Sunday, August 29, 2010

Alexander The Great adalah Iskandar Zulqarnain ?

Semalam sebelum waktu berbuka, aku bersama isteri dan 2 orang anak, sempat singgah di Kedai Buku Popular Megamall Kuantan. Oleh kerana susah mendapat parking aku turunkan isteri dan anak-anak aku di hadapan kedai buku itu. Untuk mendapat parking aku terpaksa 'tawaf' Megamall sebanyak empat kali. Hendak park di tingkat atas malas, maka terpaksa mengambil masa sedikit.

Kalau dua minggu lepas aku membeli dan menghabiskan bacaan buku berjodol " Agenda Yahudi Menakluk Dunia" tulisan Sabaruddin Hussein, kali ini aku cuba mencari mana-mana buku yang menarik untuk dibaca.Justify Full

Sambil mencari-cari buku pilihan, aku terdengar anak aku, Abdul Hamid mengomel sendirian, "Aik, Alexander adalah Zulqarnain?".

Aku berpaling ke arahnya dan melihat dia merenung buku yang jodolnya dia baca sebentar tadi.

Sambil memandang kepada aku dia berkata, " Ayah, betulkah Alexander adalah Zulqarnain? Bukankah Alexander bukan Zulqarnain?".

Anak aku kelihatan benar-benar keliru dengan isu yang nampaknya dia sangat berminat.

"Mana Hamid tahu Alexander bukan Zulqarnain?" tanya aku.

"Kan dalam Astro Oaisis dulu ada dokumentari tentang Alexander bukan Zulqarnain !".

Dia yang telah memegang dua buah buku untuk dibeli terus membelek-belek buku yang mengelirukannya itu. Aku buat tak kisah kerana aku memang tidak berminat untuk tahu apakah Alexander itu Zulqarnain atau Alexander itu bukan Zulqarnain!

Setelah selesai membayar, kami bersegera ke kereta untuk ke rumah mak saudara aku di Bukit Bayroute untuk berbuka puasa. Dalam kereta nampaknya anak aku itu terus berdebat dan berdiskusi dengan kakaknya tentang Alexander adalah bukan Zulqarnain. Dan dia kata buku tadi cukup mengelirukan. Katanya penulis itu macam yakin sebab dia tidak letak tanda soal pun. Sesekali aku jugak menyampuk dan menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan.

Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, kami mula hendak berangkat pulang ke Rompin. Dalam kereta sekali lagi kisah Alexander adalah Zulqarnain masih belum selesai dan terus menjadi perbincangan hangat. Untuk menghilangkan kekeliruan Abdul Hamid, maka aku membuat keputusan, "okaylah kita beli sahaja buku itu".

Aku terus memandu semula kereta ke Kedai Buku Popular di Megamall itu untuk membeli sahaja buku berkenaan. Aku harap dengan membaca buku itu, anak-anak aku tidak terus keliru dan akan jelas pemahamannya mengenai Zulkarnain yang disebut dalam Surah Al Kahfi itu. Mudah-mudahan!

Nampaknya, oleh kerana anak bungsu aku bersibuk mahu pulang ke asrama, maka dia tidak berkesempatan untuk membaca buku itu. Apa yang berlaku, aku pula yang tertarik untuk membaca dan mengetahui isi kandungan buku yang ditulis oleh Wisnu Sasongko @ Muhammad Alexander berkenaan "Alexander Adalah Zulqarnain" itu.

Lebih menarik untuk aku baca buku itu ialah Penulis buku Bestseller 'Yakjuj & Makjuj' itu mendakwa dalam bukunya itu, bahawa Socrates adalah Lukman al-Hakim yang namanya diabadikan Al-Quran, Surah Luqman! Betulkah?

Pembacaan aku masih belum habis...

2 comments:

Anonymous said...

Pendedahan yang menambah minda dan teringin baca buku tu.
Mungkin Tuan boleh kongsi cikit buku kontroversial tu, benarkah Alexander the Great yang selama ini dipercaya sbg orang kufur itu adalah benar Zulqarnain dalam Quran?
Pantaskah Alexander/Iskandar Macedonia itu adalah Zulqarnain?
saya tunggu kongsi bukunya

sazili said...

Anony 1057pm,
Insya Allah apabila habis membaca nanti saya akan ulas tentang tajuk buku itu menurut pandangan saya dari apa yang saya baca. Buat masa ini bacaan belum habis kerana kandungan buku itu agak ilmiah sedikit so saya kena baca dengan teliti lagipun saya ni membaca agak slow ditambah dengan kekangan2 lain. Walau apa pun sudah 2/3 kandungan buku itu telah saya baca...terhenti seketika kerana adil fitri..