Thursday, November 13, 2008

Jering rebus yang lazat.

Malam tadi saya bersama saudara Mustafa Kamal dan Tn Hj Hanafiah bertandang menziarahi seorang sahabat, saudara Maulud yang akan berangkat menunaikan fardhu haji ke Mekah pada keesokannya.
Sesampai di rumah saudara Maulud, kami bertanya khabar dan berbual pelbagai perkara, dari hal ibadat haji hingga ke soal zaman bersekolah saudara kamal yang sesekolah dengan abang saudara Maulud.

Pada waktu kami bertandang di rumah saudara Maulud, apa yang menarik perhatian saya ialah hidangan yang disediakan buat kami. Jering rebus cicah kelapa dan kopi o. Mungkin bagi orang lain tiada apa-apa dan itu adalah perkara biasa. Tetapi bagi saya hidangan tersebut mengimbau kembali ingatan saya kepada arwah tok wan dan ibu saya. Masih saya ingat sewaktu kecil-kecil dulu kalau saya ke rumah tok wan saya akan dapat makan jering rebus. Arwah ibu saya juga pernah menyediakan juadah jering rebus untuk minum petang kami sekeluarga.

Lama sungguh saya tidak makan jering rebus cicah kelapa parut. Enak juga rasanya tapi nak makan lebih sedikit terasa segan. Maka sempatlah saya menjamah tiga keping.

Itulah istimewanya jering yang boleh dimakan sebagai ulam cicah belacan atau tempoyak. Boleh dibuat sambal tumis dan gulai. Jering juga boleh direbus dan ditumbuk halus dijadikan seperti emping atau keropok, dikeringkan untuk digoreng . Buah jering yang sudah cambah lagi enak dibuat sayur atau ulam tapi baunya kus semangat !

Antara fakta menarik tentang jering ialah buah muda, mengandungi 93% air, 3.5% protien, 1.7% karbohidrat, 0.1% lemak, besi, kalsium, fosforus, vitamin A, B, dan C. Manakala buah yang tua mengandungi, 70% kanji. Mangandungi banyak jenis asid amino dan kaya dengan sistein. Minyak dalam jering mengandungi sebatian belerang, sejenis alkaloid yang bersifat melawaskan buang air kecil dan asid jenkolik.

Dikatakan juga jering elok dimakan untuk merawat kencing manis manakala daunnya boleh ditumbuk lumat untuk ditampal pada kulit untuk merawat pelbagai jenis penyakit kulit.

Begitulah menarik dan istimewanya jering dan saya cukup gemar makan nasi berulam jering cicah tempoyak. Fou Yoo.... !!

2 comments:

mantan said...

Sir,
Bestnya posting tentang jering tu. Bukan saja menimbulkan kenangan tetapi juga diulamkan juga dengan fakta sintifik tentang jering.Ilmu tu...

Sedapnya jering rebus cicah kelapa parut...

Anonymous said...

Memang sedap cikgu. Dah lama betul tak makan. Bila dapat rasa, terasa sedap pulak. Isteri saya tengok gambar tu, dia pula nak rasa macam mana. Terpaksa Ahad ni saya kena cari jering rebus dekat Pasar Minggu Rompin.