Tuesday, December 30, 2008

Secebis ragam di hari keputusan PMR.

Hari ini keputusan PMR mula diketahui oleh empunya diri. Saya ke sekolah untuk melihat mantan calon-calon PMR 2008 mengambil dan menerima keputusan masing-masing. Saat-saat menerima keputusan inilah saat-saat yang menyeronokkan saya untuk melihat telatah para pelajar dengan ibubapa masing-masing. Ada yang ketawa, ada yang senyum tak henti-henti, ada yang termenung, ada yang bersedih, ada yang macam kebingungan, ada yang menangis dan macam-macam lagi.

Sesampai di pejabat sekolah guru-guru yang berkenaan terutama yang mengajar Tingkatan 3 riuh rendah sekali, mengalahkan budak-budak! Kelihatannya macam gembira benar. Apa yang saya dapat agak dari keadaan itu tentu keputusan 2008 semakin baik. Saya meninjau seketika keputusan sepintas lalu selepas itu saya terus keluar untuk meninjau keadaan para pelajar.

Saya terserempak dengan Maizatul. Tidak sempat saya bertanya Mai yang mulut riuh terlebih dahulu tanya saya" sir, nak tahu keputusan saya ? Tapi sir ucaplah tahniah dulu." Begitulah perangai budak-budak. Saya ucapkan tahniah kepada Mai yang berjaya dalam PMRnya.

Sewaktu hendak menuruni tangga saya terserempak dengan sekumpulan pelajar lelaki.

"Kenapa Bob, termenung je ? Berapa dapat ?" tanya saya.

"Enam je sir." jawab Bob macam tak puas hati.

"Okaylah tu Bob, dah bagus apa. " kata saya meyakinkan Bob.

"Bagus apa sir, Bahasa Melayu saya B. Saya ni orang Melayu, bahasa Melayu saya B! Ni yang saya penat memikirkannya sir." jawab Bob selamba diiringi ketawa rakan-rakannya. Saya tidak komen apa-apa, cuma saya hanya sekadar teringat PPSMI dan memikirkan sepintas lalu bagaimana nasib bahasa Melayu 10, 15 tahun lagi !

"Awak Pian, kenapa sedih je ni ? macam mana result awak" tanya saya kepada Pian.

"8A 1D sir !", jawab Pian tawar.

" D tu apa ?"

" Bahasa Arab sir." jawab Pian macam tak ada mood. Kesian ramai yang dapat lapan A tapi D atau E bahasa Arab. Pertama kali sekolah ini ada calon mengambil Bahasa Arab Komunikasi dan tiga orang gagal.

"Tak apalah Pian, syukur kepada Allah, keputusan Pian tu sangat cemerlang". saya cuba memujuk Pian. Tersengih Pian.

Sambil bersembang dengan para pelajar tersebut tiba-tiba Farhana Ahmad menelefon saya dari Pulau Tioman menanya keputusan dia. " Sir, keputusan Fana macam mana ?" tanya Farhana ketakutan.

"Datanglah tengok sendiri", sergah saya.

"Fana kat pulau lagi ni, belum keluar ke Mersing lagi, sir tolonglah tengokkan" rayu Farhana.

Saya yang sudah tahu keputusan Farhana terus memberitahu dia keputusannya. Dia dapat 5A 3B. Saya ingatkan keputusan itu membuatkan dia gembira tapi rupa-rupanya dia menangis dalam telefon mengatakan keputusannya sangat teruk. Dia malu nak pergi ambil keputusan. Dengan sepatah dua nasihat kepada Farhana saya memutuskan panggilan apabila saya ternampak Suhaila berpimpin tangan dengan ibunya sambil diekori oleh ayahnya yang kelihatan tersenyum tak henti-henti.

" Aik...awak menangis jugak Suhaila. Maknya pun menangis jugak ?" tegur saya kepada mereka bertiga. Suhaila dengan kejayaan 9A nya tidak terkata apa-apa cuma tersenyum dalam tangisan kegembiraan.

Tidak berapa lama saya masuk ke bilik saya tiba-tiba saya di datangi oleh Izzati, "Assalamualaikum sir, saya datang jumpa sir nak bagi tahu sir keputusan saya dan nak ucapkan terima kasih kepada sir. Okay sir saya nak balik dulu, abang dah tunggu, nanti 5 hb kita jumpa lagi sir", kata Izzati selamba sambil minta izin pergi. Sambil mengucapkan tahniah dan mengiringi Izzati keluar saya terserempak pula dengan ayah Sofea.

Gembira bukan main ayah Sofea sambil terus memberi jaminan kepada saya " Cikgu, saya puas hati Sofea sekolah kat sini dan saya nak form 4 dan form 5 ni Sofea sekolah sini terus. Tak payah pergi mana-mana dah." begitulah bersemangatnya ayah Sofea.

Dari jauh terpandang pula kepada ayah Fahmi, dia mengangkat ibu jari kepada saya sambil menepuk-nepuk bahu anaknya. Saya pun mengucapkan tahniah sambil mengangkat ibu jari juga ke arah Encik Zul.

Saya masuk balik ke bilik saya untuk meneruskan kerja-kerja saya tiba-tiba datang pulak Fazuan yang terus memelikkan fikiran saya, " sir, ada seluar sekolah tak ? Pinjam?", tanya Fazuan.

Tercengang saya, seluar sekolah ? Seluar sekolah siapa budak ni nak pinjam ? Kenapa pula tanya saya?. " Relek Fazuan !Apa hal ni nak pinjam seluar sekolah saya ? Saya mana pakai seluar sekolah." jawab saya tercengang dengan kelam kabut Si Fazuan.

Dengan tergaru-garu kepala tak gatal agaknya, Fazuan menjawab "Tidak sir, bukan nak pinjam seluar sekolah sir, saya tahu sir tak pakai seluar sekolah sebab sir bukan budak sekolah tapi takut mana tahu sir ada simpan seluar sekolah budak-budak, saya nak pinjam sebab ambil slip keputusan mesti berpakaian sekolah kalau tidak tak dapat ambil. Saya terlupa nak pakai pakaian sekolah" jelas Fazuan panjang lebar. Baru saya faham dan saya bagi tahu Fazuan tak ada! Terus Fazuan bersegera keluar dan entah ke mana saya tak tahu. Macam-macam hal Si Fazuan. Dalam kelam-kabut itu Fazuan berjaya dapat 8A.

Itulah antara yang sempat saya rakamkan tadi.

2 comments:

mantan said...

Sir sazili,
Tahniah untuk semua!

Anonymous said...

Terima kasih cikgu. Tapi cikgu dalam ramai-ramai tadi cuma seorang sahaja dari kalangan ibubapa yang ucapkan terima kasih kepada sekolah melalui saya. Yang lain tu senyum begitu je dan berlalu pergi !Tak perlu kot ucap terima kasih sebab rasanya anak-anak mereka memang cerdik-cerdik belaka !