Semalam sedang saya bersiap untuk menziarahi kematian seorang penduduk, kampung sebelah, saya menerima panggilan telefon dari Razak Majid dari PPD Rompin memberitahu saya bahawa seorang sahabat baik saya dan salah seorang yang banyak memberi ilmu kepada saya sepanjang bersahabat dengannya satu waktu dahulu telah meninggal dunia dan akan dikebumikan pada pukul 11.00 pagi.
" Kalau kau nak pergi cepat sikit, kita bertolak selewat-lewat pukul 10.15 pagi." gesa Razak.
Waktu itu pukul 10.00 pagi. Yang mana satu saya hendak ziarah. Dua-dua saya hendak pergi tetapi jika saya ke rumah penduduk kampung sebelah, saya akan terlepas peluang memberi penghurmatan terakhir kepada sahabat saya itu. Saya membuat keputusan untuk tidak pergi menziarahi yang dekat dan saya pergi menziarahi yang jauh. Alasan saya, yang dekat mungkin tidak mengenali saya walaupun tinggal di kampung sebelah. Yang jauh adalah sahabat karib dan pernah memberi ilmu kepada saya.
Sebaik sampai di tempat yang dijanjikan dengan Razak, saya menunggu beberapa ketika kerana Razak pada waktu itu masih belum selesai bermesyuarat. Tepat pukul 10.30 pagi kami bertolak ke Pekan Pahang terus ke rumah Allahyarham. Lengang di rumahnya, yang ada hanya tiga orang sahaja. Dimaklumkan kepada kami jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan. Kami serta merta bergegas ke tanah perkuburan.
Sebaik sampai, pengkebumian telah pun selesai dan kami hanya sempat menziarahi dan memberi penghurmatan terakhir di kubur Allahyarham.
Allahyarham semasa hayatnya seorang yang sentiasa tersenyum (smiling face). Seorang yang lemah lembut bila bertutur. Sabar dalam tindakan dan sabar dalam menerima hujah dari kawan-kawan walaupun dalam bentuk provokasi. Allahyarham seorang guru yang amanah. Bayangkan sewaktu mengajar waktu free nya hanyalah waktu rehat dan beliau tidak pernah merungut. Saya pula yang seringkali merungut apabila melihat waktu yang diberikan kepada beliau begitu padat. Itulah Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Abdul Rahman bin Mubin yang banyak mengajar saya, erti dedikasi dan seorang guru mestilah juga seorang pendidik.
Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham lebih kurang lima tahun yang lalu sebaik Allahyarham kembali daripada menunaikan fardhu haji. Pada waktu itu Allahyarham memaklumkan berita yang mengejutkan saya dan isteri, bahawa isterinya Kak Mie seorang yang sangat baik, telah meninggal dunia di Makkah al Mukarramah.
Dan kini Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 11 Disember 2008 kerana komplikasi buah pinggang dan kencing manis. Al-Fatihah buat Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Abdul Rahman Bin Mubin.
No comments:
Post a Comment