak, tetapi kita perlu memperbetulkan peranan dan tugas sebahagian besar institusi keluarga kini. Amatlah malang, kerana terdapat sebahagian besar institusi keluarga beranggapan tugas mendisiplin dan memoralkan anak-anak, peneraju utamanya adalah institusi sekolah manakala institusi keluar hanya sekadar memain peranan dipinggiran.
Kedudukan sebenarnya adalah sebaliknya. Institusi sekolah hanyalah sebagai pelengkap, pemurni dan penggilap bukan peneraju utama. Ia tidak boleh menjadi peneraju utama walaupun dia mahu atau berminat berbuat demikian kerana mendidik disiplin dan moral memerlukan pelbagai elemen pendidikan yang di antara elemen pendidikan dan asuhan tersebut tidak mampu atau tidak boleh diberikan oleh institusi sekolah.

Institusi keluarga hari ini sepatutnya bukan sahaja sekadar berperanan memberi makan pakai tetapi lebih jauh lagi perlu memberi perhatian, kasih sayang, keprihatinan, pemantauan dan kawalan, persahabatan, keakraban, ketegasan, sentuhan, prinsip dan pegangan hidup keluarga kepada anak-anak.

Untuk menguasai dan menyedari elemen-lemen tersebut ibubapa mestilah menjadi ibubapa yang celik ilmu terutama ilmu keibubapaan. Inilah masalahnya. Apabila pihak-pihak yang menyedari hal ini contohnya pihak institusi sekolah yang menganjurkan majlis-majlis ilmu keibubapaan, ibubapa yang menjadi sasaran hanya sekadar menghantar atau agaknya mengarahkan isteri untuk hadir atau kedua-duanya tidak hadir langsung. Biasanya yang kerap hadir ialah ibubapa yang anak-anak mereka bukan langsung pencetus masalah disiplin dan moral. Iniliah realiti kritikal yang dihadapi.

Persoalan disiplin dan moral pelajar-pelajar sekolah tidak akan selesai jika ibubapa tidak bijaksana dan tidak tahu (tetapi menganggap tahu dan mudah) bagaimana memainkan peranan berkesan dan berkualiti dalam kehidupan dan pembesaran anak-anak mereka di zaman sekarang. Soalan saya, siapakah yang mesti paksa ibubapa yang menjadi sasaran ini hadir untuk menimba dan mengamalkan ilmu ? Bersambung nanti.....

Friday, October 24, 2008

Masalah disiplin pelajar sekolah

Kelmarin sewaktu saya dalam satu perjalanan jauh, adegan yang saya lihat di sebuah pondok bas di tepi jalan cukup memualkan. Sang pelajar lelaki berdiri berhadapan dengan pelajar perempuan yang duduk memegang kedua poket seluar pelajar lelaki tersebut dan yang lelaki memegang tangan pelajar perempuan, sambil ketawa terkekeh, di khalayak pelajar-pelajar lain di pondok bas tersebut.

Minggu ini kita semua membaca di akhbar malah dapat menonton di television bagaimana brutalnya seorang pelajar perempuan sehingga sanggup menendang gurunya. Kes-kes pergaduhan di sekolah-sekolah tak usah cakaplah. Ramai cikgu-cikgu tahu hal ini.

Fenomena keruntuhan disiplin para pelajar sekolah-sekolah bukan lagi fenomena luar biasa sekarang. Ia telah menjadi fenomena biasa sehinggakan apabila sesuatu kes disiplin berlaku, ianya sudah tidak menimbulkan rasa apa-apa lagi melainkan rasa 'biasalah'. Semuanya beranggapan " alah...biasalah tu, nak buat macama mana....budak-budak sekarang !"

Soalnya ialah bukan soal 'biasalah tu'. Tetapi soalnya ialah apakah rupa bentuk generasi akan datang, kalau inilah rupa bentuk disiplin dan ahklaqnya hari ini. Tidakkah kita akan melahirkan masyarakat 'brutal' nanti.

Dalam masalah penyelesaian disiplin ini, ramai yang memandang kepada institusi sekolah untuk menyelesaikannya tetapi ramai pula yang seolah-olah lupa atau lepas pandang akan peranan institusi keluarga. Yang lebih ironinya ialah sering kali, institusi keluarga menyalahkan institusi sekolah dalam soal ini.

Setelah hampir 25 tahun menjadi guru dan pendidik, apa yang saya lihat ialah pihak sekolah sentiasa bertungkus-lumus menegakkan disiplin para pelajar. Tetapi bayangkan antara pukul 7.00 pagi hingga pukul 2.00 petang apakah yang mampu dilakukan oleh pihak sekolah di sebuah sekolah harian biasa?

Bayangkan sebaik keluar pintu pagar sekolah, rokok mula berceracak di bibir mulut, baju sekolah mula diserebehkan, henfon mula melekap di telinga, motosikal mula di "willy" kan (dihadapan kereta guru-gurunya sendiri), tangan mula berpegang-pegangan, bertepuk tampar lelaki perempuan, pakaian seragam sekolah bertukar rupa, rumah bukanlah destinasi awal selepas sekolah, pusat siber menjadi tumpuan, taman-taman bunga melepaskan kerinduan dan macam-macam hal lagi. Kalau tidak percaya tanyalah guru-guru sekolah khususnya guru disiplin dan kaunselor sekolah.

Jujurlah kita, apakah yang mampu dilakukan oleh guru-guru dalam menangani hal ini. Menangani hal anak-anak orang yang ada sensitivitinya. Akhirnya ada guru yang bersikap lepas tangan dalam soal pendisiplinan para pelajar. Bukan kerana guru-guru tiada kesedaran dan tidak sayang anak bangsa sendiri tetapi bimbang 'bertelur di dahi" dan "bengkak tulang kering". Siapalah kita....kita bukan anak tempatan di sini, sering bermain di bibir mulut guru-guru. Salah gurukah yang ingin mempertahankan dahinya dari 'bertelur' dan 'tulang keringnya bengkak' ?

Pada saya jawapan kepada permasalahan ini telah dinyatakan oleh Nabi SAW dalam hadithnya yang bermaksud:"Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan sehingga ibubapanyalah yang datang dan menjadikannya samada Yahudi, Nasrani dan Majusi."

Justru itu saya tetap berpendirian dalam mengaharungi suasana yang dicipta tidak kondusif moral dan disiplin ini, hanya institusi keluarga (ibubapa) sahaja yang mampu mengatasinya. Institusi sekolah hanya sekadar pelengkap yang berperanan memurnikan proses pendisiplinan tersebut.
Soalnya apakah institusi keluarga yang ada pada hari ini bersih dari konflik, krisis, dan benar-benar berkualiti yang memungkinkan mereka berperanan dengan berkesan ? Jika diakui banyak institusi keluarga berada dalam keadaan kritikal kualiti, siapakah atau pihak manakah yang harus memperbaikinya? Atau biarkan sahaja institusi keluarga itu begitu kerana ia fenomena biasa !? Atau kita terus korbankan masa guru-guru untuk meladeni krisis disiplin ini sambil guru-guru terus terdedah kepada pelbagai kemungkinan yang berbagai ???

Thursday, October 23, 2008

Akhlaq dengan Allah dan manusia

Bentuk-bentuk Akhlaq dengan Allah :

1.Mengenal Allah dengan yakin.
2.Merasakan kebesaran Allah setiap masa dan ketika.
3.Merasa takut dengan siksaan Allah.
4.Merasa senantiasa diawasi Allah walau di mana.
5.Merasa rendah diri terhadap Allah
6.Meridhai setiap takdir dan ketentuan Allah.
7.Sabar di atas ujian oleh Allah
8.Mencintai Allah lebih dari pada yang lain dan selalu mengingat-Nya
9.Tawakal kepada Allah dan mengharapkan rahmat-Nya setiap saat dan ketika
10.Rindu kepada syurga dan pertemuan dengan Allah

Bentuk-bentuk akhlaq kepada manusia

1.Mencintainya sebagaimana mencintai diri sendiri
2.Merasa gembira dengan kegembiraannya begitu pula bersedih
3.Mengharap kebaikan buatnya dan dijauh dari bencana
4.Benci terhadap kejahatannya tetapi kasihan terhadapnya dan
menasihatinya
5.Kebaikannya ditiru, kejelekannya diperbaiki dan dirahsiakan
6.Mengenang jasanya dan membalasnya karana Allah
7.Memaafkannya dan sanggup meminta maaf pula
8.Berlapang dada dan berbaik sangka dengan manusia.

Kesah tiga budak hitam

Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di atas pasir di persisiran sebuah pantai. Tiba-tiba seorang dari mereka tertendang sebiji botol. Beliaupun mengambil botol tersebut. Botol tersebut tertutup rapat dengan penutup gabus. Kesemua mereka keheranan dan tertanya-tanya apa yang ada di dalam botol tersebut. Lalu salah seorang dari mereka pun membukanya.

Terbuka sahaja botol tersebut, keluarlah jin yang amat besar. Jin tersebut ketawa-terbahak-bahak lalu berkata " Siapakah engkau hai manusia yang telah membebaskan aku? Aku telah terkurung dalam botol ini selama 100 tahun. Dalam masa terkurung aku telah bersumpah akan memberikan 3 permintaan siapa yang membebaskan aku dari botol ini.. Nah! Sekarang kamu semua pintalah apa-apa, akan aku tunaikan permintaanmu" Ketiga-tiga budak hitam itu mulanya terkejut tetapi bergembira apabila jin tersebut menawarkan untuk menunaikan permintaan mereka.


Jin pun berkata kepada budak yang pertama, " Pintalah!" Budak hitam pertama pun berkata . "Tukarkanlah aku menjadi putih supaya aku kelihatan lebih gagah" Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih.


Jin pun berkata kepada budak hitam kedua,"Pintalah!". Budak hitam kedua pun berkata ." Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan gagah, lebih putih dan gagah daripada budak yang pertama". Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih dan gagah lebih dari pada budak yang pertama.


Jin pun berkata kepada budak hitam ketiga, "Pintalah!". Budak hitam ketiga pun berkata ."Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan gagah, lebih putih dan gagah daripada budak yang pertama dan kedua". Jin pun berkata. " Tidak, permintaan itu tidak dapat aku perkenankan.


Pintalah yang lain..." Budak hitam ketiga keheranan dan terfikir-fikir apa yang mahu dipintanya. Setelah lama berfikir, budak hitam ketiga pun berkata " Kalau begitu, aku pinta kau hitamkan kembali rakan aku yang dua orang itu" Lalu jin pun tunaikan permintaannya. Kembalilah asal hitam kedua-duanya. Jin pun berlalu dari situ dan ketiga-tiga mereka tercengang-cengang dan tidak memperolehi sesuatu apa pun.


Moral: Sikap dengki, cemburu dan irihati seringkali bersarang di hati manusia. Manusia tidak suka melihat orang lain lebih dari mereka dan mengharapkan mereka lebih dari orang lain. Mereka juga suka melihat nikmat orang lain hilang. Sikap ini sebenarnya pada akhirnya merugikan manusia sendiri.

Wednesday, October 22, 2008

Kerap mengambil paracetamol boleh menyebabkan asma

Di Malaysia mengambil paracetamol kelihatan telah menjadi semacam perkara biasa. Ini mungkin kerana kebiasaan sejak dari zaman-berzaman. Kedua paracetamol mudah didapati di mana-mana kedai dan di mana-mana ceruk. Pening kepala, paracetamol. Sakit-sakit sendi, paracetamol. Sakit-sakit badan, paracetamol. Senggugut, paracetamol. Macam-macam keadaan tetap paracetamol!! Di bawah antara berita sohih tentang paracetamol.

"Kerap ambil paracetamol boleh asma

Pengambilan kerap paracetamol boleh meningkatkan risiko seseorang itu mengidap asma sehingga hampir tiga kali ganda, menurut kajian. Penyelidik menganalisa kekerapan penggunaan ubat penahan sakit pada lebih 500 orang dewasa yang mengidap asma dan 500 penduduk sihat di beberapa negara di Eropah. Hasil kajian menunjukkan risiko mengidap asma meningkat dengan penggunaan paracetamol sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Sebahagian pengidap penyakit asma memilih paracetamol kerana sensitif kepada aspirin atau ubat anti radang bukan steroid seperti Nurofen. Kajian yang diterbitkan dalam European Respiratory Journal memaparkan rencana yang ditulis oleh Dr Seif Shaheen mengatakan: "Bukti epidemiologi semakin banyak yang menunjukkan kaitan antara paracetamol dan asma".

Penyelidik percaya pengambilan kerap paracetamol, menurunkan paras 'antioxidant glutathione', yang ditemui dalam saluran penafasan dan hidung, bahan yang melindungi paru-paru dari pencemaran udara dan asap tembakau serta kesan membahayakan unsur lain.- Agensi.

Nota: Berita ini adalah dari sumber Berita Harian 23 September 2008.

Sang Semut 2

Oleh kerana kehidupan kita tidak boleh dipisahkan dengan semut maka saya tertarik sekali lagi menulis pasal semut. Arwah ibu saya juga agaknya seperti ibu-ibu yang lain, cukup menjaga makanan dan minuman agar tidak diserang semut. Masa saya kecil-kecil dulu saya tidak tahu kenapa ibu tidak benarkan kami makan atau minum minuman yang dimasuki semut.
Walaupun semut menyusahkan kita di dapur-dapur rumah tetapi sang semut tidak pernah ambil peduli akan sikap manusia terhadap masyarakat mereka. Semut terus dengan aktiviti sehariannya yang aktif dan rajin. Kerana sikapnya yang istimewa itu, kini manusia pula menjadikan semut sebagai lambang produktiviti.

Semut adalah merupakan antara makhluk Allah yang sangat teratur dalam berpersatuan. Setiap individu semut ada peranan dan tugas yang khusus. Mereka cukup berdisiplin sehingga mereka tidak mengganggu tugas-tugas individu semut yang lain kecuali apabila diminta tolong. Semut adalah binatang yang cukup murah dengan pertolongan sesama mereka. Pendek kata memberi pertolongan sesama mereka adalah budaya mereka.

Ada semut yang tugasnya hanya mencari lokasi makanan, dan ada yang hanya menjaga permaisuri dan anak-anak mereka. Cukup menarik ialah semut yang paling kuat hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan yang bertugas menjaga sarang-sarang mereka 24 jam.

Masyarakat semut mengamalkan kerja berpasukan (teamwork). Apabila pasukan peninjau menjumpai lokasi makanan, pasukan ini akan kembali ke sarang untuk meminta pertolongan. Sebaik arahan diterima beratus-ratus ekor semut akan keluar untuk ke lokasi makanan dan membawa balik makanan ke sarang. Jika makanan terlalu besar, semut-semut akan memotong makanan tersebut menjadi kecil, agar mudah dibawa. Jika di kawasan lapang dan mudah, semut-semut akan mengusung makanan yang besar itu beramai-ramai sehinggalah ke laluan yang sukar di mana mereka akan mengecilkan makanan tersebut.

Di medan tempur semut cukup hebat. Mereka sangat padu dan sentiasa bertempur sebagai satu pasukan. Semut mungkin kecil tetapi jumlah dan perpaduan mereka adalah penting. Musuh yang besar seperti kumbang boleh tewas di tangan semut kerana semut akan menarik dan menggigit kaki, anteana, kepak, dan bahagian lain anggota badan sehingga musuh mereka tidak berdaya untuk mempertahankan diri. Cukup dulu setakat ini sebagai renungan. Bersambung nanti dalam Sang Semut 3 .....

Tuesday, October 21, 2008

Melamine dan bahan-bahan lain; prihatinlah dengan apa yang kita makan.

Melamine adalah sejenis sebatian yang biasanya digabungkan dengan sejenis sebatian lain yang dipanggil formaldehyde bagi membentuk melamine resin (gala-gala melamine atau cecair pekat seperti gam), sejenis polymer tiruan yang tahan api dan tahan panas. Melamine resin dibuat dengan campuran urea dan formaldehyde di bawah kepanasan dan tekanan. Di bawah tekanan, melamine akan mengeluarkan air yang boleh menjadikan plastic tidak stabil dan mudah bentuk.

Apakah formaldehyde ? Bahan ini adalah sebatian chemical yang biasa digunakan dalam proses pembuatan dalam sektor industri dan perkilangan . Ramai orang sebenarnya sangat tahu tentang kesan dan fungsi formaldehyde ini dalam bentuk formalin iaitu sejenis bahan yang digunakan untuk menjeruk sesuatu. Chemical toxic ini diketahui sebagai antara penyebab aktif bagi barah dan berbagai jenis masalah kesihatan. Oleh sebab itu ramai orang awam yang mengetahui melamine begitu membahayakan kesihatan dan mengelak dari mengambil, mengguna atau makan makanan yang mengandungi formaldehyde dalam melamine ini.

Disamping kegunaan biasa dalam bidang pernigaan komersil, melamine pernah menjadi isu perbincangan yang hangat dalam sekitar tahun 2007 di mana kalangan saintis veterina mendapati melamine menjadi punca kepada kematian banyak binatang kesayangan (pet animals) akibat dari pencemaran makanan. Sebelum itu melamine diklasifikasikan sebagai tidak beracun atau bahan minimal toksid. Walau bagaimanapun kehadiran melamine dalam kanji gandum yang diproses sebagai makanan binatang peliharaan telah menjadi punca kematian binatang peliharaan. Berlaku kerusakan buah pinggang akibat dari kesan ammonia yang terhasil dari proses penghadaman melamine.

Isu melamine kembali hangat dan menjadi perhatian dunia apabila banyak susu keluaran negeri Cina tercemar dengan kandungan melamine yang begitu tinggi sehingga mengakibatkan kematian bayi dan memberi kesan penyakit kepada penduduk negeri Cina. Dari peristiwa ini, kebanyakan negara mengambil sikap tegas dan berhati-hati terhadap produk dari negeri Cina dan produk dari mana-mana negara yang mengandungi melamine dalam pembuatannya.

Dan kini kajian makmal di negara kita Malaysia mendapati beberapa jenis biskut, gula-gula mengandungi melamine. Maka itu berhati-hatilah dengan apa yang kita makan.... Kerana kita sebenarnya terdedah dengan racun setiap masa dan ketika. Sesungguhnya sikap peka dan prihatin dengan apa yang kita makan adalah sebenarnya ajaran agama suci kita, Agama Islam. Makanlah yang suci, bersih, selamat dan HALAL.

Budaya baru yang membimbangkan.

Bercakap bahasa kotor atau lucah dan berbahasa kasar (maki hamun) telah mula kelihatan menjadi budaya yang kerap kedengaran berlaku dalam kalangan para pelajar sekolah pada hari ini. Tidak kiralah mereka dari tahun berapa atau tingkatan berapa, perkataan seperti 'bodoh', 'bangang', 'gampang', 'babi', 'kurang ajar engkau', ' mampus' dan seumpamanya menjadi semakin lumrah dalam percakapan mereka.
Tersilap bertengkar akan terhambur kata-kata 'bodoh engkau !'. Terpijak selipar kawan, kawan akan melontar kata-kata ' babi !'. Terlanggar bahu kawan, akan dapat hadiah ' kurang ajar !'. Tersilap bergurau, ' gampang!' akan kedengaran. Dan macam-macam lagi.
Apakah maknanya fenomena seumpama ini. Adakah ia tidak akan memberi apa-apa kesan dalam pembentukan generasi baru ? Perlukah ia diambil sebagai suatu hal yang serius atau biarkanlah ianya berlaku kerana itu merupakan fenomena biasa ? Kita ada jawapan dan alasan masing-masing.
Namun bagi saya, ini merupakan suatu fenomena yang begitu membimbangkan. Ianya bukan sahaja menghakis tatasusila orang Melayu malah ia mampu memberi imej yang buruk kepada Islam dan meruntuhkan akhlak dan moral ummah dalam kalangan masyarakat majmuk pelbagai kaum ini di negara ini
Apabila sesuatu perkara berlaku maka kita sentiasa mencari apakah puncanya. Maka punca itu melahirkan suatu impak yang negatif tidak positif ? Dan bagaimanakah cara penyelesaiannya.? Tiga persoalan yang saya kemukakan adalah merupakan anak kunci kepada penyelesaian masalah.
Oleh kerana fenomena ini banyak berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, apakah harapan kita terhadap dasar pelajaran yang kita laksanakan sekarang ? Bolehkah kita mengharapkan kepada dasar yang ada ? Bagaimana pula dengan peranan Institusi keluarga yang berbagai-bagai latar belakang itu ?
Saya tetap mengatakan semua ini perlu kepada keperihatinan segera sebelum ia menjadi buruk dan membarah . Masalahnya keperihatinan segera siapa ?

Monday, October 20, 2008

Sang semut

Terkena gigitan semut gatal atau semut merah cukup menyakitkan. Kulit yang alah dengan gigitan semut-semut tersebut boleh berkudis jadinya. Tanah berpasir cukup banyak semut-semut seperti ini. Semut halus atau juga dipanggil orang, semut mayat cukup mengganggu. Pantang makanan manis tidak ditutup atau tidak disimpan di tempat yang selamat, semut mayat ini akan berkubang terlebih dahulu di dalam makanan atau minuman tersebut. Habis satu bekas atau satu balang makanan atau minuman terpaksa dibuang.

Tapi kadang-kadang semut-semut ini cukup memberi pengajaran kepada manusia. Sikap rajin dan semangat muhibbah dan gotong royong sama sebangsanya cukup mengkagumkan. Kerajinan semut boleh dilihat sepanjang masa. Jarang kita lihat semut duduk termenung. Setiap saat dan ketika semut akan bergerak mencari-mencari dan bekerja. Semut adalah satu makhluk Allah, yang sangat menjaga hubungan kasih sayang sesama mereka. Setiap kali berjumpa mereka akan bertanya khabar dan bersalam-salaman sama ada kenal atau tidak. Hebat semut. Manusia ? Manusia hanya mesra dengan kroni dia sahaja!

Semangat yang tinggi, kreatif dan kerja sama yang sistematik adalah amalan semut. Keropok keping yang berpuluh-puluh kali ganda darinya mampu diangkat dan diangkut bersama. Punya berdisplin yang mengangkut, sentiasa patuh kepada arahan 'supervisor' yang sentiasa bergerak di sekeliling mengawasi dan memantau operasi mengangkat keropok keping. Inilah secebis kesah makhluk semut yang sangat saya amati petang tadi.

Dikebanyakan masa semut dianggap sebagai tidak penting dan pengganggu oleh kebanyakan daripada kita. Tetapi makhluk semut ini sebenarnya mempunyai karektor yang cukup hebat seperti sedikit yang saya jelaskan di atas.

Walaupun semut, makhluk yang kecil tetapi dia mempunyai otak yang mana satu koloni semut yang berjumlah 40,000 ekor menyamai otak seorang manusia. Semut mampu mengangkat 20 kali ganda berat badannya.

Semut telah menetap di bumi ini sejak 100,000 tahun lampau dan boleh dijumpai di mana-mana di atas planet bumi ini. Dianggarkan terdapat 20,000 jenis spesis semut tetapi sebanyak 9500 jenis spesis yang telah dikenal pasti.

Makhluk yang halus ini adalah merupakan makhluk yang sangat kreatif, sistematik dan merupakan golongan arkitek yang hebat. Mampu membina sarang dari kayu yang reput, daun-daun kayu dan tanah tanih secara begitu padu dan menakjubkan.

Sesungguhnya semut sangat penting dan berkesan dalam memberi fungsi eco-sistem khususnya di hutan hujan tropika.

Rahsia Bulan Lahir & Tabiat Wanita Menurut Tajul Muluk

Tajuk Muluk begitu sinonim dalam astrologi zaman silam, khususnya dalam masyarakat Melayu dalam menafsirkan watak-watak wanita, mimpi, hari yang baik dan terjemahan lain dalam kehidupan sehari-hari. Kini, kitab Tajul Muluk yang pernah terkenal suatu ketika dahulu sudah sukar dicari. Namun cebisan ilmunya masih diperturunkan oleh mereka yang arif mengenainya. Ia adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Di sini diperturunkan tafsiran dari Kitab Tajul Muluk mengenai tabiat wanita mengikut bulan kelahiran mereka.

JANUARI
Ramai kenalan sedikit pemalu dan bersungguh-sungguh bila melakukan kerja.

FEBRUARI
Boleh dipercayai, pandai membuat kerja, sangat teliti dalam urusan kerja tapi suka bermain cinta.

MAC
Ringan tulang, mudah membantu tiada bakat dalam perniagaan kecuali diberikan bimbingan. Mudah tergoda dengan lelaki, tak pandai menyimpan wang dan suka bersendirian.

APRIL
Tabiatnya lekas naik darah, pertuturan keras dan kedekut.

MEI
Suka merendah diri, penyabar, suka meminta bantuan orang lain, tiada bakat dalam perniagaan, manis pertuturan.

JUN
Banyak ilmu pengetahuannya, ringan tulang, hidupnya dalam kemewahan, perkahwinannya tidak kekal, pernikahan lebih dari sekali.

JULAI
Banyak pancaroba hidup dan godaan, banyak memperoleh rezeki.

OGOS
Bernikah lebih dari sekali, berbakti kepada suami, rezekinya kepada suami, rajin berusaha.

SEPTEMBER
Murah hati, tabah dalam dugaan, mempunyai anak yang ramai.

OKTOBER
Murah rezeki, keras hati, mudah simpati

NOVEMBER
Rajin, pandai berbicara, mudah menyeleweng, tidak memanfaat harta pusaka.

DISEMBER
Rajin berusaha, lekas naik darah, keras hati, bila marah berapi-api, anaknya ramai lelaki dan murah rezeki.
Nota: Artikel ini hanyalah sebagai bahan bacaan semata-mata untuk menambah ilmu pengetahuan bukan untuk dipercayai 100%. Artikel ini adalah dari pelbagai sumber dari laman-laman siber dan ia adalah hak milik penulis asalnya. Dari itu setinggi penghargaan diberikan kepada pemilik sebenar artikel ini walau siapapun dirinya dan di mana dia berada.

Terima kasih

Anda adalah pengunjung yang ke 100 blog saya. Keperihatinan dan sokongan anda kepada blog yang berusia setahun jagung dan masih begitu banyak kelemahan dan kekurangan ini, amat saya hargai. Semoga anda terus memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis bagi melontar apa yang saya fikir dan terfikir untuk kepentingan kita bersama. Begitulah juga harapan saya kepada pengunjung-pengunjung yang lain. Apalah blog ini tanpa anda semua. Komen, pandangan dan nasihat anda semua sentiasa saya alu-alukan.Teruslah layari: http://sazilimohdnor.blogspot.com/ Terima kasih.

Sunday, October 19, 2008

Banyaknya rumah burung layang-layang....siapa punya ?

Dalam perjalanan menghadiri jamuan hari raya sebentar tadi saya dapat melihat banyak terbina rumah-rumah burung layang-layang yang cukup besar. Saya menganggarkan harga sebuah rumah burung layang-layang tersebut dalam lingkungan RM200.000 hingga RM300.000. Rumah-rumah burung ini terbina terlalu banyak di celah-celah tanah orang Melayu di kampung-kampung tradisional.

Apa yang saya dengar hampir kesemua rumah-rumah burung layang-layang yang terbina ini adalah bukan hak milik orang Melayu. Kebanyakannya adalah hak milik saudagar-saudagar Cina. Timbul persoalan dalam fikiran saya, kalau rumah burung layang-layang itu hak milik saudagar-saudagar Cina, maknanya tanah tempat terdirinya rumah-rumah burung itu sudah pastilah tanah-tanah saudagar-saudagar Cina tersebut.

Dalam sistem ekonomi bebas tidak salah sama sekali saudagar-saudagar Cina tersebut membeli tanah sesiapa sahaja yang mahu menjual, termasuk tanah-tanah orang Melayu. Tidak salah, dan saya bukan mahu menyalahkan mereka yang membeli tanah-tanah itu. Mereka ada wang dan mampu membeli maka itu menjadi hak mereka. Begitu juga tidak salah juga orang-orang Melayu yang menjual kerana itu hak mereka. Mereka hendak jual dan fikir perlu dijual, juallah!

Tetapi benak fikiran saya terus berfikir ligat. Katanya tanah ini Tanah Melayu. Bangsa Melayu diiktiraf sejarah sebagai penduduk asal dan bangsa yang mendominasi Malaysia. Maka tanah adalah harta yang membuktikan dominasi tersebut. Masalahnya, jika tanah orang-orang Melayu semakin berkurangan berbanding bangsa lain apakah tanah ini boleh dikatakan tanah orang Melayu lagi atau masih bolehkah orang-orang Melayu menjadi terus dominan dalam negara ini ?

Saya pelik kenapa orang-orang Melayu begitu mudah menjual tanah ? Negara sudah merdeka 51 tahun, susah benarkah orang-orang Melayu sehingga terpaksa menjual tanah-tanah mereka? Banyakkah selesai masalah orang-orang melayu dengan terjualnya tanah-tanah mereka itu ? Cukupkah harta warisan mereka untuk keturunan mereka dengan terjualnya tanah-tanah mereka? Seribu satu persoalan berputar-putar di pemikiran saya. Paling mengganggu pemikiran saya, persoalan akan dominan lagikah orang-orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu jika tanah-tanah orang Melayu semakin berkurangan berbanding bangsa-bangsa lain ? Entahlah……..terkenang saya akan Melayu Singapura.

Tabiat membaca tapi apa yang kita baca

Malam tadi sebelum tidur saya terjumpa satu rencana yang menulis mengenai Laporan Kualiti Hidup Malaysia yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri mendapati, kadar literasi pada tahun 2002 iaitu 7 tahun yang lalu adalah 93.8 peratus. Tetapi menurut laporan tersebut rakyat Malaysia pada ketika itu cuma membaca purata dua judul buku setahun. Alasan tidak membaca adalah tidak berminat, tidak ada masa dan harga buku mahal.

Kajian aktiviti kanak-kanak 5 hingga 11 tahun pula menunjukkan:

* 33 % bermain dengan rakan sebaya.

* 31 % menonton television dan video

*Cuma 19% membaca.

Yang 19% membaca itu, membaca:

* 41 % membaca komik

* 26 % membaca buku

* 16% membaca majalah dan akhbar

Lazimnya pelajar membaca buku pelajaran dan buku teks untuk lulus peperiksaan. Rakyat membaca akhbar harian untuk menambah ilmu dan mengikuti perkembangan semasa. Mereka membaca sekadar 15 hingga 30 minit sahaja. Cuma warga pencen dan suri rumah membaca sehingga satu jam.

Itu 7 tahun yang lalu. Apakah minat membaca kini semakin meningkat? Apa yang jelas minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah masih rendah dan ini dapat diukur dari pengetahuan am mereka yang cukup lemah. Tidakkah sindrom tidak minat membaca ini akan membantu kelahiran generasi interlektual masyarakat kita ?

Rahsia warna dan corak tali leher

Tali leher adalah merupakan antara pakaian rasmi bagi sebahagian besar pekerjaan. Ia mempunyai pelbagai gaya dan fesyen tersendiri. Sipemakai bebas memilih apa sahaja warna dan fesyen mengikut trend semasa. Namun pemakaian tali leleher sebenarnya ada rahsia warna dan coraknya.

BIRU.
Warna paling popular sepanjang masa, simbol ketulusan hati, tenang dan yang terbaik. Dan dapat pula menggambarkan sifat yang jujur, pekerja yang rajin dan rendah diri. Secara psikologi warna biru memberi kesan ketenangan.

MERAH
Merah adalah warna yang menggambarkan semarak cinta dan kemarahan, bahaya dan keberanian dan tanda sensualiti seseorang.

OREN
Bukan warna yang popular dan oren yang kemerahan menggambarkan bahaya.

HITAM
Secara tradisional hitam adalah warna yang tidak menarik dan simbol kedukaan. Tali leher berwarna hitam jika dipadukan dengan garis yang cerah ia menjadi begitu elegan.

KELABU
Menggambarkan watak pemakai yang mempunyai kesungguhan untuk mendapatkan sesuatu

KUNING
Muda, penuh harapan dan bahagia

HIJAU
Memberi kesan pada sipemakai sebagai seorang yang berwawasan luas tetapi sulit untuk dimengerti. Namun demikian ia menggambarkan seorang yang jujur.

COKELAT
Warna yang kelihatan agak kotor, menggambarkan sifat yang terbuka dan mempunyai daya bisnes yang kuat.

BERGARIS
Agak konservatif, teratur, bleh diharapkan, ceia dan teman yang menghibur.

POLKADOT
Lebih banyak dipakai oleh pelawak, menimbulkan kesan humor dan lucu, apatah lagi dengan bulatan yang besar. Bulatan kecil memberi kesan yang lebih baik.

BERCORAK GELOMBANG
Menggambarkan kebebasan dan santai. Bentuk paisley menggambar kreatif dan relaks.

Nota: Artikel ini disiarkan sebagai wadah perkongsian ilmu dan hanyalah sebagai bahan bacaan semata-mata, bukan untuk dipercayai 100%. Artikel ini bukan hak milik penulis blog ini, ia adalah hal milik penulis asalnya. Oleh itu setinggi penghargaan diberikan kepada pemilik sebenar artikel ini walau siapapun dirinya dan di mana dia berada.

Saturday, October 18, 2008

Apakah ini budaya bangsa kita ?

Budaya kita. Memang begitulah budaya kita agaknya. Menepati masa, membuang masa. Tidak menepati masa pun membuang masa. Pagi tadi saya dijemput memberi ceramah anjuran sebuah agensi kerajaan di Balai Raya sebuah kampung tradisonal. Sasaran ceramah adalah ibubapa dan anak-anak mereka dari golongan belia. Tercatat dalam surat jemputan jumlah kehadiran adalah dalam lingkungan 100 orang.

Saya sampai tepat pukul 8.25 pagi untuk memulakan ceramah yang diamanahkan kepada saya pada pukul 8.30 pagi. Sebaik sampai, saya melihat hanya ada tiga orang di balai raya tersebut. Semuanya petugas pendaftaran dan siaraya. Saya tidak keluar sebaliknya terus memerhati dari dalam kereta. Pukul 9 pagi keadaan macam tidak ada majlis yang akan berlaku. Saya mula tertanya-tanya, betulkah tempat ini saya sepatut hadir atau tempat lain ? Lantas saya keluar memperkenalkan diri dan bertanya inikah tempatnya ?

Petugas kelihatan kelam kabut melihat kehadiran saya dan pelbagai alasan yang diberikan. Saya hanya senyum dan angguk-angguk. Saya dibawa ke dalam bilik mesyuarat Balai Raya tersebut. Tepat pukul 9.45 pagi baru ceramah saya dimulakan dengan para peserta seramai 10 orang termasuk petugas agensi terbabit.

Inilah pertama kali saya berceramah di hadapan khalayak yang hanya berjumlah 10 orang. Kumpulan sasaran agensi kerajaan ini tidak hadir. Matlamat sudah pasti tidak tercapai. Inilah yang biasa dihadapi apabila memberi ceramah dalam masyarakat kita, kumpulan sasaran biasa tidak ramai yang hadir sebaliknya yang ramai adalah mereka yang mempunyai kesedaran untuk memajukan dan membaiki diri dan keluarga, serta mereka yang mencintai ilmu.

Inilah delima yang dihadapi oleh masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu. Suasana yang tidak kondusif ilmu, yang sarat sanjungan terhadap hiburan murahan, membentuk mereka menjadi ahli masyarakat yang tidak mencintai ilmu, tidak tahu nilai dan kepentingan ilmu dalam pembinaan kehidupan mereka. Dunia yang penuh cabaran dan tribulasi dihadapi dengan cara yang cukup santai dan bersahaja tanpa fokus. Jika begini gayanya, mampukah mereka berubah atau akhirnya nanti mereka akan terus menjadi pengemis kehidupan. Sungguh mengerikan.

Saya teringat catatan cerita Abdullah Munsyi sewaktu berada di Pahang dalam "Kesah Pelayaran Abdullah" dalam sekitar tahun 1837-1838. Betul atau tidak saya tidak pasti tapi inilah antara yang di ceritakan oleh Abdullah Munsyi:

"Maka sahaya lihat hal negeri Pahang itu seperti dusun adanya, tiada berpasar dan kedai, dan tiada lorong yang boleh berjalan-jalan...... Tetapi adalah tanah Pahang itu sahaya lihat terlalu sayang hati sebab terbuang dengan menjadi hutan rimba, sebab malas dan lalai orang dalam negeri itu....... Maka adalah sahaya lihat orang-orangnya dalam seratus sepuluh sahaja yang bekerja; dan yang lain itu lalai sahaja sepanjang hari, dalam hal miskin dan jahat.... Dan yang ada setengah tabiat mereka hendak bercantik sahaja, memakai kain baju dan seluar yang bagus-bagus, tetapi tiada ia mahu mencari jalan kehidupannya...... Maka adalah sahaya lihat antara mereka itu kebanyakan orang yang makan madat, serta dengan kurus dan pucatnya...".

Maka merintih lagi Abdullah Munsyi:

"Syahadan, maka tiadalah tentu satu atau dua tempat orang mengajar mengaji, melainkan adalah sepuluh dua belas rumah seorang dua orang anak-anak mengaji Quran......semuanya daripada kecilnya ia memulai mengaji Quran juga dengan tiada ia mengerti.... Maka adalah sahaya tersangat dukacita adanya, sebab sayang hati mendengarkan bunyi bahasa mereka itu terlalu bagus lagi dengan manisnya kerana tiada mereka itu mahu belajar bahasanya sendiri, lagi pun tiada ia menaruh akan tempat belajar itu.

Saya tertanya-tanya kenapa sikap-sikap negatif yang telah ada dalam kalangan masyarakat Melayu sejak tahun 1800, masih wujud dan sebahagiannya membudayai kehidupan mereka. Maka hari ini saya mendapat antara jawapannya. Mereka tidak kesah akan ilmu dan tidak mencintai ilmu. Bila keadaan ini akan berubah atau tahun 3000 nanti anak cucu kita akan terus membaca catatan seumpama yang di tulis oleh Abdullah Munsyi ?