Thursday, October 16, 2008

Debat Ala Parlimen antara IPG Malaysia 2008

Bagi saya satu acara koakademik yang menarik ialah Debat Ala Parlimen. Para pelajar, tidak kira di mana institusi pun, wajar mengambil peluang untuk mempelajari dan berusaha mengambil bahagian dalam debat ini. Ia bukan sahaja melatih dan mampu mengasah bakat memberi idea yang bernas, namun lebih jauh lagi, ia mampu melatih emosi yang tenang, tindakan yang rasional, fikiran yang tajam, kecekapan menganalisa dan melontar idea dalam suasana yang tegang dengan bersahaja, tetapi cukup bertenaga dan meyakinkan.
Kita tahu, begitu ramai para pelajar yang berbakat dan mampu dilatih untuk menjadi pendebat yang baik. Itu merupakan tugas yang mudah untuk dilakukan. Namun, lebih jauh dari itu, pihak IPG seharusnya juga mampu membentuk para pengurus dan jurulatih yang prihatin dan peka serta bersikap profesional. Dan juga harus mampu melatih para pendebat yang bukan sahaja pendebat yang mampu melontar idea bernas dan membidas, tetapi lebih penting, para pendebat yang faham dan mahir aspek-aspek penilaian hakim.
Para penonton, para pengurus pasukan dan jurulatih, seharusnya sentiasa menyedarkan diri mereka bahawa pertandingan debat adalah pertandingan yang dihakimi. Para hakim disediakan borang penghakiman dan harus menanda senarai semak format atau perincian debatan dan akhirnya membuat penilaian. Manakala para penonton termasuk pengurus pasukan dan jurulatih walau bagaimana bijak dan mahirnya mereka dalam debat, mereka sebenarnya hanya menonton dan menilai secara umum dalam suasana yang emosional tanpa ada borang penghakiman sebagai panduan. Keadaan ini sudah pasti mampu memeranjatkan mereka jika keputusan yang tidak diduga oleh mereka diumumkan.
Di sinilah mereka wajar bersikap profesional dan rasional untuk menerima hakikat bahawa para hakim tidak terpengaruh dengan suasana, melainkan mesti berpandukan kepada borang penghakiman. Jika mereka tidak dapat menerima keputusan para hakim, maka mereka harus mengesyorkan kepada pihak atasan agar pertandingan Debat Ala Parlimen dianjurkan seperti mana Akademi Fantasia dilaksanakan!
Satu perkara lagi yang perlu diperbaiki dalam Debat Ala Parlimen antara Institusi Perguruan ini ialah rupa bentuk usul yang disediakan untuk debatan. Dalam pertandingan mana-mana Debat Ala Parlimen format umumnya ialah Pihak Kerajaan lawan Pihak Pembangkang. Dan hanya pihak Kerajaan yang membentang usul. Contoh yang saya kemukakan ini adalah cukup kelakar apabila pihak Kerajaan yang memerintah membentangkan usul yang berbunyi " PERPADUAN KITA SEMAKIN BAIK: INDAH KHABAR DARIPADA RUPA".
Dalam membentang usul ini pihak Kerajaan terpaksa bersikap negatif terhadap program-program perpaduan yang telah mereka laksanakan selama ini. Manakala pihak pembangkang pula terpaksa memuji dan mempertahankan pihak kerajaan! Keadaan ini sepatutnya hanya boleh berlaku jika kerajaan memerintah, baru sahaja mengambil alih pemerintahan kerajaan yang baru ditumbangkan. Atau usul ini sepatutnya dibentang oleh pihak Pembangkang.
Banyak lagi tajuk-tajuk usul yang menyusahkan pendebat hinggakan ramai pendebat yang sering tersasul, pihak kerajaan 'termengaku' pembangkang dan pihak pembangkang 'termengaku' kerajaan. Hinggakan ada seorang pendebat terpaksa menepuk dahinya sendiri sambil berkata, " eh...apa yang YB cakap ni, saya pening...peninglah..." sambil melihat ke siling dan kemudian mengoncang-goncang kepalanya sendiri. Mana tidaknya, cuba lihat antara usul-usul lain yang kerajaan bentangkan:
1. Sistem Pendidikan Wajar Diubah.
2. Negara Merdeka : Kita Leka.
3. Kecemerlangan Pelajar Hanya Sekadar Kuantiti.
4. Jati Diri Generasi Muda Semakin Terhakis.
Semoga pertandingan Debat Ala Parlimen antara Institut Perguruan Peringkat Kebangsaan dapat di tingkatkan kualiti pendebat, kefahaman terhadap aspek-aspek penghakiman dengan jelas dan diperbaiki usul-usul yang disediakan. Teruskan usaha yang baik dan semoga lebih berjaya.

2 comments:

AFIF YAHYA said...

saya setuju dengan apa yang dikatakan.saya juga seorang pendebat bagi Universiti Teknologi Mara Melaka dan saya sudah merasakan perkara di atas seawal penglibatan saya dalam dunuia perdebatan ini. Amat sukar untuk pihak kerajaan menegetifkan diri dan menolak atas apa yang mereka telah usahakan selama ini.

sMarties tEacher said...

ada benarnya..saya juga seorang bekas pendebat sbp dan kini menjadi pendebat ipg..namun kita harus sedar, dalam perdebatan pemikiran dan pengetahuan harus flexible..jika kita melihat kepada usul debat diraja contohnya, yang sebahagian usulnya juga menegetifkan pihak kerajaan mereka seperti :
1.F1 1Malaysia satu pembaziran
2.Bajet 2010 membebankan rakyat
3.Pembangunan Ekonomi Meruntuhkan Moral Masyarakat.
4.Pilihanraya Kecil Perlu Dimansuhkan
5.Pembangunan Sukan Di Malaysia Tidak Mencukupi
6.Pendidikan kita ketinggalan

dan banyak lagi...namun ianya telah dan boleh diperdebatkan dengan baik..bergntung kepada konsep perdebatan yg digunakan..namun, apa yang saya harapkan debat antara IPG mengemukan usul perdebatan yg menarik,mudah(huhuhu) dan flexible...