Thursday, November 26, 2009

Kita masih jauh atau semakin jauh ?

Membaca. Semua maklum bahawa membaca merupakan aktiviti yang sangat penting dalam menambah ilmu pengetahuan dan mencambahkan idea manusia. Melalui pembacaan yang banyak dan meluas, otak menjadi aktif berfikir untuk memberi pengalaman hidup dan melahirkan idea yang bernas, berilmu, inovatif dan kreatif.

Untuk itu semua, pembaca itu mestilah pembaca yang membaca semua bahan bacaan dengan bahan bacaan utama ialah bahan bacaan yang berkualiti ilmunya.

Ahad lalu saya berpeluang menaiki bas dari Puduraya ke Kuala Rompin. Sewaktu menunggu bas saya melihat dua orang "mat dan mek salleh" tekun membaca buku. Saya kira novel, agak tebal juga. Dalam keadaan orang hiruk pikuk di platform itu mereka berdua kelihatan tenang dan penuh minat membaca buku.

Saya bukan tidak biasa melihat perkara yang seperti ini namun keadaan 2 orang pembaca dari barat itu membuat saya melilau melihat sekeliling, adakah orang lain lagi yang membaca? Ada. Di sebelah belakang saya. Saya bangun untuk meninjau apakah yang dibaca oleh dua orang remaja Melayu di belakang saya.

Dari jauh saya melihat dua orang itu membaca majalah hiburan yang kelihatan gambar besar artis sedang berposing lelaki dan perempuan. Apa yang dibaca di muka surat yang penuh gambar itu saya tidak pasti. Di sebelah bangku saya kelihatan seorang yang agak dewasa sedang membaca Berita Minggu. Ada beberapa orang remaja lagi di sekitar saya bergoyang kaki sambil mendengar MP3 agaknya. Yang lain ramainya melihat perangai dan gelagat manusia yang berbagai-bagai, macam saya !

Fikir saya, nampaknya sudah menghampiri tahun 2010, bangsa aku masih asing dengan bahan bacaan apatah lagi bahan bacaan ilmiah atau sastra. Banyak masa yang terluang dipenuhi dengan termenung, berborak kosong, lepak-lepak, main dam, bergelak ketawa dan menonton tv.

Terlalu rindu melihat masyarakat bangsa mencandui buku-buku demi ilmu Tuhan yang melimpah-ruah.

Saya bertanya dengan seorang pemuda Melayu di sebelah saya, " Adik, adik pernah baca majalah ini ?". Saya menunjukkan majalah Dewan Masyarakat. " Tak...!".

Saya mengulurkan majalah kepada dia. Dia mengambil dan membelek sepintas lalu.

Sambil menghulur kembali kepada saya , dia berkata, " Beratlah bang...entah apa-apa cerita dia...tak faham !".

Saya terus bangun dan bersalam dengan dia kerana bas ke destinasi saya telah diumumkan akan bertolak bila-bila masa.

Kita masih jauh atau semakin jauh !?

Tuesday, November 24, 2009

Hujan lebat dijangka hingga Sabtu

"Abang, kita kena beli ikan kering dan ikan sardin, simpan", kata isteri yang tiba-tiba mengetuk minda saya. Kenapa mesti begitu? "Kan dulu ikan mahal dan tak ada ikan !" jawab isteri saya selamba.

Banjir telah melanda. apakah banjir di musim tengkujuh tahun ini akan menjadi kian teruk atau akan mereda ? Soalan yang sukar untuk dijawab dalam keadaan setiap hari cuaca mendung, menunggu hujan turun malah di kebanyakan tempat hujan mencurah dengan lebat. Semoga semuanya bersedia dengan yang tiba-tiba:

KUALA LUMPUR - Hujan lebat serta angin kencang dengan kelajuan 70 kmsj dijangka berlaku sehingga hari kedua sambutan Aidiladha pada Sabtu ini di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Penolong Ketua Pengarah Pusat Ramalan Kaji Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Amirzudi Hashim berkata, angin ribut tropika ini menyebabkan ombak di laut bergelora ke paras setinggi 3.5 meter.

"Kesan daripada itu, air laut di sekitar pantai juga naik lebih tinggi iaitu sebanyak 0.5 meter berbanding hari biasa iaitu di paras kosong ," katanya.

Jabatan Metereologi mengesan tiupan angin berkenaan kira-kira pukul 8 pagi ini.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu serta Layang-Layang, Palawan dan Kudat di utara Sabah, dengan arah dan kelajuan angin 40 sehingga 50 kmsj serta ombak setinggi 3.5 meter sehingga Rabu.

Ribut petir yang berlaku di perairan Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pantai Barat Sabah pula dijangka berterusan hingga petang ini.

sinarharian

Monday, November 23, 2009

Jangan makan kedondong atau makanlah kedondong ?

Kalau tak nak lahir anak besar atau memang nak kan anak besar

CHANGLUN - Percaya atau tidak, dengan mengamalkan memakan buah kedondong setiap hari sewaktu mengandung, seseorang ibu mungkin melahirkan bayi dengan berat yang luar biasa.

Itulah apa yang berlaku ke atas Aisha Bee Yasin, 35, yang melahirkan bayi seberat 6.15 kilogram (kg) kelmarin.

Bayi lelaki yang dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada pukul 1.15 pagi itu dipercayai antara bayi terbesar pernah dilahirkan di Malaysia.

Aisha Bee yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang bukan setakat menjamah sebiji buah kedondong. Setiap hari dia memakan sekilogram kedondong selain memakan dua kuntum bunga ros merah bermula daribulan kedua kehamilan.

"Saya tidak makan nasi kecuali nasi lemak. Selain kedondong dan bunga ros, saya makan roti dan minum susu. Adakalanya saya menjamah laksa atau tosai.

"Rutin saya setiap hari ialah makan kedondong dan bunga ros. Ahli keluarga lain tidak boleh sentuh buah itu, saya seorang sahaja yang makan," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Pekan Lama, Kampung Baru di sini semalam.

Aisha Bee, seorang suri rumah, memberitahu, sebelum ini sepanjang mengandung empat anaknya yang lain, dia mengidamkan timun dan lobak tetapi kali ini makanan itu langsung tidak disentuh.

Katanya, bunga ros mudah dibelinya di sekitar Changlun tetapi buah kedondong terpaksa dibeli oleh suaminya, Mohd. Ali Khan Razali, 41, di Alor Setar dan Pulau Pin.

Tambahnya, mengikut sejarah, keluarganya tidak pernah melahirkan bayi sebesar itu kecuali anak keempatnya, Nur Hasyimah yang seberat 5kg ketika dilahirkan.

Sumber dari Kosmo

Sunday, November 22, 2009

Kembara menggali ilmu

Seminggu di Pulau Pangkor laptop saya gagal mendapat coverage internet. Maka seminggulah blog ini terbiar. Perjalanan menuntut ilmu dengan menaiki bas dan feri sambil menarik beg besar yang jarang saya lakukan terasa agak renyah dan memenatkan. Namun begitu ianya murah berbanding menaiki kereta sendiri.

Namun demi mencari bekalan ilmu yang dirasakan masih kurang ini, saya melangkah tegap ke destinasi keilmuan saya. Walau usia ini kian meningkat tetapi ilmu wajib dituntut sepanjang hayat walaupun di mana.

Kini saya terus mengkagumi kehebatan kuasa Allah SWT, melalui impian yang terakam dalam kuasa minda di bawah sedar yang Allah anugerahkan kepada semua manusia. Apa yang diimpikan dan dirakam dalam minda dibewah sedar kita, menjadikan impian itu semakin menjadi kenyataan.

Saya sering memberitahu pelajar-pelajar saya dan pelajar yang sering mengikuti ceramah saya agar sentiasa merakamkan impian yang positif dalam minda di bawah sedar masing-masing agar ia itu berkerja siang dan malam bagi menggerakkan segala usaha fizikal dan mental untuk menjadikan segala impian sebagai kenyataan. Inilah antara rahsia kejayaan mereka yang berjaya dan cemerlang.

Insya Allah tahun hadapan pengajian ini akan selesai walaupun kembara menggali ilmu tidak selesai di situ.

Sunday, November 15, 2009

Diabetes tandingi kanser

Hamzah Abdul Hamid

SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.

Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!

Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.

“Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.

“Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.

Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.

Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.

Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.

“Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.

“Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.

Baca Seterusnya


Friday, November 13, 2009

Bila kita mengajar pastikan pelajar belajar !

Sewaktu saya selesai berceramah di sebuah sekolah di awal tahun 2009 dahulu, di waktu makan tengahari bersama YDP PIBG dan guru besar, seorang guru sekolah itu dengan spontan menghampiri saya. Dia ambil kerusi, duduk berhampiran saya dan sambil memohon maaf dan memohon izin untuk bertanya soalan.

Sebenarnya waktu itu saya hampir selesai makan. Oleh kerana saya penceramah jemputan maka agaknya telah timbul minat guru tersebut bertanya soalan kepada saya tetapi di luar waktu ceramah, waktu makan. Mungkin itulah waktu yang selesa kepadanya. Saya tak kisah pun.

Soalannya, " Cikgu, macam mana kita hendak mengajar dengan berkesan kepada pelajar-pelajar kita?".

Wah... itulah soalannya! Saya hadir ke situ memberi ceramah keibubapaan bukan memberi kursus latihan dalam perkhidmatan, pengajaran dan pembelajaran. Tapi tak apa, saya yang sudah mengajar selama 25 tahun dari Tahun satu sampai Tahun enam, Tingkatan satu hingga ke Tingkatan 6, saya akan cuba memberi pandangan saya yang terbaik kepada cikgu ini.

YDP dan guru besar yang dari tadi berbual dengan saya memandang guru tersebut dan kemudian memandang kepada saya, agaknya menunggu jawapan.

"Untuk mengajar dengan berkesan, kita kena pastikan pelajar kita itu hendak belajar", jawapan saya spontan.

"Maksudnya cikgu?." tanya dia macam tak faham.

Saya bagi tahu kepada guru tersebut bahawa pada masa ini ada ramai guru-guru menganggap diri mereka semata-mata kakitangan kerajaan yang makan gaji. Datang pada waktu sekian balik pada waktu sekian. Mereka tidak merasai diri mereka adalah pendidik, pendakwah dan mungkin bagaikan ibubapa kepada para pelajar.

Saya kata begitu kerana sepanjang saya ke sekolah orang, mahupun di sekolah sendiri, serta melalui perbincangan dengan kawan-kawan, ada ramai guru-guru masuk kelas dalam keadaan tidak peka apa satu pun kecuali, "okay buat latihan ini". Mereka masuk kelas dalam keadaan tidak ada emosi kecuali emosi marah dan emosi "lantak ngko lah".

Saya bagi tahu guru tersebut, seorang guru yang baik pada pandangan saya, apabila dia masuk kelas dia akan memastikan sikap pelajarnya terhadap pelajaran adalah betul. Mudah sahaja. Sikap pelajar ialah sikap hendak belajar.

Sikap mahu belajar mesti diorganisedkan oleh guru, dibentuk oleh guru, didisiplinkan oleh guru. Jika sikap yang betul terhadap pelajaran ini tidak ada pada pelajar-pelajar yang ada dihadapan guru, apakah pengajaran mampu mencetuskan pembelajaran yang berkesan?

Dalam situasi hari ini, apakah tidak ramai guru mengajar pelajar-pelajar yang tidak mahu belajar?

Masuk kelas terus mengajar tanpa mengambil kira bagaimana keadaan pelajar pada waktu itu, kelas bersepah, pelajar ada yang duduk, ada yang berdiri, ada yang berjalan, ada yang bercakap, ada yang tidur, ada yang main pensel, ada yang main pen 'ketuk-ketak'. Ada yang tulis cakar ayam, ada yang garis bengkok, ada yang padam kotor, ada yang tulis a jadi u, tulis k jadi r, ada yang baju keluar, duduk membongkok, menungkat dagu, susunan kerusi meja bengkang-bengkuk. Cikgu terus mengajar macam robot tidak ada perasaan, walaupun jelas nampak pelajar bersembang dan tidak fokus, macam-macam hal di hadapan mata.

Dulu-dulu saya pernah bertanya seorang guru yang mengajar dalam situasi begitu, apakah perasaan dia ? Jawapan dia cukup menyedihkan saya, "Ah lantak je, dia nak belajar, belajar, tak nak belajar sudah, puas dah aku menegur".

'Puas dah menegur' bukan sikap seorang pendidik tetapi mungkin sikap seorang yang makan gaji.

Dalam mentaliti guru-guru yang tidak peka ini, itu semua urusan guru kelas, bukan urusan aku! Maka begitu mudah guru-guru menyumbang kepada pembentukan pelajar-pelajar yang tidak berdispilin dan pelajar yang tidak mempunyai sikap belajar yang betul. Maka tidak peliklah kita apa kesudahannya pelajar-pelajar seperti ini akibat dari guru-guru seperti itu.

Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon dari guru yang pernah bertanya soalan kepada saya sewaktu berceramah di sekolahnya.

"Cikgu Sazili, terima kasih banyak-banyak. Saya cukup puas hati dengan prinsip yang cikgu berikan, "kalau kita mengajar pastikan pelajar kita belajar". Menjadi cikgu. Semua pelajar kelas saya senang diajar kerana mereka mempunyai sikap mahu belajar dan berdisiplin", kata cikgu tersebut yang tidak teringat saya akan rupanya lagi.

Termenung saya seketika, besar rupanya kesan pandangan saya kepada keberkesanan pengajaran dan sikap cikgu itu. Syukur....pengalaman dan jiwa guru mengajar segala-galanya!

Kursus Pengurusan Jenazah SMKSR 2009

Panitia Agama Islam SMK Seri Rompin telah menganjurkan kursus Pengurusan Jenazah bagi tahun 2009. Kursus Pengurusan Jenazah ini adalah merupakan acara tahunan sekolah.

Menurut penyelaras kursus Ustaz Majdi Mustafa, kursus ini adalah merupakan usaha pihak sekolah khususnya Panitia Agama Islam untuk memberi kefahaman dan mendedahkan latihan amali kepada para pelajar dalam aspek pengurusan jenazah.

Kursus ini dikendalikan oleh Ustaz Ramli Yunus dari Muadzam Shah.

Sebahagian gambar-gambar semasa kursus berlangsung: