Sambil berjalan-jalan dan meninjau-ninjau Dewan Bestari sekolah, saya menoleh ke arah parkir kereta guru. Pada waktu itu tiba-tiba fikiran saya terfikir, 'hebat kereta cikgu-cikgu sekarang.' Mereka yang baru mengajar kelihatannya sudah mampu memiliki kereta seperti Toyata Vios, Wish, Honda Civic, Honda City, Perdana, Pesona dan macam jenis lagi. Semuanya baru-baru belaka. Syukur kepada Allah kita semua menjadi guru. Di samping kita mendidik, mengajar dan berdakwah kita juga mampu menikmati kehidupan yang cukup memberansangkan.
Teringat saya sewaktu mula-mula mengajar dahulu. Dengan pendapatan rm 300 lebih saya hanya mampu memiliki Honda Cup lampu bulat sahaja. Kapcai yang clutch tekan belakang sekali, tekan depan dua kali. Sekali tekan belakang pembonceng kena pegang kuat-kuat, kalau tidak terlentang ke belakang ! Itulah kenderaan untuk mengendung isteri dan anak-anak. Anak-anak !!
Selepas setahun menunggang Honda Cup, mampulah saya memiliki sebuah kereta. Datsun 120Y! Orang kampung saya panggil Datsun tonggek ! Ada juga orang panggil Datsun Baulu ! Itu pun yang second hand. Rasa-rasanya dah berkereta sangatlah tu !
Walau pun dia Datsun tonggek tapi tuahnya banyak. Paling 'bertuah' kereta tu, saya tidak mungkin lupa, ianya berlaku di Pantai Lanjut. Waktu itu Pantai Lanjut yang kini Seria de Lanjut Resort, sudah ada Padang Golf tetapi tidaklah seluas sekarang. Di sebelah padang golf, orang awam masih boleh ke pantai untuk berkelah.
Suatu petang saya bersama isteri pergi ke pantai membawa dua orang yang masih berusia 4 dan 3 tahun. Setelah bersantai ambil-ambil angin bersama isteri dan dua anak yang masih kecil itu tidak sedar hari semakin petang dan kami hendak pulang. Entah macam mana Datsun tonggek saya tu tiba-tiba ,lekat dalam pasir debu pantai. Makin tekan minyak, makin tenggelam. Akhirnya santak lantai kereta ke pasir. Saya dan isteri sudah mula panik. Hari sudah semakin gelap, rumah agak jauh dan tiada orang nak minta tolong. Yang ada kelihatannya dari jauh, hanya lima orang besar-besar (bukan gergasi !), agak saya VIP yang masih menghayun kayu golf. Saya kata VIP kerana mereka orang Melayu dan kereta-kereta mereka BMW dan Mercedez. Dan sebuah Isuzu Trooper. Waktu itu Isuzu memang tengah hebat. Jadi siapa ada Isuzu Trooper kira hebatlah tu.
Hendak suruh isteri pandu saya tolak, isteri tak pandai memandu. Nak suruh isteri tolak, mana daya. Anak-anak yang masih kecil memang tak boleh membantu. Walaupun panik saya tetap memperlihat ketenangan saya kepada isteri. Macam-macam saya buat, semuanya gagal. Namun saya perlu terus berusaha kerana tidak mungkin kami akan bermalam dalam kereta di pantai itu bersama anak-anak yang masih kecil.
Waktu maghrib sudah masuk, saya masih terkial-kial. Berbagai usaha saya lakukan dengan pertolongan isteri yang sibuk mengawal dan menjaga anak-anak. Tengah saya ralit berusaha tiba-tiba saya terdengar satu suara yang agak parau.
"Kenapa ni ?" tersentak saya. Maklumlah waktu maghrib. Isteri sayapun tidak perasan ada orang menghampiri.
"Lekat tuan" saya yang panik menjawab ringkas sambil tersengeh ke arah orang yang bertanya itu.
"Hah...masuk, nak tolak ni" kata lelaki yang wajahnya cukup saya kenal itu. Serba salah saya. Alah malunya aku. Tak kan dia tolak kereta aku, kata hati. Tidak sampai 1 minit ditolak oleh lima orang tu kereta saya terlepas dari lekat.
"Terima kasih tuan !"kata saya dengan perasaan yang cukup segan dan serba salah.
"Sama", orang itu menjawab tanpa menoleh lagi kepada saya terus masuk ke dalam kereta mewah masing-masing meluncur laju di jalan raya.
Dalam kereta, isteri saya berkata, "mujur ada orang-orang tu, abang. Siapa dia orang tu abang, abang kenal ke ?"
Bertuah punya Datsun tonggek, nak juga dia merasa orang-orang tu tolak dia, "Pegawai Daerah Rompin dan Penolong-penolong dia!". Hah...VVIP Rompin tolak Datsun tonggek tua saya !! Tak mungkin saya lupa .
Itulah kereta pertama saya yang tidak setanding langsung dengan kereta cikgu-cikgu baru hari ini.
Alhamdulillah semoga kemeriahan hidup peribadi kita tidak melalaikan kita dari menjadi pendidik yang dedikasi dan tidak berkira yang mampu melahirkan insan yang berkualiti buat generasi akan datang.
4 comments:
Awal 80an ayah saya beli kereta pertama Datsun 120Y.
Nak jadi cerita petang tu kami sekeluarga naik kereta tu nak ke bandar melawat sedara.
Dah setengah jalan hari pun malam tapi ayah tak tahu mana dia suis lampu. So jalan la sampai ke bandar sambil bertemankan lampu suluh panjang. Ha ha.
Nasib baik kedai jual kereta second hand tu masih buka jadi singgah tanya macamana nak nyalakan lampu.
Rupa rupanya suis dia senang sangat tapi sebab kereta pertama dan baru pakai jadi tak tahu apa.
Kenangan tu buat saya senyum simpul sorang.
BekasCikgu
Selancar
Ha'k alah...guna lampu suluh !
Kelakar juga cerita Bekas Cikgu Selancar ni.Saya pun dulu macam tu juga, serba serbi tak tahu.
Satu hari Datsun saya bergegar kuat steering, saya punya pucat muka Tuhan yang tahu, kata hati mesti mahal kalau reapir ni. Habislah duit aku. Dengan berat hati saya bawa kereta tu ke bengkel Cina. Dalam poket saya bawa duit RM300.
Bila siap repair saya tanya berapa harga repair. " Lima ringgit" jawab Cina tu. Tercengang saya.
Betullah.... begitulah gayanya pada waktu itu orang mula ada kereta.
sir....
pinjam datsun tonggek....
Datsun Tonggek tu AAB 3185 dah tak ada dah, dah kena jual, nak bagi pinjam macam mana !
Post a Comment