Saturday, November 29, 2008

Kenduri

Malam tadi menghadiri kenduri, dihidangkan laksa. Berselera juga makan laksa. Tuan Haji Mokhtar yang makan sehidang dengan saya, begitu berselera sekali. Melihat dia meramas-ramas dan mengaul laksa dengan sambal lada, belacan dan garam yang penuh kuah lemak cukup menghiburkan. "Ini makanan kegemaran saya ni " kata Tn Hj Mokhtar tak payah ditanya.

"Payahlah orang keturunan Trengganu tak suka laksa" usik saya.

Tn Hj Mokhtar dan Ahmad De kawan sedarjah saya tak kisah orang kiri kanan lagi, terus meramas-ramas laksa dalam pinggannya. Saya makan juga dan suka juga makan laksa, tetapi di rumah kenduri orang, saya menggunakan sudu segan nak guna tangan. Lagi pun ada disediakan sudu.

"Heh...orang tak kata makan laksa kalau guna sudu", perli Tn Hj Mokhtar.

"A'ah!" bersetuju Ahmad De dengan Hj Mokhtar. Saya tidak mengulas apa-apa, terus makan sambil mendengar usikan mereka yang menghiburkan.

Saya juga sempat melihat Tok Bilal Zoher sebelah Ahmad De, siap menghirup kuah lagi. Tn Hj Mokhtar nampaknya menambah lagi. Wau.... berselera sungguh. Saya bimbang juga melihat Tn Hj Mokhtar makan, maklumlah usia dia sudah hampir 80 tahun. Lagipun baru sebentar sebelum masuk ke rumah dia merungut seminggu tak dapat datang ke masjid kerana sakit-sakit badan dan sendi.

"Beringat sekit (maksud saya kesihatan dia) " usik saya kepada Tn Hj Mokhtar.

"Masa ada selera cikgu, rasa nak makan, makan ! Esok tak ada selera, pakai tengok orang makan je lah" begitu prinsip Tn Hj Mokhtar.

Tok Penghulu yang duduk sebelah kiri saya sehidang dengan Tuan Imam, kelihatan berhenti awal. Agaknya Tok Penghulu tidak berapa gemar makan laksa. Agaknyalah !

"Tambah lagi Tok Penghulu" pelawa saya.

"Cukuplah cikgu, kenyang dah".

Begitulah orang kampung saya kalau dengan laksa. Kebanyakannya memang gemar makan laksa. Tambah pula memang jarang orang buat kenduri menghidang laksa. Mungkin tuan rumah mahu alih rasa dan cara. Agak-agaknya laksa memang makanan kegemaran orang pantai timur kerana kelihatannya semua berselera.

Begitulah kenduri laksa yang saya hadiri malam tadi.

Hari ini, baru sebentar tadi saya bersama isteri baru balik dari 2 jemputan kenduri kahwin. Di rumah pertama berjumpa dengan sayur lemak nangka, ikan masin dan sambal belacan ada pula beranika ulam. Lauk ayam dan daging tolak tepi.

Di rumah kedua berjumpa pula dengan acar umbut kelapa, kus semangat..sedap ! Kalau ikut hati makin berselera makan tapi kena kawal. Bimbang pula darah naik ! Selepas juadah utama, ada pula disediakan bubur kacang !! Wau....padanlah orang Malaysia ramai yang mati kerana makan.
Darah tinggi, kencing manis, lemah jantung semua ada.

Tapi hendak buat macam mana, itulah budaya kita dan kitalah kena kawal kita sendiri. Demikian kisah kenduri.

3 comments:

Seri Suryati said...

Cikgu sazili,
Mohon izin sy link kan blog cikgu ke serisuryati ya. Senang nak klik terus. Cikgu memang rajin menulis/menaip. Saya jarang update blog, kadang2 aje sebab banyak masa habis dengan memasak. Sejak habis belajar ni saya rancak balik menerima tempahan kek2 harijadi dan sebagainya. Ingat nak publish kan satu koleksi tapi entah bila..

Anonymous said...

Sir,
Laksa ni ada dua jenis. Yang diperbuat drp tepung beras dan yg dibuat drp tepung gandum. Dua dua sedap.Yg berbeza, ramuannya. Laksa kuah belut, makan tak?

WORD VERIFICATION : maksaul

Anonymous said...

Tak menjadi masalah cikgu yati, silakan. Sayapun dah linkkan blog saya ke blog cikgu. Nak kata rajin tidak juga, tapi memang minat menulis dan suka melontarkan apa yang saya fikir dan terfikir.

Cikgu wahab, saya memang penggemar laksa. Tapi laksa kuah belut kiranya saya tak makanlah, kalau saya tahu. Kalau saya tak tahu, saya bedal je, asal selepas makan tidak diberitahu.Kalau selepas makan diberitahu bahawa itu laksa kuah belut, belum teruji apa akan terjadi !