Wednesday, October 29, 2008

Secebis Kisah.....1

"Sir, nak jumpa sir kejap, sir sibuk ke ?" tiba-tiba tanya seorang pelajar tingkatan 3 dari luar tingkap bilik saya. " Apa hal ?" tanya saya ringkas.
"sir sibuk tak ? Kalau sibuk tak apalah.." dia mahu kepastian.
"Sibuk memang sibuk, tapi saya nak awak masuk dulu, cakap apa masalah awak," saya memberi arahan.

Pelajar itu memberi salam, masuk dan terus duduk tanpa disuruh-suruh. Mukanya seperti hendak marah bercampur sedih dan geram. Tiba dia menangis, "Saya nak tukar sekolah sir, boleh tak?". Dia minta izin dengan saya macam saya ini ayah dia pulak.

"Kenapa awak nak tukar sekolah, cuba cakap kat saya? PMR tahun ini, kenapa ni ?" tanya saya simpati.
"Saya nak tukar juga....nak tukar juga," beria-ia dia menangis sambil menghentak-hentak kakinya ke lantai. Tercengang saya dibuatnya. Apa kena budak ni?

"Sabar dulu...Fatimah (bukan nama sebenar) ceritakan kat sir apa pasal nak tukar sekolah?"
"Makcik tu, makcik tu suruh tukar !"
"Sapa makcik tu?", saya semakin 'confuse' .
"Sir saya tak nak tukarlah sir, tolonglah sir !". Aik! Tadi kata nak tukar, ini kata tak nak tukar pula! Lagi confuse saya dibuatnya.

Beginilah tugas kita sebagai seorang guru, melayani pelbagai kerenah emosi pelajar-pelajar. Bukan sahaja kita mesti menyelesaikan masalah pelajaran malah masalah emosi, keluarga dan adakalanya masalah kewangan mereka.

Pada saya cikgu tidak boleh sekadar menjadi cikgu. Cikgu mesti menjadi pendidik dan mak ayah kepada para pelajar. Ramai ibubapa kandung tidak percaya, sebenarnya kita lebih banyak tahu dan kenal anak mereka daripada mereka tahu dan kenal anak meraka sendiri. Seperti pelajar yang saya ceritakan di atas betapa confusenya budak itu sehingga pada awalnya saya pun jadi confuse juga.

"Fatimah, boleh sir tahu sapa makcik tu?" tanya saya lagi.
" Dia nak kahwin dengan ayah sayalah sir ", dia menjawab macam bosan dengan soalan saya. Hendak saya tanya kenapa makcik suruh tukar, bimbang pulak dia bosan lagi. Sayapun buat andaian, "Makcik suruh tukar mungkin ada sebablah agaknya. Sekolah kat sini jauh dan belanja lebih sikit. Sebab itu makcik suruh sekolah dekat je."

"Saya bukan guna duit dialah sir, saya tak guna pun duit dia. Yang dia sibuk tu kenapa ?" dengan nada marah dia tanya nya saya. Manalah saya tahu.

"Kamu ni Fatimah, macam tak suka sangat dekat makcik tu kenapa ?".
"Benci !".
" Kamu tahu tak , tak baik benci dia kerana dia akan menjadi mak kamu" nasihat saya.
" Macam mana tak benci sir, dia buangnya gambar arwah mak saya, habis rosak", makin kuat Fatimah menangis. Saya mula terasa tersentuh melihat keadaan Fatimah. Fatimah ni adalah seorang anak yang telah kehilangan kasih sayang ibu tatkala dia berusia 10 tahun. Ibunya telah meninggal dunia kerana barah payu dara.

Si makcik tu satu, kalau dah nak kahwin dengan ayah budak tu janganlah dibuangnya gambar mak budak tu, tak cerdik sungguh makcik tu, rungut hati saya.

"Ok... Fatimah makcik tu belum menjadi mak kamu, apa kamu nak risaukan ?"
"Masalahnya sir, saya bimbang ayah akan dengar cakap makcik sebab ayah pun dah setuju saya tukar sekolah. Tapi saya suka sekolah sini. Saya takut ayah paksa saya tukar."
Kesian Fatimah. Dia pelajar yang cerdik dan saya pernah mengajar dia sewaktu dia di tingkatan satu dulu. Apabila membabitkan soal ayah, maka sukarlah untuk saya campur tangan. Tetapi saya akan mencuba yang terbaik. Saya tanya Fatimah sama ada dia hendak tukar atau tidak. Dengan tegas dia bagi tahu dia tak mahu tukar.
Apabila itulah keputusan yang dia buat, saya bagi tahu dia, " Fatimah, balik hujung minggu ni, sampaikan salam saya pada ayah dan makcik ok. Katakan pada ayah dan makcik, cikgu Sazili tidak membenarkan Fatimah tukar sekolah, cakap macam tu je". Dengan kata-kata saya itu saya lihat Fatimah menjadi tenang, sedangkan saya sendiri tidak pasti apakah kata-kata saya itu berkesan atau tidak kerana saya tiada outoriti terhadap Fatimah.
Sehingga ke hari ini, dah hendak cuti akhir tahun Fatimah masih bersekolah di sini dan dia kelihatan begitu gembira belajar dan beraktiviti di sekolah dan di asrama. Dan dengar khabarnya makcik tidak jadi kahwin dengan ayah Fatimah.
Begitulah secebis kisah anak-anak pelajar di sekolah yang nampak macam remeh tetapi sebenarnya mampu memberi impak yang besar kepada perkembangan sosial, sahsiah dan pembelajaran anak-anak kita.

No comments: