Friday, December 05, 2008

Yelah...saya bukan pilot kapalterbang....!

Dalam perjalanan balik dari berkursus selama 4 hari di Temerloh, di sebuah laluan yang sedang dalam pembaikan, tiba-tiba saya terdengar panggilan yang agak kuat " sir !", secepat itu juga saya menoleh ke arah panggilan tersebut. Sekilas pandang saya ternampak kelibat seseorang di atas sebuah jengkorek (JCB) mengangkat tangan ke arah saya. Serentak itu saya menekan hon kereta saya sambil mengangkat tangan juga melambai ke arah pemanggil itu.
Saya tidak sempat memerhati untuk mengenali pemanggil saya itu kerana saya perlu fokus kepada pemanduan. Banyak kereta di hadapan dan di belakang, berjujukan. Perjalanan saya masih jauh. Yang saya pasti, pemanggil itu mungkin bekas pelajar saya kerana panggilan 'sir' itu. Kebanyakan pelajar saya memanggil saya 'sir' , jarang yang memanggil teacher, Mr Sazili atau cikgu. Malaysian style !

Sambil-sambil memandu saya tertanya-tanya sendirian siapakah yang memanggil 'sir' itu. Teringat saya kepada suatu peristiwa yang berlaku pada suatu hari di tahun 1996. Hari itu hari Sabtu saya perlu segera ke sekolah untuk menghadiri satu mesyuarat yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi. sedang saya memandu di pekan kecil muadzam shah, sebuah JCB kebetulan mengekori di belakang saya. Saya memperlahankan kereta saya dan JCB itu memotong kereta saya sambil pemandunya semacam menyuruh saya berhenti melalui isyarat tangannya.

Saya segera ke tepi dan memberhentikan kereta saya. Betul telahan saya JCB itu juga berhenti di hadapan kereta saya. Turun pemandunya menghampiri saya.

"sir kenal saya tak?", tanya pemuda itu.

"Muka macam familiar, tapi nama tak tahu", jawab saya ringkas.

"Ala...saya Rusdan, dulu sir mengajar saya di Leban Chondong", dia memberitahu.

"Maaflah sir, saya kerja bawa JCB je. Inilah padahnya malas belajar dulu, selalu tak dengar cakap sir dan cikgu-cikgu." rungutnya sambil memberitahu JCB itu dia yang punya sendiri.

"Eh...apa pula maaf-maaf, baguslah ni....awak dah berjaya, berdikari lagi. Kerja sendiri. Dan mampu beli JCB sendiri. Awak taukeh sebenarnya. Saya bangga dengan pencapaian awak, jika saya kenangkan kembali macam mana awak, semasa belajar dahulu", kata saya ikhlas. Memang benar, kalau inilah pencapaian Si Rusdan, memang saya bangga kerana walaupun zaman bersekolah, pelajarannya agak lemah tetapi dia sebenarnya seorang yang bijak dalam kehidupannya. Tahu merancang dan seorang yang tidak saya sangka begitu bermotivasi dan bersistem dalam mengurus kehidupan dan survivalnya.

Saya menasihati Rusdan agar jangan berpuas hati dengan pencapaian sekarang dan sentiasa ikhlas kepada kehidupan sendiri agar tidak terjerumus dalam perkara yang boleh memusnahkan kehidupan. Sepanjang mendengar nasihat saya, Rusdan sentiasa menyebut berulang-ulang "Terima kasih sir!".

Akhirnya dalam pertemuan singkat ditepi jalan itu saya memberitahu Rusdan, saya perlu segera ke sekolah kerana ada mesyuarat.

"sir, kita minum dulu sir. saya belanja," ajak Rusdan

"Tak apalah Rusdan, lain kalilah, saya nak cepat, nanti terlambat", rayu saya ikhlas.

"Alah sir sekejap je, bukannya lama. Entah bila jumpa lagi tak tahu", pujuknya juga.

"Ehh...mesti jumpa lagi, mana boleh tak jumpa ! Okay ?", saya cuba meyakinkan dia.

"Sampai hati sir, tak nak minum dengan saya, mentang-mentanglah saya ni kerja bawa JCB. yelah....saya bukan pilot kapalterbang!", alamak, itu yang dikatakannya pada saya. Serta merta saya mengunci pintu kereta saya dan memaut bahunya ke arah gerai minum yang berdekatan. Memang lambat sungguh saya hadir mesyuarat hari itu.

Itulah Rusdan salah seorang bekas pelajar saya. Saya tidak jumpa-jumpa lagi Rusdan selepas hari tu. Apakah yang memangggil 'sir" dari atas JCB semalam itu Rusdan ?

5 comments:

Anonymous said...

Kita memang sukar nak mengenali anak murid tetapi mereka masih mengingati kita. Selalu mereka berkata, "Cikgu nampak tak berubah!" Apanya tak berubah, janggut pun dah beruban!!! hehehe

mantan said...

Sir,
Saya fikir itu Rusdan.

Itulah pendidihan!

mantan said...

sorry sir, bukan pendidihan tapi pendidikan.

Kalau didih, nanti masak pulak.

kalau didik, si Rusnan tu jadi bijaklah...

mantan said...

Rusnan pulak. Rusdan lah!

Nak gi masjid.

Anonymous said...

Cikguyusof /cikgu wahab,

Sebagai seorang guru kita pasti merasa puas apabila anak-anak murid kita berjaya membina kehidupan dengan penuh tanggungjawab sebagai manusia dan warganegara yang baik, walaupun siapa dan bagaimana keadaan mereka.

Tapi cikgu hari ini nampaknya ramai cikgu yang hanya masuk kelas mengajar tetapi amat kurang mendidik. Masalah ni sebenarnya !