Wednesday, October 22, 2008

Sang Semut 2

Oleh kerana kehidupan kita tidak boleh dipisahkan dengan semut maka saya tertarik sekali lagi menulis pasal semut. Arwah ibu saya juga agaknya seperti ibu-ibu yang lain, cukup menjaga makanan dan minuman agar tidak diserang semut. Masa saya kecil-kecil dulu saya tidak tahu kenapa ibu tidak benarkan kami makan atau minum minuman yang dimasuki semut.
Walaupun semut menyusahkan kita di dapur-dapur rumah tetapi sang semut tidak pernah ambil peduli akan sikap manusia terhadap masyarakat mereka. Semut terus dengan aktiviti sehariannya yang aktif dan rajin. Kerana sikapnya yang istimewa itu, kini manusia pula menjadikan semut sebagai lambang produktiviti.

Semut adalah merupakan antara makhluk Allah yang sangat teratur dalam berpersatuan. Setiap individu semut ada peranan dan tugas yang khusus. Mereka cukup berdisiplin sehingga mereka tidak mengganggu tugas-tugas individu semut yang lain kecuali apabila diminta tolong. Semut adalah binatang yang cukup murah dengan pertolongan sesama mereka. Pendek kata memberi pertolongan sesama mereka adalah budaya mereka.

Ada semut yang tugasnya hanya mencari lokasi makanan, dan ada yang hanya menjaga permaisuri dan anak-anak mereka. Cukup menarik ialah semut yang paling kuat hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan yang bertugas menjaga sarang-sarang mereka 24 jam.

Masyarakat semut mengamalkan kerja berpasukan (teamwork). Apabila pasukan peninjau menjumpai lokasi makanan, pasukan ini akan kembali ke sarang untuk meminta pertolongan. Sebaik arahan diterima beratus-ratus ekor semut akan keluar untuk ke lokasi makanan dan membawa balik makanan ke sarang. Jika makanan terlalu besar, semut-semut akan memotong makanan tersebut menjadi kecil, agar mudah dibawa. Jika di kawasan lapang dan mudah, semut-semut akan mengusung makanan yang besar itu beramai-ramai sehinggalah ke laluan yang sukar di mana mereka akan mengecilkan makanan tersebut.

Di medan tempur semut cukup hebat. Mereka sangat padu dan sentiasa bertempur sebagai satu pasukan. Semut mungkin kecil tetapi jumlah dan perpaduan mereka adalah penting. Musuh yang besar seperti kumbang boleh tewas di tangan semut kerana semut akan menarik dan menggigit kaki, anteana, kepak, dan bahagian lain anggota badan sehingga musuh mereka tidak berdaya untuk mempertahankan diri. Cukup dulu setakat ini sebagai renungan. Bersambung nanti dalam Sang Semut 3 .....

2 comments:

Anonymous said...

Ensiklopedia Wikipedia mencatatkan bahawa:
- terdapat 12,000 hingga 14,000 spesis semut di seluruh dunia.
- Semut boleh dijumpai di seluruh dunia kecuali di benua Antartika.
- Di Mexico, telur semut menjadi hidangan lazat.
- Di India, semut dilumatkan menjadi sambal dan dimakan dengan kari.

Anonymous said...

Tergamak pula dia buat sambal. Apa rasanya tu. Tak jadi pelupa ke puak-puak ni makan sambal semut ? Macam-macam....macam-macam !!