Saturday, June 06, 2009

Integriti sebahagian akhlak Islam


Malam tadi saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada kakitangan dan pengurusan kilang sawit Felda Cini 3 dengan kehadiran sekitar 150 orang. Saya diminta untuk mengupas tajuk yang cukup besar dan penting iaitu " Integriti".

Saya menyebut pelbagai perkara mengenai integriti dengan mengatakan antaranya ialah integriti merupakan sebahagian akhlak Islam. Ciri-ciri integriti yang paling unggul ialah "Taqwa" seperti mana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah orang yang paling taqwa".

Saya juga menyebut antara perkara yang merusakkan integriti ialah:

1. Mensyirikkan Allah
2. Meninggalkan solat 5 waktu.
3. Melakukan maksiat seperti berzina.
4. Menderhakai ibubapa.
5. Mengkhianati AMANAH.
6. Melakukan dan menerima suapan dan rasuah.

Salah seorang telah bertanya kepada saya, bagaimana mewujudkan integriti dalam diri seseorang pekerja.

Saya hanya mampu memberi jawapan yang mudah untuk difahami. Saya katakan tidak ada cara lain melainkan seseorang itu perlu sentiasa ingat yang mana halal yang mana haram, ingat pahala dan dosa, ingat syurga dan neraka kerana inilah dua tempat kesudahannya manusia.

Sebenarnya yakin atau tidak kita, bahawa Allah Maha Melihat dan firman Allah dalam surah az-Zilzal ayat 7-8 bermaksud, " Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Barangsiapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu", harus dijadikan renungan yang memberi peringatan dan pengajaran.

No comments: