Sunday, August 02, 2009

Perkasakan pendidikan agama


Semakin negara bergerak menuju apa yang dikatakan kemodenan dan kemajuan, semakin besar cabaran dan implikasi kepada kualiti kemanusiaan. Saban hari kualiti kemanusiaan kelihatannya semakin terhakis dalam masyarakat.

Para pelajar sekolah dan institusi pendidikan yang lebih tinggi, yang merupakan bakal peneraju kepimpinan negara sering kedengaran dan kelihatan berlegar dalam suasana yang tidak membantu mereka ke arah pembentukan jati diri yang berkualiti.

Saya pernah bersembang dengan seorang pemuda bekas lepasan universiti tempatan yang menginap sebilik dengan saya pada suatu kursus. Pemuda yang masih muda belia ini yang merupakan seorang eksekutif bank di Kuala Lumpur, yang bekerja di bahagian saham luar negara menceritakan kepada saya bahawa setiap hari beliau pergi kerja pukul 3 petang dan tamat kerja pukul 12.00 malam. Selepas pukul 12 malam beliau tidak terus balik ke rumah kerana beliau akan menggunakan waktu selepas kerja untuk lepak-lepak dan makan-makan dengan girlfriend.

Katanya, " Saya biasanya balik rumah lebih kurang pukul 3 pagi dan hari-hari saya bangun tidur antara pukul 10 atau 11 pagi".

Sepanjang menginap bersama satu bilik dengan pemuda melayu ini saya tidak pernah melihat dia bersembahyang kecuali pada hari mula-mula sampai, solat asar. Setiap subuh saya kejut dia bersembahyang dan ke kuliah subuh jawapannya dalam selimut, " abang pegi dulu lah, saya ngantuk lagilah ". Masya Allah. Kalau inilah kualiti generasi muda kita, bagaimanakah bentuk generasi akan datang ?

Lebih parah berlaku kepada anak-anak muda itu diri kalangan mereka yang tidak bersekolah lagi. Apakah institusi yang mampu mendidik dan membentuk mereka ? Mereka kelihatan terbiar dan tidak diambil tahu. Akhirnya mereka ini membentuk 'institusi' mereka sendiri;Institusi geng lepak. Institusi geng lepak ini hanya berpandukan modul bebas berasaskan nafsu semata-mata.

Baru-baru ini telah terdedah di Kuala Trengganu para pelajar Tahun 5 menyalahgunakan e-book projek komputer mini dengan memuat turun lagu-lagu Michael Jackson dan juga mengakseskan internet untuk copy dan simpan gambar dan video lucah. Pelajar Tahun 5 !!

Bayangkan kerajaan Trengganu berbelanja RM 35 juta dengan membekalkan komputer mini (e-book) kepada 25000 pelajar telah disalahgunakan. Walaupun penyalahgunaan ini hanya oleh sebilangan kecil pelajar, tetapi ia memberi kesan yang besar kepada pembentukan generasi berkualiti.

Kesimpulan yang wajar adalah, pihak yang bertanggungjawab perlu meletakkan secara serius dan bersungguh-sungguh, pendidikan keagamaan sebagai senjata ampuh ke arah pembentukan manusia berkualiti, yang berkemanusiaan. Tanpa pendidikan Islam diperkasakan dalam semua bidang dan keadaan kita akan melihat keruntuhan tamadun sedikit demi sedikit.


2 comments:

kembara kelana said...

kecuh kalau guru bi tak cukup, kalau ustaz tak cukup..buat tak tau jer, kecuh bila alat ppsmi tak cukup, rosak atau hilang...alatan jqaf? pai, surau tak ada...senyap jer...
dah kata kita memartabatkan agama wal hal kita martabatkan apa?
belasah jer li..

sazili said...

Begitu cikgu usop keadaannya. kadang-kadang kita terfikir sendiri kenapa kita sentiasa dahulukan kemahuan bukan keperluan? Kenapa kita sering meninggalkan perkara asas pembinaan manusia dan kemanusiaan. Kita sudah mengajar dan mendidik manusia selama 25 tahun, rasanya tanpa bongkak dan takbur kita tahu bagaimana dasar yang sepatutnya untuk membentuk manusia.

Sepatah kata Prof Syed Mohd Naquib Al-Attas, Dasar Pendidikan Islam semestinya mampu membentuk manusia yang baik. Manakala Dasar Pendidikan sekular mungkin mampu membentuk warganegara yang baik. Tetapi Manusia yang baik adalah sudah pasti warganegara yang baik. Warganegara yang baik belum tentu manusia yang baik!