Tuesday, August 17, 2010

Madrasah Ramadhan mengajar bersabar !


Hari ini nak berpantun je !

Mahu gugur, gugurlah nangka,
Jangan ditimpa si dahan pauh,
Hendak tidur rasanya mata,
Waktu berbuka masihlah jauh.

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Perut mula rasa menggelodak,
Biarkan dia jangan dilayan.

Bukan mudah menampi selasih,
Selasih sudah bercampur arang,
Bukan mudah menahan pedih,
Waktulah puasa masih panjang.

Ikan dituba diracun telaga,
Tumbuh onak subur di darat,
Orang berpuasa rasa dahaga,
Bersabar sahaja pasti berkat.

Anak enggang berkayu tinggi,
Patah ranting terbanglah ia
Amboi teruknya sampai begitu sekali,
Macam budak baru puasa pula dia.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Pengajaran hidup memang begitu,
Ajaran dari madrasah Ramadhan.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Madrasah Ramadhan mengajar bersabar,
Supaya hidup penuh bererti.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Madrasah Ramadhan bulan barakah,
Rebut beribadah setiap ketika.

Begitulah adanya...pantun puasa !

No comments: