Sunday, October 19, 2008

Banyaknya rumah burung layang-layang....siapa punya ?

Dalam perjalanan menghadiri jamuan hari raya sebentar tadi saya dapat melihat banyak terbina rumah-rumah burung layang-layang yang cukup besar. Saya menganggarkan harga sebuah rumah burung layang-layang tersebut dalam lingkungan RM200.000 hingga RM300.000. Rumah-rumah burung ini terbina terlalu banyak di celah-celah tanah orang Melayu di kampung-kampung tradisional.

Apa yang saya dengar hampir kesemua rumah-rumah burung layang-layang yang terbina ini adalah bukan hak milik orang Melayu. Kebanyakannya adalah hak milik saudagar-saudagar Cina. Timbul persoalan dalam fikiran saya, kalau rumah burung layang-layang itu hak milik saudagar-saudagar Cina, maknanya tanah tempat terdirinya rumah-rumah burung itu sudah pastilah tanah-tanah saudagar-saudagar Cina tersebut.

Dalam sistem ekonomi bebas tidak salah sama sekali saudagar-saudagar Cina tersebut membeli tanah sesiapa sahaja yang mahu menjual, termasuk tanah-tanah orang Melayu. Tidak salah, dan saya bukan mahu menyalahkan mereka yang membeli tanah-tanah itu. Mereka ada wang dan mampu membeli maka itu menjadi hak mereka. Begitu juga tidak salah juga orang-orang Melayu yang menjual kerana itu hak mereka. Mereka hendak jual dan fikir perlu dijual, juallah!

Tetapi benak fikiran saya terus berfikir ligat. Katanya tanah ini Tanah Melayu. Bangsa Melayu diiktiraf sejarah sebagai penduduk asal dan bangsa yang mendominasi Malaysia. Maka tanah adalah harta yang membuktikan dominasi tersebut. Masalahnya, jika tanah orang-orang Melayu semakin berkurangan berbanding bangsa lain apakah tanah ini boleh dikatakan tanah orang Melayu lagi atau masih bolehkah orang-orang Melayu menjadi terus dominan dalam negara ini ?

Saya pelik kenapa orang-orang Melayu begitu mudah menjual tanah ? Negara sudah merdeka 51 tahun, susah benarkah orang-orang Melayu sehingga terpaksa menjual tanah-tanah mereka? Banyakkah selesai masalah orang-orang melayu dengan terjualnya tanah-tanah mereka itu ? Cukupkah harta warisan mereka untuk keturunan mereka dengan terjualnya tanah-tanah mereka? Seribu satu persoalan berputar-putar di pemikiran saya. Paling mengganggu pemikiran saya, persoalan akan dominan lagikah orang-orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu jika tanah-tanah orang Melayu semakin berkurangan berbanding bangsa-bangsa lain ? Entahlah……..terkenang saya akan Melayu Singapura.

5 comments:

wahab said...

Sir,
Membaca cerita burung tu, saya teringat akan cerita "Singapura dilanggar Todak". Hang Nadim yang menjadi penyelamat akhirnya dibunuh juga.

Nanti ada pula cerita "Malaysia diserang burung layang-layang"(dalam versi moden). Siapakah penyelamatnya? Siapakah yang sanggup berkorban menjadi penyelamat, yang sudah tahu akhirnya akan "dibunuh"?

sazili said...

Entahlah cikgu, nampaknya sistem ekonomi kapitalis akan menelan bangsa kita sikit masa lagi kalau sesuatu tidak dibuat untuk menyedarkan bangsa Melayu keseluruhannya.

Anonymous said...

Sir,
Harga sebuah rumah burung 3 tingkat dalam rm300,000. Manakala rumah burung 4 tingkat ialah RM400,000. Lagi satu, ada khabar angin yang menyatakan bahawa sarang burung hasil tanah rompin merupakan yang terbaik di Malaysia.
Oleh itu, berebut-rebut saudagar Cina hendak membina rumah burung, namun alhamdulilah, khabar dari sumber yang boleh dipercayai menjelaskan bahawa pihak pentadbir Rompin sudah menolak sebarang permohonan baru di atas faktor keselamatan penduduk rompin.

Anonymous said...

Bangsa Melayu menjual tanah kerana jahil tentang semangat kenegaraan dan asal usul.

Tidak nampak
Tidak endah
Tidak peduli
Tidak minat

Untuk ambil tahu dan merancang masa depan.

Tidak terfikir masih wujudkah tanah kubur untuk mereka kelak.

sazili said...

Terima kasih di atas komen-komen yang dikemukakan. Saya tidak bersikap perkauman sebab itu saya kata tidak salah sesiapa sahaja hendak membeli dan menjual tanah. Cuma isunya mahukah lagi orang-orang Melayu Islam yang diktiraf sejarah sebagai penduduk asal yang dominan, kekal terus dominan. Kalau tidak mahu, kita telah ada jawapannya. Kalau mahu kita kena memilih jawapannya. Pada saya jawapan bagi orang melayu tetap Islam yang syumul. Islam memberi cara dan panduan.Wallahu aklam.