Friday, June 19, 2009

Isu pokok pendidikan bukan bahasa

Sewaktu saya membaca Sinar Harian saya telah membaca satu rencana yang menarik untuk renungan dan perhatian kita semua dalam persoalan isu pendidikan yang hangat diperkatakan sekarang ia itu kelemahan Bahasa Inggeris (bukan di kalangan rakyat tetapi di kalangan pelajar Melayu sebenarnya-penulis). Tajuk rencana tersebut ialah Isu Pokok Pendidikan Bukan Bahasa. Saya amat bersetuju dengan pandangan penulis rencana ini dalam persoalan kelemahan Bahasa Inggeris.

Sumber dari Sinar Harian:

Isu pokok pendidikan bukan bahasa

Ilmu pengetahuan suluh kehidupan, kunci kejayaan. Rasulullah SAW bersabda dan menggesa: “Carilah ilmu pengetahuan hingga ke negara China”. Tegas pepatah Cina, ‘semua manusia serupa sahaja, yang membezakan antara mereka secara ketara adalah pendidikan. Pembelajaran hanya tamat apabila kita mati’. Oleh itu, walaupun kita berpendidikan sudah ‘postdoctoral’, kita harus belajar terus belajar. Ilmu pengetahuan adalah kuasa. Kejahilan bukan polos (innocence), tetapi satu dosa. Bayangkan kita dipimpin oleh seorang jahil, bukan seorang alim.

Isu bahasa Inggeris (BI) ini tidak habis-habis. Bahasa Melayu (BM) walaupun bahasa rasmi dan kebangsaan, tetapi terus tidak dihormati dan disanjung. Anda yang sudah ke Indonesia, Thailand, Makkah, Madinah, Sepanyol, China, Jepun dan Korea mungkin faham apa yang saya cuba bayangkan dari segi emosi, nilai ekonomi, penghormatan; peranannya (bahasa) dalam kehidupan dan kerajaan.

Cuba buka mata seluas yang mampu, pasang telinga apabila melihat menteri berbicara di televisyen dan di majlis rasmi atau tidak rasmi kerana mungkin takut orang kata tidak tahu cakap bahasa Inggeris, maka mereka bercakap dalam BI, walaupun BM mereka lebih baik.

Bagi saya, isu pokok adalah kualiti pendidikan. Apa-apa bahasa pun yang digunakan, banyak atau kurang ilmu yang boleh ditimba melalui bahasa itu, seperti bahasa Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan Arab. Dan akhirnya, nilai ekonomi bahasa iaitu persiapan ke alam pekerjaan dalam dan luar negara; ke alam pengajian tinggi ke menara gading yang berjenama seperti Cambridge, Oxford dan Harvard.

BI harus dipelajari bersungguh-sungguh tanpa menjejaskan BM dan tanpa menjadikan BI sebagai mata pelajaran wajib lulus peperiksaan. BI boleh dimantapkan jika kena kaedah pembelajarannya seperti dilakukan di Belanda dan di negara-negara Eropah lain, khususnya di Scandinavia seperti Denmark. Rakyat mereka bilingual – mereka menggunakan dan kuasai dua bahasa secara natural akibat dasar pelajaran yang berkesan dan mempunyai tenaga pengajar yang terlatih dan komited, bukan seperti berlaku di depan mata kita kini. Suatu zaman dulu, di negara kita pun perguruan adalah satu kerjaya yang terhormat dan pilihan, bukan terpaksa kerana gagal untuk dapatkan jawatan lain.

Saya amat takut nanti apa yang dikejar tidak dapat, apa yang dikendong tercicir, lebih kurang keadaannya masyarakat kita dan bahasa kita kini. Penggunaan bahasa rojak berleluasa, hatta di televisyen, radio dan tempat acara rasmi mahupun tidak rasmi. Mengapa tidak boleh disebut satu ayat dalam BM atau BI sepenuhnya, tidaklah ayat yang sedikit pun dicampuradukkan kedua-dua bahasa tersebut. Jika kita hendak gunakan satu atau dua perkataan bahasa lain selit dalam ayat atau perenggan itu boleh, asalkan ia diterima pakai dalam bahasa kita.

Anda pergi ke kedai buku Times, MPH, Borders dan Kinokuniya, cuba lihat dan dengar – Bahasa apakah yang paling banyak dituturkan oleh pengunjung ke toko-toko tersebut? Hatta di kalangan bayi Melayu lazimnya berbahasa Inggeris "Daddy, I want that book!". Rak-rak buku secara kasar buku dalam BM seperti orang miskin tegar berbanding dengan seorang jutawan (buku dalam BI). Orang Melayu tidak harus tolak BI, jika boleh kita kuasai paling minimum tiga bahasa bagi rakyat Melayu – BM (bahasa standard) yang bukan loghat daerah atau negeri; BI dan bahasa Arab, Mandarin, Sepanyol, Peranchis, Jepun dan Itali.

Ingat, seorang bukan Melayu kalangan rakyat Malaysia lazimnya boleh bercakap tiga bahasa – Bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. Tetapi kebanyakan Melayu gunakan satu bahasa sahaja atau dwi-bahasa golongan minoriti. Tetapi tri-bahasa sangat sedikit. Jadi, bagaimana kita hendak hadapi cabaran global jika di tanah air sendiri, kita hanya tahu dua bahasa atau tiga. Lihat betapa besarnya koleksi buku dalam bahasa Mandarin dan Inggeris atau Jepun. Pergi sahaja ke Kinokuniya atau toko buku Popular dan pergi ke toko buku BM. Jika anda seorang yang sedar dan insaf, anda akan dapati bagaimana sedikitnya tajuk buku dalam bahasa ibunda, termasuk buku agama dan buku teks. Kenapa?

Ini bukan perkara senang, tetapi tidak pula mustahil iaitu menguasai dwibahasa atau tribahasa. Saya tahu ramai anak bangsa kita yang menguasai tiga atau empat bahasa dengan baik, tetapi bilangannya kecil berbanding dengan orang Cina di negara ini yang bilangan penduduknya separuh daripada jumlah orang Melayu. Orang bukan Melayu sedar kefasihan pelbagai bahasa memberi mereka pasaran yang besar termasuk bidang pekerjaan di dalam dan luar negara. Bukankah itu tujuan pendidikan?



Malu bahasa sendiri?

Peranan utama BM adalah menjadi linguafranca – bahasa pertuturan semua rakyat seperti bahasa Indonesia di Indonesia dan bahasa Thai di Thailand. Pada umumnya, ini telah berlaku di Malaysia, tetapi bukan berleluasa seperti di Indonesia. Orang Cina sesama mereka bicara bahasa Cina, India dengan bahasa Tamil dan Melayu sama Melayu berbahasa Inggeris walaupun taraf bahasa tersebut rendah. Di Indonesia, China hatta Eropah menggunakan bahasa Indonesia sebagai linguafranca.

Seorang diplomat Barat memberitahu saya bahawa dia berasa aneh dan hairan mengapa orang Melayu jawab dalam BI, walaupun ditanya dalam BM. Beliau mahu tahu kenapa daripada saya, seorang yang dianggapnya bilingual. Saya terangkan kepadanya, (sebenarnya untuk mengelakkan rasa malu saya) “Melayu suka berbahasa Inggeris kerana hendak berlatih dalam bahasa tersebut”. Dia ketawa besar. Saya pun ketawa juga. Tegas diplomat itu, “... saya kira mereka takut saya fikir mereka tidak berpendidikan.”

Seterusnya saya menasihatinya, jika dia (diplomat) ingin belajar BM seperti yang ditunjukkan minatnya kepada saya, lebih baik beliau ke kawasan seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu, Baling, Sayung dan Parit di Perak.

Paling baik belajar bahasa Melayu Indonesia adalah di Indonesia, kerana rata-rata bahasa tersebut digunakan pada semua peringkat. Di Malaysia, sesetengah daerah boleh dikatakan seratus peratus menggunakan BM. Tetapi di Kuala Lumpur adalah tempat paling susah untuk bertutur BM. Bahkan, ada peminta sedekah yang berbahasa Inggeris, “Please Sir! Please Sir!”

Kini peranan bahasa ibunda masih terhad:

a. Gagal menjadi bahasa negara sepenuhnya seperti bahasa Indonesia dan bahasa Thai yang telah menjadi hakikat di negara tersebut, terus dipersoalkan hatta oleh orang Melayu sendiri yang mahu pendidikan asas dilaksanakan dalam BI seperti Matematik dan Sains.

b. Sebagai bahasa rasmi, agak bagus kecuali menteri dan pegawai-pegawai yang suka bermadah dalam bahasa Inggeris di majlis-majlis dan temu bual dengan pihak media tempatan pun, lainlah jika berucap di luar negara atau dalam majlis yang dihadiri oleh seratus peratus orang asing. Barangkali mereka semua takut dianggap tidak boleh ‘speaking’, maka walaupun lintang-pukang bertutur dalam bahasa tersebut. Ada sesetengah daripada mereka tidak bercakap BI, tetapi bercakap dalam bahasa Melayu yang diterjemahkan dalam BI hingga orang lain (Inggeris) tahu itu bukan idiom Inggeris. Contohnya, “I return back your money” atau “I will spend you”.

c. Sebagai linguafranca agak bagus tetapi tidak meluas seperti disangka begitu, juga sebagai bahasa perpaduan dan akhirnya sebagai bahasa ilmuan, bahasa pengetahuan yang terus diragui orang Melayu sendiri.

Orang Melayu harus sedar dan insaf bahawa kita mesti tiru sikap orang Cina bersifat mengejar matlamat menang-menang, iaitu kita junjung bahasa kita, kelek bahasa Inggeris dan bimbit bahasa ketiga, keempat dan seterusnya. Justeru, BM dan BI atau bahasa ketiga jangan dipinggirkan.

Pelajar lelaki: Anda ingat anda lebih pandai dan cerdik daripada pelajar perempuan kah? ‘Hang on’, tunggu dulu. Mutakhir tidak benar kerana lazimnya pelajar wanita lebih handal dalam peperiksaan. Tetapi apa yang penting kita memberi satu nafas baru pada sistem pendidikan negara dalam bahasa ibunda dan BI. Ini amat mustahak bagi masa depan kita

Belajar BI anggap seperti bigami, iaitu beristeri dua. Bahasa ibunda sebagai isteri muda dan BI sebagai isteri tua. Bercinta dan beraksi dalam bahasa ibunda dan bermimpi dalam BI. Maksudnya, kita gunakan BM seperti bersama isteri muda. Tetapi kita gunakan BI seperti balik ke rumah isteri pertama. Namun apa yang menghairankan saya apabila orang Melayu sendiri mempersoalkan keberkesanan BM sebagai bahasa ilmu, di samping BI.

Inilah nasib kita di Malaysia. Jika lihat Rabu malam terpapar majlis perasmian satu perdagangan antarabangsa di mana bahasa nasional tiada. Hanya bahasa Mandarin dan Inggeris. Ini tidak boleh berlaku di Indonesia, Thailand, Jepun dan Korea.

Apalah daya aku Melayu Malaysian!


2 comments:

Muz said...

panjang tp pdt.-setuju

sazili said...

Terima kasih muzaf di atas kerajinan anda membaca artikel yang panjang itu.Semoga ianya dapat menguatkan keazaman kita untuk terus memperkasakan Bahasa Melayu kita.
Rambut dah gunting Muzaf ?