Sejak dari pagi tadi, sebaik sampai di sekolah dalam pukul 6.50 pagi, aku terasa bahang panas. Menjelang pukul 7 pagi kelihatan para pelajar mula bergerak dari asrama. Aku lihat mereka bergerak ke sekolah dalam keadaan bagaikan diselubungi kabus pagi!
Bagi mereka yang tidak ambil kisah, mereka akan menyangkakan itu kabus pagi tetapi bagi mereka yang perasan dengan suasana yang membahang, panas dan terasa payah bernafas serta bau suasana yang berasap, mereka tahu itu adalah jerebu!
Aku terus memerhati para pelajarku menuju ke sekolah!
"Sir...pakai topeng!" terdengar suara dari atas!
Aku menoleh dan kelihatan seorang pelajar perempuan menegurku agar memakai topeng tutup mulut dan hidung.
"Ok nanti beli", kataku sambil senyum kepadanya.
Memang waktu itu aku berdiri di tempat terbuka, tanpa memakai topeng. Memang terasa payah untuk bernafas pada waktu itu.
Agak lama aku berada di laluan itu, dalam suasana yang terbuka, terasa tidak tahan lagi kerana sudah mulai rasa perit tekak dan sedikit pening. Aku bersegera ke bilikku untuk minum sebotol kecil air mineral sambil menikmati suasana yang lebih nyaman!
Sejak dari semalam beberapa orang pelajarku mengadu panas dan sakit tekak. Aku menasihati mereka agak banyakkan minum air masak dan jangan berada di tempat terbuka.
"Sir, sir ada panadol tak?" seorang pelajar tingkatan 6 bawah tiba-tiba menerjah aku soalan itu sebaik aku masuk kelas pagi semalam.
Dia kelihatan letih, terasa nak muntah dan katanya sukar hendak menelan. Demam! Aku meminta kawannya membawa dia ke bilik sakit untuk kemudiannya di bawa ke klinik berhampiran oleh guru bertugas bagi mendapat rawatan.
Begitulah suasana dua tiga hari ini. Jerebu terlalu kuat.
Sebelah petang selepas solat Jumaat aku ke Mersing, suasana sepanjang perjalanan pun diselubungi jerebu! Dari jauh, aku sempat melihat berapa orang sukarelawan parti DAP mengedar topeng kepada pemandu-pamandu dan orang ramai di bandar Mersing. Bagus juga usaha mereka itu, dapat menyedarkan orang ramai untuk menjaga kesihatan.
Lantas aku memberhentikan kereta ku dihadapan sebuah farmasi, untuk isteri turun sebentar membeli topeng (mask). Esok aku pasti akan terdedah dengan jerebu lagi kerana aku terpaksa ke Kuantan untuk ke majlis pertunangan anak saudara sepupuku.
Kepada semua jagalah kesihatan, jerebu sedang melanda negara kita!
No comments:
Post a Comment