Selepas solat asar petang kelmarin, aku sempat singgah di bazar Ramadan Kuala Rompin. Itulah pertama kali aku turun ke bazar Ramadan itu. Pertama kali turun, aku dapat rasakan keadaannya amat berlainan dari tahun lalu. Kali ini kelihatannya tidak begitu ramai orang berkunjung ke situ. Aku tidak pasti apakah keadaan seumpama itu begitu setiap hari kerana seperti yang aku nyatakan tadi itulah pertama kali aku ke situ.
Aku turun dari kereta berjalan-jalan dari satu gerai ke satu gerai. Pelbagai juadah nampaknya tersedia untuk dijual. Aku menemui gerai ayam golek, gerai murtabak, gerai minuman, gerai lauk pauk yang pelbagai jenis mahupun gerai kuih muih yang pelbagai warna. Citarasanya aku tak pasti. Nampak pada warnanya macam sedap !
Namun aku sebenarnya tidak berminat membeli kerana aku tidak banyak makan sewaktu berbuka, cukup sekadar makan nasi lauk ikan goreng atau nasi goreng yang dimasak oleh isteri. Kadang-kadang sejemput mee gorengpun ok! Sehingga ke hari ini aku masih belum berminat dengan lauk-pauk dan kuih muih yang dijual kerana kami makan tak banyak.
Sewaktu berjalan-jalan dari gerai ke gerai itu aku sering terfikir, banyaknya makanan yang belum terjual, sempat habiskah sebelum waktu berbuka? Sedangkan waktu itu tidak ramai orang yang berkunjung. Kalau tidak habis dijual apakah yang berlaku kepada makanan itu ? Dalam hati jangan buang sudah, pembaziran yang Allah tidak suka. Bimbang juga bazar Ramadan yang sepatutnya dapat membantu mereka yang perlu membeli untuk berbuka menjadi medan lalai dan bermewahan makanan sehingga membazir. Bazar Ramadhan di Jasin dan di Kuantan semalam yang dilanda angin kuat wajar dijadikan renungan kita semua.
Mengenai orang tidak ramai berkunjung pada tahun ini mungkin kerana gaji belum dapat lagi kot? Kita tengok nanti selepas 25 Ogos apakah bazar Ramadhan akan diserbu orang lebih ramai lagi. Atau pada tahun ini orang ramai lebih gemar memasak makanan sendiri kerana berjimat. Barang keperluan di Kuala Rompin ini semakin mahal, duit perlu disimpan untuk juadah raya kerana waktu itu anak-anak dan saudara mara ramai yang pulang ke kampung.
Semoga perniagaan di bazar ramadhan mendapat keberkatan Allah dan semoga puasa para pembeli termasuk diri aku sendiri tidak hanya mendapat lapar dan dahaga. Masya Allah !
No comments:
Post a Comment