Friday, January 16, 2009

Tukar sekolah paling singkat

Katanya bulan Jun ini sebuah lagi sekolah menengah baru akan dibuka di daerah ini. Maka kedengaran di sana-sini, di sekolah sana di sekolah sini , cikgu-cikgu yang hendak bertukar ke situ untuk sama-sama menyumbang khidmat di sekolah baru. Yang berhasrat sedemikian termasuklah beberapa orang sahabat saya di sekolah ini, yang juga mengidam ke situ dengan alasan masing-masing yang mungkinnya munasabah belaka.

“Abang Li tak minta tukar ke sekolah baru. Orang lain sibuk mohon ?”, tanya seorang sahabat.

“Taak! biarlah kawan jadi ‘penunggu’ di sini”, begitulah jawapan saya apabila ditanya soal tukar.

Tak nak saya bertukar itu, bukan kerana tidak mahu turut menyumbang jasa dan bakti di sekolah baru tersebut tetapi kerana saya ini jenis cikgu yang tak pandai minta tukar. Sejak dari dulu lagi begitu.

Sepanjang berkhidmat, saya hanya tahu ditukarkan dan tidak pernah memohon tukar. Kalau majikan saya merasakan saya perlu ditukarkan, saya pergilah. Tapi kadang-kadang jika saya dapat angin-angin saya mungkin akan ditukarkan tetapi saya tidak berminat nak pergi, saya akan cepat-cepat ‘bersilat’ untuk tidak ditukarkan.

Saya pernah mengalami pertukaran yang paling pendek dalam sejarah kerjaya saya. Bukan saya sahaja yang terkejut dengan pertukaran itu, guru besar saya pada waktu itu pun terkejut. Bertukar selama satu hari ke SK Kedaik. SK Kedaik tempat saya ditukar dulu, bukan SK Kedaik sekarang yang sudah canggih manggih ! Tepi jalan lagi !

Satu petang guru besar datang ke rumah saya dan mencadangkan kepada saya agar saya pergi ke PPD (yang pada waktu itu di Pekan) untuk merayu kepada PPD Pekan/Rompin bagi membatalkan pertukaran saya. Guru besar menyertakan sekali surat sokongannya terhadap rayuan saya. Dan dia beritahu, dia juga akan buat rayuan melalui telefon kepada PPD. Walau bagaimanapun, guru besar menasihatkan saya pergi lapor diri dulu ke SK Kedaik sebelum ke Pekan. Saya tidak tahu kenapa disuruh begitu. Saya yang tak tahu apa-apa pada waktu itu hanya angguk dan akur saja.

Hari pertama persekolahan sesi 1987, subuh-subuh hari saya telah bertolak dengan Datsun 120Y menuju ke Kedaik. Yang bermasalah besar pada waktu itu ialah jalan hendak masuk ke SK Kedaik yang agak-agak saya lebih kurang 7 km dari jalan besar Rompin-Muadzam Shah. Jalan balak yang berlopak, licin dan berlendir dengan selut tanah merah! Jalan Rompin-Muadzam pada waktu itu berlubang di mana-mana. Elak ke kiri terjun lubang, elak ke kanan terjah lubang. Lubang merata-rata dan dalam-dalam pulak tu.

Melalui jalan balak yang licin itu terasa cukup menakutkan saya, kerana jalan itu diliputi hutan tebal. Patutlah kawan-kawan yang mengajar di situ pernah menceritakan terserempak dengan gajah, terjumpa tapak kaki pak belang, ternampak beruang melintas adalah lumrah. Tiada apa yang ada, hanya bunyi unggas yang bermacam-macam irama. Sejuk dan dingin menyucuk-nyucuk hingga ke tulang sum-sum.

Setelah lebih kurang 5 km memandu di jalan balak yang sempit dan teruk itu, saya terkejut besar kerana jalan terputus. Terlupa saya, rupanya waktu itu musim banjir. Jalan dan jambatan ditenggelami air. Saya memberhentikan kereta saya. Turun dan termenung melihat air yang hitam warnanya. Seberang sana tidak kelihatan keranan dilindungi hutan.

“Macam mana aku hendak ke seberang sana ?Nak hubungi siapa ni?”. Waktu itu henfon belum popular. Kalau adapun besar-besar dan mahal, coverage pun tiada.

“Hooh!" saya cuba memanggil kalau-kalau ada orang di seberang sana. Dua tiga kali saya bertempik tiada jawapan balas. Hampir putus asa akhirnya, saya terdengar jawapan, “Huoh!”. Itulah yang saya dengar. Risau juga saya dengan jawapan balas itu kerana saya berada dalam hutan !

“Siapa di sana tu ?” tempik saya.

“Tunggu !!” jawapan yang saya dengar.

Dengan sabar saya menunggu sambil kepala otak saya mengarut menduga, jin ke, hantu ke, jembalang air ke....? Ya Allah janganlah datang yang bukan-bukan . Rupa-rupanya bukan jin, bukan hantu, bukan jembalang air tapi seorang orang asli mendayung perahu kurusnya ke aras saya.

“Encik hendak ke sekolah ke ?” tahu pulak dia, tepat soalan dia. Mungkin dia tengok pakaian saya agaknya.

“ A’ah, saya hendak ke sekolah, sekolahnya di mana pakcik ?".

“Jauh encik , ke dalam lagi “ jawab orang asli itu.

“Encik naiklah penambang ni saya hantar seberang, tiga ringgit je encik !“ wah...bisnes kencang juga di tengah hutan belantara ni rupanya.

Ya Allah....saya naik perahu orang asli, yang birai perahunya hanya lebih kurang 3 inci sahaja dengan permukaan air. Saya duduk diam-diam tanpa bercakap sepatahpun. Saya takut perahu itu karam. Ikut hukum akal kalau perahu itu karam, saya confirm akan mati, tak pakai jaket keselamatan dan saya tak tahu berenang.

“Duduk diam-diam encik, sungai ni dalam !", orang asli ni gerpakkan saya atau betul-betul serius, saya tak pasti.

Dalam hati saya merungut, “Dah tahu sungai ini dalam, sediakanlah jaket keselamatan. Serabut sungguh aku dengan dia ni ."

Sungai dalam satu hal.....apakah sungai yang hitam airnya ini tidak ada buaya? “Demi berkhidmat untuk bangsa dan negara, mati dikekah buaya Sungai Kedaik’...... Wah, sensasi juga berita akhbar pagi esok! Itulah yang tertunjal-tunjal di kepala saya. Lagilah saya bertambah risau, melihatkan gelagat pakcik asli itu mengetap bibirnya sambil berkayuh dengan mata bundarnya sekejap ke kiri sekejap kanan, macam orang berawaskan sesuatu. Risau sungguh saya. Mungkin ada buaya sungguh agaknya !

Sungai yang kecil menjadi selebar lebih kurang 100 meter kerana banjir. Sampai di seberang sana bagaikan mati hidup kembali. Saya mula terasa sedih dan sayu hati, lembik lutut seketika.

“ Pakcik, sekolah ikut jalan mana ?” tanya saya lemah.

“Jauh lagi encik. Encik jalan je lurus-lurus, tak ada belok-belok, hujung sana tu sampailah ke sekolah.” jawab asli itu.

Berpegang kepada panduan yang diberikan saya menyilangkan bag ke bahu sambil menyingsing kaki seluar paras lutut, berkaki ayam menuju ke medan bakti SK Kedaik. Di tangan, terjinjing kasut bayar ansur-ansur Alfo Raldo. Alfo Raldo !!!

Dalam perjalanan menuju ke SK Kedaik saya terpaksa melintas sebuah perkampungan orang asli yang berselirat dengan ayam dan anjing. Saya terpaksa memakai kasut. Bimbang terpijak tahi anjing. Akhirnya Alfa Raldo ku tak dapat diselamatkan ! Dari warna yang hitam berkilat, menjadi berceloreng macam kasut askar Amerika.

Di setiap rumah kelihatan orang asli 'bercongok-angok' duduk atas 'lambo' rumah (beranda) berborak dan bersembang. Ada yang melihat saya, tersenyum, ada yang macam tercengang dan ada yang buat tak kisah pun!

Cabaran getir yang kedua yang terpaksa saya hadapi apabila seekor anjing yang agak besar dan sihat ’menegur’ saya. Tapi tegurannya amat tidak mesra. Saya tidak melayan tegurannya kerana dia terlalu kasar. Diekorinya saya, semakin dekat....semakin dekat. Sekali sekala dia mengerang sambil menyeringai. Cabaran ini terlalu getir kalau saya terus melangkah. Saya benar-benar mengharapkan sesiapa di kampung itu yang melihat membantu saya, tapi tiada siapa yang kisah.

Saya bimbang keting saya akan di kekah. Terselamat dari kekahan buaya, saya mungkin menjadi mangsa kekahan anjing ini. Saya memberhentikan langkah. Perlahan-lahan memusing dan mengadap anjing tersebut. Dia langsung tidak mahu berundur ! Mata saya melilau mencari batang kayu atau apa-apa yang boleh saya guna untuk pelangkong ’anjing zionis kedaik’ ini. Tak ada satu bendapun yang ada, hanya cuma daun-daun kering dan batang kemuncup. Apa yang saya boleh buat dengan daun kering dan kemuncup ? Dia terus menyeringai dan mengerang mengadap saya. Apa saya nak buat? Nak lari ? Huuuu....tak mungkin !

Anjing itu merenung dan mengerang semakin kuat dan saya semakin panik. Dalam keadaan bergitu, secepat kilat saya merangkak dengan tangan saya menyembah pasir bertalu-talu kepada anjing tersebut dan saya pulak yang ’menyalak’ macam anjing kepada anjing itu. Tak usah bayangkan.... teruuk! Tapi itulah langkah survival saya.

Alangkah terkejutnya saya, anjing besar itu rupanya lari lintang pukang, kecil kepala-kepala meninggalkan saya. Rupanya dia terkejut dan baru dia sedar, ada lagi 'anjing' yang tak serupa anjing, yang lebih gedebe dari dia. Dia ingat, dia dah cukup gedebe kat kedaik! Huh...pulih kembali semangat saya. Beberapa orang budak asli, tergelak melihat adegan yang saya tidak ingini itu. Hei...rasa nak tampar-tampar je budak-budak tu!

Tadi, kasut yang kotor, kali ini seluar pulak jadi mangsa. Susah juga nak jadi cikgu rupanya ! Ada ketikanya terpaksa beraksi sebagai 'anjing jadian'.

Alhamdulillah akhirnya saya sampai juga di SK Kedaik yang hanya mempunyai empat orang guru termasuk guru besar. Seorang guru dalam latihan sebagai GPK Satu dan dua GSTT. Guru Besar dan guru-guru menyambut saya dengan mesra dan memahami apa yang saya ceritakan mengenai usaha rayuan yang saya ikhtiarkan. Saya dijamu sarapan pagi kopi o dan beberapa keping biskut lemak krim kraker. Sedap juga makan biskut lemak krim kraker di SK Kedaik. Agaknya saya tak sarapan lagi kot dan penat tadi bertarung dengan anjing asli.

Lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi saya minta izin untuk ke Pekan. Guru Besar mengarahkan GPK 1 SK Kedaik menghantar saya ke tempat penambang tadi dengan menaiki motosikal. Sekali lagi saya terbayang wajah bengis sang buaya apabila saya bertanya GPK 1, ada buaya tak di sungai ini ? GPK 1 meletakkan jari telunjuk kanannya ke bibirnya, memberi isyarat diam. "Shhh....don’t mention that !” seolah-olah begitulah yang dia hendak katakan. Dia jugak menyakat saya ke ? Ya Allah terasa kecut perut saya dengan isyarat itu !!

Di Pekan saya berjumpa dengan PPD Pekan/Rompin pada waktu itu, Encik Abdul Hadi Shirin. Setelah mendengar rayuan dan alasan, dengan baik hatinya dia membatalkan pertukaran saya dan mengekalkan saya di sekolah lama saya. Seminggu selepas itu saya menerima surat rasmi pembatalan pertukaran saya.

Demikian sebuah kisah pertukaran paling singkat tetapi paling dramatis dalam pengalaman kerjaya saya. Sebab itu apabila kawan-kawan menyebut soal tukar sekolah, saya tetap akan teringat peristiwa pertukaran saya ke SK Kedaik pada Januari 1987 itu.

Terfikir juga di fikiran , kawan-kawan minta tukar, apakah nanti akhirnya saya yang tidak minta tukar ini akan ditukarkan. Oh..tidak, biarlah saya di sini untuk terus ’berkelahi’ dengan Ketua Bidang Bahasaku dan ’bertengkar-bertaki’ dengan Guru Cemerlang Matematik yang ’brutal’ itu !

7 comments:

yusofsipan said...

pengalaman yang tidak ada duanya dan bukan semua boleh mengalaminya....

ckg rash said...

Salam 'ter'ziarah,

Cukup dramatis cerita cikgu, terasa diri ini turut serta ke sana melalui sungai itu dan berdepan dengan makhluk Allah itu... Maaf cikgu, gelihati juga bila 'melihat' gelagat cikgu berdepan dengannya.

Tak boleh terbayang macamana diri ini jika ditukarkan ke tempat seumpama itu... insaf menyusuk hati dan syukur dengan situasi yang ada selama ini...

mantan said...

Sir,
Gitu rupanya nak halau anjing. Tau dia takut ye. Kalau beruang ke, buaya ke, gajah ke, camne nak nghalau. Kalau minta tolong si OA tu, chargenya lgi mahal tu..

Anonymous said...

Terima kasih cikgu yusof. Sebenarnya semua orang ada pengalaman tersendiri yang menarik untuk dikenang dan dijadikan pengajaran.

Rash,

Terima kasih kerana terziarah. Lain kali tak payah terziarah lagi, kalau ada kelapangan ziarahlah terus. Blog inipun biasa sahaja, sekadar berusaha mengasah bakat menulis dan berfikir dan untuk mengisi ruang kosong setelah penat mendidik.

Cikgu wahab,

Saya tak pasti apakah itu salah satu caranya untuk menghalau anjing. Tapi itulah yang saya lakukan dan anjing itu kelihatannya benar-benar terkejut dengan tindakan spontan saya dan saya berjaya.

Nak halau beruang gajah saya yakin saya tak akan menggunakan kaedah itu pasti saya akan jadi roti canai atau lempeng.

OA ni cikgu wahab tinggal pelajaran tak tinggi je, kalau tinggi rasanya ekonomi Mlaysia dia boleh kuasai !!

mahzan said...

Salam Cikgu, satu pengalaman yang amat menarik dan mencabar.

Saya juga bekas guru SK Kedaik (yang baru di tepi jalan) tapi pada waktu itu tak banyak kemudahan (umpamanya tiada air paip dan electric hanya 12 jam dengan limit sekali) - service from 1994 - 1996. La ni saya menyambung pengajian di Scotland, United Kingdom meneruskan perjuangan pendidikan anak bangsa. Sahabat SK Kedaik 1994-1996 kalau terbaca mesej ni, add comment!

mahzan said...

Salam Cikgu

Satu pengalaman menarik dan amat mencabar. Seronok membacanya
Daripada
Ex-SK Kedaik Teacher (1994-96)
Mahzan, University of Dundee, Scotland, United Kingdom

mahzan said...

Salam Cikgu

Ia amat menarik dikenang dan memberi banyak makna dalam hidup. saya juga bekas guru SK Kedaik (1994-96) - sekolah yang baru tepi jalan tapi during that time electricity was very limited, plus, there was no watter supply! But nice experience.

Salam buat semua guru
From
Mahzan
University of Dundee
Scotland, UK