Saturday, October 18, 2008

Apakah ini budaya bangsa kita ?

Budaya kita. Memang begitulah budaya kita agaknya. Menepati masa, membuang masa. Tidak menepati masa pun membuang masa. Pagi tadi saya dijemput memberi ceramah anjuran sebuah agensi kerajaan di Balai Raya sebuah kampung tradisonal. Sasaran ceramah adalah ibubapa dan anak-anak mereka dari golongan belia. Tercatat dalam surat jemputan jumlah kehadiran adalah dalam lingkungan 100 orang.

Saya sampai tepat pukul 8.25 pagi untuk memulakan ceramah yang diamanahkan kepada saya pada pukul 8.30 pagi. Sebaik sampai, saya melihat hanya ada tiga orang di balai raya tersebut. Semuanya petugas pendaftaran dan siaraya. Saya tidak keluar sebaliknya terus memerhati dari dalam kereta. Pukul 9 pagi keadaan macam tidak ada majlis yang akan berlaku. Saya mula tertanya-tanya, betulkah tempat ini saya sepatut hadir atau tempat lain ? Lantas saya keluar memperkenalkan diri dan bertanya inikah tempatnya ?

Petugas kelihatan kelam kabut melihat kehadiran saya dan pelbagai alasan yang diberikan. Saya hanya senyum dan angguk-angguk. Saya dibawa ke dalam bilik mesyuarat Balai Raya tersebut. Tepat pukul 9.45 pagi baru ceramah saya dimulakan dengan para peserta seramai 10 orang termasuk petugas agensi terbabit.

Inilah pertama kali saya berceramah di hadapan khalayak yang hanya berjumlah 10 orang. Kumpulan sasaran agensi kerajaan ini tidak hadir. Matlamat sudah pasti tidak tercapai. Inilah yang biasa dihadapi apabila memberi ceramah dalam masyarakat kita, kumpulan sasaran biasa tidak ramai yang hadir sebaliknya yang ramai adalah mereka yang mempunyai kesedaran untuk memajukan dan membaiki diri dan keluarga, serta mereka yang mencintai ilmu.

Inilah delima yang dihadapi oleh masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu. Suasana yang tidak kondusif ilmu, yang sarat sanjungan terhadap hiburan murahan, membentuk mereka menjadi ahli masyarakat yang tidak mencintai ilmu, tidak tahu nilai dan kepentingan ilmu dalam pembinaan kehidupan mereka. Dunia yang penuh cabaran dan tribulasi dihadapi dengan cara yang cukup santai dan bersahaja tanpa fokus. Jika begini gayanya, mampukah mereka berubah atau akhirnya nanti mereka akan terus menjadi pengemis kehidupan. Sungguh mengerikan.

Saya teringat catatan cerita Abdullah Munsyi sewaktu berada di Pahang dalam "Kesah Pelayaran Abdullah" dalam sekitar tahun 1837-1838. Betul atau tidak saya tidak pasti tapi inilah antara yang di ceritakan oleh Abdullah Munsyi:

"Maka sahaya lihat hal negeri Pahang itu seperti dusun adanya, tiada berpasar dan kedai, dan tiada lorong yang boleh berjalan-jalan...... Tetapi adalah tanah Pahang itu sahaya lihat terlalu sayang hati sebab terbuang dengan menjadi hutan rimba, sebab malas dan lalai orang dalam negeri itu....... Maka adalah sahaya lihat orang-orangnya dalam seratus sepuluh sahaja yang bekerja; dan yang lain itu lalai sahaja sepanjang hari, dalam hal miskin dan jahat.... Dan yang ada setengah tabiat mereka hendak bercantik sahaja, memakai kain baju dan seluar yang bagus-bagus, tetapi tiada ia mahu mencari jalan kehidupannya...... Maka adalah sahaya lihat antara mereka itu kebanyakan orang yang makan madat, serta dengan kurus dan pucatnya...".

Maka merintih lagi Abdullah Munsyi:

"Syahadan, maka tiadalah tentu satu atau dua tempat orang mengajar mengaji, melainkan adalah sepuluh dua belas rumah seorang dua orang anak-anak mengaji Quran......semuanya daripada kecilnya ia memulai mengaji Quran juga dengan tiada ia mengerti.... Maka adalah sahaya tersangat dukacita adanya, sebab sayang hati mendengarkan bunyi bahasa mereka itu terlalu bagus lagi dengan manisnya kerana tiada mereka itu mahu belajar bahasanya sendiri, lagi pun tiada ia menaruh akan tempat belajar itu.

Saya tertanya-tanya kenapa sikap-sikap negatif yang telah ada dalam kalangan masyarakat Melayu sejak tahun 1800, masih wujud dan sebahagiannya membudayai kehidupan mereka. Maka hari ini saya mendapat antara jawapannya. Mereka tidak kesah akan ilmu dan tidak mencintai ilmu. Bila keadaan ini akan berubah atau tahun 3000 nanti anak cucu kita akan terus membaca catatan seumpama yang di tulis oleh Abdullah Munsyi ?

2 comments:

Anonymous said...

Sir,
Demikianlah keadaannya.
Ramai yang tidak menghargai ilmu.
Kadang-kadang kita ini menjadi "penjaja ilmu" yang tidak dihargai.Itulah yang pernah saya alami.

Yang "berharga" ilmunya itu. Si "penjaja" menjalankan tanggungjawabnya menyebarkan ilmu. Tetapi jika tidak ada penerimanya, kepada siapa mahu disebarkan?

Catatan Abdullah Munsyi itu memang bernas dan kritis. Itu ilmu. Yang berakal sahaja dapat memanfaatkannya.

Anonymous said...

Cikgu saya bukan risau ceramah saya tidak dihadiri ramai. Saya yakin ramai penceramah lain pun mungkin pernah menghadapi keadaan yang serupa. Tetapi yang lebih saya risau ialah bangsa kita semakin tumpul ilmu kerana sikap mereka sendiri yang tidak tahu menghargai ilmu dalam dunia yang enuh persaingan ini. Terima kasih cikgu.