Naim:
Antara yang paling awal dan paling lama berada di bilik saya. Mengadu dia rasa semakin berdebar dan sudah tidak larat hendak study lagi. Saya menasihati Naim agar berehat kerana ketepuan telah melanda dia. Memohon beberapa tip terakhir sebelum melangkah ke dewan peperiksaan esok. Saya nasihatkan Naim agar sentiasa berwudhu dan jika mempunyai kesempatan banyakkan solat sunat dhuha. Naim seorang pelajar yang cerdik dan baik. Seorang yang sangat suka membantu guru dan sangat mengambil berat. Pantang ternampak cikgu membawa bag atau apa-apa sahaja, Naim akan datang membantu. Itulah tabiat Naim sejak dari Tingkatan satu lagi.
Fuad:
"Sir, restuilah dan doakanlah perjuangan saya. Halalkan segala ilmu yang telah sir curahkan kepada saya di tingkatan satu dulu. Dan jangan lupa sampaikan salam saya kepada teacher ( isteri saya Rohani adalah teacher Fuad sewaktu Fuad di Tahun Enam dulu)". Dan Fuad seorang anak murid yang tidak pernah lupa akan teachernya. Kata-kata kebiasaan Fuad setiap kali berjumpa saya di mana-mana " sir, kirim salam kat teacher Rohani, teacher sihat ke ?". Saya pernah bertanya isteri saya apa istimewanya Fuad ini hingga begitu sayang dekat teachernya. Isteri saya beritahu saya, Fuadlah antara pelajarnya yang sering kena paksa buat latihan dan kerap kena cubit halus dekat bawah lengan! Hari ini Fuad adalah antara pelajar Tingkatan Lima terbaik di sekolah ini.
Nina, Shakila, Mijai, Jun dan Amran:
Semua mereka adalah mentee saya. Mereka adalah antara pelajar harapan cemerlang sekolah ini. Saya nasihatkan mereka agar tidak panik dan sentiasa menjaga kesihatan. Saya bimbang Shakila yang sebelum ini selalu batuk-batuk dan saya menasihati dia agar tidak minum 'watercooler' . Saya bekalkan sekotak air minuman untuk mereka. Di akhir pertemuan saya hanya minta mereka buat yang terbaik dan selepas itu barulah berserah kepada Allah.
Hidayat:
Hidayat datang mohon maaf dari saya kerana katanya dia banyak buat saya kecewa dengan dirinya. Dia memohon saya merestui perjuangannya dan mendoakan kecemerlangan buat dia. Saya menasihati Hidayat supaya melupakan segala kisah lama dan berikan fokus sepenuhnya kepada SPM. Hidayat dulu dan sekarang sudah jauh berbeza. Saya berbangga dengannya.
Amira dan Safina:
Kedua-dua pelajar saya yang becuk ini juga tidak ketinggalan mencari ruang masuk ke bilik saya untuk memohon restu dan mendoakan kejayaan buat mereka. Mereka berdua sahaja yang masuk seolah-olah datangnya bukan dua orang tetapi sepuluh orang. Saya yakin mereka ini akan berjaya kerana mereka berdua adalah pelajar-pelajar yang cerdik. Sebelum mereka pergi saya menasihati Safina supaya berhenti makan jeruk, asam boi dan kerepek ubi keterlaluan. Kesihatan perlu dijaga, nasihat saya. Safina hanya tersengeh sambil mengerutkan sebelah mata!
Shida:
Shida sudah dua tahun meninggalkan sekolah ini. Kini menuntut di SMT Johor Bahru. Dua malam lepas tiba-tiba saya mendapat 'call' dari Shida. Katanya mohon maaf di atas segala salah silapnya dan halalkan segala ilmu yang pernah dipelajari dari saya serta mohon sir doakan kejayaannya. Shida seorang yang kerap berhubung dengan saya dan sentiasa meminta nasihat saya dan bertanya khabar saya.
Pelajar ini berada di SMT Muadzam Shah telah menghantar sms kepada saya agar merestui dan mendoakan perjuangannya. Saya tidak kenal dan sudah lupa yang mana satu budak ini. Saya bagi tahu dia saya tidak ingat lagi wajahnya. "Sampai hati sir sudah lupa dan tak ingat saya lagi," katanya. Ikhlas, saya benar-benar lupa akan wajahnya. Walaupun begitu saya tetap memberikan kata-kata semangat kepada Syahirah. Esoknya saya ke sekolah dan berjumpa kawan-kawan lama Syahirah yang masih bersekolah di sini untuk bertanya yang mana satu Syahirah. Mereka siap tunjukkan gambar Syahirah kepada saya dan barulah saya ingat. "Anak murid cukup ramai atau aku telah semakin tua untuk mengingati semua mereka!" kata hati.
Huda:
Saya pernah mengajar Huda di Tingkatan Satu. Seorang yang berbakat besar dalam lukisan. Huda telah dua tahun meninggalkan sekolah ini dan kini menuntut di Tingkatan 5 SMT Satu Kuantan. Tiba-tiba pukul 11.00 malam 10 November, Huda telah menelefon saya. Saya tidak menjangka dia akan menelefon . Sebaik saya mula menjawab panggilannya, Huda bertanya khabar saya dengan suara yang kedengaran sebak. Huda memohon maaf segala salah silapnya jika ada dan berharap " sir merestui perjuangan Huda dan doakan Huda". Percakapannya terhenti-henti dan penuh syahdu. Katanya dia rasa takut dan agak gementar. Saya menasihati anak yatim ini agar jangan begitu. Di saat-saat sekarang dia mesti ceria dan kuat. Saya yakin Huda akan cemerlang kerana dia seorang yang kuat berusaha dan cerdik budaknya.
Huda inilah dulu, semasa hari-hari terakhir dia di sekolah ini telah datang ke bilik saya mengucapkan selamat tinggal sambil menangis teresak-esak. Budak ini seorang yang sangat sentimental tetapi kuat semangat orangnya. Tanpa saya sedari sebelum dia keluar dari bilik saya, sempat dia tinggalkan sekeping kertas yang bertulis " Huda sayang sir Sazili". Tulisan itu masih tertampal di bilik saya hingga ke hari ini.
Demikian beberapa peristiwa dan ragam pelajar-pelajar dan bekas pelajar saya menjelang SPM 2008 yang sedang berlangsung sekarang. Sesungguhnya saya bangga dengan mereka dan saya yakin mereka akan mencapai kecemerlangan dalam SPM mereka kerana mereka bukan sahaja kuat berusaha malah mereka juga adalah pelajar-pelajar yang baik, bersopan dan berdisiplin.
2 comments:
semoga mereka mendapat kejayaan cemerlang, seperti sir nya juga.
hanya seorang guru biasa,
yang mengajar mendidik anak bangsa nun jauh dihujung desa......itu saja ......
Post a Comment