Monday, September 13, 2010

Aidil Fitri yang banyak kenangan

Ramadhan kian menjauh. Syawal semakin sedikit. Apakah kita akan bertemu lagi Ramadhan akan datang, hanya Allah Yang Maha Menentu.

Kali ini aku tidak sempat untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri sebelum hari lebaran itu tiba,kerana masalah liputan internet di kawasan ini yang begitu sukar. Di zaman negara mempunyai multimedia super corridor kawasan ini masih tersemput-semput dengan liputan internet yang gagal dan menyedihkan. Apa hendak buat kawasan aku ini masih mundur sebenarnya...

Namun aku ingin mengambil kesempatan di Syawal yang mulia ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir batin kepada semua yang melintas di blog aku yang tidak seberapa ini.

1 dan 2 Syawal sungguh memenatkan bagi aku dan isteri serta anak-anak. Ramai sungguh tetamu yang datang dari kalangan sanak-saudara, sahabat-handai, dan bekas pelajar dan para pelajar. Namun walaupun penat dan letih, hati tetap gembira melayan para tetamu yang hadir.

Ada sahabat yang begitu lama tidak berjumpa tiba-tiba terjongol di halaman rumah. Ada bekas anak-anak murid yang pernah aku ajari di sekolah rendah 20 tahun yang lalu membawa anak-anak dan isteri datang beraya di rumah. Apabila melihat anak-anak muridku itu datang membawa isteri dengan beberapa orang anak-anak tersedar aku, rupanya sudah lama aku menjadi pendidik dan dah tua diri ini rupanya....huhuhu!!!

Hati terlalu gembira melihat bekas anak-anak muridku dan isteri yang berjaya dalam kerjaya masing-masing. Ada pakar forensik, pakar kimia, jurutera TNB, dan Petronas, pensyarah UPM, pakar ICT, ada pegawai kerajaan, ada chef, ada guru dan ada ramai yang masih berada di IPTA dan ada juga mat rempit. Untuk bekas anak-anak murid mat rempit ini sempatlah juga aku menasihati mereka..jadi-jadilah merempit. Jawapan yang diberikan, "okay cikgu...okay cikgu...tak buat dah cikgu!". Entahlah !!

Dua hari itu aku dan isteri tidak sempat keluar beraya untuk berjumpa dengan mak dan bapak saudara kerana tetamu yang tidak putus-putus dari pagi sampai petang. Aku ingat tahun lepas tetamu sudah cukup ramai, rupanya tahun ini yang aku sangka tidak ramai, rupanya lebih ramai dari tahun lepas. Terfikir juga difikiran ini, agaknya semakin tua diri ini akan semakin ramai datang beraya untuk menziarahi seorang guru seperti aku dan isteri..?

Hari raya ketiga, selepas satu kumpulan tetamu pulang, aku dan isteri cepat-cepat keluar untuk menziarahi saudara mara. Dalam masa aku beraya itu tiba-tiba anak aku telefon memberi tahu "anak murid ayah datang!". Aku tidak dapat pulang segera kerana aku berada jauh dan ada lagi rumah mak saudara yang aku tidak ziarah, lantas aku minta anak aku bagi telefon kepada yang dikatakan pelajar aku itu, untuk memohon maaf kerana tidak dapat berjumpa. Dia memberi tahu, dia pelajar aku di Tingkatan 6 lima tahun dahulu. Aku sudah lupa wajah anak murid aku itu. Aku minta anak-anak aku melayan mereka di rumah.

Dalam perjalanan itu jugak aku menerima panggilan telefon dari bekaas pelajar minta aku dan isteri singgah di rumah mereka. Yang seorang itu siap membentak " datang jugak...datang jugak sir..tak kira datang jugak !" Maka singgahlah kami ke rumahnya untuk makan mie sup!

Begitulah sedikit gambaran aidil fitri tahun ini. Syukur kepada Allah kerana di ziarahi oleh ramai para pelajar dan bekas pelajar di samping sanak saudara dan sahabat handai.

Hari ini aku terutama isteri masih terasa kepenatan...kami hanya berehat sahaja di rumah melayani anak-anak yang akan pulang hujung minggu ini ke tempat bertugas dan pengajian masing-masing...ke Kota Kinabalu, ke Kangar, ke Seri Iskandar, ke Tanjung Malim dan ke asrama SMK Seri Rompin. Maka selepas itu tinggal aku berdua dengan isteri di teratak ini!

No comments: