Wednesday, October 08, 2008

Pertolongan di kemalangan maut

Saya baru sahaja membaca akhbar. Antara berita yang menarik perhatian saya ialah kemalangan jalan raya. Ops sikap ke 17 sudah masuk hari yang ke 13 semalam, nampaknya kemalangan jalan raya masih berlaku. Kadar kematian akibat kemalangan yang tinggi adalah pengguna motosikal. Diharap semua pemandu terutama pengguna motosikal lebih berhati-hati.

Melihat dan membayangkan anak-anak dan saudara mara mangsa kemalangan, bersedih dan ada yang menjadi yatim piatu, cukup mengharu dan menyedihkan. Lagi mengharukan apabila kita yang berada di tempat kejadian tidak mampu untuk membantu.
Tiga tahun yang lalu, saya sendiri pernah berpengalaman menyaksi dan menjadi antara orang yang terawal berada di tempat kemalangan maut. Pada satu kemalangan jalan raya antara Kota Tinggi - Mersing, saya menjadi orang nombor dua berada di tempat kemalangan. Saya terpaksa memberhentikan kereta saya kerana seorang pakcik yang berkupiah putih melambai-lambai ke arah saya, agaknya supaya membantunya mengeluarkan mangsa kemalangan. Saya yang cukup fobia dengan kemalangan terasa malu alah dengan pakcik tersebut dan terpaksalah memberhentikan kereta saya.

Meninggalkan isteri dan ibu di dalam kereta, saya bersama sepupu meluru ke tempat kemalangan. Melihat muka pemandu yang dengan lemah meminta tolong dan beraduh, berlumuran darah dan tersepit, membuatkan saya menjadi haru-biru seketika. Ya Tuhan...darah yang banyak keluar dari kepala, muka, hidung dan mulut cukup mengganggu saya. Tak tahu apa nak buat! Hanya mampu saya memberi tahu pemandu yang semakin lemah itu agar zikirkan nama Allah, jangan sebut aduh. Waktu itu juga terus bertukar sebutannya dari "aduh" kepada "Allah" dalam keadaan yang begitu lemah sekali. Tak lama selepas itu dia beraduh-aduh lagi. Saya ingatkan dia kembali agar menyebut kalimah Allah. Itulah yang mampu saya lakukan di samping berusaha dengan sepupu saya membuka pintu kereta yang kemek. Tak terbuka pun! Apabila saya menyedari pemandu-pemandu lain dan orang ramai telah ramai berkerumun untuk memberi pertolongan, saya mengambil kesempatan berundur dari lokasi.

Saya turun ke parit jalan untuk membasuh tangan saya yang terkena dan berbau darah. Rupanya dalam parit tersebut ada sebuah lagi kereta terlungkup. Saya ternampak seorang lelaki cina yang tidak cedera berusaha mengeluarkan seorang kanak-kanak perempuan dari keretanya. Saya datang membantu dan membawa kanak-kanak itu naik ke tepi jalan dan meminta isteri saya mengawasi anak itu. Saya rasa terharu dan sedih kerana anak kecil yang berusia dalam lingkungan 4 tahun itu, yang dipeluk oleh isteri saya, memeluk kembali dengan erat isteri saya sambil menangis dan memanggil "ma...ma...ma !!".

Saya turun kembali membantu lelaki yang sedang berusaha mengangkat isterinya yang terjelepok dalam air paras pinggang. Si suami minta tolong saya angkat. Saya kata, susah nak angkat berdua sebab isteri tuan mungkin patah. Dia terus mendesak, tak apa, tak apa kita angkat juga. Bersama lelaki cina itu, saya membantu mengangkat isterinya ke atas. Mak tuan....kesihan perempuan itu menjerit kesakitan waktu kami mengangkat.

Terfikir oleh saya kalau adalah anggota perempuan ini yang patah, maka akan lebih teruk patahnya, agaknya. Sekali lagi perempuan ini meraung apabila diangkat naik ke atas ambulan yang tak cukup ruang. Kesian ! Dan saya tidak tahu apa kesudahan yang berlaku kepada pemandu yang tersepit kerana saya sudah tidak sanggup berada di situ. Orang semakin ramai termasuk anggota polis, bomba dan ambulan. Saya meneruskan kembali perjalanan saya ke destinasi.

Sambil memandu saya terfikir betapa pentingnya orang ramai menguasai kemahiran pertolongan cemas. Ini adalah kerana dari pengalaman yang saya lalui, (sebagai seorang yang tidak tahu memberi pertolongan cemas), agaknya begitu ramai mangsa yang diberi pertolongan sewaktu kemalangan menjadi lebih parah kecederaannya atau boleh mengakibatkan maut, jika pertolongan cemas yang diberikan itu tidak betul atau salah. Dan adalah besar kemungkinan, kecederaan atau maut mampu dikurang atau dielak, jika sekiranya pertolongan cemas yang betul berjaya diberi.

Masalahnya, berdepan dengan situasi mendesak dan kritikal sedemikian, naluri ingin membantu kerana kesian atau kebimbangan mangsa menjadi lebih kritikal atau akan berlaku kematian, mendesak pertolongan yang terbaik dan termampu tanpa memikir tahu atau tidak memberi pertolongan cemas. Lebih memilukan ada juga yang bertembung dengan kemalangan seperti itu, terus cabut dari lokasi kemalangan. Kalau berhenti pasti ada orang akan minta tolong atau terpaksa memberi pertolongan. Anda bagaimana agaknya ?

No comments: