Thursday, June 25, 2009

Selsema babi virus H1N1: Sekolah diarah tubuh unit khas

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Setiap sekolah di seluruh negara diarah menubuhkan unit khas untuk mencegah pandemik Influenza A(H1N1), kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, unit tersebut akan dapat mengurangkan penularan virus A(H1N1) di sekolah dengan mengadakan kempen pencegahan seperti ceramah tentang kebersihan diri, mengedarkan risalah dan poster.

"Pihak kementerian juga mewujudkan satu bilik gerakan di Bahagian Pengurusan Sekolah-sekolah Harian untuk tujuan yang sama," katanya sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam masa yang sama Wee berkata semua program yang melibatkan penyertaan negara-negara lain di luar negara seperti Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Thailand akan ditunda.

"Setelah berbincang dengan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Liow Tiong Lai), beliau kata jangan lagi buat sementara waktu, kita pun tak mahu ambil risiko, jadi kita akur," katanya.

Beliau berkata para pelajar dan guru yang baru pulang dari mengikuti program di luar negara akan diperiksa di lapangan terbang dan dikehendaki menjalani kuarantin selama seminggu.

Sumber : mStar

No comments: