Monday, December 29, 2008

Selamat Tahun Baru 1430 H

01 Muharram 1430H. Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya kepada semua sahabat bloggers dan perantau maya yang sering dan pernah ke blog ini.

Apabila disebut perkataan hijrah maka pemikiran seseorang muslim terbayang kepada kebulatan tekad ummat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. berjuang mengembangkan cita-cita dan citra menegakkan keadilan serta kebenaran umat Islam. Sehingga mereka rela meninggalkan tanah air yang mereka cintai, memandang kecil penderitaan dan pengorbanan yang menjadi akibatnya. Semua itu adalah pantulan kekuatan jiwa yang bersumber dari wahyu Ilahi.

Pada hari ini hijrah secara fizikal bukan lagi tuntutan yang sewajibnya dilaksanakan. Namun hijrah hati nurani yang tidak memerlukan perpindahan tempat untuk tidak lagi melibatkan diri dengan kekotoran, kekejian tingkahlaku dan kekejaman. Ertinya, kita sentiasa dituntut untuk menjauhkan diri dari yang mungkar iaitu segala yang dilarang Allah swt kepada sesuatu yang mengikut syariat Islam.

Abad ini penuh dengan tentangan dan harapan. Tentangan, di mana umat Islam terutama di tanah air kita sendiri, sedang menghadapi berbagai ancaman terutama ancaman penghakisan akidah dan pengikisan iman disebabkan oleh berbagai hal dari sebab kemiskinan hingga ke soal keterbelakangan dalam bidang keilmuan. Namun tetap juga ada harapan, di mana telah kian ramai umat Islam sudah kelihatan membuka mata memandang agama Islam sebagai satu cara hidup (way of life) yang sesuai dan tepat diimplimentasikan di planet bumi ini khususnya di negara tercinta ini.

Semoga tahun baru 1430 hijriah ini akan melakar sinar kecermerlangan dan kegemilangan buat umat Islam seluruhnya. Dan marilah kita terus berazam melakukan kebaikan dan menjauhi segala tegahanNya dan yakin dengan firman Allah yang bermaksud :

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat biji zarrah (sawi) pun nescaya Dia akan melihat (membalas) nya. dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat biji zarrah pun, nescaya Dia akan melihat (membalas) nya pula." ( Az-Zalzalah:7-8)

1 comment:

cikguyusof said...

mudah2an kita sama2 dapat menghayati erti hijrah yg sebenar2nya!