Monday, October 06, 2008

Pengangkutan awam yang cekap untuk jarak dekat sangat diperlukan segera.

Semalam saya tidak menulis. Hari ini saya menulis tetapi cerita hari ini adalah cerita semalam. Saya ke Kuantan semalam kerana menghantar anak keempat saya pulang ke asrama. Memulakan perjalanan dari rumah lebih kurang dalam pukul 10 pagi, sempat singgah beraya di rumah sahabat lama. Sahabat dari darjah satu hingga darjah enam sewaktu belajar di SK Pontian. Begitu banyak cerita lama yang menjadi kenangan timbul kembali. Maklumlah lama tidak berjumpa.

Meneruskan perjalanan ke Kuantan bagaikan berkonvoi. Dari Rompin ke Kuantan berderet kereta, tidak kurang 15 hingga 20 buah. Begitu juga yang berselisih menuju ke arah selatan. Perjalanan balik dari kampung ke tempat kerja atau mungkin menghantar anak-anak ke asrama macam saya agaknya. Pemanduan begitu perlahan 80 hingga 90 kilometer sejam. Mak tuan mengantuknya..!!
Banyak sungguh kereta di jalan raya. Agak-agaknya setiap isi rumah di Malaysia sekarang bukan lagi ada sebuah kereta, tetapi sudah ada dua atau tiga buah kereta paling kurang. Jarang kelihatan rumah-rumah di pinggiran jalan raya, ada sebuah kereta sahaja di halaman. Kelihatan lebih dari tiga buah. Bayangkan keadaan pada masa akan datang dalam keadaan semua orang mampu membeli kereta, jalan raya pasti akan bertambah sesak. Pemanduan terpaksa bertambah perlahan dan pastilah semakin membosankan.

Untuk menghadapi keadaan ini, saya berpendapat pihak kerajaan perlu mengambil serius untuk memperbaiki kecekapan pengangkutan awam seperti teksi, bas, LRT, keretapi dan seumpamanya. LRT dan keretapi untuk perjalanan jarak dekat perlu di perluaskan keseluruh negara bukan setakat di Lembah Kelang sahaja. Perkhidmatan bas perlu lebih selesa dan lebih kerap sekerap 15 atau 20 minit sekali. Kalau di daerah Rompin ini perkhidmatan bas cukup tidak cekap. Untuk perjalanan dalam lingkungan 15 kilometer penumpang terpaksa menunggu satu jam atau mungkin lebih. Sungguh merugikan masa dalam keadaan kita perlu bergerak maju dalam semua bidang. Perkara ini perlu di atasi segera. Pada pemerhatian saya, perkhidmatan awam jarak dekat di seluruh kawasan dalam negara yang cekap, adalah lambang taraf sebuah negara yang telah mencapai tahap negara maju.

Saya sangat yakin jika pengangkutan awam yang pelbagai, cekap dan selesa dapat disediakan, ramai yang tidak mahu membawa kenderaan sendiri untuk ke destinasi terutama ke tempat kerja. Tetapi dengan tahap penegangkutan awam yang ada sekarang, kenderaan sendiri tetap menjadi satu keperluan kerana dengan menggunakan kenderaan sendiri kita lebih cekap dan produktif dalam menguruskan urusan kehidupan dan pekerjaan kita.
Nampaknya perancangan dan hasrat kerajaan sudah ada, cuma realiti belum dapat dirasai oleh rakyat di seluruh negara. Setelah 51 tahun merdeka, bilakah realiti akan menyeluruh ?

2 comments:

Wahab said...

Sir,
Bila baca tentang pengangkutan awam ni, teringat cerita orang tak pernah naik bas.

Si mamat ni baru pertama kali naik bas. Mungkin kerana orang di kampung ni memang tak perlukan bas. Bukan kerana semua orang kampung ada kereta. Tak ada kereta pun. Tak perlu ke bandar pun. Di kampung semua keperluan ada. Beras, padi tanam sendiri. Ikan di paya tak habis. Sayur di hutan berlambak. Pakaian, ada yang datang menjual. Cuma si mamat ni nak tau macam mana rasa naik bas.
Suatu hari sampailah hasratnya nak naik bas. Tahu dah macam mana rasa naik bas. Di pendekkan cerita, sampailah ke stesen bas.
Dia terpinga-pinga turun dari bas,seperti tercari-cari sesuatu, sambil menggaru kepala yang tidak gatal si mamat merungut." Tadi masa aku nak naik bas aku tanggal selipar, tapi bila turun, selipar dah tak ada. Orang curi agaknya. Taubat aku tak nak naik bas lagi".

Anonymous said...

kesian juga simamat tu...harap-harap tu bukan orang rompin.