Friday, January 30, 2009

Aik...ye ke ? Macam ngam je !

Satu hari dalam tahun 2008, dalam perjalanan pulang dari sekolah tiba-tiba saya menerima satu panggilan.

”Hello, assalamualaikum Li ? Apa khabar..sihat ke ?” tanya suara itu.

”Salam. Alhamdulillah sihat. Minta maaf sapa ni ?” tanya saya kepada suara yang kedengaran cukup mesra sekali.

” Akulah Yusuf...alah kita kursus sama kat Kuantan dua tahun lepas. Dulu aku masih mengajar di Kuantan sekarang aku dah pindah Kuala Trengganulah. Kau lupa dah ke ?”, kata si Yusof.

Bimbang takut kawan kata saya sombong maka dalam keadaan entah ya entah tidak, saya menjawab “ Ooo.. Yusof. Ingat..ingaat !! Apa cerita Yusof ?”.

” Li, aku dalam perjalanan ke Seri Malaysia Tanjung Gemuk. Kami guru kaunselor Trengganu ada buat kursus dua hari kat situ. Li, tak kan aku ke Kuala Rompin tak merasa udang galah barang sekilo dua ?” usik Yusof mesra.

”No problem Sop, petang esok aku jumpa engkau dekat Seri Malaysia, pastu kita pergi cari udang galah! Malam ni aku minta maaf ada urusan penting, tak dapat jumpa engkau” jawab saya.

”Okay...okay Li ! Aku tunggu esok.” jawab Yusof ringkas.

Sebaik selesai perbualan telefon, dengan bersungguh hati saya cuba bayangkan wajah Yusof. Yusof mana satu ni !!? Bertindan-tindan wajah kawan-kawan yang bernama Yusof tergambar difikiran namun saya tetap gagal mengecam Yusof yang called saya tadi .

”Ahh...tak kisahlah, esok aku mesti jumpa Yusof dan pasti aku akan cam dan kenal dia”, fikir saya sendirian.

Petang itu saya pula telefon Yusof untuk pastikan dia sudah sampai atau belum dan untuk mempastikan sekali lagi Yusof mana. Kami sekali lagi bersembang dengan mesra. Kebanyakan kawan-kawan yang dia ceritakan, semua saya kenal. Jadi komunikasi saya dengan Yusof langsung tiada cacat celanya. Namun satu dua perkara dalam perbualan kami itu saya rasa pelik. Tapi saya buat tak tahu saja. Kursus yang dikatakan saya hadir bersama dia sebenarnya saya tidak hadir. Saya tetap tak cam Yusof mana satu. Saya hendak bagi tahu dia saya tak ingat dia Yusof yang mana satu, saya bimbang dia kecil hati kerana dia seperti kenal dan mesra sangat bunyinya. Saya juga bimbang dikatakan sombong jika memberitahu saya tak kenal dia dalam keadaan dia begitu mengenali saya. Pelik ! Namun saya tidak kisah...biarkan saya berjumpa Yusof esok.

Esok sebaik pulang dari sekolah saya terus ke Hotel Seri Malaysia Rompin. Saya bercadang mahu ambil Yusof untuk mencari udang galah. Saya telefon, Yusof tak respon. Berkali-kali saya telefon, tetap Yusof tak respon. Andaian saya mungkin Yusof tengah berkursus maka telefon ditinggal di mana-mana atau disilentkan. Setelah satu jam setengah saya menunggu akhirnya saya gagal berjumpa Yusof dan membuat keputusan pulang ke rumah.

Menjelang maghrib tiba-tiba saya mendapat panggilan dari Yusof. Yusof mungkin melihat miss called saya begitu banyak dalam henfon dia. Dan kami berjanji untuk berjumpa. Malam itu selepas solat isyak saya mengajak seorang sahabat, Samad Duhalit menemani saya berjumpa Yusof.

Sebaik sampai di Hotel Seri Malaysia saya called Yusof dan menunggu beberapa minit di luar. Sedang saya bersembang dengan Samad, saya menerima panggilan dari Yusof . Saya jawab dan melihat ke arah pintu masuk hotel. Saya melihat Yusof dan Yusof melihat saya.

Yusof menuju ke arah saya seperti teragak-agak. Saya melihat Yusof memandang lama dan semacam pelik melihat saya. Saya pun begitu. Kami bersalam dan berpeluk-pelukan semacam lama tidak berjumpa? Saya ajak Yusof naik kereta saya bersama Samad untuk ke Restoran Nusantara. Sepanjang perjalanan dan di Nusantara kami bersembang mesra, bercerita hal-hal lama dan macam-macam yang semuanya macam iya-iya sahaja. Gelak ketawa senyum riang semuanya ada. Walaupun kami kelihatan begitu mesra tapi kadang-kadang saya terasa ada beberapa perkara pelik dalam kemesraan kami itu. Saya rasa Yusof pun begitu agaknya! Tapi kami semacam tidak fokus kepada perbincangan yang semacam agak pelik dan celaru itu.

Lebih kurang pukul 10.30 malam saya menghantar Yusof balik ke Hotel Seri Malaysia. Sekali lagi saya memohon maaf kepada Yusof kerana tidak dapat melayaninya terutama permintaan udang galah kerana petang tadi saya gagal berjumpa dengan Yusuf. Yusof pun begitu, mengucapkan terima kasih di atas layanan dan makan malam itu dan memohon maaf kerana tidak menjawab panggilan saya petang tadi kerana dia ke Mersing dan henfon tertinggal katanya.

Dari cermin kereta saya sempat melihat dengan jelas Yusof yang menuju ke arah kawan-kawannya, tergelak sambil kedua-dua tapak tangannya menekup pipinya. Apakah yang menggelikan hatinya? Kenapa Yusof buat begitu ?

Saya yakin Yusof tergelak kerana selama ini Yusof tidak pernah mengenali dan berjumpa dengan saya. Yusof tersilap orang ! Orang yang dipanggil ‘Li’ itu sebenarnya bukan saya tapi orang lain ! Tapi bagaimana Yusof dapat nombor telefon saya ? Saya syak Yusuf mungkin mempunyai seorang kawan yang juga kawan saya. Mungkin Yusof merujuk kepada kawannya yang dia tidak begitu ingat nama yang tinggal di Rompin ini, dan mungkin kawan Yusof yang mengenali saya menganggap kawan yang Yusof kenal itu adalah saya lalu diberikannya nombor henfon saya.

Tapi saya pelik dalam pertemuan singkat itu, Yusof dan saya tidak pernah sampai ke titik pengakuan yang menunjukkan kami sebenarnya tidak pernah mengenali antara satu sama lain.
Apabila saya memberitahu Samad bahawa saya sebenarnya tidak kenal Yusof dan Yusof tidak kenal saya, Samad terkejut dan hairan “ Aik….ye ke cikgu Li tak kenal dia. Yang bersembang beria-ia tadi macam mana ? Ngam je nampak apa yang dibincangkan. ”

Entahlah….ego kot !. Atau masing-masing cuba jaga hati kawan atau ….. Atau apa ye ?

6 comments:

Anonymous said...

lhaaa.... kisahnye, huhu kelakar pun ye, jumpa kawan tp tk kenal... tkpe le, semua umat Islamkan bersaudara... pertemuan itu akan menjalin 1 hubungan baru antara 2 insan yg sebelumnya saling tidak mengenali

Anonymous said...

huhuhu...nasib baik ingat semua umat Islam bersaudara kalau tak malu jugek rasanya....beria-ia...!Sampai sudah si yusuf tu tak cantact saya. Saya cuba juga contact dia sekali tapi tak dapat...hehe..

Roslan Ismail said...

Ler...macam2...:)

mantan said...

gelihati aku...

Takpe la..adalah hikmahnya tu...

HASHIMME OMAR said...

La ehh awat yang lawak hang punya cerita ni. Dah awal pagi tapi kawa kasih nak gelak ni.... help..help... baguih juga kalau byk cerita mcm tu...

Anonymous said...

Hashime,
Itulah antara pengalaman yang tak mungkin aku lupakan. Akupun tak sangka boleh berlaku macam itu. Nak bagi tahu dia yang aku betul-betul tak pernah jumpa dia, kesian pulak sebab dia benar-benar macam kenal aku.

Tahniah dah ada blog sendiri. Insya Allah akan aku selalu terjah ke sana nanti !!