Satu hari dalam tahun 2007. Dia memberi salam yang cukup ringkas, terus masuk dan duduk. Cepatnya dia, tidak sempat saya menjawab salam.
"sir, saya datang ni, nak minta maaf banyak-banyak dengan sir," itulah yang terkeluar dari mulutnya. Saya tercengang dan terus bertanya " minta maaf kenapa ?."
" Saya sudah pindah sekolah," katanya ringkas, tenang dan kelihatan tegas.
Hai...hari semalamnya, saya mengajar "Speaking Component" kelas dia. Dia kelihatan ceria dan berusaha gigih berbahasa Inggeris. Sampai giliran dia untuk membuat public speaking. Susah payah dia mengusahakan dirinya berbahasa Inggeris. Gamat satu kelas kerana keselambaannya. Dia sungguh menghiburkan kawan-kawannya. Dalam MUET usahanya berbaloi. Saya terkejut dia dapat Band 2.
Hai...hari semalamnya, saya mengajar "Speaking Component" kelas dia. Dia kelihatan ceria dan berusaha gigih berbahasa Inggeris. Sampai giliran dia untuk membuat public speaking. Susah payah dia mengusahakan dirinya berbahasa Inggeris. Gamat satu kelas kerana keselambaannya. Dia sungguh menghiburkan kawan-kawannya. Dalam MUET usahanya berbaloi. Saya terkejut dia dapat Band 2.
Saya bertanya Razi (bukan nama sebenar), tukar sekolah mana, bila tukar, siapa uruskan pertukaran, bila hari terakhirnya dia di sini ? Semua soalan saya dijawab dengan tenang.
Apabila saya bertanya mengapa dia tukar sekolah, dia menjawab seperti mengomel bunyinya. Dia kata dia sudah menyampah dan bosan. Salah sikit pun orang tidak boleh terima. Itupun kalau salah. Kita bagi tahu yang kita tidak sengaja, tak percaya. Ingat kita ni tipu ke?
Dia berleter dihadapan saya. Saya termangu seketika sambil berfikir, "teruk benar sekolah aku.."
'Razi siapa yang awak marah ni? Apa yang dah berlaku ni ?" tanya saya 'still confuse.'
Ayah saya tu sir. Saya terlewat bangun pagi tadi, saya minta tolonglah dia hantar saya ke sekolah, memang saya hendak ke sekolah, tapi dia tak nak hantar. Dia kata saya tipu. Dia kata saya nak ponteng. Saya minta tolong mak hantar, ayah marah mak, tak bagi mak hantar. Dia suruh saya jalan kaki sendiri ke sekolah. Jauh sir !! Sebab tu saya tukar sekolah.
Habis, sekolah baru nanti dekat ke dengan rumah awak? 20 kilometer! Saya nampak makin jauh, lagi susah awak hendak ke sekolah.
Tak ada masalah sir, saya sewa rumah. Rumah tu dekat dengan sekolah.
Oo...sapa nanti yang nak bagi duit bayar sewa rumah, duit makan, duit bill eletrik, duit yuran, dan macam-macam keperluan? Razi terdiam. Lama jugak. Tiba-tiba dia kelihatan lembik leher dan tunduk. Kesian juga saya tengok dia.
Tapi sir, duduk dekat rumahpun tak guna jugak. Ayah bukan suka sangat dekat saya. Hari-hari marah dan maki hamun saya. Salah sikit hendak dibelasahnya saya. Saya je yang salah. Serba tak kena saya dekat rumah tu! Sebab ni semualah saya tukar sekolah.
Mendengar keluhan Razi saya menjadi sesak fikiran," Razi, ayah awak tu 'gila'. Kalau ayah awak tu 'gila', awak perlu jadi 'gila' sama ke ? ", kasarnya ayat saya. Tapi saya rasa saya sudah bertanggungjawab dengan apa yang saya cakapkan. Saya kenal sangat ayah Razi tu! Zaman dia bersekolah dulupun saya sudah kenal.
Saya bagi tahu kepada Razi, saya sama sekali tidak bersetuju dia bertukar sekolah. Satu tindakan yang tidak bijak kerana dia hanya bersekolah setahun setengah sahaja lagi. Saya nasihatkan Razi agar dia menjadi orang yang kuat emosi untuk menghadapi setiap cabaran dalam hidupnya. Saya yakin, saya bersama guru-guru di sekolah ini boleh membantu dan mengawal Razi.
Esoknya saya terjumpa Razi di kantin sekolah. Saya saja-saja bertanya, kenapa tidak tukar sekolah dan hari ini datang ke sekolah macam mana ? Razi kata dia dengar nasihat saya semalam dan hari ini dia datang tumpang orang, katanya.
Waktu sekolah tadi, Jumaat, 14 November, lebih kurang pukul 12.oo tengahari, hari terakhir persekolahan sesi 2008, Razi masuk ke bilik saya. Dia memohon maaf dengan saya dan merayu saya memaafkan dia kerana katanya dia akan menduduki STPM minggu depan. Dia takut tidak berkesempatan berjumpa saya lagi kerana sekolah sudah mula bercuti. Saya buat tegas dan tidak melayan Razi kerana menahan perasaan marah dan sakit hati. Minggu lepas ustaz ternampak dia merokok di hadapan sebuah bank di bandar dengan pakaian sekolah. Inilah yang membengangkan saya terhadapnya. Dia terus berada dihadapan saya dengan muka sedih dan kelihatan hiba.
Tiba-tiba dia bertanya saya, "sir tak datang ke rumah saya ?"
"Nak datang buat apa rumah awak?" tegas saya. Dia diam, tunduk macam orang kesedihan.
"Kenapa awak tak datang sekolah dua tiga hari lepas?" sergah saya.
"Mak sakit."
"Macam mana keadaan mak sekarang ?".
"Mak dah tak ada sir! Kelmarin !", tergenang airmata Razi. Pertama kali dalam hidup saya semenjak saya mengenali budak ini saya melihat dia begitu. Terkejut besar saya.....rasa bersalah, menyesal, tidak berperikamanusiaan berbaur dalam emosi saya. Saya tidak melayani emosi hiba seorang pelajar saya, yang telah kehilangan seorang ibu, yang hanya manusia itulah dunianya, tempat dia bermanja dan meluahkan emosi remajanya, dengan sopan sepanjang dia berada di hadapan saya. Ada juga ketikanya aku menjadi begitu zalim, bentak hati saya sendiri. Saya tidak tahu ibunya baru meninggal dunia dan sangat kecewa kerana tiada orang yang memberitahu saya. Razi kata dia telefon kawan-kawan minta bagi tahu saya.
Itulah antara secebis kisah Razi yang sangat berwarna warni di sekolah ini. Dia satu-satunya pelajar lelaki yang bersekolah paling lama di sekolah ini dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Enam. Tiada seorang guru dan pelajar pun yang tidak kenal siapa Razi di sekolah ini. Pada waktu dia akan menduduki STPM minggu depan , Razi ada 9 kes disiplin yang membolehkan pihak Pengetua menghukum dia. Tapi saya dan kaunselor sekolah dengan susah payah menjaga Razi. Banyak kesnya saya pendamkan dan saya hadapi secara terbuka satu demi satu.
Pada saya dan kaunselor sekolah, kalau orang sering melihat Razi dengan kejahatan, tetapi kami melihat Razi sebagai seorang pelajar yang kuat dan hebat dalam hidupnya. Dia masih terlihat gagah dalam arus perdana pembelajaran seperti pelajar-pelajar lain sedangkan ramai sahabat-sahabat seumpamanya berada di simpang-simpang jalan, lokap-lokap polis, sekolah pemulihan akhlak, pusat serenti tetapi Razi berdiri megah di SMK Seri Rompin hingga ke hujungnya. Dan jangan terkejut jika Razi mampu ke universiti tahun hadapan.
Persoalan utama menerjah ke fikiran saya, mampukah Razi mengharungi kehidupannya dalam jagaan ayahnya tanpa ibu dunia hidupnya ?
2 comments:
Sir,
Walaupun sebagai GSK, saya rasa saya kenal si "Razi" ni. Walaupun ada masalah disiplin di sekolah, dia ada potensi untuk mengubah diri. Sebenarnya dia bukanlah budak "jahat".
Dapat saya perhatikan, di kelas, gerak geri dan kelakuannya mendambakan perhatian. Dengan perhatian yang wajar dan cara yang betul dia menjadi budak "baik" di kelas.
Dengan dorongan, dia boleh berbincang, mengungkapkan fikiran dan dapat menjawab soalan dengan baik.
Memang perlu bertegas dengan si "Razi", tetapi ketegasan jangan sampai membunuh keinginannya untuk mendapat perhatian dan memperbaiki diri.
Walaupun sebentar sahaja mengenali "Razi" saya tahu dia menghadapi tekanan hidup.
Dia tidak hadir ketika peperiksaan percubaan. Tetapi meminta kebenaran menjawab kertas itu (subjek yang saya ajar)
kemudiannya, secara "sembunyi-sembunyi",tidak mahu dilihat oleh orang lain.
Saya tanya, apa masalahnya perlu mejawab secara sembunyi-sembunyi. "Saya malu pada cikgu lain. Di sini ramai cikgu yang kata saya jahat".
Saya tempatkannya di bilik solat berhampiran bilik guru dan menunggu dia selesai menjawab. Dia lulus subjek itu.
Nasib dan masa depan sesaorang, tidak mudah untuk diduga.
Bukan mudahlah menjadi guru ni!
Tetapi sir Sazili memang cikgu yang pro...cayalah...
Terima kasih cikgu.
Walaupun singkat cikgu di sini,namun sumbangan cikgu terhadap masa depan Razi cukup bermakna. Itulah kita sebenarnya..seorang yang bergelar GURU.
Post a Comment