Sunday, January 18, 2009

Wahai anak-anakku bersyukurlah kamu

Beberapa kisah bekas pelajar saya yang menyentuh jiwa saya. Mereka yang saya kisahkan di sini bukan nama yang sebenarnya demi menjaga maruah dan privasi mereka:

Norazlina, seorang pelajar sebuah IPTS di Kuala Lumpur, anak seorang petani tradisional:

Sir kos hidup di Kuala Lumpur ini sungguh mencabar bagi saya sebagai seorang anak kampung. Saya bukan tidak minta duit belanja dengan ayah dan mak di kampung tetapi setiap kali saya mengadu yang saya tiada duit di sini, mak akan menangis. Saya tidak mahu mak menangis tapi kepada siapa saya nak minta duit kalau tidak pada mak dan ayah. Dan PTPTN tidak dapat lagi sir. Sebab itulah saya kerap pinjam duit sir untuk belanja saya di sini. Entah bila saya nak bayar saya tak tahu tapi insya Allah saya akan bayar.....

Nordin, seorang anak yatim yang gagal STPM aliran sains.

Saya terpaksa cari kerja sir. Hasrat hendak belajar saya terpaksa batalkan. Siapa nak tanggung belajar saya. Lagi pun mak saya sekarang ni sakit. Saya bersama seorang adik perempuan saya terpaksa jaga mak yang sudah tidak boleh berjalan lagi. Abang-abang dan kakak-kakak saya ? Entahlah sir macam mana hendak harapkan mereka tanggung saya, nak jenguk mak pun payah.

Mahana; Dua tahun lalu menamat SPM aliran sastera.

Mak saya telah meninggal dunia sir sewaktu saya berusia 13 tahun. Saya ada dua orang adik seorang lelaki dan seorang perempuan. Kami bertiga tinggal bersama ayah dan ayah tidak berkahwin semenjak mak meninggal. Tapi ayah ada masalah sedikit. Adik saya pun begitu pernah ambil arak dan ganja. Sekarang dah nampak okay tapi tak tahulah di belakang kita. Susah saya untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam. Saya perlu menjaga adik perempuan saya yang sekarang di Tingkatan Tiga dia akan ambil PMR. Saya pernah dapat tawaran buat kursus jururawat di kolej swasta tapi tak mampulah sir. Pinjaman terlalu besar lagi pun siapa nak jaga adik perempuan saya tu. Buat masa ni sayalah'ibu' kepada adik saya tu. Saya memang nak belajar tapi tak mampu. Datuk saya suruh saya kahwin sahaja. Entahlah sir....nampaknya masa depan saya saya perlu korbankan untuk adik saya itu.

Normala, seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia sewaktu dia masih kecil. Sedang menunggu keputusan SPM.

Saya anak bungsu. Abang-abang dan kakak semuanya sudah berumahtangga. Di rumah hanya tinggal saya dengan mak. Saya belum pasti boleh atau tidak melanjutkan pelajaran tahun ini kerana mak tidak ada orang jaga. Mak sering sakit-sakit dan semput-semput. Mak kata dia tetap nak duduk di rumah kalau saya pergi belajar nanti. Dia tak mahu duduk rumah abang-abang dan kakak. Dia dah bagi tahu saya begitu. Saya pening kepala bila cakap begitu sedangkan saya nak pergi belajar. Apakah saya akan tinggal mak seorang diri? Takkanlah abang saya yang berkerja jauh-jauh akan balik kampung untuk menjaga mak. Macam mana saya nak buat sir?

Rokiah sedang menuntut di IPTS di Kuala Lumpur.

Dulu saya tinggal di asrama sir, tapi bayaran asrama mahal saya tak mampu. Saya terpaksa menumpang di rumah keluarga kawan saya. Saya pun tidak pasti berapa lama keluarga kawan saya tu benarkan saya menumpang tanpa sebaran bayaran. Kawan saya tu sama kolej dengan saya. Abah terlalu jarang datang. Saya terpaksa berjimat di sini. Sir pun tahu keadaan kewangan ayah saya kan ?. Saya pernah ceritakan kat sir sewaktu saya bersekolah dahulu. Saya dapat PTPTN tapi kos belajar dan kos hidup tinggi di KL ni sir.

Jalal sedang menunggu keputusan STPM.

Sejak mak meninggal kehidupan saya dan adik-adik menjadi tidak terurus sir. Saya terasa terlalu sunyi. Saya tidak rapat dengan ayah lagi pun saya kerap berkrisis dengan ayah. Ayah agak susah sikit sir. Maki hamun semacam ' zikir' bagi ayah. Entahlah saya nampak masa depan saya gelap bila mak tiada. Ayah dah cakap dia tidak akan hantar saya masuk universiti walaupun saya mendapat keputusan yang baik dalam STPM nanti. Nampaknya cita-cita saya untuk belajar sehingga ke peringkat unversiti akan terhenti begitu sahaja. Tengoklah nanti kalau saya ada masalah dalam mencapai cita-cita ke universiti saya akan segera berjumpa sir, boleh tak sir?

Demikian saya menyedut kisah benar beberapa orang bekas pelajar saya, yang saya sering ceritakan kepada anak-anak kandung saya agak semua tahu bersyukur kepada Allah kerana masih ada mak dan ayah. Justru itu sentiasalah menjaga maruah dan nama baik mak dan ayah.

2 comments:

mantan said...

Sir,
Demikianlah nasib anak-anak kita.
Cerita sir mengingatkan saya kepada apa yang saya alami ketika bersekolah dulu. Sehingga sekarang saya masih terasa "berhutang" dengan JKM.

Entah bagimana nasib mereka itu nanti. Kasihan mereka terutama si Jalal tu. Doa dan harapan agar mereka gigih dan tabah membina masadepan mereka.

Anonymous said...

Cikgu Wahab,

Saya berasa bertuah menjadi seorang guru dan saya bangga menjadi guru. Banyak masalah anak-anak orang yang kita tahu. Dan ini cukup baik dijadikan pengalaman kepada kita dalam mendidik anak-anak sendiri. Kadang-kadang cikgu, terasa cukup tersentuh mendengar masalah mereka, rasa hati hendak membantu tapi apakan daya, kemampuan membantu terlalu kecil malah kadang hanya mampu mendengar, itu sahaja.