Dalam perjalanan ke bandar Tasik Puteri Rawang, kami singgah sebentar di Mydeen Rawang kerana anak yang akan mendaftar di UPSI esok masih ada keperluan untuk dibeli. Sementara menunggu anak-anak dan ibunya membeli, saya menunggu dalam kereta.
Parking begitu sukar sekali. Kereta terpaksa ditenggekkan begitu sahaja di tepi jalan. Dan kelihatannya jalanraya 'jam'. Manusia pun boleh tahan ramai dalam Mydeen. Sambil melihat suasana dan gelagat manusia yang berbagai, saya ternampak seorang wanita yang kelihatan sarat mengandung dan termengah-mengah sebaik keluar dari gedung tersebut.
Dalam hati berkata " Wanita ni karang ada beranak kat pintu Mydeen."
Memang lain macam benar mengahnya tu. Di manakah suaminya untuk bersamanya pada waktu-waktu begitu ? Dan kenapalah dia gagah-gagahkan juga dirinya dah tahu keadaannya begitu untuk membeli belah di waktu orang bersesak-sesak itu ? Apakah yang dibelinya hingga begitu mustahak sangat ? Apakah yang dibeli itu adalah keperluan 'baby' yang bakal dilahirkan ? Bertalu-talu soalan dalam minda saya.
Melihat wanita yang sarat mengandung itu, teringat saya kepada ibu saya yang telah pergi buat selama-lamanya pada September 2008 yang lalu. Besarnya pengorbanan seorang ibu.
Renungkanlah, bayi dilahirkan selepas 40 minggu berada di dalam rahim ibu. Pada bulan pertama, panjang janin kira-kira satu ruas jari tangan. Bulan kedua, wajah, tangan. kaki dan jari-jarinya terbentuk. Pada bulan ketiga, alat jantina mula kelihatan dan bulan keempat, ditiupkan roh ke dalam tubuhnya. Pada bulan kelima, debar jantungnya mula dapat dikesan.
Demikianlah janin itu terus membesar dan membesar, lengkap dengan organ-organ dalamannya dan lahir selepas sembilan bulan 10 hari di dalam perut ibu. Janin menempatkan kepalanya mengarah ke dinding rahim dengan sedikit ruang gerak agar ia dapat keluar (lahir) dengan mudah.
Siapakah yang mengajar dan menempatkannya dalam keadaan demikian? Pastinya Dia Yang Maha Agung.
Mengikut kajian, 80 peratus ibu boleh melahirkan bayi tanpa dibantu oleh pihak lain. !5 peratus dengan bantuan dan lebih kurang 5 peratus lagi perlu dibedah.
Seorang ibu memang akan berasa sakit semasa proses kontradiksi tetapi sekali lagi Yang Maha Esa membekalkan ibu dengan perasaan sabar dan kasih sayang yang menebal yang tiada tolok bandingnya. Kesakitan terus dilupakan sebaik melihat bayinya selamat dilahirkan. Saat itu segala kesakitan hilang sertamerta dan digantikan dengan perasan gembira. Mereka menjaga bayi dengan penuh kasih sayang.
Malangnya, apabila sudah besar, bukan semua anak-anak tahu menghargai pengorbanan dan kasih sayang ibu kepada mereka. Masya Allah !
5 comments:
anak-anak sekarang bukan macam anak-anak dahulu di zaman kita..saya sendiri makan hati dengan perangai dan tingkah mereka terutama apabila meningkat remaja.
bayangkan, dari 6 orang anak cuma 2 lahir melalui proses biasa. sekali saya di ICU, 2 kali perlu naik ambulance, sekali tumpah darah kerana uri tertanggal semasa minggu ke 35, sekali uri melekat, salah seorang kembar meninggal dunia..... tapi saya masih tak serik lagi. itulah kuasa Allah yang Maha Besar. Kini bila anak-anak menginjak remaja saya makan hati juga dgn tingkah mereka. Doa tak putud semoga anak2 menjadi manusia...
Terima kasih ibu dan mama chik di atas komen yang diberikan. Demikian pengalaman ibu seperti mama chik membuktikan betapa besarnya pengorbanan ibu kepada anak-anak.Semoga kita akan terus mendidik anak-anak kita menjadi generasi yang sentiasa mengenang pengorbanan seorang ibu.
Oh ibu!
Jika kita katakan anak-anak sekarang tak macam anak2 dulu, sebagai ibu bapa, samakah kita dengan ibu bapa kita dulu?
Post a Comment