Tuesday, November 04, 2008

Secebis kisah benar 4: Bolehkah saya bercinta ?

Sebagai guru kita juga adalah pendidik. Perlu melihat dan menerima pelajar-pelajar kita dari pelbagai sudut dan permasalahan. Yang paling penting untuk bersikap demikian kita mesti berfikiran terbuka.

"sir, saya mencintai seseorang, bolehkah saya bercinta ?" termenung juga saya menerima soalan tersebut dari seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam Bawah, empat tahun yang lalu. Apakah keberanian pelajar ini hanya untuk menduga saya ? Dari segi apa dia mahu menduga saya? Dan kenapa ? Sambil melihat wajahnya yang berada dihadapan saya berbagai-bagai persoalan timbul dalam benak fikiran saya. Apakah jawapan yang perlu saya berikan ?

Sebelum memberi apa-apa jawapan saya bertanya kenapakah soalan itu diajukan kepada saya. Spontan pelajar itu menjawab lebih baik dia berterus terang dari menyembunyinya. " Saya mahu sir membimbing saya " katanya tenang. Pada waktu ini bercelaru kepala otak saya.

Saya bertanya kepada pelajar tersebut kenapa dia merasakan dia telah jatuh cinta ? Apabila merasa rindu yang amat sangat dan teringat yang amat sangat pada kebanyakan masa, maka dia merasakan itulah jatuh cinta. Soalan seterusnya dari saya ialah apakah matlamat cinta dia? Sekali lagi dengan muka selamba dan tenang dia memberitahu bahawa dia benar-benar berhasrat mahu menjadi isteri dan teman hidup kepada orang yang dicintai. Sekali fikir menyampah kita mendengarnya. Tetapi bagi saya bukan itu cara penyelesaian kepada masalah budak ini, walau apapun perasaan dan tanggapan saya terhadap dia. Dan bagi saya budak ini jujur walaupun saya belum masuk ke dalam 'hati perut' dia.

Dia memberitahu saya orang yang dicintai ialah rakan sekelas dia. Pada waktu itu saya terus tinggalkan dia bersendirian di bilik saya untuk saya memanggil pelajar lelaki yang dinyatakan. Sesampai di bilik saya, saya minta pelajar perempuan itu diam dan jangan bercakap apa-apa. Dia akur.

Saya bertanya pelajar lelaki itu beberapa soalan dan ada soalan yang sama seperti yang saya tanya kepada pelajar perempuan tadi. Saya boleh buat kesimpulan jawapan ada yang sama. Setelah mendengar kedua-duanya tibalah masa yang sukar bagi saya iaitu untuk memberi jawapan yang sesuai dan berkesan yang benar-benar mendidik.

"Saya benarkan kamu bercinta kerana tujuan percintaan kamu saya dapati ikhlas - hendak mendirikan rumah tangga", itulah yang terkeluar dari mulut saya. Kedua-dua pelajar tersebut tenang menerima jawapan saya. Saya tertanya-tanya adakah saya guru yang pertama membenarkan pelajar sekolah bercinta dengan agak rasmi di sekolah? Adakah saya melanggar etika sebagai seorang guru atau pendidik? Saya biarkan dulu persoalan tersebut berligar di fikiran saya.

"Tapi ada syarat-syaratnya....", sambung saya tegas. Kedua-dua mereka diam dan terus mendengar.

Bagi saya ini ada kes yang sangat istimewa. Sudah berpuluh tahun menjadi guru tidak pernah ada seorang pelajar pun, datang jumpa saya minta izin bercinta melainkan pasangan ini. Dihadapan pelajar berkenaan saya menaipkan syarat yang mesti mereka patuhi. Antaranya ialah mereka tidak boleh kelihatan berdua-duan, mereka tidak dibenarkan berjumpa melainkan di rumah pelajar perempuan dihadapan keluarganya, mereka tidak boleh berjumpa di mana-mana di luar kawasan sekolah, mereka tidak dibenarkan sama sekali menggunakan telefon bimbit, mereka tidak dibenarkan balik bersama dan ada lagi syarat-syarat lain. Semua syarat-syarat tersebut jika mereka langgar, tindakan disiplin yang pertama yang akan dikenakan ialah singkir dari asrama. Saya membuat keputusan berkenaan kerana rumah kedua-dua pelajar ini adalah lebih kurang 100 kilometer dari sekolah ini.

Yang menariknya, kedua-dua mereka sanggup bersetuju dan menandatangani akujanji tersebut. Saya mengharapkan mereka tidak sanggup menandatangani akujanji itu, dan menghentikan hasrat percintaan mereka. Tetapi saya menjadi agak panik apabila mereka bersetuju walaupun dihadapan Pengetua.

Setelah mereka tandatangan aku janji tersebut, saya membuat kesimpulan saya, terhadap hasrat mereka. Saya katakan kepada mereka, percayalah percintaan mereka akan kecundang akhirnya. Alasan saya, perasaan cinta adalah antara musuh utama kepada fokus pelajar terhadap pelajaran apatah lagi pelajar Tingkatan Enam Sains. Kata saya, saya meramalkan bahawa di antara mereka berdua, orang yang lebih kental melawan perasaan cinta mereka akan berjaya dalam STPM mereka di tahun hadapan. Mereka menafikan ramalan saya sebaliknya memberitahu percintaan mereka itu memotivasikan mereka untuk belajar. Saya tegas mengatakan kepada mereka,"No, you are going face very big problem in your study, believe me !".

Saya melepaskan pelajar perempuan itu 15 minit awal pulang ke kelas. Sepanjang tempoh kebenaran bercinta yang kononnya saya izinkan, saya tidak mendapat sebarang laporan yang mencolok mata yang dilakukan oleh keduanya yang dilaporkan sama ada oleh pelajar-pelajar mahupun guru-guru.

Sekitar dalam bulan Jun tahun berikutnya, di Tingkatan Enam Atas, sedang saya sibuk di bilik saya tiba-tiba saya didatangi oleh pelajar perempuan tersebut. Sebaik duduk, saya melihat wajahnya agak runsing dan murung. Seperti biasa saya bertanya masalah.

"sir, saya tak boleh study, tak masuk langsung sir", rungutnya dengan genangan airmata. " saya nak bagi tahu sir, kami dah putus hubungan".

Dia memberitahu saya hubungan percintaan itu terpaksa diputuskan kerana sikap pelajar lelaki tersebut yang tidak begitu melayan dia dan emosi dia sendiri terlalu fokus kepada pelajar lelaki tersebut. "I've told you !" sergah saya dalam hati.

Saya hanya diam dan mendengar curahan hati dia. Dia mengakui apa yang saya amarankan dia dulu benar-benar terjadi kepada dirinya. Tisu di atas meja saya sehelai demi sehelai menjadi sasaran airmata budak ini.

Hari ini, saya mendapat maklumat, pelajar lelaki itu berada di salah sebuah IPTA tetapi pelajar perempuan yang menerima keputusan STPM yang agak teruk itu tidak ke mana-mana. Sampai ke saat ini saya masih terfikir apakah tindakan saya terhadap permintaan pelajar-pelajar itu yang menyebabkan pelajar perempuan tidak mendapat keputusan yang baik ? Sesungguhnya kisah ini antara kisah, yang benar-benar mengajar saya banyak perkara, terutama dalam berurusan dengan anak-anak dan pelajar-pelajar remaja saya.

Semoga pelajar tersebut juga mendapat banyak pengajaran dan bangkit dari 'kejatuhannya' untuk terus berjaya dalam pelajaran.

6 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..
cikgu, sudah lama saya mengikuti blog cikgu. kebanyakkan artikel-artikel yang cikgu tulis, saya rasa ianya dituju kepada diri saya.
sebenarnya dari dulu lagi persoalan tentang cinta, hubungan cinta antara student selalu bermain diminda saya lebih-lebih lagi diIPT, pergaulannya agak bebas. bila saya bersama orang yang saya suka, saya rasa macam hendak couple. tetapi bila saya fikir apa yang saya dapat bila couple, jadi serbasalah pulak.

Anonymous said...

salam,
terima kasih ardeli kerana sudah lama mengikuti blog cikgu.Apa yang cikgu tulis hanya semata-mata untuk ikhtibar kita semua. Pada cikgu pelajar yang matang ialah pelajar yang sentiasa tahu mendahulukan yang utama dari yang belum perlu lagi. Jaminan masa depan perlu dipastikan dahulu. Cinta boleh datang bila-bila. Namun pergaulan bebas adalah penyakit kronik yang perlu dielak.

Anonymous said...

cikgu pun bercinta jugak tetapi dalam rahsia...

Anonymous said...

salam cikgu,
saya nak mintak pandangan cikgu,kalau kite suka kat seseorang,apa perkara pertama yang kita perlu buat?

Anonymous said...

Salam nine,
Pada pandangan cikgu,kalau kita suka kat seseorang biarlah kita habis belajar dulu. Lepas tu cikgu berpendapat, nine bagi tahu ayah nine biarkan ayah nine berjumpa dengan budak lelaki..hah...suruh dia meminang nine. Tapi tak boleh lama kira-kira dalam tempoh enam bulan je ! Okay nine ?

Anonymous said...

terima kasih cikgu,
saya pun berpendapat mcm tu..
tgk kwn2 saya asyik sibuk bercinta aje. smpai lupa belajar n lupa mak ayah kat rumah. pompuan ke laki ke same aje.kejap2 tukar pasangan cam tukar baju je...alhamdulillah, mak ayah saya selalu pesan supaya jaga maruah diri, kuarga n agama.. bg saya restu mak ayahlah yang membuatkan hidup kita tenang dan bahagia...selagi kite dgr ckp mak ayah selagi itu hidup kita terpandu ke arah yang betul.. insyaallah...