Saturday, October 11, 2008

Macam mana tidak bertahan lama

Bila keluar rumah, duit juga keluar. Sebab itu kadang-kadang malas hendak keluar. Lebih baik duduk memerap di bilik study banyak kerja yang boleh di buat. Tetapi hari ini saya terpaksa juga keluar kerana esok hari Ahad berhajat nak buat rumah terbuka aidil fitri untuk kawan-kawan dan jiran terdekat.

Pagi-pagi pergi ke Mersing bersama isteri. Yang pentingnya pergi ke mersing kerana nak buat alignment tayar, langsung terus beli barang keperluan memasak esok. Saya ni kalau kedai tu, yang selalu saya buat alignment maka kedai itulah yang saya pergi. Jadi sebab itulah ke Mersing. Alignment tayar kereta ni memang perlu di buat sebab kereta saya ni dah rasa banyak hendak menghala ke kiri. Bimbang juga, saya sebab hari Isnin ini hendak ke IPG Kuala Lipis menjadi hakim bahas ala-Parlimen antara IPG Peringkat Kebangsaan.
Sesuatu yang menarik perhatian saya sewaktu di Mersing tadi ialah bas yang memberi perkhidmatan antara Mersing - Endau iaitu Mersing Omnibus Sdn. Bhd. Sewaktu menunggu kereta saya siap dibuat alignment, sebuah bas syarikat berkenaan singgah untuk menukar tayar. Saya memberi tahu isteri saya tentang syarikat bas ini. Saya beritahu isteri, syarikat bas ini dah menjalankan perkhidmatannya sejak dari abang berusia 7 tahun lagi. Inilah syarikatnya. Dan bas-basnya macam inilah rupanya. "Hui...lamanya", isteri saya mencelah. " Macam mana dia boleh kekal lama ya bang ?" tanya isteri saya.
Saya memberi jawapan yang mudah kepada isteri saya. " Ani tengok tu. Itulah jawapan yang menyebabkan dia boleh kekal lama dan untung pulak tu". Sambil melihat ke arah bas dan beberapa orang berhampiran bas tersebut, isteri saya bertanya, "Apa bang, tengok apa ?".
Isteri saya ini memang kadang-kadang agak lurus bendul sedikit. Saya pun bercakap secara lebih akademik dan profesional. "Cuba lihat konsep penyeliaan, pemantau dan pengurusan dia, ani nampak tak ?". Mana tidak berjaya bertahan lama dan membuat keuntungan, sebiji tayar hendak ditukar, pemandu bas datang dengan pembantu pemandu. Tidak berapa lama selepas itu seorang pamantau datang untuk memantau keadaan tersebut dan memberi berapa penjelasan kepada pemandu dan pembantu serta kepada pomen yang tukar tayar.
Nampak merupakan fenomena biasa tetapi sebenarnya suatu sistem pengurusan yang strategik telah berlaku. Sambil mengiyakan apa yang saya katakan isteri saya terus berkata " Agaknya sistem seumpama inilah yang tidak ada pada kebanyakan pengurusan bangsa kita ". Saya hanya mendiamkan diri sambil melihat bas itu berlalu pergi dergan penuh bertenaga...

No comments: