Monday, February 23, 2009

Dari zaman Abdullah Munsyi tak berubah-ubah !


Sewaktu balik dari mesyuarat di bandar Mudazam Shah keadaan hampir maghrib. Sebaik sampai di kawasan Batu Tiga saya terserempak dengan beberapa ekur kerbau yang cuba melintas jalan. Kerbau berwarna gelap, keadaan hari pun hampir sama dengan warna kerbau. Kalau tidak berhati-hati memang tidak nampak. Bayangkanlah kalau terlanggar bapak kerbau !

Hati ini kadang-kadang tertanya-tanya kenapalah kerbau-kerbau ini boleh berkeliaran di kawasan sibuk ini ? Ke manakah tuannya ? Begitu juga dengan lembu. Pagi tadi sebaik turun ke garaj kereta, saya ternampak beberapa tompok tahi lembu, sedangkan saya tidak memelihara lembu. Beginilah gayanya kehidupan di desa nan permai ini. Kehidupan memang permai tetapi kadang-kadang serabut dengan lembu, kerbau, ayam dan itik yang dilepas bebas dan memiliki kehidupan gaya bebas.

Hendak marah kepada binatang memang tidak cerdik namanya. Hendak marah kepada tuan binatang, memang rasa hendak marah tetapi kalau hendak marah pun hendak buat apa ? Redha sahajalah ! Betulkan ?

Bila mengenangkan cara orang-orang kita memelihara binatang teringat pulak saya cerita yang dikhabarkan oleh Abdullah Munsyi sewaktu pelayarannya ke Pantai Timur. Katanya :

"Maka setelah sampai ke tengah sawah itu maka sahaya dengar bunyi seperti ribut besar. Maka terperanjatlah sahaya serta bertanya sahaya kepada orang itu, "Bunyi apa ini?" Maka jawabnya, "Tuan jangan takut, ini bunyi lembu, kerbau dan kambing, kerana ia terkejut." Maka adalah sahaya lihat beratus-ratus ekor lembu dan kerbau dan kambing tidur sepanjang-panjang sawah itu dengan tiada berkandang dan gembala, hidup dengan demikian sahaja. Maka kata sahaya kepada orang itu, "Siapakah empunya binatang begini banyak?" Maka jawabnya," Semua orang di kampung ini ada masing-masing punya. Maka sekaliannya berkampung; demikian menjadi biak. Dan ada yang dimakan harimau dan ada yang mati, ada yang beranak tiada orang pedulikan."

Demikian keadaan zaman Abdullah Munsyi pada sekitar tahun 1837-1838, lebih kurang 171 tahun yang lalu masih lebih kurang sama dengan keadaan zaman sekarang pada tahun 2009. Tetap masih ada binatang piliharaan yang dilepas bebas begitu sahaja.

Kalau zaman Abdullah Munsyi banyak lembu dan kerbau yang dimakan harimau, zaman sekarang banyak lembu dan kerbau yang di 'makan' lori dan kereta di jalanraya. Dibiarkan bergelimpangan di situ.

Entahlah...orang kritik cara kita, kita marah. Tak kritik begitulah tak berubah-ubah !

8 comments:

mantan said...

Maka berkatalah sahaya kepada Sir Sazili:

"Hairanlah sahaya melihat keadaan itu. Namun ambilah segala najis kerbau, lembu, kambing, ayam. itik, angsa dan segala najis haiwan yang berkeliaran itu, tidak kira siapa yang empunya, maka sekalian najis itu dijadikan baja supaya sekalian pohon-pohon dan tumbuh-tumbuhan yang ada itu menjadi lebih subur, biarlahlah nanti sekalian pohon yang subur itu menjadi makanan segala kerbau kambing dan lembu yang berkeliaran itu."

Anonymous said...

Arakian, tersebutlah satu peristiwa yang berlaku dalam tahun 1986. Dalam perjalanan pulang menunggang motosikal dari Endau ke Rompin, saya mengalami kemalangan apabila berlanggar dengan kerbau yang melintas jalan. Alhamdulillah, umur masih panjang!

Anonymous said...

Bila balik ke kampung, tidak dapat tidak saya terpaksa melanggar saja najis kerbau dan lembu yang bertaburan di atas jalan...

Namun keadaan itulah yang menjadikan suasana kampung begitu bermakna...masakan senang-senang akan dapat melihat kerbau berehat di atas jalan, berjalan sepanjang jalan dan sesekali mengejar kerbau yang menceroboh kampung...Itulah manisnya yang tidak ditemui di kota mahupun di kebanyakan kampung hari ini yang sudah dilanda kemodenan!....hmmmmm

Anonymous said...

Cikgu Wahab,
Betul tu, memang begitulah gayanya, tahi-tahi lembu tu dihumbankan sahaja di pangkal pokok. Buat baja ! Tapi kalau dah hari-hari tak tahan jugak, pokok pun pening !

Cikgu yusof,
Rupa-rupanya ada cerita pasal terlanggar kerbau di rompin yek? Macam-mana boleh berlanggar tu? Tunggang motor laju kot ?

Mendewa,
Kalau orang dari bandar sekali sekala balik ke kampung memang terasa bergitu bermakna... lagi bermakna bila kereta cantik tak dapat elak tahi kerbau atau tahi lembu atas jalan. Elak ke kiri lenyek tahi lembu, elak ke kanan lenyek tahi kerbau. sudahnya tak payah elak, sapu je !

Macam isteri saya...kalau saya memandu tahulah juga nak elak benda tu semua, kalau dia yang memandu habis dia sapunya !!!

P'su said...

Tiada kesedaran memelihara..

Anonymous said...

cikgusazili, ttg kemalangan tu, nak kata tak laju, laju jugak ler sikit tapi tak ler mcm mat rempit bawak! Sebelum sampai masjid Tg Gemuk tetiba melintas kerbau dari sebelah kiri jalan, dah ler waktu malam, kerbau hitam dan saya pulak rabun jauh.... Tak sempat brek, motor terlanggar di bahagian kaki depan, dua2 terbongkang. Ingatkan kerbau tu mati tapi bila ramai orang datang dia bangun dan kemudian tumbang semula di tepi parit. Sibuk2 org kata nak sembelih, dia bingkas bangun dan cabut lari. Baju tebal saya koyak di bahagian bahu tapi tidak luka, hanya di bahagian jari jer yg luka, nak ikat kain pelikat pun kena minta tolong isteri yg ketika itu sdg mengandung anak pertama. Saya sempat terfikir kalau ajal sampai pun, saya dah ada zuriat!

mantan said...

Sir,
Cerita fasal cikguyusof melanggar kerbau ni, dulu di Tg. Gemok ada cikgu yang tunggang motor melanggar kerbau di depan SMKTG. Ikut ceritanya, handle motor cikgu tu kena muncong kerbau tu lah. Kerbau tu mati. Jatuh berguling masuk parit. Mati lemas kat situ lah. Cikgu tu kata: Tengok kerbau pun boleh mati dengan motor buruk aku ni!

Rupa-rupanya kerbau memang sensitif kat muncung tu. Kalau kerbau berak merata, sekeh muncungnya tu.

Sir, kalau orang mmmuncung je nak buat camne?

Anonymous said...

Cikgu Yusof,
Saya ingat kerbau tu agak-agaknya memang dah rasa nak mati tapi bila dia terdengar orang sekeliling berbincang nak sembelih dia, tu yang dia gagahkan jiwa raga dia tu bangun semula jangan jatuh kali ketiga. Kalau jatuh kali ketiga alamat tak baik. Betullah cikgu Yusof berpantang maut sebelum ajal. Dan kita juga perl ambil ikhtibar dari sang kerbau yang cikgu langgar tu, jangan jatuh buat kali yang ketiga !! Maut jawabnya!

Cikgu wahab,
Saya rasa cikgu wahab telah memberi petua baru mengenai sang kerbau. Bagi kerbau yang paling muncung, hidung dia. Betullah agaknya begitu sebab dulu-dulu kerbau ini ditalikan setelah hiung dia dicucuk. Kalau dah dicucuk hidung meronta pun tidak tapi kalau ikat kat leher, hukum boleh tumbang pokok.

Kalau orang muncung ? Sental dengan garamlada....