Pagi tadi saya dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada sekumpulan lebih kurang 40 orang bekas penagih anjuran AADK. Bertemu dengan mereka merupakan satu pengalaman yang yang cukup menarik. Ada yang masih remaja, ada yang bujang dan kelihatan juga ada yang macam orang yang sudah berkeluarga yang mungkin lebih berusia dari saya.
Kebanyakan dari mereka apabila ditanya apakah antara punca keterlibatan mereka dalam penyalahgunaan dadah, rata-rata menjawab kerana merokok dan pergaulan. Terfikir oleh saya rupa-rupanya besar juga implikasi merokok ini sehingga mampu menjadi antara faktor utama kepada masalah penagihan dadah.
Inilah kali kedua saya mendapat jawapan yang serupa. Lima tahun yang lalu saya pernah berpeluang melawat sebuah pusat serenti dan 3/4 daripada seramai 15 orang penghuni yang saya temui mengatakan punca utama mereka terlibat dalam dadah ialah merokok. Sama ada punca ini sejajar dengan kajian oleh pihak-pihak yang pernah membuat kajian saya tidak pasti tetapi itulah yang saya dengar dari mulut para penagih dan bekas penagih.
Kalau faktor ini diambil kira sebagai antara penyebab utama, bayangkanlah keadaan hari ini dan akan datang. Hari ini terlalu ramai para pelajar sekolah terlibat dengan kegiatan menghisap rokok! Dan keadaannya terlalu sukar dikawal terutama oleh pihak sekolah.
Seorang Pengetua sekolah pernah menceritakan kepada saya, pengalamannya menangkap pelajarnya menghisap rokok. Pelajar ini dimarahi dan serta-merta dibawa oleh Pengetua tersebut pulang ke rumah ibubapanya untuk membuat aduan. Betapa kecewanya Pengetua tersebut apabila bapa itu berkata sebaik sahaja diberitahu anaknya menghisap rokok, " Dekat rumah ni dia pun selalu hisap rokok cikgu. Kadang-kadang dia minta rokok saya. Saya tak kisah cikgu".
Saya sendiri pernah menghadapi satu situasi di dalam sebuah perkhemahan waja diri apabila saya menangkap seorang peserta menghisap rokok dalam tandas. Peserta ini menengkeng saya dengan mengatakan ,"Apa yang cikgu sibuk, ayah sayapun tak kecoh saya hisap rokok kat rumah". Bayangkan betapa kecewanya saya pada waktu itu.
Justru itu saya tertanya-tanya apakah fenonema pelajar-pelajar menghisap rokok di rumah merupakan fenomena biasa kepada kebanyakan ibubapa ? Cikgu-cikgu saja yang sibuk dan menyibuk agaknya!
2 comments:
Sir, bila baca isu budak sekolah merokok ni, saya teringat peristiwa semasa saya mengajar di Benta, Kuala Lipis pada tahun 1977.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima di'tangkap' kerana merokok dalam tandas.
Dipendekkan cerita, bapa pelajar dipanggil ke sekolah.Datang.
Dipendekkan lagi ceritanya. Bapa pelajar perempuan itu berkata. "Memang betul cikgu, anak saya hisap rokok. Setiap pagi sebelum anak saya ni pergi sekolah, dia tolong saya menoreh. Pagi-pagi sejuk, cikgu. Dia hisap rokok lah".
Itulah yang diberitahu kepada Guru Besar. (Masa tu mana ada gelaran 'Pengetua')
Sebagai saksi, saya mendengar aje.
November 11, 2008 6:37 PM
Delete
Post a Comment