Mengajar di sesi petang kadang-kadang cukup memenatkan. Banyak perkara yang perlu dipastikan berlaku. Antara yang utama ialah untuk memastikan pelajar-pelajar menunaikan solat zohor dan asar berjemaah. Di awal-awal waktu persekolahan kadang-kadang berlaku bagaikan mengelak ayam untuk masuk ke reban sewaktu mahu memastikan pelajar-pelajar menunaikan solat zohor. Ini adalah antara fenomena biasa di sekolah menengah harian kita.
Syukur dengan kerjasama dan dedikasi guru-guru, para pelajar sekolah saya pada waktu itu dapat dibudayakan aktiviti ke surau ini dengan baik.
Dalam tahun 2002, di suatu petang setelah selesai solat asar, dalam perjalanan pulang ke sekolah, dari masjid kampung yang kami tumpang untuk bersolat, yang jaraknya lebih kurang 200 meter dari sekolah, saya menghampiri dan berjalan beriring-iringan dengan seorang pelajar Tingkatan 2, Ali ( bukan nama sebenar). Dalam perjalanan itu banyak yang saya bersembang dengan Ali tentang diri dan keluarganya. Ali kelihatan tenang dan seronok bersembang dengan saya. Kadang-kadang Ali tergelak dengan gurauan saya, kadang-kadang Ali kelihatan serius.
"Ali, baguslah awak, rajin sembahyang. Kat rumah Ali sembahyang ?" tanya saya.
"Kadang-kadang je sir" jawab Ali ikhlas bunyinya.
Saya bertanya Ali kenapa dia kadang-kadang saja bersembahyang di rumah. Ali memberitahu saya, tak seronok sembahyang di rumah sebab hanya dia seorang sahaja yang sembahyang. Ayah dan adik beradik lain tak sembahyang. Mak sembahyangpun jarang-jarang katanya.
Sambil berjalan beriringan itu saya bertanya Ali, boleh atau tidak dia baca surah al-Fatihah. Ali kata dia tak pandai. Tak pandai ? Terkejut saya.
"Alhamd awak boleh baca Ali ?" saya menduga.
"Alhamd boleh sir" jawab Ali ikhlas. Lagi sekali saya terkejut dan sangat simpati kepada Ali yang rupa-rupanya tak tahu bahawa surah al-Fatihah itu lah Alhamd. Saya suruh Ali baca Alhamd. Mulanya Ali tergaru-garu kepalanya, malu. Selepas saya mendesak dan juga memujuk, akhirnya Ali membaca Alhamd dengan bacaan yang sangat tidak lancar. Saya menjadi pelik dengan bacaan Ali kerana bunyinya lain apabila sampai kepada bacaan " Iyyaa kana' budu.... "
Bacaan Ali, " Iyyaa kana'budu laa 'akbudu maa ta'k budun....sampai habis... lakum diinukum walyadinn." Sampai ke akhirnya bukan sahaja saya yang pelik, Ali pun pelik dengan bacaannya sendiri kerana tidak berjumpa "Amiin !". Saya tidak tegur kesalahan Ali kerana saya nak tahu betulkah Ali boleh membaca Alhamd. Saya minta Ali baca sekali lagi. Bacaan Ali tetap juga seperti itu. Akhirnya saya puji Ali, " Bagus bacaan awak Ali !". Saya dan Ali terdiam. Berkecamuk fikiran saya antara, marah, geram dan simpati.
Sesampai di sekolah saya membawa Ali berjumpa dengan ustaz dan minta Ali bacakan surah al-Fatihah kepada ustaz dan itulah juga yang ustaz temui. Saya bagitahu ustaz supaya ajarkan bacaan fatihah yang betul kepada Ali. Setiap hari ketika ustaz free, Ali saya lihat berguru dengan ustaz menghafal fatihah sehingga betul bacaannya.
Realitinya, saya cukup sedih kenapa Ali masih tidak boleh membaca al-fatihah walaupun sudah berusia 14 tahun ? Bagaimanakah solat Ali sebelum ini? Apa yang Ali baca agaknya? Kesian Ali!
Persoalannya, kenapa Ali jadi begitu? Apa yang ibubapa, yang melahirkan Ali buat sebagai menjalankan tanggungjawabnya ? Apakah Ibubapa Ali tidak runsing hal keadaan Ali yang seperti itu? Masya-Allah !
Saya tertanya-tanya apakah masih ramai Ali di sekitar kehidupan kita ? Kalau ada, apakah tanggungjawab kita ? Pedulikan sahaja ?
Rumusannya, siapa salah ? Ali tidak dapat membaca al-Fatihah, siapa salah? Ali salah! Tidak mengajar Ali membaca fatihah, siapa salah? Keluarga Ali salah. Keluarga yang tidak tahu ilmu Islam dan tidak tahu mendidik anak, hanya tahu beranak, siapa salah ? Sekolah salah!! Kelakar bunyi !
Mungkin inilah realiti kualiti institusi keluarga yang kita ada kini. Sungguh menggerunkan.
No comments:
Post a Comment