Sunday, January 04, 2009

Sahabat kita cikgu Hassan Muda sakit tenat.

Nampaknya dua tiga hari ini ruang untuk menulis blog ini begitu terhad sekali. Banyak urusan yang terpaksa dilakukan di luar yang tidak memberi ruang kepada saya mengadap laptop saya ini secara penuh konsentrasi. Kelmarin baru balik dari UPSI Tanjung Malim. Semalam ke Kuantan seharian hingga waktu balik tersekat banjir di Sungai Miang Pekan dan terpaksa patah balik melalui jalan Batu Balik ke Lebuh Raya Kuantan - Segamat melalui Muadzam Shah. Sungguh memenatkan.

Hari ini saya berada di sekolah kerana pendaftaran para pelajar Tingkatan Dua, Tiga, Empat, Lima dan Enam Atas. Ramai penjaga yang datang dan sempat memberi taklimat kepada penjaga mengenai beberapa isu berbangkit khususnya mengenai pembayaran yuran tambahan.

Peristiwa dianggap pelik berlaku di sekolah hari ini ialah ramai ibubapa penjaga hendak bayar duit kepada sekolah , pihak sekolah tak mahu terima duit !

Seorang penjaga berkata kepada saya “ Hai…apa pelik sangat tahun ni cikgu, kami nak bayar yuran semua cikgu tak mahu tarima duit ?”

Saya hanya tersenyum sahaja. Malas hendak mengulas. Mungkin penjaga ini tidak tahu apa-apa agaknya atau mungkin tahu, tapi hanya mahu bergurau. Bagi guru, semua mereka tahu kenapa jadi begitu. Ramai penjaga pelik apabila diberitahu yang boleh dikutip agak awal sedikit oleh pihak sekolah hanyalah Takaful dan Yuran Asrama sahaja.

Saya sampai di rumah dari sekolah pukul 2.30 petang. Badan terasa agak letih menuntut saya agar berehat. Pukul 5 petang tadi saya bersama sahabat Ustaz Ibrahim Man dan Saudara Mustafa Kamal dan kemudian diikuti oleh Tuan Hamizi Hussin pergi menziarahi sahabat, Cikgu Hassan Muda, Guru Besar SK Sungai Mok yang sedang sakit tenat mengidap sakit organ hati, di rumah abangnya di Taman Impian.

Melihat keadaan cikgu Hassan saya terasa begitu sedih dan terharu. Keadaan fizikalnya begitu berubah daripada biasa yang kami selalu lihat. Cikgu Hassan seorang sahabat yang baik, sentiasa bersikap ‘happy go lucky’ dengan kawan-kawan. Bagi saya beliau seorangyang berwatak tenang dalam kehidupan dan pergaulan sehariannya. Kelakarnya sangat bersahaja.

Sewaktu mengadap wajahnya dan memegang tangannya, cikgu Hassan rupa-rupa masih mengenali saya walaupun keadaannya begitu kritikal sekali. Apabila semakin ramai tetamu datang menziarahi kami minta izin pulang lebih kurang pukul 6.10 minit petang.

Melihat dan merenung keadaan sahabat yang sedang sakit seperti cikgu Hassan Muda sewajarnya memberi banyak pengajaran kepada kita semua khusus kepada yang mahu berfikir. Ini masa dan keadaan cikgu Hassan, masa dan keadaan kita belum tentu bagaimana. Tiba-tiba saja kedengaran cikgu Hassan sakit ! Semoga Allah menyembuhkan kesihatan Cikgu Hassan Muda . Amin Ya Allah !

3 comments:

Anonymous said...

moga kita sentiasa ingat untuk beramal ketika berada dlm keadaan 5perkara sebelum datang pula keadaan yg kontras....

Semoga Allah menyembuhkan cikgu Hassan!

Anonymous said...

Betul cikgu yusof, kita semestinya kena mengamalkan lima perkara sebelum datang lima perkara. Ujian Allah kadang datang tidak menentu dan tidak diduga oleh kita.

Petang ini pulang dari sekolah tadi saya sekali lagi menziarahi cikgu hassan bersama isteri. Pagi tadi beliau diziarahi oleh Puan Hajjah Zabedah Osman, Ketua Sektor Unit Jaminan Kualiti JPN Pahang.

Anonymous said...

Sahabat kita, cikgu Hassan Muda, Guru Besar SK Sungai Mok telahpun meninggal dunia pada malam Khamis yang lalu. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.