Tuesday, June 09, 2015

Kualiti pasukan bolasepak kebangsaan negara semakin teruk kerana.....

Sukan bolasepak pastinya sukan nombor satu negara. Namun setakat hari ini mutu atau pencapaian pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia memang tidak memuaskan malah berada dalam keadaan begitu merosot sekali. Mengapa?

Pada pandangan saya sikap pemain menjadi sebab utama kemerosotan pasukan bolasepak kebangsaan. Sebab-sebab lain sudah pasti kualiti kejurulatihan lemah dan tidak tegas dan pengurusan sukan bolasepak yang tidak bijaksana.

Saya tidak mahu mengulas dua sebab lain itu, cuma ingin memperkatakan faktor sikap pemain sahaja.

Pada saya pemain bolasepak negara tidak cukup stamina untuk bermain lebih 90 minit. Dalam ertikata lain kebanyakan pemain negara tidak cergas. Dalam bolasepak moden dengan permainan yang pantas, penuh taktikal dan aggresif, pemain yang tidak cergas dan tidak berstamina mudah hilang fokus kepada permainan dalam padang terutama ketika keletihan.

Pemain yang tidak cergas ini akan menjadi lembik atau malas dalam perebutan, mudah mengundang kecederaan dan hilang kestabilan emosi untuk mudah menjadi pemalas, baran dan pemanas. Sikap pemain yang sedemikian akan mudah dieksploit oleh para pemain pasukan lawan.

Faktor yang kedua berhubung sikap pemain ialah kebanyakan pemain pasukan negara tidak bermain dengan menggunakan akal fikiran. Mereka jarang berfikir sewaktu bermain. Apabila bola di kaki, mereka menjadi buntu untuk menghantar bola ke mana, akhirnya disepak sahaja tanpa sasaran yang tepat, asal sepak sahaja....

Sewaktu pemain negara menyerang, mereka gagal melihat dan memilih ruang yang terbaik untuk menjaring gol sama ada ruang yang ada kepada rakan sepermainan atau ruang yang dipunyai sendiri. Langkah mudah yang mereka sering lakukan ialah membuat rembatan sekuat hati ke arah pintu gol seolah-olah sambil memejam mata. Akhirnya bola yang ditendang terkena batang tubuh penjaga gol atau pemain pertahanan lawan, tersasar jauh dari pintu gol atau melantun tinggi melangit! Ini yang sering berlaku. Lepas itu mereka mengiling-iling kepala dan buat-buat menyesal.

Jika mereka menggunakan akal fikiran sewaktu berlari membawa bola mereka pasti mengintai ruang sendiri atau ruang yang dipunyai oleh rakan sepasukan, mana yang lebih baik. Tetapi ini tidak berlaku. Yang mereka tahu rembat sahaja tanpa mencari ruang dan peluang yang terbaik.

Apa yang biasa berlaku kepada penyerang pasukan negara ialah gagal melihat peluang rakan sepasukan yang lebih baik untuk menjaring gol berbanding ruang yang dipunyai sendiri.

Manakala rakan sepasukan pula sentiasa bersikap bentat atau sering mengambil mudah apabila rakan penyerang sedang membawa bola ke arah pintu gol. Berfikir untuk membantu atau bergerak seiring sambil meminta bola jarang mahu dilakukan oleh pemain hadapan pasukan negara. Kadang-kadang sewaktu menyerang terdapat pemain negara yang lain tidak ikut serta berlari ke hadapan sebaliknya hanya melihat sambil bercekak pinggang di atas padang. Kalau begitu caranya memang pasukan negara tidak akan menang sampai bila-bila.

Inilah antara sikap para pemain negara yang menjadikan pasukan kebangsaan sering kecundang di peringkat antarabangsa. Percayalah tahun hadapan pasukan Timor Leste pasti mampu mengalahkan pasukan negara jika pemain pasukan negara terus bermain seperti sebuah pasukan bolasepak kampungan sambil hanya pandai meludah pemain lawan!


No comments: