Monday, October 20, 2008

Sang semut

Terkena gigitan semut gatal atau semut merah cukup menyakitkan. Kulit yang alah dengan gigitan semut-semut tersebut boleh berkudis jadinya. Tanah berpasir cukup banyak semut-semut seperti ini. Semut halus atau juga dipanggil orang, semut mayat cukup mengganggu. Pantang makanan manis tidak ditutup atau tidak disimpan di tempat yang selamat, semut mayat ini akan berkubang terlebih dahulu di dalam makanan atau minuman tersebut. Habis satu bekas atau satu balang makanan atau minuman terpaksa dibuang.

Tapi kadang-kadang semut-semut ini cukup memberi pengajaran kepada manusia. Sikap rajin dan semangat muhibbah dan gotong royong sama sebangsanya cukup mengkagumkan. Kerajinan semut boleh dilihat sepanjang masa. Jarang kita lihat semut duduk termenung. Setiap saat dan ketika semut akan bergerak mencari-mencari dan bekerja. Semut adalah satu makhluk Allah, yang sangat menjaga hubungan kasih sayang sesama mereka. Setiap kali berjumpa mereka akan bertanya khabar dan bersalam-salaman sama ada kenal atau tidak. Hebat semut. Manusia ? Manusia hanya mesra dengan kroni dia sahaja!

Semangat yang tinggi, kreatif dan kerja sama yang sistematik adalah amalan semut. Keropok keping yang berpuluh-puluh kali ganda darinya mampu diangkat dan diangkut bersama. Punya berdisplin yang mengangkut, sentiasa patuh kepada arahan 'supervisor' yang sentiasa bergerak di sekeliling mengawasi dan memantau operasi mengangkat keropok keping. Inilah secebis kesah makhluk semut yang sangat saya amati petang tadi.

Dikebanyakan masa semut dianggap sebagai tidak penting dan pengganggu oleh kebanyakan daripada kita. Tetapi makhluk semut ini sebenarnya mempunyai karektor yang cukup hebat seperti sedikit yang saya jelaskan di atas.

Walaupun semut, makhluk yang kecil tetapi dia mempunyai otak yang mana satu koloni semut yang berjumlah 40,000 ekor menyamai otak seorang manusia. Semut mampu mengangkat 20 kali ganda berat badannya.

Semut telah menetap di bumi ini sejak 100,000 tahun lampau dan boleh dijumpai di mana-mana di atas planet bumi ini. Dianggarkan terdapat 20,000 jenis spesis semut tetapi sebanyak 9500 jenis spesis yang telah dikenal pasti.

Makhluk yang halus ini adalah merupakan makhluk yang sangat kreatif, sistematik dan merupakan golongan arkitek yang hebat. Mampu membina sarang dari kayu yang reput, daun-daun kayu dan tanah tanih secara begitu padu dan menakjubkan.

Sesungguhnya semut sangat penting dan berkesan dalam memberi fungsi eco-sistem khususnya di hutan hujan tropika.

No comments: