Tuesday, December 09, 2008

Degil sangatkah kita ?

Tragedi Highland Tower 15 tahun yang lalu

Mengapa kita begitu ? Kita sering gagal mengambil pengajaran di atas sesuatu kejadian yang berlaku. Degil sangatkah kita ? Atau hebat sangatkah kita ?

Ya...apa yang telah berlaku, kita tidak boleh buat apa-apa lagi. Cuma sekadar melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga yang ahli keluarga mereka menjadi mangsa. Tetapi padankah kita hanya setiap tahun melahirkan rasa simpati dan menghulurkan ucapan takziah kepada mereka yang kita amat sedar sedang berada dipuncak bencana sebenarnya.

Tragedi Highland Tower 15 tahun lalu, yang berlaku pada tahun 1993 yang telah mengorbankan 48 nyawa pernah mengajar kita ilmu yang banyak tentang Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya.

Begitu juga tragedi yang menimpa banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang meragut nyawa isterinya, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua iparnya, dua cucu dan dua pembantu rumah Indonesia, pada 5 Oktober 2002. Banglo itu terletak kira-kira 300 meter dari Highland Towers, juga memberi kita ilmu yang sepatutnya begitu bererti kepada kita, terutama kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan seluruh penghuni di kawasan-kawasan tersebut.

Kini kita semua diajar sekali dengan kejadian tanah runtuh awal pagi kelmarin yang meragut empat nyawa cdengan menimbus 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa.

Degil sangatkah kita sehingga kita perlukan lagi pengajaran yang keempat atau yang mungkin tidak terbilang oleh kita nanti ?

Kita padamkan 'prestige' kita sesama kita, kita rendahkan sedikit status kita, kita berpijak di bumi nyata untuk bersama berada di padang rata. Kita carilah keuntungan tanpa merusakkan eko-sistem alam kita, bukan lagi di Bukit Antarabangsa dan sekitarnya, jika kita rasa, kita masih menyayangi nyawa dan jiwa kita. Dengarlah pandangan pakar-pakar kita bukan kapitalis yang tamak haloba dan politikus yang entah apa-apa.

Sudah tiga 'kuliah amali' tanah runtuh kita alami di situ, degil sangatkah kita ?

5 comments:

mantan said...

"Money is the root of all evil" ?

Anonymous said...

Pokok palas berbunga tidak,
Kerana si Nabil hendak ketupat;
Elok dipulas telinga budak,
Kerana degil tidak bertempat.

Mohd Izam said...

Li, tu la kita ingat nak dok atas selalu jadi pilihlah dok atas bukit. Kita lupa yang atas selalu jatuh. Itulah jadinya...

Anonymous said...

Cikgu Wahab,

Betul juga sahabat saya Izam tu kata,agaknya mentaliti puak-puak ni sentiasa mengatas dan mereka lupa yang duduk di atas jika tidak berwaspada dan berjaga-jaga, memang sohih jatuh. Aku setuju dengan kau Izam. Eh...rumah engkau atas bukit jugak ke Izam ?

violet said...

dahsyat betul..