Thursday, January 01, 2009

Selamat Tahun Baru 2009

Salam Tahun Baru 2009. Hari ini hari pertama kita bertapak di tahun baru 2009. Segala yang dilakukan dan telah berlaku pada tahun 2008 telah kita tutup akaun malam tadi. Ada yang tutup secara Islami ada yang menutup secara yang melalaikan.

Apakah tahun baru 2009 akan membawa cahaya yang gilang-gemilang buat semua, belum dapat dipastikan lagi. Apa yang pasti cabaran dan tribulasi perjuangan membina kehidupan nampaknya samakin getir semakin hari berlalu. Ekonomi dunia kian tenat,begitu juga dengan ekonomi negara tercinta. Semua digesa beringat-ingat dan berjimat-jimat. Harga minyak telah turun dengan banyaknya namun harga barang terus melambung tinggi !

Bagi seorang ketua keluarga banyak yang perlu difikirkan. Kehidupan dan pendidikan keluarga, juga masa depan anak-anak dalam kehidupan yang begini mencabar dan semakin hilang tatasula budaya dan agama.

Bagi anak-anak muda sama ada lelaki mahupun anak gadis yang masih belajar, persaingan semakin sengit. Realiti hari kelihatannya sudah tidak mahu orang yang berjaya tetapi lebih memilih orang yang dikatakan cemerlang. Hari ini bersaing untuk cemerlang adalah kepastian.

Bagi segelintir anak-anak remaja belasan tahun apakah di lapangan 2009 ini, mereka akan terus merempit, bersiulan di simpang-simpang jalan dan membuang masa yang akhirnya memberi begitu banyak ruang yang mampu merusakkan diri ?

Demikian antara perkara yang merupakan tribulasi dan cabaran getir kepada kita semua. Selamat Tahun Baru 2009.

No comments: