Wednesday, February 25, 2009

Satu hari yang padat.


Sampai di sekolah tepat pukul 7 pagi. Terus ke pejabat, punch card. Sebaik masuk ke bilik saya didatangi oleh Mohd Najib Razak. Bukan Timbalan Perdana Menteri tetapi Mohd Najib Razak pelajar Tingkatan 3 datang kerana mesti membuat laporan harian kepada saya tentang kerja sekolahnya. GPK Pentadbiran merujuk kepada saya yang Si Najib ini setiap hari tidak berjaya siapkan kerja-kerja sekolahnya bagi semua mata pelajaran. Peringkat permulaan ini saya meminta dia datang kepada saya tunjukkan kerja-kerja sekolah yang perlu disiapkan. Setakat dipanggil ini nampaknya alhamdulillah.

Najib keluar, saya bergegas ke kantin untuk sarapan pagi kerana pukul lapan perlu masuk ke kelas. Sewaktu di bilik saya banyak kerja yang perlu dibereskan. Skrip pidato, skrip contoh debat ala-parlimen, di samping tindakan-tindakan lain yang berjujukan.


Berselang-seli dengan kehadiran pelajar yang memerlukan tanda-tangan untuk keluar wang biasiswa, saya juga sempat menanda satu dua skrip essei latihan MUET pelajar saya.


Selepas waktu rehat saya didatangi oleh Bob, pelajar Tingkatan Enam meluahkan masalah pembelajarannya di asrama. Selepas itu masuk pula Maizura, mengadu kenapalah dia selalu mengantuk dalam kelas. Macam-macam yang saya bincangkan dengan Bob dan Maizura. Tak tahulah menjadi atau tidak panduan yang saya berikan namun yang penting bagi saya, mendengar dan mengambil berat. Mereka itu akan mengambil STPM tidak berapa lama lagi.


Setelah solat zohor saya bergegas ke kantin untuk makan tengahari kerana selepas ini saya terpaksa ke SMKAP Muadzam Shah untuk Mesyuarat Pengurusan Teknikal Ko Akademik Daerah 2009. Mesyuarat selesai pukul 5 petang saya bergegas pulang. Isteri masih belum pulang kerana masih sibuk dengan teamnya menyiapkan urusan headcount untuk sesi debriefing pada hari esoknya. Namun dalam kesibukan seharian kami tetap berhubung dan sempat berbalas-balas sms yang menyegarkan jiwa !


Pukul 6.45 petang saya ke surau sekolah kerana Kuliah Maghrib mingguan saya di sana. Selepas solat Isyak saya didatangi pula oleh Aiman mentee saya mengadu hendak balik awal ke pulau Tioman hari Jumaat nanti kerana bot ke Tioman awal katanya. Saya berjanji akan berbincang dengan Pengetua urusan Aiman (T2) itu. Pada waktu yang sama datang juga Zafri (T2) seorang lagi mentee saya yang agak kenit bersalam sambil menasihat saya “ Sir balik nanti pandu kete baik2”. Insya Allah jawab saya. Selepas itu saya terus melatih pasukan Debat ala-Parlimen dan Forum sekolah yang akan bertanding pada 26 Mac nanti.


Tamat latihan lebih kurang pukul 10.15 malam saya berjumpa pula sebentar dengan Farhana yang masih bercelaru hendak masuk sajak PPDa atau tidak. Saya minta Farhana membuat keputusan segera.


Sebaik keluar dari pintu pagar sekolah saya singgah di gerai makan Sopi di hadapan sekolah kerana perut lapar. Sambil makan-makan sempat berborak dengan Sopi masih tentang pelajar-pelajar sekolah saya. Lebih kurang pukul 10.45 malam saya mula memandu pulang ke rumah sejauh 30 km. Sampai di rumah semua orang dah tidur ! Saya masih sempat masuk ke bilik study membaca dan melihat blog saya serta berita-berita dalam internet.


Pada pukul 1.23 pagi sewaktu mata sudah rasa mengantuk tiba-tiba saya menerima sms dari bekas pelajar saya dua tahun lalu, Saleha yang kini sedang menuntut di UPSI (kursusTESOL), yang jarang berhubung dengan saya. Sms-nya : I always remember, you looked at all ur students, through the eyes of tenderness, U c each one’s potential and chances 4 success….gud nite Sir. Tanpa membalasnya saya tertidur….sedar-sedar pagi untuk memulakan rutin biasa sebagai seorang cikgu ! Aku bangga menjadi guru !

4 comments:

mantan said...

Sir,
Demikianlah guru. Bagaikan pohon kelapa. Seluruhnya berguna walaupun kadang-kadang berhadapan dengan angin dan badai.

inasanilya said...

hidup guru!!!!
kak e pun bangga jd guru.dlu x rasa tp skrg best. byk dpt pengalaman n keyakinan diri sikit punya tinggi. hantarla manapun.ok je.blh survive nyerla.tp bab nak wujudkan jati diri pd anak melayu ni mencabar betul. kemanala arah mrk nk pegi ni. takut nk fikir. menyeramkan.

P'su said...

patutlah dah lama tak bagi komen pada blog saya.. saya ada artikel berkaitan untuk sir.. sudi-sudilah

Anonymous said...

Cikgu Wahab,
Cikgu lebih banyak pengalaman berbanding saya. Tentu cikgu banyak cerita menarik yang sangat elok jika dapat dibukukan untuk teladan guru-guru generasi baru.

inasanilya,
I'm proud of you ! Always do your best in whatever you do. Soal jati diri anak-anak Melayu boleh dikembalikan dengan hanya kembali kepada Islam yang syumul. Jika tidak, ianya akan terus sukar.

P'su,
Maaf, bukan tak sudi tetapi dua tiga hari ini agak terlalu sibuk untuk menjenguk ke blog-blog sahabat. Blog sendiri pun menyambil sahaja. Insya Allah lepas ni kita akan jenguk ke sana.