Monday, June 08, 2009

Majlis sambut menantu ....

Hari ini masih terasa keletihan. Lenguh kaki masih terasa. Semalam keluarga kami melangsung majlis kenduri sambut menantu anak arwah abang saya yang keempat. Oleh kerana ayahnya telah meninggal dunia maka sayalah menjadi pengganti kepada arwah abang untuk melayani dan menyambut tetamu.

Bersama membantu menguruskan majlis yang tiba-tiba menjadi begitu besar dengan jemputan yang ramai cukup mendebarkan saya. Nasib baik rasanya kerana mempunyai kakak ipar (mak pengantin) , abang ipar dan kakak yang berpengaruh dalam membuat sebarang keputusan, yang mengetuai bahagian perancangan dan operasi begitu komited dan bersungguh, dengan dibantu oleh adik beradik, ipar-ipar dan anak-anak saudara yang cekal dan tabah, majlis akhirnya berjaya dilaksanakan dengan lancar dan sempurna sekali.

Selepas majlis selesai di sebelah malamnya saya termenung sendirian memikirkan bahawa trend yang berlaku pada hari ini sudah amat berbeza dengan trend zaman dulu-dulu. Trend hari ini semakin menggerunkan ! Tapi apa boleh buat suara minoriti tidak boleh mengatasi suara majoriti.

Dulu majlis sambut menantu hanya dengan kenduri doa selamat sahaja. Majlis sambut menantu saya dan adik ipar saya badrul dulu-dulu hanyalah kenduri doa selamat.Tapi hari ini, kus semangat majlis sambut menantu sama taraf dengan majlis di rumah pengantin perempuan ! Seorang jemputan yang juga seorang sahabat saya sewaktu kami bersembang berdua bersetuju bahawa trend menyambut menantu sepeti ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau sebelah perempuan okaylah katanya, sebelah lelaki buat doa selamat sudahlah.

"Nanti, engkau buat perubahan Li, aku tak boleh sebab aku tak ada anak lelaki", gesa sahabat saya itu.

"Masalahnya perubahan kembali macam dulu tu memang baik, tapi boleh ke ?" kata isterinya ragu-ragu. " Kadang-kadang pengantin itu sendiri yang ada duit dan dia mampu buat begitu, dan dia dapat pulak sokongan dari bebarapa orang ahli keluarga mereka", sambung isteri sahabat saya lagi.

Betul juga mereka ada duit dan mampu.

Saya terfikir macam mana majlis sambut menantu anak-anak saya nanti ?

1 comment:

mantan said...

Sir,
Jangan lupa kukur kelapa tu...