Thursday, July 23, 2009

Raja sungguh dia ...


Katanya durian raja buah. Kenapa digelar begitu saya tak tahu. Kerana duri ke ? Kerana isi ke ? Kerana rasa ke atau kerana baunya ?

Tapi durian memang banyak sekarang. Di mana-mana durian, di kampung, di bandar malah di tepi-tepi jalan. Nampak isi durian kuning keemasan, kus semangat...sedap ! Tapi ada durian yang bila dimakan terasa sesak kepala, pening kepala. Ada yang bila dimakan, tidak memberi kesan apa-apapun. Mengapa ada durian begitu ? Adakah durian hari ini ada yang dipanggil durian kahwin dan ada yang dikatakan durian kampung?

Kalau dalam perjalanan ada dalam kereta yang berhasrat berhenti mahu makan durian, semua mesti makan durian. Kalau seorang sahaja makan, yang lain tak makan, alamatnya parah ! Kerana kalau seorang itu sendawa, yang lain akan terlalu terganggu dengan pencemaran bau yang menyesakkan dan memeningkan. Kalau semua makan, mungkin kurang sedikit tekanannya.

Tempoh hari sewaktu saya dalam perjalanan dari Kangar ke Kuantan, bas yang saya naiki tergendala perjalanannya hampir 30 minit kerana DURIAN ! Sebaik bas mahu digerakkan oleh pemandunya, dia terbau durian yang saya sudah tercium baunya lebih lama dari tu. Dia bingkas bangun dan bertanya penumpang, "sapa bawak durian ni ...ha ?, tak buleh...nanti pengsan oghang lain ".

Semua penumpang senyap tak mengaku. Saya pun tak mengaku kerana memang saya tak bawak durian. Pemandu itu turun bas terus ke tempat isi barang di bawah. Setelah diperiksa, dia mendapati ada dua kotak berisi durian. "Dua kotak sapa tu yang beghisi durian, tolong pi beli plastik sampah bungkuih...kalau tak saya tinggai ja !", amaran pemandu itu.

Tiba-tiba dua orang anak gadis turun dan mengaku kotak durian itu mereka yang punya. Salah seorang dari pada mereka mengambil masa agak lama mencari kedai untuk membeli plastik sampah dan proses membungkus kotak durian dengan plastik sampah dengan dibantu oleh pemandu itu berakhir hampir setengah jam !

Itulah durian, raja buah ....bas ekspress boleh bergerak lancar dengan penumpang lebih 40 orang tetapi tidak dapat bergerak kerana durian yang hanya 4 biji yang tidak dibungkus plastik! Raja sungguh dia.

1 comment:

Norazman Md Noh said...

Pengalaman yang menarik.........